Sidang Redaksi Jentayu

“Kita tidak boleh bersikap neutral di atas keretapi yang sedang bergerak,” …. sesetengah peristiwa sedang menuju kebinasaan, dan untuk menjadi neutral adalah untuk pasrah dengan kebinasaan.”
― Howard Zinn, You Can’t Be Neutral on a Moving Train: A Personal History of Our Times

Kempen #PauseMalaysia riuh di media nasional serta media sosial, lebih-lebih lagi di Twitter. Ramai yang mendukungnya dan juga kritikal terhadap hala tujunya, dengan tuntutan untuk dijalankan aksi massa pula. Kempen mempunyai tiga tuntutan: gencatan senjata di antara semua parti politik, tidak menjalankan pilihanraya sehingga pandemik Covid-19 mereda, dan untuk semua daya politik untuk bersama bagi membaik-pulih kebajikan rakyat Malaysia.

Apa yang lebih membingungkan dengan tuntutan ini adalah ianya berlaku sama waktu sewaktu jiran-jiran kita sedang memperjuangkan sesuatu yang heroik. Gerakan mahasiswa di Thailand terus melakukan protes menolak tatanan junta ketenteraan. Gerakan buruh di Indonesia pula berdepan dengan pendekaman yang zalim di tangan polis ketika berani bangkit memprotes undang-undang yang akan menindas hak pekerja. Semuanya berlangsung ketika pandemik sedang berjalan.

#PauseMalaysia bertitik-tolak dari kepercayaan kepada ahli politik yang semakin menurun, dan ianya sesuatu yang berpadanan. Bermula dari pandemik serta kudeta Muhyiddin, ahli politik kita, lebih-lebih dari PN, gabungan yang memerintah sekarang, berterusan bermain politik dengan mengenepikan keperluan rakyat terbanyak. Apa yang diperlukan warga terbanyak adalah perlindungan gaji, kerja yang stabil, kebajikan menyeluruh, pembekuan bayaran sewa serta sumber kesihatan yang padu.

Pun begitu, ahli politik terus meniup api perkauman dan xenofobia untuk memenangi pilihanraya kecil, serta menyerang dan menangkap aktivis seta pekerja migran. Lagak ahli politik seakan-akan mereka tidak termaktub di bawah undang-undang serta tidak berdepan dengan apa-apa kesan jika melanggar sebarang peraturan kesihataan saatnya warga kebanyakan berdepan penjara dari kesalah yang sama. Selepas menafikan warga Sabah untuk mengundi dengan selamat melalui pos ketika pilihanraya lalu, sikap tidak bertanggungjawab ahli politik sewaktu berkempen sekaligus mengakibatkan penularan kedua Covid-19 di Semenanjung.

Kami merasakan ianya sesuatu yang sia-sia bahawa #PauseMalaysia tidak membuat tuntutan yang jelas. Rakyat tahu bahawa tidak akan ada ‘gencatan politik’ yang nyata. Jelas, ada pertelingkahan di antara PN, PH serta parti lain yang tidak dapat diselesaikan lewat gencatan. Rasuah, tipu-daya, polisi yang merosakkan serta sikap acuh tidak acuh akan tetap berlangsung. Lapan bulan yang berlalu menunjukkan bahawa tidak ada jalan lain bagi memastikan kerajaan memerintah untuk ‘menambah baik kebajikan kita’ selain dari berterusan mencabar dan menekan mereka.

Kita perlu menyuarakan tuntutan jelas dengan perspektif kelas pekerja bagi melawan kerajaan yang anti kepada rakyat miskin serta rasis sebegini. Tuntutan soal ‘makan-minum’ seharian supaya kita dapat merungkai permasalahan yang dihadapi orang kebanyakan. Malaysia tidak lagi boleh meneruskan dengan cara lama. Warganya perlu mempunyai sudut pandang sebuah masyarakat yang adil untuk kita jayakan, sepertimana teman-teman kita di Thailand dan Indonesia fahami.

Kami sedar ramai yang progresif di MUDA mengetahui akan hal ini, dan kita mendesak mereka melakukannya dengan lebih baik. Kita tidak boleh #PauseMalaysia. Kita perlu bersama menggerakkan, memaksa kerajaan untuk bertindak. MUDA boleh bersama dan menggerakkan perjuangan, namun jika mempunyai idea yang jelas bagaimana perubahan sebenar boleh dijayakan.