Editorial

#MalaysiaYangMuda merupakan sebuah siri wawancara ringkas mingguan bersama teman-teman lingkungan dan penggerak politik, seni, dan budaya yang berterusan menghidupkan Malaysia serta isi warganya.

Bersama tamu kedua puluh kita minggu ini di #MalaysiaYangMuda, kami bersama Fairuzzaman Shaharuddin, seorang penyelidik yang sedang menyiapkan kajian PhD-nya jauh di Jerman kini. Fokus kajiannya cukup rencam meliputi sosiologi politik, budaya pop serta teori politik. Pun begitu, lewat wawancara ini, kita menyelam tentang kajian tumpuannya yang melihat kepada perkembangan satira politik di Malaysia. Tiga soalan berkaitan satira kami ujarkan pada beliau dalam memahami bentuk satira, peranan Bahasa Melayu dalam budaya satira dan apakah satira itu jenayah? Apa-apa pun, lanjutlah membaca dan bersatiralah bila perlu!

Gambar Fairuzzaman Shaharuddin minum kopi (?) yang belum disatirakan lagi!

MM: Malaysia Muda / FS: Fairuzzaman Shaharuddin

MM: Satira tidak asing lagi di dalam masyarakat kita. Buku terlaris serta yang paling banyak dicetak rompak, SHIT oleh SN Shahnon Ahmad adalah beberapa buktinya. Bahkan, melihat kepada seloka, cerita rakyat, hikayat tradisional juga disadur apa yang difahami sebagai satira hari ini. Pun begitu, seakan-akan ada pertimbangan yang perlu difahami di antara satira dengan kebebasan bersuara. Bagaimana kita mahu memperhalusi hal ini di dalam konteks Malaysia yang mempunyai taboo-nya yang tersendiri?

FS: Ya, sememangnya satira perlu difahami melalui beberapa konteks. Dalam hal ini kita perlu bezakan satira yang datang daripada pengalaman Barat dan juga Timur; khususnya di Malaysia dan lebih rinci lagi; dalam tradisi Melayu. Jika kita melihat halaman awal novelet SHIT oleh SN Shahnon Ahmad, beliau ada menyatakan bahawa novelet itu adalah sebuah satira juvenal yang keras dan diterjemah dalam bentuk scatology atau; yang berelemen najis. Ini jelas untuk melambangkan keadaan busuk dan kotor yang sering melatari amalan (serta sosok) politik.

Jika kita mengkaji satira, sarjana mengkelaskannya kepada dua bentuk iaitu Juvenal dan Horatia. Satira Juvenal terkenal dengan ‘kekerasannya’ manakala Horatia terkenal dengan ‘kelembutannya’. Seperti contoh, kita dapat ‘rasakan’ nuansa yang berbeza antara novelet SHIT oleh Shahnon dan Putera Gunung Tahan oleh Pak Sako. Namun kedua-duanya mempunyai tujuan yang sama; untuk menempelak, menghina, menyindir dan mengutuk subjek atau individu tertentu.

Bagi saya, satira antara Barat dan Timur perlu diteliti melalui konteks sejarah dan falsafahnya. Satira Barat muncul sejak daripada zaman Graeco-Roman, malah perkataan satira itu datang daripada istilah ‘lanx satura’ yang membawa maksud ‘hidangan yang penuh’. Hidangan ini adalah untuk para dewa-dewi yang mengandungi pelbagai jenis makanan. Justeru, satira ini digambarkan sebagai sebuah ‘dulang’ yang mengandungi pelbagai jenis bentuk; wit, humor, sarcasm, sardon, lampoon dan lain-lain.

Zaman Pencerahan dan Zaman Reformasi di Eropah banyak menyumbang kepada pembentukan pemikiran mereka. Pada zaman Reformasi, satira banyak digunakan oleh penyindir (satirist) untuk menyampaikan agenda Reformasi. Ini berikutan ramai dalam kalangan masyarakat pada waktu ini tidak mempunyai kebolehan membaca. Justeru, satira dijelmakan dalam bentuk imej yang mengolok-olok penguasa, dengan demikian mesejnya lebih mudah difahami oleh orang ramai. Peristiwa Reformasi juga menyaksikan agama Kristian Katolik ‘dibebaskan’ daripada belenggu monarki dan elit agamawan, justeru hal ini secara langsung telah membentuk sifat-sifat Individualisme dalam kalangan masyarakat di Eropah.

Manakala pengalaman sedemikian tidak berlaku dalam ranah Alam Melayu. Malah, monarki, agama dan masyarakat sememangnya membentuk sebuah politi yang unik dari dahulu sehingga sekarang. Bahkan, institusi agama yang terbentuk pada hari ini juga bertunjangkan kepada kekuasaan Sultan dan Raja.

Dalam amalan Melayu, sindiran, perlian atau jenaka kebanyakannya digunakan untuk menyampaikan nasihat atau didaktif. ‘Serangan’ terhadap individu yang lain itu perlu berlapik untuk menjaga air muka seseorang daripada menerima malu. Air muka seseorang ini perlu dijaga disebabkan ia melibatkan ramai pihak, khasnya guru, ibu bapa, anak-anak, komuniti dan lain-lain. Bagi saya, perbezaan besar antara satira Barat dan Timur boleh dilihat daripada segi budaya ‘Individualism’ dan ‘Collectivism’.

Disinilah yang dapat kita lihat apabila berbicara mengenai satira, kebebasan bersuara dan ‘taboo’ dalam masyarakat Malaysia. Bagi saya, memang wujud ‘taboo’ dalam satira, khususnya apabila kita sandarkan kepada ‘perkara-perkara sensitif’ yang telah digarisi oleh pemerintah iaitu; agama Islam, Kedudukan Istimewa orang Melayu dan hak kaum-kaum lain yang sah, Institusi Beraja, Bahasa Melayu serta Kontrak Sosial.

Perkara-perkara sensitif ini – pada pandangan penguasa – jika disatirakan, dilihat seolah-olah ‘mempersendakan’ atau mencabar kestabilan serta keharmonian dalam negara yang berbilang masyarakat secara kolektif. Memang wujud satira pada zaman dahulu khususnya melalui seloka, pantun, hikayat tradisional, wayang kulit dan lain-lain, tetapi ianya berlapik dan tidak terlalu ketara. Malah, adakalanya satira disadur dalam bentuk dongeng binatang seperti kisah Sang Kancil. Kemudian, bagi saya perkara yang ditakrifkan ‘sensitif’ seperti yang kita fahami pada waktu ini belum wujud pada waktu itu. Malah, satira kebanyakannya berlegar dalam bentuk tradisi lisan; contohnya melalui cerita Pak Pandir di Malaysia dan Indonesia. Bukan itu sahaja, malah di Laos juga wujud watak ‘trickster’ seperti Xiang Miang yang menyindir raja dan agamawan, tetapi digunakan dengan cara yang amat halus dan menghiburkan.

Idea mengenai kebebasan bersuara ini sudah tentu berkait rapat dengan struktur politik moden berbanding tradisional. Di Malaysia, para sarjana dan penguasa rata-ratanya bersetuju mengenai had-had tertentu terhadap kebebasan bersuara. Hal ini sudah tentu berbalik kepada fabrik sosial yang rencam dan persoalan identiti nasional yang masih belum selesai.

MM: Lanjut dari hal itu, satira tidak dapat dipisahkan dari perkembangan dan kecanggihan bahasa itu sendiri. Bahkan, satira di dalam bahasa Melayu, barangkali dipandang lebih merbahaya dan strategik dari lain-lain bahasa di Malaysia. Mengapa?

FS: Memang soal bahasa itu berkait dengan persoalan kuasa. Malah, bahasa itu mempunyai sifat yang diskursif. Bahasa seperti yang kita ketahui boleh dipecahkan kepada bahasa tulisan dan bukan tulisan. Malah, jika kita melihat satira yang kadang-kadang diterjemah melalui simbol, imej atau anekdot ia juga mempunyai kuasa tertentu untuk digunakan untuk tujuan-tujuan khusus. Pada pandangan saya, soal Bahasa Melayu ini boleh kita lihat sekurang-kurangnya kepada tiga hal; pertama, Bahasa Melayu sebagai alat komunikasi; kedua, Bahasa Melayu sebagai simbol identiti orang Melayu dan ketiga, Bahasa Melayu sebagai simbol penyatuan antara kaum. Namun begitu, saya mahu memberi tumpuan kepada hal pertama; yang saya rasakan lebih menepati intipati soalan.

Apabila kita bercakap daripada sisi Bahasa Melayu sebagai alat komunikasi, sudah tentu satira – khususnya satira politik –  boleh dianggap sebagai berbahaya khasnya terhadap kekuasaan. Satira, kata para sarjana, menyampaikan kebenaran secara ringkas terhadap sesebuah hal yang absurd. Justeru satira adalah sebuah reaksi sinikal yang menggambarkan sesebuah keadaan yang dirasakan ‘mengarut’. Bahasa Melayu pula digunakan sebagai alat komunikasi yang memudahkan masyarakat untuk memahami mesej yang cuba disampaikan.

Satira perlu difahami dengan konteks. Oleh hal yang demikian, bagi saya, bahasa cuma pemudah cara untuk seseorang memahami satira yang cuba disampaikan. Saya ambil contoh di Jerman, meskipun sesebuah imej satira itu tidak menyatakan sebarang teks; ianya masih sukar difahami jika kita tidak cakna dengan konteks yang berlaku disebaliknya. Begitu juga dengan satira yang ditunjukkan dalam majalah Gila-Gila pada tahun 90an, mungkin generasi pada waktu ini tidak dapat memahami mesej yang disampaikan akibat konteks yang berbeza dengan zaman sekarang—sekalipun satira itu disertakan dengan teks Bahasa Melayu. Memang tafsiran sesebuah karya seni lazimnya ‘dipulangkan’ kepada audiens, tetapi dalam konteks satira saya berpendapat ada subjek jelas yang cuba disindir dan ianya memerlukan kefahaman konteks yang khusus.

Mungkin satira dalam Bahasa Melayu dianggap lebih berbahaya disebabkan audiens mampu mengaitkannya dengan pengalaman peribadi. Kita ambil contoh sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang pernah mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat pada tahun 90an. Hal ini kerana bahasa yang digunakan sangat mudah dan jalan cerita yang dekat dengan kehidupan seharian. Dalam sitkom ini, Bahasa Melayu banyak membantu audiens daripada segi kefahaman konteks.

MM: Ada percubaan untuk memandang satira sebagai satu jenayah, lewat pelbagai jenis Akta, misalannya menerusi Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) serta aktiviti penapisan yang sering berlaku pada karya-karya kreatif. Setakat mana ‘menjenayahkan’ satira dapat membungkam bentuk sastera ini? Atau, barangkali ia bahkan menguatkan lagi bentuk pengkaryaan yang sebegini?

FS: Harus diakui, memang ada cubaan untuk melihat satira sebagai jenayah; dan dalam hal ini melalui akta yang dinyatakan tadi. Tetapi pada saya, penggunaan akta tersebut mungkin lebih tertumpu kepada kepada satira atas talian (online) yang semakin popular sejak penggunaan internet menjadi rancak. Hakikatnya, pada hemat saya penggunaan Akta Hasutan (1948) dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (1984), Akta Penapisan Filem (2002),  Garis Panduan Penerbitan TV, Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam (2015) mungkin terlebih dahulu menjadi asas kepada ‘penapisan’ aktiviti satira khususnya yang dianggap ‘mengancam’ keharmonian masyarakat. Malah, Dasar Kebudayaan Kebangsaan (1973) juga menjadi sebuah acuan yang ‘patut’ diikuti untuk menggambarkan kebudayaan nasional. Mudahnya, peranan institusi begitu besar dalam membentuk naratif arus perdana, atau apa yang pernah dikatakan oleh Shamsul AB sebagai ‘authoritatively define’.

Mungkin akar permasalahannya adalah kelompongan dalam memberikan sebuah definisi yang jelas mengenai ‘satira’ itu sendiri. Adakalanya, berita palsu juga dianggap sebagai sebuah satira. Seperti kita lihat, ada pendapat di Twitter menyatakan akaun @Bermana menyampaikan berita palsu. Bagi saya tanggapan ini kurang tepat, akaun yang menyerupai agensi berita nasional Bernama itu sepatutnya ditakrifkan sebagai parodi. Di Singapura, kerajaannya berpendapat satira adalah berbeza dengan berita palsu. Manakala dalam konteks Malaysia pula, satira secara sekaligus dianggap tidak sesuai dengan budaya nasional. Hal ini pernah diungkapkan sendiri oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi. Saya faham, mungkin satira yang dilihat oleh kerajaan ini berkait dengan cemuhan, hinaan dan momokan terhadap autoriti khususnya terhadap politikus. Dan dalam psiki Timur, khasnya Melayu, pantang besar jika seseorang individu yang rendah kedudukannya melawan/mencabar/mengolok-olok individu yang lebih berkedudukan tinggi. Jarak kuasa antara pemimpin dan subordinat di Timur lazimnya adalah jauh berbanding di Eropah. Selain itu, ianya juga berkait dengan air muka, seperti yang telah disentuh tadi, konsep ini sangat penting dalam tradisi Timur.

Namun begitu, pada pendapat saya, sekiranya satira ‘dibungkam’ ia hanya akan terus berevolusi dan menjelma dalam bentuk yang lebih kreatif. Usaha untuk ‘menjenayahkan’ satira dengan keras mungkin berupaya melenyapkannya dalam sebarang bentuk tekstual atau imej, tetapi ia mungkin akan terus berlegar dalam bentuk lisan. Saya teringat sebuah sindiran anekdot yang banyak diadaptasi di negara-negara yang ditadbir secara kuku besi:

“Mengapa kita sukar mendapat ikan ketika memancing di negara X?”

“Kerana di negara X, ikan pun takut untuk membuka mulut”.

Nah, itukan juga sebuah satira?