
Kesatuan. Keadilan. Hala taju – berikut saranan dan panduan Ali Shariati ketika menggambarkan dan memperihalkan momen Haji. Tidak memadai kita hanya melakukan ritual dan tata laku agama tanpa menghayati falsafah dan dimensi dalaman Islam, terutamanya Haji.
Yang luaran dan nyata seringkali menjadi tumpuan masyarakat kerana itu yang mudah dan langsung. Naratif Shariati tentang Haji, akan tetapi, amat berbeza. Shariati mengiring kita memahami bahawa Islam, dan Nabi Muhammad sendiri, memperibadikan dua dimensi, yakni dimensi luaran dan dimensi dalaman.
Karya Hajj, yang ditulis Shariati, membincangkan bahawa lebih daripada ritual dan ibadah yang berlangsung dan dilakukan semasa menjalankan Haji. Ianya sisi rohani, malah mistikal. Dan kerana itu, ianya sebuah pengalaman tulen menemukan diri bagi keseluruhan proses dalam memperingati dan menghayati peristiwa tersebut.
Sewaktu melangsungkan ibadah tawaf keliling Kaaba semasa Haji, tiada lagi tingkat darjat sesama manusia. Semuanya sama, tiada diskriminasi, tiada marginalisasi. Setiap insan yang hadir adalah satu; satu bersama manusia, dan bersatu dengan Allah. Masing-masing duduk sama tinggi dan sama rendah, tidak ada yang duduk lebih tinggi daripada lain tidak kira kaum, bangsa, negara, warisan kerabat dan keluarga, jantina dan warna. Ini yang dimaksudkan Shariati sebagai ketunggalan manusia. Faham Shariati tidak jauh daripada apa yang pernah dinyatakan penyajak Parsi, Sa’di, bahwa,
To kaz mehnat-e digaran bi-gami,
Nashayad keh namat nahand Adami
Dalam kesatuan manusia, sekiranya satu bahagian tubuh sakit, bahagian lain akan turut sama berasa sakit. Sebut Shariati “semua adalah satu, dan satu adalah semua.”
Namun, pada masa sama, dalam kesatuan ini adalah perjuangan dan proses bagi mencapai keadilan untuk manusia. Shariati mengajukan kesedaran ini bagi menentang penyalahgunaan kuasa dan penindasan, pengumpulan dan penimbunan kekayaan. Serta menentang akan khianat atas kepercayaan dan sifat penipuan serta hipokrasi segelintir golongan dan kelas manusia.
Maka, menjalankan dan melalui Haji adalah untuk kita bergerak ke arah Allah dalam melaksanakan keadilan seperti mengikut nilai-nilaiNya untuk semua bangsa manusia. Haji bukan semata-mata satu proses dan praktik keagamaan yang bersifat fizikal dan material semata-mata, tetapi memberi serta membawa mereka yang menjalankan dan menghayatinya, sebuah landasan dan hala tuju ke arah kesatuan dan kebaikan, yang disebut Shariati, menuju Tauhid.
Narasi dan penjelasan Shariati tentang Haji bersifat dalam dan revolusioner kerana tidak menegaskan aspek fiqah atau legalistik dan aturan sahaja, tetapi menekankan teras rohani dan erti ke dalam dan intisari peristiwa Haji itu sendiri. Menurut Shariati, Haji dalam menandakan hala tuju membawa kepada “kembali pengikutnya kepada Allah, yang mutlak, yang tiada batasannya dan tiada yang sepertiNya. Untuk kembali kepadaNya bererti suatu gerakan tepat menuju kesempurnaan, kebaikan, keindahan, kuasa, pengetahuan, nilai dan fakta.”
Dengan hanya menerima elemen rohaniah, esensi dan filosofis sebegini, dapat dilepaskan segala kepentingan dan kemahuan yang melekat dengan kita selama di dunia sedia ada ini. Shariati mengungkapkan bahwa aksi penyerahan segalanya termasuklah kehendak peribadi dan sifat egois adalah makna paling dalam yang disampaikan melalui perintah Allah kepada Ibrahim untuk bertindak mengorbankan anaknya, Ismail.
Yang dikorbankan akhirnya, bukan Ismail, tetapi seekor kambing biri-biri. Oleh itu, bagi Shariati, bukan korban biri-biri ataupun “Ismail” itu yang penting, tetapi nilai dan keyakinan manusia untuk menyerahkan segala yang dekat dan penting kepadanya, melampaui yang nyata dan duniawi dan ritualistik demi bersama semula dengan Allah, kebaikan dan keadilan.
Barangkali ini amat berbeza dengan segelintir manusia yang mengejar dan mabuk serta manja dengan kuasa dan kepentingan harta benda dan kekayaan, namun, pada masa sama menekankan dan berjuang seperti membela kepentingan umat dan agama Islam. Shariati ada juga menyatakan, tiada gunanya menjalankan Haji, sekiranya pemimpin yang sedia ada zalim dan menindas diterima sahaja, dan ada golongan malang dalam masyarakat. Yang dikorbankan bukan kambing biri, tetapi mereka yang tertindas dan miskin.