Editorial
#MalaysiaYangMuda merupakan sebuah siri wawancara ringkas mingguan bersama teman-teman lingkungan dan penggerak politik, seni, dan budaya yang berterusan menghidupkan Malaysia serta isi warganya.
Tamu kesebelas di #MalaysiaYangMuda minggu ini, kami bersama Nur Adilla, seorang diplomat serta pendakwah feminisme yang pernah aktif menggerakkan kolektif Universiti Terbuka Anak Muda (UTAM) sewaktu zaman mahasiswanya. Selain itu, beliau juga penikmat sastera dan pernah mewakili Malaysia ke Majlis Sastera Asia Tenggara (Cerpen) pada 2018. Kami di sidang redaksi Malaysia Muda, bertanyakan tiga soalan yang bersinggungan langsung dengan pengalamannya membaca khazanah sastera kita, seperti apa projek novelnya pada masa akan datang dan selok-belok dunia birokrat.

Nur Adilla
MM: Malaysia Muda / NA: Nur Adilla
MM: Mungkin mahu memulakan wawancara dengan sesuatu yang lebih spekulatif. Saya mengikuti beberapa tulisan Adilla yang baru-baru dan teruja untuk bertanyakan, seperti apa watak yang mahu dibangunkan di dalam novel pertama, atau mungkin kompilasi cerpen Adilla suatu hari nanti? Dan melihat ke dalam khazanah sastera kita, daerah pengkaryaan seperti apa yang mahu digali lebih dalam penulisannya kelak?
NA: Soalan ini mengingatkan saya bahawa kira-kira dua tahun lalu, pada satu hari, saya bertemu dengan seorang teman baik saya. Dia pemain nombor dan saham di sebuah syarikat kewangan di Kuala Lumpur, berpendidikan tinggi dan membesar di sebuah negara Barat. Kami berjanji untuk bertemu di Bangsar. Apabila dia datang, saya melihat dia memakai selendang putih. Teman saya itu lazimnya hanya bertudung bawal empat segi dengan warna-warna kerlip kemilau. Saya teringat Cikgu Norkiah, guru sekaligus penyanyi kelab malam yang berselendang nipis, hampir lut cahaya di tepi tasik dalam filem Masam-Masam Manis dan memuji beliau, “Wah, lihat temanku, si gadis urban dengan busana tradisional yang tampak begitu ayu!”
Dia ketawa dan teruja membalas, “I wish I get to be into one of your stories, or at least into anyone’s stories. Stories written in beautiful Malay. I would love to read it!”. Selepas itu, jika kami bertemu, dia akan mengulang bahawa dirinyalah “si gadis urban yang tampak ayu dalam busana tradisional!”
Memori ini begitu melekap. Entah kenapa, kata-katanya memagut keinsafan saya terhadap dunia sastera Melayu yang sederhana. Saya selalu merasakan bahawa tugas saya adalah untuk meluaskan dunia sastera kita untuk membawa kisah-kisah rencam yang pelbagai. Saya tahu saya (seperti atau memang sedang) merungut dan ini adalah hal yang kurang produktif, tetapi kisah yang saya baca lazimnya linear, anti-plot dan wataknya sedih dan kurang menerujakan. Saya mahu merobah lanskap ini. Saya mahu menulis cerita yang saya mahu baca.
Oleh itu, saya bercita-cita menulis sebuah novel, yang merekodkan rangkaian perbualan dua wanita Nusantara. Mereka aktivis dan berpendidikan tinggi, pengembara dan begitu muda – mungkin usia mereka 19 atau awal 20-an. Kedua-duanya lepasan sekolah agama (seperti saya) tetapi tumbuh menjadi wanita yang berlainan cara fikir, sikap dan ideologi. Mereka mempersoal budaya, mereka merasai kesan budaya. Saya sudah memulai ‘projek’ ini bertahun dahulu – pada 2013– sewaktu mula kuliah di Seattle melalui dua buah cerpen saya — Surat dari Nuraiyshah dan Surat dari Nurteja – yang saya terbitkan secara mandiri melalui laman web utam.net yang kini sudah bersemadi di perkuburan maya. ‘Projek’ ini terbengkalai tetapi besar harapan saya supaya satu hari nanti, saya dapat menyiapkan novel ini.
Saya memerhatikan bahawa terlalu kurang sastera Melayu di Malaysia yang membawa cerita wanita lokal yang muda dan ‘run the world’ dengan cara masing-masing. Saya, seperti teman saya tadi, ketagih mahu membaca cerita-cerita wanita Malaysia marcapada yang hidup dalam zaman ini – yang hidup pada hari ini, dalam Bahasa Melayu yang indah. Saya mahu tahu apa pergumulan mereka, kerjaya dan hal-hal yang bikin mereka teruja, apakah ruang aktivisme yang mereka gemari — dari diplomasi, alam sekitar, politik, feminisme, anti korupsi, pendidikan, budaya, golongan rentan — saya mahu tahu semua itu. Saya mahu tahu bahasa seloroh dan kecindan pelbagai wanita ini. Saya juga mahu hadam pergelutan atau status istimewa (privileges) sosial dan ekonomi mereka.
Siapa teman mereka? Apa dilema mereka? Saya juga mahu hati-hati menarik rambut-rambut halus mereka yang telah lerai ke dalam acuan hidup yang diayak menjadi persih tepung gandum. Mengapa rambut yang seni itu gugur? — Apakah kerana akar rambutnya lentur kerna terlalu lama dilenyek tudung atau respon kerana terlalu tertekan dengan hidup atau ada tangan lain yang merentap kepala atau sekadarnya, rambut yang gugur itu hanyalah proses perkumuhan yang biologis.
Seperti mana saya mahu membaca dan mengetahui tentang semua di atas ini, saya juga berharap saya tekal menulis tentang kisah-kisah wanita ini. Saya hanya mahu menyinggung ketidakadilan ruang cerita pada kerencaman watak manusia marcapada. Singgungan saya adalah dengan ingatan tulus ikhlas untuk meluaskan lagi dunia cerita kita.
MM: Seperti apa pengalaman Adilla sendiri dalam membaca jauh ke dalam karya penulis-penulis di dalam masyarakat kita? Seperti apa citra dan wacana sastera mereka yang kemudian membentuk Adilla?
NA: Satu dosa citra sastra yang telah meragut masa saya adalah naratif wanita yang berkahwin dan kesempurnaan wanita ini adalah dengan memenuhi tugas domestiknya pada suami dan keluarga. Mungkin oleh kerana terlalu banyak membaca cerita dengan peran wanita sedemikian, saya secara sedar atau tidak sedar telah mengasimilasi ajaran itu dalam kehidupan rumah tangga saya pada beberapa tahun pertama. Saya sangat terkesan dan menyesali pengalaman yang terasa alami ini.
Banyak wanita kuat, berpendidikan, arif dan sedar budaya ditulis oleh penulis-penulis wanita (dan lelaki), tetapi malangnya, jarang saya ketemu karya yang menyediakan latar rumah tangga yang adil dan saksama pada wanita untuk terus menjadi dirinya yang yakin itu setelah berkahwin. Wacana sendeng ini telah membengkokkan definisi masyarakat dan terhadap diri saya sendiri yang memilih untuk berkahwin pada usia yang teramat muda.
Tidak saya nafi bahawa sudah banyak penulis wanita (dan lelaki) yang memprotes dan menyuarakan keresahan masing-masing dalam isu ini. Cumanya, keresahan ini adalah seperti bara, ember, yang hampir menyala, tetapi hampir terpadam juga. Mungkin saya perlu sangat mempersoalkan pilihan dan akses bacaan saya pada 21 tahun pertama kehidupan saya sebelum berkahwin, tetapi itulah, saya perlu jujur mempermasalahkan citra kanon kita ini.
Penulis wanita kita yang amat mempengaruhi saya adalah Anis Sabirin. Ibu saudara saya menghadiahi Garis Biru ketika usia saya 9 tahun. 34 cerpen beliau dalam Garis Biru itu – tentang kematian, hubungan masyarakat, kesenjangan pendapatan, isu politik dan sosial, kesan penjajahan – sangat membina asas fikiran dan prinsip hidup saya.
Anis Sabirin begitu prolifik dan teliti memerhati manusia dan menterjemahkannya secara kreatif dalam karyanya. Watak-wataknya mengembara dari dunia mewah yang maha elit di luar negara, ke gadis yang mengapit Tuan Kolonial Orang Putih, tukang kasut yang pendiam memerhati dunia yang hampir di ambang kemerdekaan sehinggalah kepada malaikat yang menemubual roh insan yang bunuh diri kerana sunyi. Mind blowing!
Semakin membesar, saya begitu beruntung dipertemukan dengan karya penulis-penulis wanita seperti Leila S. Chudori, Chimamanda Ngozi Adichie, Ayu Utami, Sylvia Plath, Nawal El Saadawi, Margaret Atwood dan terlebih awal, Sophie Kinsella dan Cecelia Ahern. Jika maksud ‘masyarakat kita’ dalam soalan ini merujuk kepada kita di perkampungan global, maka ya, mereka ini telah meluaskan imaginasi manusiawi saya dan merasionalkan pengalaman kewanitaan saya.

Garis Biru (1999) oleh Anis Sabirin
MM: Bertugas sebagai seorang birokrat hari ini, dapat tidak dapat, Adilla secara terus menggeluti soal penggubalan polisi, praktik serta pengurusan pentadbiran dalam skala nasional. Sekaligus, melihat bagaimana kuasa dicatur, dibentuk dan digerakkan bagi mencapai sesebuah tujuan. Seperti apa kemudiannya, mungkin walau dalam skala yang sederhana atau mikro, Adilla melihat kepada peri-pentingnya membina kuasa tandingan, misalnya di dalam ruang birokrat dengan budaya dominan yang sedia ada pada hari ini? Kita mahu bermula di mana?
NA: Menurut pengalaman singkat saya, birokrat harus bermula dengan membaca pelbagai idea dan punya minda yang terbuka. Kemudian, birokrat harus merapati atau mengenali pelbagai jenis manusia juga dengan minda yang terbuka. Untuk mengubah pula, perlu ada keazaman politikal sehingga ke hujungnya. Antara yang paling penting juga, saya perhatikan bahawa penggubalan polisi – sama seperti aktivisme dan diplomasi – amat memerlukan sekutu, lingkungan yang sekepala, ally.
Contoh: Persidangan Dewan Negeri Selangor mempunyai sarana bahasa isyarat sejak 2017 dan tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa reformasi polisi ini bermula dengan bacaan buku Gelap Mata tulisan Saudara Rosli Ibrahim. Dari bacaan yang menimbulkan kesedaran, selidikan kualitatif saya terhadap beberapa wakil rakyat ketika itu mendapati bahawa (malangnya) politikus sentiasa memerlukan tanda ingatan ketika berbahas isu-isu rakyat. Maka, visibiliti bahasa isyarat adalah cara baik dan termudah untuk terus mengingatkan mereka tentang kewujudan golongan rentan dalam masyarakat.
Walaupun tujuan sarana bahasa isyarat tadi adalah untuk melengkapkan hak dan akses penggubalan polisi kepada seluruh ceruk dan fizikal masyarakat, saya belajar bahawa manfaat sesuatu polisi selalu terevolusi di ruang-ruang yang tidak dijangka. Dan hal ini memberikan motivasi sampingan untuk terus bekerja. Saya bersyukur kerana ketika itu, saya berada dalam ruang penggubalan polisi yang dikira sangat kondusif kerana selain teman kerja yang baik, kami dikepalai oleh Speaker Hannah Yeoh (kini Ahli Parlimen Segambut) yang progresif dan reformis. Tunjang beliau adalah etika, empati, dan saya perhatikan, keadilan yang diajar agamanya. Tunjang saya, ketika itu, adalah wacana keadilan dan hak asasi yang akademis lagi-lagi sebab saya betul-betul baru graduasi.

Gelap Mata (2015) oleh Rosli Ibrahim
Soalan ini juga begitu relevan dengan kerja saya kini sebagai diplomat di meja hubungan dua hala antara Malaysia dan sebuah negara kuasa besar dunia. Sebahagian kerja saya adalah menganalisis kuasa tandingan antara negara yang masing-masing mahu jadi paling kaya, paling kuat, paling kapitalis, paling berkuasa dan paling dominan ke atas negara yang lebih kecil darinya.
Kalaupun kita tidak mahu menjadi ‘yang paling-paling’ ini, kita hidup di sebuah perkampungan negara moden yang kental dengan dogma sempadan dan wilayah dan akan terjebak dengan pertarungan ‘yang paling-paling’ ini. Maka, kita harus bersikap. Sebagai diplomat muda yang harus patriotik (dan nasionalis?) tetapi tetap mahu memaknai diri adalah warga di perkampungan dunia, cicipan harian dalam kepala selalu berkitar tentang mencari keseimbangan antara keduanya.
Dari kedua-dua pengalaman kerjaya ini, saya simpulkan bahawa membaca dan mempunyai kesedaran tidak cukup kalau kita tidak mempunyai iltizam untuk mengubah (atau menandingi) budaya dominan yang sia-sia dan jahil seperti patriaki dan ketidakadilan. Ini bukan hal main-main. Saya merasai bahawa perbualan (conversation) yang panjang dan jujur mengenai isu-isu ketidaksaksamaan ini amat penting dan berkesan tetapi sangat kurang berlaku dalam masyarakat dan organisasi kita.
Lazimnya, orang bawahan akan merasa takut untuk bersuara kepada bos-bos atasan tetapi saya cuba sedayanya untuk tidak ditelan ketakutan sistemik itu. Itu sahaja kadangkala menjadi satu perjuangan harian birokrat muda tetapi mujurlah, saya lihat tuntutan kepada suara muda yang segar dan berani memang ada dalam institusi birokrasi. Birokrat muda ramai yang aktivis dan berkobar-kobar semangat mahu membawa perubahan baik kepada negara. Saya berdoa dan berusaha dengan skala kemampuan saya yang sederhana supaya kobaran ini tidak dilayurkan kepuasan atau complacency kelak.
Perbualan panjang yang jujur ini, atau suka saya sebut sebagai unpacking juga perlu diperbanyak supaya fahaman dan interpretasi teori dan konsep keadilan dapat dalam diri dapat diselia dan disemak dengan baik. Perbualan yang baik dapat menjernihkan kefahaman. Selepas membaca, mengenali kerencaman manusia dengan minda terbuka, bersama-sama teman yang mempunyai nilai dan ruh perjuangan (tetapi tidak semestinya ideologi atau sudut pandang) yang sama.
Akhirnya, praksis terbaik datang dari fikiran yang jernih. Fikiran jernih apabila ia sentiasa bergulir dan mengalir.