#MalaysiaYangMuda merupakan sebuah siri wawancara ringkas mingguan bersama teman-teman lingkungan dan penggerak politik, seni, dan budaya yang berterusan menghidupkan Malaysia serta isi warganya.
Temubual minggu ini, sidang editor bersama Muhammad Ariff Asyrul Adnan, seorang ahli akademik muda pengkhususan Sains Politik di UiTM Kampus Raub serta Naratif Malaysia, sebuah kelompok aktivis-akademik. Menetap di bandar “Musang King”, kecenderungan kajiannya merangkumi studi tentang pembangunan, pendemokrasian dan pemikiran politik.
Lanjutan dari tumpuan kajiannya sekarang yang memerihal tentang perkembangan populisme, kami kemudiannya bertanya seperti apa populisme itu terbentuk, bagaimana ianya digunakan sehinggalah seperti apa populisme merespon kepada krisis-krisis yang wujud. Dengarkan suaranya!

MM: Malaysia Muda / AA: Ariff Asyrul
MM: Apakah keistimewaan menggunakan lensa populisme berbanding lensa-lensa lain dalam mengamati dinamik baru masyarakat? Seperti apa populisme itu berangkai, berubah dan bergerak dari keadaan struktur politik sedia ada, misalnya di Malaysia?
AA: Ya, lensa populisme ini jika ditelusuri dan dikaji sebenarnya ada tarikan tersendiri dan agak menarik untuk dibahaskan sebagai “fenomena sosial” yang rancak berlaku dalam ruang politik hari ini. Sebenarnya, saya masih ‘amatur’ menelaah tentang populisme ini secara mendalam. Bahkan, boleh dikatakan masih baru bagi saya. Namun atas keperluan untuk menghasilkan kajian berkenaan analisa populisme sebagai fenomena sosial, saya terpanggil untuk melakukannya.
Kira-kira 4 tahun yang lalu, istilah ini muncul kembali dicanangkan dalam ruang politik global apabila “World Forum for Democracy” pada tahun 2017 menjadikan populisme sebagai tema utama persidangan mereka. Ini juga satu petanda bahawa naratif populisme mula bangkit kembali dan dijadikan antara perdebatan utama di peringkat global pada ketika itu. Disebabkan itu, tidak keterlaluan, beberapa pihak memerihalkan bahawa populisme sudah menjadi buzzword dalam abad ke-21 kini.
Kenapa saya katakan bangkit kembali? Sebetulnya lensa populisme ini sudah mula dibahaskan kewujudannya sekitar lewat 1960-an. Ionescu dan Gellner, dua prominent scholar dalam sosiologi mula mencerap terma ini dalam karya suntingan mereka bertajuk “Populism: Its Meaning and National Characteristics” telah diterbitkan pada tahun 1969 sebagai wacana awal menatijahkan kewujudan populisme. Mereka telah menggarap satu cernaan terma yang sangat menarik ketika itu yang mula bangkit dalam wacana “dunia ketiga” yakni populisme. Lebih hangat, mereka menggelarkannya sebagai satu puaka yang mula menghantui politik global. Pasca Perang Dunia Kedua (PD-2), politik dunia mengalami transformasi. Dahulunya perang lebih bersifat fizikal, namun pasca PD-2, peperangan masih berlaku namun berasaskan ideologi khususnya ketika mana dunia berdepan dengan era Perang Dingin. Namun, dalam kerancakan perang blok pemikiran ini, muncul satu sosok naratif yang mula dibahaskan yakni populisme. Dengan kata lain, populisme pada waktu itu dibahaskan sebagai kerangka wacana dunia ketiga (third world) yang berkaitan dengan soal kewujudan kumpulan yang bersifat anti-establishment, non-align ataupun memikirkan soal kemandirian kumpulan majoriti. Ini juga banyak dikaitkan dengan perkembangan blok pemikiran komunisme yang dilihat sebagai ancaman baru kepada blok kapitalisme ketika itu. Tambah menarik, populisme dijadikan mereka sebagai cara-gaya perjuangan dalam memastikan kelangsungan pendekatan politik mereka. Walaubagaimanapun, perkembangan ini dikatakan terhenti seketika lewat 1980-an setelah Perang Dingin memasuki fasa penghujung sebelum pengakhiran. Ianya muncul kembali setelah beberapa sosok pemimpin populis lahir seperti di Amerika Selatan, Hugo Chavez dan Evo Morales pada awal abad ke-21 dan rancak kembali setelah gelombang populisme cetusan Le Pen dan diperkukuhkan kembali wacana ini setelah Trump, sosok besar kapitalis Amerika Syarikat bertanding untuk merebut jawatan Presiden pada tahun 2016 dan dilihat sebagai sosok baru pemimpin populis dunia.
Dari segi evolusi, jika ditelusuri susur-galur pensejarahan populisme, ianya berkait rapat dengan perkembangan demokrasi. Malahan, ada yang menyatakan bahawa populisme sebenarnya wujud hasil tindak balas gerak daya pendemokrasian. Namun bagi saya, populisme ini sebetulnya merupakan fenomena yang wujud hasil tindak balas kepada sistem demokrasi yang bermasalah. Makna kata, teras populisme ini sebenarnya berkait dengan soal hubungan pemerintah dengan rakyat. Jika rakyat tidak begitu senang dengan tindakan pemerintah, pastinya legitimasi pemerintah akan melemah bukan? Begitu juga dalam populisme, rakyat dilihat sebagai entiti yang murni, jadinya jika ada pemanipulasian dari pemerintah, ini petanda bahawa “kedaulatan popular” semakin melemah yang pada akhirnya akan memunculkan sentimen moral. Nah, ini yang dikatakan populisme dalam laras bahasa yang mudah.
Populisme juga boleh dibahaskan dalam pelbagai bentuk misalnya seperti populisme belia, populisme perkauman, populisme ekonomi dan populisme agama yang umumnya menjadi antara sub-perbahasan utama dalam populisme.
Umumnya debat populisme ini cuma berkisarkan tentang dua entiti sahaja. Ia melibatkan soal peranan rakyat menentang pemerintah yang korup. Lebih spesifik, melibatkan soal kumpulan masyarakat terbanyak menentang elit politik yang melakukan penyelewengan sama ada rakyat tahu atau tidak. Itu kebiasaan yang difahami dalam konteks populisme di negara-negara Barat. Gelombang ini kemudiaanya menerobos ke Malaysia sehingga memberikan kesan dengan membangunkan fenomena revolusi senyap dilakukan oleh pengundi di Malaysia dalam PRU-14 yang menjatuhkan rejim Barisan Nasional. Fenomena ini dikatakan mempunyai pertalian rapat dengan fenomena sosial populisme apabila dikatakan naratif ataupun sentimen “politik moral” dibangunkan dengan kemunculan semula Mahathir Mohamad yang dianggap sebagai penyelamat rakyat Malaysia. Di Malaysia, wacana populisme sebenarnya amat kurang dibahaskan secara langsung. Dengan gelombang populisme yang mula rancak diperdebat dan diperkatakan, tumpuan kajian saya mula beralih arah kepada populisme apabila timbul keperluan untuk mengkajinya dalam konteks Malaysia. Ada juga kajian berkenaan populisme di Malaysia yang lebih berkisarkan soal sistem pemerintahan seperti dibangunkan oleh Anne Munro-Kua tentang “authoritarian-populism” dan juga berkaitan dasar seperti dihasilkan Sity Daud, “Dasar Pembangunan dan Populisme di Malaysia”, namun dari segi pendekatan ideologi ianya boleh dikatakan hampir tiada!
Rangkaian populisme di Malaysia juga lebih ke arah soal etnik, agama dan nasionalisme itu sendiri. Ini juga antara tunjang utama yang mendominasi naratif politik di Malaysia. Mungkin sebab itu, soal etnik, agama dan perihal nasionalisme dilihat sebagai medium ataupun fokus utama populisme. Lihat sahaja isu perkauman, sudah semacam sebati dengan cara parti politik dalam cubaan meraih undi. Disebabkan oleh medium populisme adalah berasaskan sentimen yang dicipta, jadinya sentimen perkauman dijadikan batu asas kepada memahami populisme di Malaysia. Ini mendorong kepada kewujudan naratif populisme perkauman dan lebih dominan lagi, kewujudan populisme Melayu. Apabila bercakap soal populisme Melayu, tidak boleh lari dari membahaskan soal citra politik orang Melayu itu sendiri. Dari fahaman saya, teras populisme Melayu ini didirikan atas paksi pegangan ideologi kumpulan Melayu itu sendiri yakni – konservatisme. Ini ciri yang jelas diperlihatkan, bahkan parti-parti yang berkisarkan kaum Melayu, mempunyai pertalian kukuh dengan ideologi politik yang ini. Kita boleh lihat, jika berlakunya ancaman ataupun sentimen anti-Melayu, pastinya akan muncul kelompok-kelompok ini mempromosikan counter-narrative kepada kumpulan anti-Melayu. Ini juga jelas dipertontonkan ketika mana Pakatan Harapan (PH) memerintah. Dengan sentimen “Melayu malas” dan beberapa cubaan mencabar elemen kelangsungan orang Melayu-Bumiputra meliputi aspek ekonomi, politik, pendidikan dan sosio-budaya, ianya telah mencetus kesatuan di kalangan Melayu khususnya dari parti-parti politik Melayu sehingga mewujudkan permuafakatan politik yang baru seperti Muafakat Nasional (kerjasama antara UMNO-PAS). Sebab itu dikatakan antara tunjang utama populisme di Malaysia adalah soal etnik, agama dan nasionalisme. Ketiga-tiga ini saling berkait dan membentuk apa dikatakan sebagai politik Melayu.
MM: Populisme seringkali mengambil bentuk yang berbeza di banyak negara. Misalannya di Amerika Selatan dengan Chavismo yang pro kepada rakyat kebanyakan pada awal 2000-an sehinggalah ke Modi dan Trump yang cenderung mendiskriminasi minoriti. Bagaimanakah kita memahami bentuk polarisasi yang terbina dalam perkembangan populisme hari ini?
AA: Ya, ini sesuatu yang menarik sebenarnya untuk dibahaskan. Polarisasi populisme di banyak negara ataupun lebih umum jika saya rangkumkan dalam konteks rantau kita, sebenarnya mempunyai perbezaan. Jika ada persamaan sekalipun, ianya mungkin ada pertambahan elemen dalam memahami polarisasi populisme. Namun, asasnya tetap sama iaitu melibatkan soal pemerintah dengan rakyat. Tetapi trend ataupun corak perkembangan hubungan ini dilihat berbeza di banyak rantau mahupun negara. Beberapa sarjana ada menyifatkan bahawa, polarisasi populisme ini cenderung dilihat berasaskan konteks persoalan moral, latar masyarakat dan tahap kematangan demokrasi bagi sesebuah negara ataupun rantau yang mempunyai leluhur sejarah yang hampir sama.
Tidak dinafikan, naratif populisme dalam abad ke-21 ini bermula di rantau Amerika Latin dengan kemunculan Hugo Chavez dan Evo Morales. Itu menjustifikasikan polarisasi populisme ini berkait rapat dengan kelahiran pemimpin yang mempunyai karisma tinggi. Pemimpin sebegini kebanyakan lahir dalam situasi ataupun ruang apabila negara berhadapan dengan krisis. Kelahiran ataupun kemunculan mereka ini adalah atas dasar sense of crisis menyebabkan pengaruh karisma mereka ini mampu memobilisasi sokongan kumpulan masyarakat terbanyak dalam sesebuah negara. Jika di Barat, perbahasan lebih kepada membentuk persefahaman moral yang sama dalam memberikan tekanan kepada pemerintah.
Cetusan persefahaman ini membawa kepada kewujudan gerakan populis dan membentuk sokongan kepada calon-calon pemimpin mereka – ini kemudiannya melahirkan sosok pemimpin yang bersifat populis. Lihat saja Trump, dengan manifesto yang memfokuskan kepada pembangunan menyeluruh untuk rakyat Amerika Syarikat, maka sokongan diberikan atas dasar beliau dilihat sebagai “penyelamat” untuk rakyat Amerika dengan mendiskriminasikan minoriti. Namun, pada akhirnya beliau sekadar sosok populis sahaja yang banyak berbicara tentang sentimen berbanding memenuhi manifesto pilihanrayanya. Demikian, nilai karismatik ini mempunyai pertalian dengan polarisasi populisme yang digarap berteraskan persoalan moral, latar masyarakat dan tahap kematangan demokrasi dalam sesebuah negara.
Kita ambil contoh di Malaysia, pra PRU-14 memperlihatkan kemunculan semula Mahathir Mohamad dalam kancah politik Malaysia. Kemunculan semula ini dilakukan atas dasar untuk menyelamatkan negara. Polarisasi ini berkait rapat dengan soal persoalan moral. Persoalan moral yang dicetuskan pada waktu ini adalah berkisarkan tentang “Malaysia harus diselamatkan” akibat daripada kesan skandal 1MDB yang berlaku di bawah kepimpinan Najib Razak. Siapa yang akan bertindak sebagai penyelamat? Mahathir dilihat sebagai sosok penyelamat (saviour). Ruang waktu ini memperlihatkan satu pola baru dalam politik Malaysia yang berkisarkan tentang “politik penyelamat” (saviour politics). Kehadiran Mahathir sebagai sosok penyelamat ini amat selari dengan faham populisme kerana politik penyelamatan adalah sebahagian dariapda formasi populisme. Retorika politik moral diangkat pada waktu ini. Era “Malaysia Baru” telah memperlihatkan dua pertentangan penting polarisasi populisme yakni berkenaan pengukuhan politik moral dan kebangkitan konservatif Melayu-Bumiputera
MM: Populisme seringkali muncul lewat krisis. Krisis hutang global, krisis kesihatan global seperti Covid-19 serta identiti nasional yang bergelut soal ras dan etnik. Bahkan, populisme yang dipacu oleh krisis seakan-akan mencair sifat ideologinya – ‘kanan’ atau ‘kiri’ hampir tiada. Apakah itu pengakhiran kepada politik yang disadur populisme?
AA: Saya tak menafikan soal populisme sering kali muncul lewat krisis. Ini disandarkan dengan peranan tokoh populis itu sendiri. Tetapi, tokoh populis tidak sesekali mendapati diri dan pendekatan mereka sebagai populis. Kita ambil dalam konteks Malaysia seperti yang telah dijelaskan bagaimana Mahathir dilihat sebagai penyelamat. Yang terkini, Muhyidin Yassin sebagai sosok populis baru dalam latar politik di Malaysia dengan kejayaan beliau menguruskan krisis kesihatan awam, wabak pandemik Covid-19. Pasca peralihan daripada PH kepada Perikatan Nasional (PN), Muhyidin Yassin dilihat sebagai “hero” apabila kepimpinan beliau dilihat berjaya mengawal wabak pandemik Covid-19 dari terus merebak. Walaupun, sebelum itu ada suara menyatakan kerajaan PN kerajaan tebuk atap ataupun pintu belakang, naratif ini kemudiannya boleh dikatakan hampir lenyap selepas kejayaan kabinet Muhyidin mengawal pemerebakan wabak Covid-19 dalam komuniti di Malaysia. Bukan itu saja, dengan program bantuan pakej rangsangan ekonomi seperti PRIHATIN untuk mereka yang terkesan dengan pelaksanaan PKP, ianya mengukuhkan lagi pesona Muhyidin dan kerajaan PN.
Perdebatan tentang sifat populisme pada hakikatnya agak kompleks. Yang nyata, populisme memang muncul apabila krisis berlaku. Penggunaannya juga dilihat agak pejoratif sebenarnya oleh sesetengah pihak, mungkin disebabkan sifat populisme itu sendiri.
Perdebatan tentang “sifat ideologi” juga masih belum selesai – kebanyakan saintis politik dan ahli sosiologi menggelarkannya epiphenomena. Ini kerana ada yang menyatakan ianya cuma verbal derivations yang dibentuk berasaskan sentimen yang bukan logik, dan juga ideologi dilihat sebagai petunjuk dalam memahami struktur sosial dan mobilisasi masyarakat. Walaupun ada dibahaskan tentang spektrum ideologi, namun, perdebatan tentang sifat ideologi masih lagi berterusan. Perkara ini juga sama dalam memahami populisme dari sudut perbahasan idelogi.
Dari kerangka ideologi, ya populisme ini dari segi sifat ideologinya adalah mencair. Soal kanan atau kiri boleh dikatakan hampir tidak jelas mahupun kabur. Dengan demikian ianya digelar sebagai “thin ideology”, mungkin disebabkan oleh sifatnya yang kabur. Namun, apa yang saya perhatikan, idea tentang populisme ini sandarannya adalah berasaskan kepada ideologi yang paling dominan dalam sesebuah negara. Ini bermaksud, ideologi dijadikan sebagai alat artikulasi dalam populisme dalam usaha membentuk sentimen dan meraih populariti. Sebagai contoh, ideologi fasisme itu sendiri digambarkan sebagai entiti populisme sebenarnya. Ianya menggambarkan bagaimana fasisme mebentuk sentimen moral berkenaan keagungan sebenar bangsa Aryan.
Begitu juga di Malaysia, naratif populisme Melayu sebenarnya disandarkan oleh ideologi. Ini kerana kewujudan konservatif Melayu itu sendiri berkait dengan soal duluan (precedent), pengekalan tradisi dan menolak perubahan yang bersifat drastik. Pegangan ini sudah menjadi sebati dengan parti-parti politik Melayu dan menjadi tunjang dalam memahami perkembangan ideologi dan populisme di Malaysia di samping memahami evolusinya dengan kebangkitan naratif populisme politik moral khususnya ketika era “Malaysia baru”. Justeru, populisme banyak dikaitkan dengan soal ideologi disebabkan oleh kewujudan unsur-unsur ideologikal yang mempunyai perkaitan dengan tata sosial sedia ada dalam masyarakat melibatkan pegangan dan kepercayaan. Ini mendorong kepada pemanipulasian ideologi dalam usaha membentuk sentimen moral dalam melahirkan sosok populis dalam masyarakat.
Dalam masa yang sama juga, muncul juga pandangan lain menyatakan bahawa populisme ini cumalah medium mobilisasi sahaja (populism is a mobilizer). Ini kerana ianya mempunyai pertalian dengan wacana populisme yang bersifat merentas kelas dan status dalam masyarakat. Sifat populisme sebagai agen mobilisasi difahami dalam konteks rakyat yang luas dan menyeluruh. Apabila timbul sesuatu isu, populisme memobilisasikan sokongan dari masyarakat terbanyak menentang penyelewengan yang dilakukan oleh pemerintah. Di sini dapat dilihat soal kelas tidak dibangkitkan dalam naratif populisme kerana ianya melibatkan soal perjuangan menuntut sesuatu dan berkongsi kepentingan yang sama. Situasi sebegini dalam soal cara memobilisasi boleh dilihat dalam perjuangan agenda reformasi di Malaysia. Siapa sangka, gerakan reformasi yang suatu ketika dahulu dibentuk sebagai reaksi tindak balas kepada kepimpinan Mahathir Mohamad – pada akhirnya di bawah Pakatan Harapan, Mahathir sendiri mengetuai mobilisasi untuk merealisasikan agenda reformasi diperjuangkan atas dasar usaha “membersihkan” Malaysia. Kontradiksi juga berpotensi muncul dalam melihat populisme sebagai agen mobilisasi- apabila ianya dikatakan mampu mencetuskan elemen fanatik dan taksub kesan daripada mobilisasi. Sisi negative juga wujud, antaranya kecenderungan mencetuskan fenomena “tyranny of popular sovereignty”, pemanipulasian sistem oleh sosok populis ataupun fenomena state of exception seperti yang terjadi baru-baru ini di Malaysia berkenaan dengan usulan pengisytiharaan darurat akibat ura-ura menyatakan Muhyidin Yassin hilang sokongan majoriti ahli Parlimen. Saya juga terbaca ada beberapa pandangan mengatakan bahawa konsep “marhaenisme” juga merupakan antara komponen utama dalam populisme.
Jadi untuk mengatakan populisme bakal berakhir, mungkin sesuatu yang sukar untuk diperkatakan. Walaupun ianya banyak mencetuskan ledakan sementara, namun, yang pasti kewujudannya akan berterusan berlaku. Lebih-lebih lagi kehidupan masyarakat kini dilingkari dengan ketidaktentuan meliputi soal ekonomi, politik, agama dan sosio-budaya- potensi krisis untuk berlaku itu pastinya tinggi, dan ini memungkinkan pengakhiran kepada populisme. Cuma dalam konteks perbahasan berkenaan letak duduk populisme, timbul pula persoalan lain di mana dengan perkembangan semasa, apakah populisme ini telah mencapai tahap untuk dikategorikan sebagai ideologi? Ataupun masih dilihat sebagai agen mobilisasi? Ataupun populisme dilihat dalam kedua-dua konteks- ideologi dan agen mobilisasi? Dan apakah ini puncanya mengapa populisme digelar suatu ketika dahulu sebagai puaka? Perkara ini memerlukan penelitian yang lebih lebih mendalam pada masa hadapan nanti memandangkan ianya masih belum mencapai titik temu.