#MalaysiaYangMuda merupakan sebuah siri wawancara ringkas mingguan bersama teman-teman lingkungan dan penggerak politik, seni, dan budaya yang berterusan menghidupkan Malaysia serta isi warganya.
Tamu kedua belas kita di #MalaysiaYangMuda ini bukan calang-calang. Dari selatan Semenanjung Malaysia, kami bersama Abdul Hafidz Adam, pendepan beberapa kugiran bawah tanah, Khottal serta TAHVOLÉ. Selain itu, beliau juga merupakan penggerak kolektif nun di Melaka bersama teman-teman di CORM. Kami di sidang editorial Malaysia Muda bertanyakan dari mana semangat serta pengaruh praktik kolektivismenya itu datang dan seperti apa Melaka itu, jika ianya sebuah karya. Ayuh menjejak buah fikir beliau dalam denai jawapan yang dikongsinya.

Hafidz dengan penuh tenang menjawab persoalan-persoalan dibangkitkan.
MM: Malaysia Muda / AHA: Abdul Hafidz Adam
MM: Sepertinya Hafidz, lewat usaha di CORM, TAHVOLÉ serta Khottal, seakan-akan mencari makna dengan berkarya dan bergerak bagi membangunkan semangat kolektivisme. Semangat, idea serta praktik kolektivisme seperti apa yang menggerakkan dan mempengaruhi anda?
AHA: Soalan seperti ini sebenarnya sudah lama terbiar bersarang dalam benak saya. Ada sekali, untuk siasat atas berapa minatnya saya pada kerja seni, saya klik kuiz pada pautan internet di Facebook dan saya terperanjat; saya bukanlah seni sangat seperti apa yang saya sangkakan sebelum ini bila keputusan kuiz tunjukkan 66% otak kiri mendominasi keseluruhan otak.
Pada awalnya, saya fikir terminologi yang dikongsi antara aktiviti berkugiran dan berkolektif ialah; escapism. Mengelak jadi burn-out sememangnya buka jalan untuk melihat ke dunia lain sementara tubuh badan terikat kerja hakiki bergaji. Tapi kini, saya boleh bagitau, ia mungkin datang dalam bentuk serious hobby yang tak mungkin dapat dihentikan oleh sesiapa lagi. Ia sama sekali tidak bermotifkan imbuhan wang ringgit tapi saya seronok terlibat dengan aktiviti seperti tertulis di atas.
Ada juga terdengar dapatan daripada kenalan rapat; tentang cara saya yang santai (bermalas-malasan) antara penyebab stamina saya masih ok. Saya setuju juga walau kadangkala saya rasa ramai orang perlu tahu—perlu ada dedikasi yang tingginya—mengalahkan bangunan pencakar langit.
Tersekat-sekat air liur saya dibuatnya ketika rakan baik, yang juga merupakan pendiri kolektif Projek Rabak berkongsi cerita—yang kemudiannya membawa saya kepada perenungan tentang kolektivisme di mana ianya sangat memerlukan stamina yang tinggi untuk kekal ‘sihat’. Kemampuan saya yang sekerat-sekerat ini membatasi apa unjuran yang sepatutnya diperlukan oleh sesebuah kolektif.
Namun bila ditimbulkan soal minat, gelagat saya agak berbeza apabila berada dalam satu perkumpulan orang yang disukai—saya akan semudahnya boros menghabiskan masa dan tenaga dalam membangunkan reputasi bersama-sama, seronok bergaul—membina lebih banyak rangkaian, dan mempunyai kejernihan matlamat untuk memperbaguskan kemahiran yang saya ada. Akhirnya, sasaran saya agak mudah; lambat atau cepat, yang penting perlu wujudkan ekosistem scene terlebih dahulu. Dan perlu diingat, ini tidak mudah dilakukan di luar kota-kota besar.
Sebut pasal semangat, saya semahunya akan menyalahkan Kurt Cobain dalam hal ini. Kurt Cobain merupakan punca utama saya jadi begini. Mungkin kedengaran dungu, atau sekadar perkaitan tahap emosional bagi kalian, tapi saya tiada cara lain untuk menerangkan bagaimana perasaan jatuh cinta itu muncul dengan hanya melihat satu sosok berinteraksi dengan pelbagai ramuan penting dalam pop culture 90an. Kurt Cobain-lah yang membawa saya kepada Sub Pop sebelum saya pandai menyebut Ruang Rupa, Taring Padi, Pangrok Sulap dan banyak lagi. Saya tahu pasal Beat Generation pun asbab Kurt juga.
Ternyata, attitude adalah apa yang tergambarkan bila nama-nama di atas melintas. Alasan ini jugalah yang menyebabkan saya dan rakan-rakan di Melaka cuba aplikasikan pada kolektif yang sedang dikerjakan sekarang; Kelab Peminat Buah Fikiran. Aktiviti-aktiviti disesuaikan dengan latar belakang kami yang sederhana (baca: masa dan tenaga). Kami bikin apa saja yang kami rasa boleh bikin selagi berkaitan dengan insiatif membangun budaya.
MM: Berlanjutan dari soalan di atas, kolektivisme juga sekaligus menyediakan ruang ‘gotong-royong’ ekspresi yang berbeza. Di dalam lingkungan Hafidz, saya percaya ada mereka yang menulis dan membikin muzik antaranya. Bagaimana kemudiannya kesepaduan kolektivisme dalam berkarya dapat dicapai, sekurang-kurangnya dengan pengalaman di Melaka?
AHA: Hal berkolektif dan berkugiran sememangnya menawarkan peluang untuk bekerja bersama-sama. Tapi dari satu sudut yang tak kurang penting, keduanya memberikan saya peluang untuk belajar banyak benda baharu. Dalam kes saya, kugiran yang saya anggotai juga turut terlibat dengan aktiviti berkolektif, manakala kolektif yang saya anggotai juga terlibat secara langsung dengan pengurusan kugiran saya.
Dengan spektrum berkarya yang merangkumi dari pemuzik, penyajak, penulis—ia bagaikan perayaan idea apabila setiap kali kami bertemu. Paling untung besar ialah keadaan ini menggalakkan cross reference dan merapatkan jurang pemikiran. Oleh itu, setiap kali pertemuan sememangnya waktu yang ditunggu-tunggu.
Penilaian saya sendiri memandang usahasama ini terbukti telah memberanakkan banyak penganjuran acara kerjasama—seperti program diskusi /pertukaran idea yang kami namakan #BAWABAWAH (ketika wawancara ini ditulis, kami sedang mengadakan perbincangan berkenaan kerjasama bersama RTM Melaka).
Ada juga hal membikin / persembahan muzik, bacaan sajak di khalayak dan acara tayangan filem yang masing-masing kami namakan #MINDRUBDOWN, #MELANGGAR dan #SELEKSI.
Pernah sekali ada pengalaman bikin festival yang menggabungkan kesemua bentuk kerjasama ini (disertai juga oleh pembikin zine /penerbitan buku dari seluruh negara, sekaligus merupakan zinefest terbesar di Melaka) di bawah satu program yang kami namakan RA/KAN (baca: Raikan), ternyata selain menguji kesefahaman kami dalam berkolektif, tahap keseronokannya memang lain macam!
MM: Melaka, kita tahu mengeluarkan cukup ramai pengkarya, dari filem, sastera ke muzik. Sekadar menyebut beberapa nama; Allahyarham Ajikik, Salleh Ben Joned, Nasir Jani, A. Samad Said, Faisal Tehrani serta pelapis-pelapis baru yang juga tak kalah berkarya. Jika dapat disimpulkan Melaka dalam sebuah karya, tidak kiralah dalam apa jua bentuk, seperti apakah ia?
AHA: Saya suka jika Melaka tergambarkan sebagai sebuah seni visual, mungkin paling teruja jika dizahirkan dalam bentuk lukisan yang sensual dan provokatif. Sosok yang kalian nyatakan di atas rata-ratanya agak vulgar dari segi pemikiran mahupun naskhah hasilan mereka, tetapi dalam pada masa yang sama, saya tak boleh tidur lena jika menafikan kecemerlangan estetikanya.