Pangsapuri mewah di Kerinchi, eh, Paraisópolis Favela di São Paulo, Brazil. Shutterstock.

 Audi Ali 

Soal kelas masyarakat sering hadir dalam pewancanaan awam apabila umum menyedari wujudnya perbezaan ketara sama ada dari segi material atau status dalam sesebuah masyarakat. Konsep “lapisan” masyarakat timbul dan menghasilkan ketegangan yang dimanifestasi dalam kosa kata jalur kiri melalui istilah-istilah seperti kaum “pekerja”, “borjuis kecil”,  “kapitalis” dan di alam nusantara, “marhaen”. Setiapnya, dikaitkan dengan kedudukan mereka dalam ragam pengeluaran (means of production). Tradisi bukan-Marxis pula melahirkan istilah seperti “kelas bawahan”, “kelas pertengahan”, dan “kelas atasan”, yang kebelakangan ini digantikan dengan istilah “Bottom 40”, “Middle 40”, dan “Top 20”. Sedang kita berbincang sama ada diri atau keluarga masing-masing tergolong dalam kelas tertentu, satu pertanyaan perlu dilafazkan: apa gunanya?

Sebahagian daripada jawapannya terkandung dalam perbincangan mengenai “keistimewaan” (boleh dibaca di sini dan di sini). Natijahnya, kelebihan material dan budaya membolehkan golongan tertentu untuk mengemudi tatanan masyarakat dengan lebih mudah. Analisa ini, sekiranya diteruskan ke penghujung yang lebih radikal, membungkam langsung apa yang dikatakan sebagai meritokrasi, yakni, sebenarnya jarang sekali sesuatu kelebihan itu tidak terhasil dari kedudukan sosial ketika permulaan hidup. Fenomena ini pernah diamati oleh Adam Smith: “the difference of natural talents in different men is, in reality, much less than we are aware of; and the very different genius which appears to distinguish men of different professions, when grown up to maturity, is not upon many occasions so much the cause, as the effect of the division of labour”. 

Walaubagaimanapun, rencana ini akan merungkai sedikit sebanyak bagaimana jalur kiri melihat isu kelas dalam menjangkaui soal “privilege”. Kelas, sebagai satu konsep sememangnya menjelaskan bagaimana sesuatu golongan mempunyai kelebihan, tetapi lensa ini boleh juga digunakan untuk mengamati bagaimana sesuatu kelas itu mengeksploitasi kelas lain, lantas menjadi wadah bagi pembebasan kaum tertindas.

Stratifikasi dan Analisa Kelas

Masalah utama dalam perbincangan mengenai stratifikasi (pengelasan) masyarakat kini adalah penekanan keterlaluan terhadap paras pendapatan, yakni, maksud ‘kelas’ itu dikonseptual sebagai kedudukan sosial yang dihadkan dengan paras pendapatan tertentu. Konseptualisasi ini memberi gambaran tentang gaya hidup dan keperluan sesebuah keluarga, tapi gagal untuk memberi makna apakala mereka terangkum dalam sesuatu kelas sosial. Pertama, dalam mana-mana masyarakat, akan wujud perbezaan pendapatan di antara setiap lapisan masyarakat. Sama ada perbezaan ini adalah adil atau tidak, sama sekali tidak dijawab oleh konseptualisasi ini. Kedua, dan mungkin yang lebih penting, konseptualisasi ini tidak menyediakan bahasa kepada kita untuk menjawab persoalan mengenai dinamik masyarakat yang menyebabkan agihan kekayaan dan pendapatan yang tempang. Kekosongan makna ini terserlah apabila kita  menekan beberapa kata kekunci di halaman ini atau merujuk kepada jadual pecahan pendapatan: di mana kita dimasukkan ke dalam kelompok tertentu, tetapi label-label ini langsung tidak membantu seseorang untuk menjawab “mengapa?”. 

Sebaliknya, memahami “kelas” melalui lensa jalur kiri menekankan pendekatan “relational”. Dalam sistem perhambaan, tuan empunya mengaut keuntungan daripada tenaga kerja tidak berbayar dalam mengolahkan komoditi. Dalam sistem feudal, golongan bangsawan mengumpul kekayaan dengan mengerah tenaga kerja marhaen dalam kegiatan pertanian.  Dalam ragam pengeluaran kapitalisme industrial pula, golongan kapitalis mengaut keuntungan kerana nilai yang disumbangkan pekerja dalam pengolahan komoditi melebihi gaji yang diterimanya. Lebihan (surplus) ini terhasil kerana golongan kapitalis mengeksploitasi kaum pekerja sehingga mereka bekerja melebihi nilai apa yang dibayar. Gambaran di atas mungkin kurang tepat (malah sesetengah Marxis menolaknya secara keseluruhan), tetapi memadai untuk menceritakan apa yang dimaksudkan sebagai relational

Dengan menekankan pertalian rapat antara kelas dalam ragam pengeluaran, kesenjangan harta dan pendapatan tidak dinyatakan sebagai hakikat semula jadi, tetapi dipolemikkan sebagai ketidakseimbangan kuasa dalam sesebuah ruang. Persoalan-persoalan inilah yang mampu menggugat status quo jika boleh dibangkitkan. Misalnya, apakah kerangka kekuasaan dan undang-undang yang menyebabkan jurang kekayaan antara CEO dan pekerja yang semakin melebar? Mengapakah syarikat-syarikat getah besar mengaut keuntungan tatkala penoreh getah merana kelaparan? Mengapakah kaum kaya raya meraih keuntungan yang melambung semasa wabak COVID-19 ini? Apakah kaum pekerja mempunyai kata putus dalam mengelolakan dana perlindungan sosial? Apakah elemen-elemen yang menyebabkan ketidakseimbangan ini? 

Hubungan eksploitasi ini diberi formulasi ringkas oleh pakar sosiologi dari Amerika Syarikat, Erik Olin Wright:

  1. kebajikan kaum pengeskploit mempunyai hubung kait dengan penderitaan kaum yang dieksploit. 
  2. hubungan eksploitasi hadir kerana wujudnya penyisihan kaum yang dieksploit dari mengawal sumber pengeluaran tertentu. 
  3. hubungan eksploitasi melibatkan penjarahan nilai yang dicipta oleh kaum dieksploit.  

Ini bukan bermaksud kajian stratifikasi tidak penting. Naratif “We are the 99%” dan kajian kesenjangan sama ada di antara lapisan masyarakat atau wilayah memainkan peranan penting dalam memutikkan persoalan keadilan sosioekonomi dan menzahirkan sentimen antagonistik.  Cumanya ketaksuban terhadap kategori pendapatan sekaligus  mengaburi gambaran yang lebih besar dalam memahami persoalan kelas.   

Kerumitan Masyarakat 

Kita sedar, walaubagaimanapun, bahawa masyarakat tidak terbahagi kepada dua – kapitalis dan pekerja – dengan rapi. Lanjutan itu, salah satu tesis Marx bahawa kontradiksi dalam kapitalisme akan memberi laluan kepada sosialisme dan kemudiannya, komunisme. Pun begitu, ianya tidak dapat direalisasikan secara terus begitu. Masyarakat kini terbelah-bahagi kepada pecahan pelbagai pekerja yang berbeza dari segi kemahiran, pembentukan identiti dan kedudukan mereka dalam rangkaian kekuasaan. 

Wright, setelah mengkaji perkembangan kelas dalam masyarakat kapitalis, mengembangkan teori beliau berkenaan kerumitan ini melalui konsep “contradictory locations within class relations”. Beliau mengemukakan pandangan bahawa sebahagian besar daripada apa yang digelar “kelas pertengahan” mempunyai kepentingan yang tidak jelas dalam hubungan kelas sehinggakan kedudukan mereka dikatakan sebagai “bercanggah”. 

Ini bermaksud bahawa, meskipun  secara teknikalnya golongan pengurus dan profesional juga adalah pekerja, mereka digunakan oleh pemegang modal untuk mengawal pekerja lain yang terletak di peringkat bawahan dalam hierarki syarikat. Demikian, mereka mempunyai kuasa dalam sesuatu organisasi dan turut terlibat dalam mendominasi golongan pekerja lain di bawah mereka di samping turut dieksploitasi oleh pemegang modal. Demikianlah juga dengan kedudukan penyelia buruh di kilang. Meskipun mereka juga adalah pekerja di peringkat bawahan dalam hierarki syarikat, mereka digunakan untuk mengawal dan memantau pekerja lain. Dalam kerangka ini, kita boleh melihat “kedudukan” mereka dalam rangkaian eksploitasi dan kekuasaan. Bagi golongan pengurus, disebabkan mereka mempunyai kuasa yang besar dalam membuat keputusan dalam sesebuah syarikat, kepentingan mereka lebih berdekatan dengan kepentingan pemegang modal, manakala bagi golongan penyelia pekerja, lingkungan kuasa mereka yang agak terhad membuatkan kepentingan mereka lebih dekat dengan pekerja lain. 

Konseptualisasi ini penting supaya kita boleh menilai bentuk dan tahap dominasi dan eksploitasi dalam sesebuah ruang. Misalnya, sesuatu organisasi boleh dikatakan telah meminimakan dominasi pekerja apabila pekerja diberi kuasa dalam membuat keputusan dari segi pengeluaran (pelaburan) dan juga agihan (gaji). Organisasi itu juga boleh dikatakan telah meminimakan eksploitasi pekerja apabila di samping diberi gaji yang setimpal, hak milik syarikat tersebut turut dikongsi dengan mereka sama ada melalui perkongsian keuntungan atau pun stock options. Merungkai hubungan eksploitasi dan rangkaian kekuasaan ini sedikit sebanyak menyediakan ruang bagi kaum tertindas untuk membahaskan mengapa mereka ditindas dan apa yang perlu dilakukan untuk mengatasi penindasan tersebut. 

Kesedaran Kelas

Antagonisme yang timbul melalui analisa kelas ini menjadi pemangkin bagi pergolakan antara kelas. Cumanya, yang tidak jelas adalah: antara kelas yang mana? Dalam kerumitan kapitalisme dan kepelbagaian kepentingan kelas, penggagasan pekerja sebagai satu kolektif yang “sedar” menjadi lebih mencabar. Namun, apa yang cuba ditawarkan oleh Wright wajar direnungkan. Pemikiran beliau mendorong kita untuk memikirkan cara untuk menebarkan kekuasaan ke bawah dan mengangkat kaum tertindas ke peringkat membuat keputusan. Dari segi strategi, kita perlu mengambil langkah untuk mengkonsolidasikan kelas pekerja di samping memikirkan cara bagaimana untuk menarik sebahagian daripada “kelas pertengahan” supaya mereka turut mendesak pendemokrasian radikal di tempat kerja, dana perlindungan sosial,  dan dalam masyarakat umum

Dalam pewancanaan kelas masyarakat, tidak cukup sekadar untuk menumpukan perhatian kita terhadap seseorang individu dan sama ada seseorang itu  “privileged” atau tidak. Kita perlu merungkai struktur masyarakat dan bagaimana sesuatu kelas itu memperjuangkan kepentingan mereka serta sama ada perjuangan itu adalah adil. Sekiranya kajian stratifikasi (pengelasan) masyarakat membolehkan kita untuk melihat kelebihan kelas masing-masing, analisa kelas dalam tradisi jalur kiri cuba untuk membangkitkan kesedaran kelas. Di sini, kita didesak untuk bertanya: “kita memihak pada siapa?”