Editorial
#MalaysiaYangMuda merupakan sebuah siri wawancara ringkas mingguan bersama teman-teman lingkungan dan penggerak politik, seni, dan budaya yang berterusan menghidupkan Malaysia serta isi warganya.
Temubual minggu ini, genap 18 orang sosok yang sudah kami santuni di dalam siri yang panjang ini. Tanpa melengahkan masa, ingin kami di sidang editorial memperkenalkan Sharifah Nursyahidah – seorang sarjana yang sedang menyiapkan kajian PhD-nya di Universiti Sains Malaysia. Sekaligus, beliau juga merupakan aktivis bersama pergerakan buruh Sosialis Alternatif.
Lewat wawancara ini, kami cuba menebak apa yang ada di dalam fikirannya saat sering keluar mengembara dan merantau. Sungguh, kembaranya bersimpang-siur dengan spektrum kajiannya yang cukup meluas, dari budaya pop Korea Selatan, sehinggalah jaringan transnasionalisme punk di rantau kita. Jemput teruskan kembara bacaannya bersama kami!

MM: Malaysia Muda / SN: Sharifah Nursyahidah
MM: Mengikuti tulisan Sharifah di dalam Kaki Jalan; menyertai persidangan kesatuan buruh serta kajian etnografik melihat dinamika perkembangan hubungan buruh di rantau ini – seakan-akan sebuah bentuk catatan yang bolehlah dikatakan kembara atau merantau berunsurkan politik (political tourism). Motivasi seperti apa yang menggerakkan Sharifah dalam mencatat pengalaman kembara? Dan dengan suasana Covid19 sekarang, bagaimana kita mendefinisikan semula apa itu kembara?
SN: Ada tiga tahap yang mungkin mendorong catatan-catatan tersebut atau transisi diri saya. Pertama, dari saya kecil lagi, saya telah diasuh secara tidak langsung oleh bapa saya untuk menjadi seorang pemerhati dan pencatat. Setiap kali kami melakukan pengembaraan, bapa saya akan menceritakan tentang sejarah dan isu politik tempat-tempat yang dilawati. Dari situ saya belajar bahawa pencatat yang baik adalah pemerhati yang baik. Di samping itu, satu hal yang juga penting dalam catatan kembara adalah membuatkan para pembaca terprovokasi ingin pergi ke tempat tersebut. Walau bagaimanapun, pada tahap ini, saya belum lagi tergerak untuk menulis. Saya hanya menikmati perjalanan, kerana sifat ingin tahu dan mendengar cerita lisan bapa saya.
Kedua, penglibatan saya sendiri dalam aktivisme membuatkan saya mahu berkongsi kepada seramai orang yang boleh bahawa perjuangan, penderitaan dan masalah di satu-satu tempat juga berlaku di tempat-tempat lain. Kapitalisme yang ada di satu sudut dunia juga terjadi di satu sudut lain. Tulisan-tulisan saya sama ada catatan kembara yang digolongkan sebagai ‘political tourism’ atau tulisan akademik memberikan tumpuan dan solidariti terhadap “orang-orang kecil” seperti kelas pekerja. Mungkin hal ini bolehlah disifatkan sebagai “perjalanan kembara” saya sendiri untuk membentuk dan menjadi seorang aktivis-sarjana (scholar-activist) yang hendak mencari penjajaran antara kerja-kerja akademik dengan cita-cita politik melalui hubungan dengan kumpulan-kumpulan marjinal atau orang-orang yang sedang berjuang. Sederhananya, dorongan catatan-catatan saya adalah gambaran untuk merapatkan sarjana yang duduk di menara gading dengan aktivis yang membumi dan turun ke bawah.
Ketiga, Pramoedya Ananta Toer. Ideologi saya adalah Pramis. Menulis itu ideologis. Pram menggerakkan saya untuk mencatat pengalaman kembara. Tetraloginya membuatkan saya tersentak dan menyedari tentang kepentingan untuk mendokumentasikan setiap perjalanan saya. Apatah lagi, tempat-tempat yang dikunjungi oleh saya adalah tempat-tempat yang mungkin dianggap sebagai tidak konvensional seperti Kalimantan. Rugi jika pengalaman kembara tidak didokumentasikan kerana ia pasti akan bermanfaat satu hari nanti. Pesan Pram, “Orang boleh pandai setinggi langit, tapi selama ia tidak menulis, ia akan hilang dalam masyarakat dan dari sejarah. Menulis adalah bekerja untuk keabadian”. Ketika saya ingin melihat hubungan buruh di Sabah, Sarawak dan Kalimantan, saya sendiri mengalami kesukaran untuk menjejaki kesatuan sekerja kerana kurang dokumentasi mengenainya. Cabaran inilah yang semakin membuatkan saya tekad tentang kepentingan dokumentasi walaupun sekadar pengalaman kembara. Pada waktu ini, saya dalam proses untuk menyiapkan kedua-dua kajian dan travelog Trans-Kalimantan saya.
Wabak Covid-19 mengubah kehidupan kita dan persoalan besar yang dihadapi sekarang adalah bagaimana kita boleh mengembara lagi. Mengembara dalam negara juga ada risikonya. Kembara memang adalah cara penting untuk menghubungkan minat dan identiti kita. Tetapi, tampaknya kita harus mendefinisikan semula kembara sebagai “melakukan pengalaman-pengalaman baharu tanpa tiket pesawat dan pasport”. Ada cadangan untuk menggunakan teknologi realiti maya. Ini mungkin salah satu cara. Namun, saya fikir ini tidak mencukupi. Mungkin seseorang boleh “mengembara” lewat membaca, menulis, belajar bahasa baharu, belajar bahasa isyarat, belajar memasak dan sebagainya. Pengalaman-pengalaman baharu ini akan bermanfaat untuk sekarang dan selepas wabak berakhir untuk pengembaraan seterusnya.
MM: Berbalik kepada projek kajian Sharifah sekarang yang melihat hubungan buruh di Kalimantan, seperti apa suasana gerakan buruh di sana sekarang? Dan bagaimana ianya mempengaruhi atau mempunyai keberkaitan di antara kedua-dua belah sempadan di Malaysia dan Indonesia? Bagaimana idea gerakan buruh bergerak melintas sempadan di kedua-dua negara?
SN: Kajian saya sebenarnya membandingkan kesatuan-kesatuan sekerja di Sabah dan Sarawak (Borneo Malaysia) dengan Kalimantan (Borneo Indonesia). Saya berpendapat bahawa istilah kesatuan sekerja lebih sesuai digunakan di sini. Secara ringkasnya, terdapat dua kategori kesatuan sekerja. Pertama, kesatuan sekerja tulen (berjuang untuk kebajikan pekerja). Kedua, kesatuan sekerja kuning (kesatuan sekerja yang tidak mandiri, dipengaruhi oleh majikan). Walau bagaimanapun, gerakan buruh merangkumi perjuangan yang lebih besar sebagai alat perubahan dan faham mengenai perjuangan “kelas” pekerja. Gerakan buruh juga lebih dekat dengan keterkaitan dinamika politik. Oleh yang demikian, boleh dikatakan bahawa gerakan buruh adalah pada tahap apabila ada ideologi dan hasrat untuk melawan kapitalisme.
Dalam konteks kajian saya pula, kesatuan-kesatuan sekerja di Sabah, Sarawak dan Kalimantan belumlah dapat digolongkan sebagai gerakan buruh. Mereka lebih menumpukan persoalan-persoalan di tempat kerja dan isu-isu normatif seperti gaji. Tetapi, tidak dapat dinafikan bahawa ada potensi untuk mereka berkembang menjadi gerakan buruh. Kesatuan-kesatuan sekerja di kedua-dua Borneo memang mempunyai dinamika yang berbeza walaupun ada kedekatan dari segi demografi dan geografi. Secara umumnya, kesatuan-kesatuan sekerja di Borneo Malaysia tidak mengikuti trend nasional (Semenanjung Malaysia), manakala kesatuan-kesatuan sekerja di Borneo Indonesia mengikuti trend nasional (Jawa). Trend nasional ini pula boleh diertikan dalam pelbagai bentuk seperti keanggotaan dan aktivisme kesatuan sekerja. Pada masa sama, kesedaran berkesatuan dan hak-hak pekerja juga masih pada tahap yang rendah jika ingin dibandingkan pula dengan Semenanjung Malaysia dan Jawa.
Sabah, Sarawak dan Kalimantan memang saling bersempadan. Kerjasama transnasional ada dilakukan melalui bengkel kesatuan sekerja dan penyataan bersama. Namun, faktor geografi, akses terbatas dan prasarana yang minimal menyukarkan hubungan dan pengaruh antara kesatuan-kesatuan sekerja ini. Boleh dikatakan bahawa kesatuan sekerja yang berada di hujung utara Sabah tidak mengetahui dengan baik kesatuan sekerja yang berada di hujung Kalimantan Barat. Sabah, Sarawak dan Kalimantan sangatlah luas. Walau bagaimanapun, jika ibu kota Jakarta benar-benar pindah di Kutai Kartanegara dan Penajam Paser Utara, Kalimantan Timur, meskipun saya menolak pemindahan ini, saya percaya hubungan kesatuan-kesatuan sekerja di kedua-dua Borneo akan lebih baik dan rancak berbanding dengan sebelumnya.
Bicara tentang sempadan, ada dua perkara yang menarik di sini. Pertama, banyak syarikat Malaysia yang menanamkan modal di Kalimantan (khususnya di sektor kelapa sawit). Kedua, sebahagian pekerja migran di Sabah dan Sarawak pula adalah dari Kalimantan (sama ada mempunyai dokumen atau tidak ada dokumen). Lanjutan daripada itu, ada keterikatan sosiopolitik dan ekonomi dan saling memerlukan antara kedua-duanya. Tetapi, perkara-perkara ini juga bercanggah dengan hak-hak asasi manusia dan alam sekitar. Kedua-duanya memiliki isu-isu penindasan pekerja dan kesatuan sekerja, perampasan tanah masyarakat adat, masalah jerebu, kemusnahan hutan dan pembunuhan haiwan. Walau bagaimanapun, oleh kerana kesatuan-kesatuan sekerja di kedua-dua Borneo belum berkembang menjadi gerakan buruh yang berjaya melintasi “sempadan-sempadan” solidariti organik, isu-isu yang disebutkan tadi sulit untuk menjadi isu massa.

MM: Kembara atau merantau sekaligus membuka kemungkinan interaksi yang cukup luas – dengan warganya serta ruang idea, antara lainnya. Dan ini dimanifestasi lewat ruang-ruang yang cukup akrab dikunjungi Sharifah sendiri misalnya pusat gerakan seni dan jaringan perburuhan. Mungkin boleh kongsikan dengan kami sedikit sebanyak bagaimana ianya mempengaruhi Sharifah secara peribadi sewaktu “berjalan”?
SN: Perjalanan saya memperkenalkan saya kepada ramai orang dan pelbagai jaringan. Semakin dekat saya dengan kawan-kawan di lingkungan seni, pekerja dan aktivisme, semakin saya faham mengenai perjuangan dan isu-isu yang dihadapi oleh mereka. Orang-orang mengetahui atas permukaan sahaja melalui buku, media sosial atau Internet, tetapi saya mendapat sedikit kelebihan kerana tahu secara langsung daripada orang-orang yang terlibat. Saya juga belajar budaya-budaya baharu yang berbeza dengan tempat saya sendiri.
Secara peribadi, saya juga menjadi lebih terbuka. Tinggal di rumah kawan punk dan kawan aktivis adalah sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh saya sebelum pengembaraan pertama saya. Kesannya, semakin banyak saya “berjalan”, semakin saya menyerap dalam “bunuh diri kelas”. Saya tidak ingin mengidentifikasikan diri saya sebagai kelas menengah. Gaya hidup saya semakin minimalis. Cara berfikir saya dalam menganalisis masyarakat juga berubah.
Tambahan pula, tidak kira di mana sahaja saya pergi, orang-orang yang saya jumpa telah memberikan kesan kepada kehidupan saya. Keramahan mereka mengajar saya untuk lebih menjadi orang yang rendah diri dan penuh dengan belas kasihan. Perkara-perkara seperti inilah yang membuatkan saya mentakrifkan semula makna kehidupan saya.
Walau bagaimanapun, oleh kerana jaringan yang semakin luas ini, saya juga menjadi semakin berwaspada. Semakin banyak tempat yang saya pergi, semakin saya berhati-hati. Hal ini kerana kawan-kawan di lingkungan seni, pekerja dan aktivisme juga tidak lepas daripada politik. Mereka sudah tentu diperhatikan oleh Negara. Oleh sebab itu, saya lebih peka terhadap pertemanan dan rancangan perjalanan saya.