Editorial

#MalaysiaYangMuda merupakan sebuah siri wawancara ringkas mingguan bersama teman-teman lingkungan dan penggerak politik, seni, dan budaya yang berterusan menghidupkan Malaysia serta isi warganya.

Tamu kita, Syafiq Effendi Faliq @ SEFA di ruangan #MalaysiaYangMuda minggu ini, berada nun jauh di negara matahari terbit. Melompat dari latar belakang kejuruteraan ke persembahan, beliau kini sedang mengikuti pengajian pasca sarjana dengan fokus kajian seni Mak Yong. Selain itu, beliau juga merupakan artis mime yang aktif bersama dengan ranah kolektif asli Ipoh, Projek Rabak. Bersamanya kita cuba-cuba bertanya beberapa perkara seputar soal evolusi serta kesan penjajahan dalam pembentukan budaya kontemporari kita, praktik mime seperti apa yang ada di Asia Tenggara serta menuju seratus tahun Projek Rabak. Dengarkan suaranya!

Sefa

MM: Malaysia Muda / SEFA: Syafiq Effendi Faliq

MM: Kalau perhati kajian yang dijalankan Sefa sekarang, boleh dikatakan ‘practice-based’. Tempohari, ada nampak berlatih tarian shimai-Noh dan juga menghadap rebab dalam Mak Yong. Sehinggalah ada berkongsi tentang projek jangka masa panjang dalam menyingkap sisi sejarah pengaruh budaya Cina dalam seni Mak Yong itu sendiri. Dalam memahami konteks praktis Sefa sendiri, mungkin juga boleh berkongsi sedikit sebanyak bagaimana proses pembentukan budaya masyarakat kontemporari hari ini juga serta apa boleh kita belajar dari tradisi leluhur kita yang panjang ini?

SEFA: Semuanya bermula dari perjalanan aku memahami Corporeal Mime melalui pembacaan tulisan-tulisan Etienne Decroux dan bagaimana Corporeal Mime ini terjadi pertengahan kurun ke 20. Antara pengaruh awal yang diterima oleh Decroux sewaktu Théâtre du Vieux-Colombier Vieux-Colombier di Paris antaranya adalah persembahan Noh yang dibikin secara rekonstruksi melalui bahan-bahan bacaan. Kiranya gaya aku belajar Corporeal Mime dengan pendedahan Decroux terhadap Noh tu sama lah; tanpa pembimbing dari bentuk kesenian tu sendiri.

Selepas tu aku cuba nak buat kajian bandingan Corporeal Mime dan Noh waktu pengajian Sarjana Seni Persembahan tahun 2012, tapi penyelia aku (ketika itu), Professor Dato’ Dr. Ghulam-Sarwar kata macam terlalu tinggi sangat untuk dicapai, ditambahkan pula tak didukung oleh mana-mana geran akademik, kos sudah tentu sangat tinggi untuk bikin kajian sebgitu. Selepas itu, aku sambung dan cari seni persembahan lain yang dekat dengan konsep mime berasal dari Barat. Aku jumpa Wayang Topeng Pedalangan di Jogjakarta. Aku lebih berminat waktu itu untuk mengkaji sistem pembentukan bahasa badan dalam seni persembahan tradisional dan minat nampaknya masih lagi kekal hingga ke kajian terkini iaitu membuat kajian perbandingan Noh dan Mak Yong menerusi teknologi ‘Motion Capture’.

Baru-baru ni aku jumpa ‘jalan pulang’ untuk kajian aku dan faham tugas yang seterusnya untuk penjelajahan akan datang, adalah melalui pemahaman terhadap teori-teori evolusi budaya. Teori dan pendekatan ni belum lagi popular dan masih lagi berkembang kerana memerlukan pendekatan multi-disiplin dalam pelbagai bidang; antropologi, koreologi, sosiologi, dan macam-macam -logi lagi yang harus berganding bahu untuk membuka lembaran pemahaman yang lebih ampuh dalam memahami hakikat proses evolusi budaya manusia.

Realitinya, perkembangan budaya kita direncatkan oleh penjajahan Barat. Barat bukan sahaja berjaya merencatkan budaya tradisi kita, malah ia merebak hingga ke hal-hal lain dalam masyarakat. Apa yang boleh aku simpulkan berdasarkan kajian sekarang ni adalah, seni budaya itu berkait rapat dengan sumber kapital; duit, pengaruh sosial, rangkaian sosial dan ekonomi. Seni budaya akan berkembang dengan pesat jika ia lebih dekat dengan sumber kapital, dalam konteks ini aku merujuk hubungan seni budaya dengan golongan yang memegang atau mempunyai sumber kapital iaitu Menteri, sultan-sultan dan pemerintah secara amnya.

Kolonialisasi menyebabkan jatidiri golongan ini lebih menjauh dari seni dan budaya tempatan terutama setelah mereka menikmati kemewahan yang ‘disediakan’ oleh barat dan juga pendidikan yang mereka terima pula sudah tentunya berpaksikan Barat. Disebabkan mereka ini ‘diperuntukkan’ untuk memegang tampuk kuasa, maka mereka tidak perlu terlalu beri endah kepada hal-hal seni budaya tidak seperti 100 tahun lalu. Jadi seni budaya kita hari ini telah kembali ke tangan rakyat-rakyat marhaen. Bagi aku ia ada baik dan buruknya. Baiknya adalah, penghasilan seni budaya itu akan lebih dekat dengan naratif tempatan. Ini kita boleh nampak dengan perkembangan seni kontemporari khususnya yang berkembang tanpa bantuan dari mana-mana pihak pun terutama yang memegang sumber kapital. Buruknya adalah selalunya ia tidak akan bertahan. Setelah habis zaman dan hilang generasi tu, maka tak ada lagi pendukung dalam generasi seterusnya, jadi kita akan putus ‘sanad’.

Seni tradisi kita ada yang bernasib baik sebab ia juga memenuhi keperluan rakyat-rakyat marhaen, bukan sekadar hiburan untuk para pelancong. Macam Mak Yong, selain berfungsi sebagai hiburan, kebanyakan mereka akan gunakan fungsi perubatan secara spiritual. Selagi pegangan dan budaya melayu ni masih berguna untuk penghidupan rakyat marhaen, maka seni tradisi seperti Mak Yong ini akan terus hidup.

Jika tak ada fungsi yang mendatangkan kebaikan seperti ni, maka kesenian apa pun yang datang akan luput ditelan zaman sebab secara jujurnya kolonialisasi menjahanamkan tanggapan dan pegangan akar budaya kita terhadap seni budaya. Jadi kita sentiasa akan jadi budak suruhan, membekalkan robot-robot di kilang-kilang yang kemudiannya menyiapkan produk-produk ini untuk dipasarkan di peringkat antarabangsa; hal yang mengenyangkan kapitalis-kapitalis bekas tuan kolonial kita dahulu, sudah tentunya.

Tapi apa-apa pun, dalam teori evolusi budaya, kita ada terma ‘mutasi’ dalam proses evolusi budaya. Mereka inilah mangkuk-mangkuk, kutu-kutu yang timbul dari semangat ingin bikin sesuatu dan meredah jalan-jalan berisiko demi sebuah pengharapan yang murni dari segi semangat dan juga iltizam hidup; mereka inilah hero-hero yang datang dalam bentuk orang perseorangan, kolektif, atau organisasi yang menggegarkan budaya setempat. Kita perlukan mutasi-mutasi begini lagi dalam Malaysia untuk kekal waras.

Kenapa ada sisi praktikal dalam kajian aku? Satu, sebab nak bagi pengalaman baru pada memori otot badan sendiri. Satu lagi sebab aku tak ada duit nak upah penari-penari professional dalam sesi rakaman ‘motion capture’. LOL.

MM: Sebagai pengamal mime sendiri, bagaimana Sefa melihat disiplin seninya berkembang sedari dulu? Apakah wujud cara dan elemen mime yang lain di dalam konteks rantau kita di Asia Tenggara ini?

SEFA: Mime sebenarnya membuka ruang untuk pelbagai kemungkinan dalam seni kontemporari. Jika difikirkan, bagaimana Zeami yang hidup waktu zaman Muromachi kurun ke 13 di Jepun memberi inspirasi kemudiannya kepada Decroux di kurun ke 20 lalu menemukan Marcel Marceau dan akhirnya memindahkan baton tersebut kepada Michael Jackson dengan ‘Moonwalk’ buat pertama kali tahun 1983 menerusi rancangan Motown 25: Yesterday, Today, Forever.

Bila aku sebut macam ni, orang mungkin rasa jengkel, tapi itu adalah hakikatnya. Tamadun manusia dibina menerusi pemikiran kolektif. Kita tak tahu macam mana nak hidupkan api, melainkan ia diajarkan kepada kita oleh mak atau ayah, yang juga mendapatkannya menerusi ayah serta mak mereka waktu mereka kecil dahulu. Kita tidak bikin kereta dengan sebuah ilham yang jatuh dari langit, ia menerusi evolusi budaya sedikit demi sedikit berdasarkan penciptaan komponen-komponen yang dibuat oleh generasi sebelumnya.

Sekarang ini dengan capaian yang lebih pantas menerusi zaman internet, pengaruh-pengaruh mime dah tentu meresap ke segenap lapisan masyarakat, cuma kita belum nampak impak dalam budaya popular dengan lebih jelas. Jadi setiap kali aku buat persembahan, tak fokus pada persembahan sahaja, aku mengharapkan ada sesuatu yang dibawak balik oleh mana-mana penonton yang tengok waktu tu. Tak perlu sedozen, seorang pun dah cukup.

Kadang, kita tak tahu mungkin lepas persembahan tu boleh ‘trigger’ dia untuk bikin sesuatu baik dalam medium yang sama atau cuma nak jadi manusia yang lebih baik. Sebab tu setiap persembahan aku cuba buat sesuatu yang berbeza. Jarang sangat pakai karya yang sama melainkan kebarangkalian demografi penonton yang datang mungkin ‘tak bersedia’ dengan material baru.

Masa bikin Sarjana Seni Persembahan, antara sebab Wayang Topeng Pedalangan diambil sebagai subjek adalah kerana ia boleh dianggap sebagai ‘mime’ versi Asia Tenggara. Kebanyakan bentuk ‘mime’ di Asia Tenggara menggunakan topeng sebagai satu ciri persembahan yang penting. Khon di Thailand juga begitu. Disebabkan penggunaan topeng lebih meluas, maka selalunya ucap dialog dibikin oleh orang lain atau dibikin dengan lebih terhad berbanding bentuk persembahan tanpa topeng. Jika topeng dan dialog menjadi ciri utama, adakalanya rekabentuk topeng akan diubah untuk memenuhi keperluan persembahan, dan ini kita boleh lihat dalam persembahan Awang Batil di Perlis.

MM: Projek Rabak genap sedekad pada tahun 2021 nanti. Seperti apa Projek Rabak 10 atau 100 tahun mendatang agak-agaknya?

SEFA: Projek Rabak sejak penubuhannya hampir 10 tahun lalu cuma nak bikin satu; pecah tembok dan pecut selaju keretapi shinkansen. Dalam masa yang sama merayakan kehidupan, orang-orang sekeliling dan jadi ‘decent human being’. Untuk hal-hal ke depan, kami cuma merangkai luar dari lingkungan Malaysia dan ini memang dalam proses terutama dengan adanya Kedutaan Ipoh di ruang Gudskul, Jakarta Selatan. Asal idea Kedutaan Ipoh di sana adalah sebagai platform untuk Rabak dan kawan-kawan bikin usahasama yang lebih bernafas antarabangsa. Harapnya dengan usahasama yang semacam tu, kita boleh bikin hal-hal yang lebih baru, memecah lebih banyak tembok.

100 tahun lagi?

Ha ha ha. Kami cuba fokus apa yang kami boleh bikin sekarang dan yang logik tercapai dengan rangkaian yang ada sekarang. Rasanya untuk 100 tahun lagi, cukuplah sekadar kalau ada yang terbaca nama Projek Rabak, bagi kesan untuk diorang bikin sesuatu yang bermakna dalam hidup, walaupun cuma dalam bentuk bikin teh tarik terbaik untuk pelanggan tetap mereka di warung-warung ceruk Malaysia!