Editorial
#MalaysiaYangMuda merupakan sebuah siri wawancara ringkas mingguan bersama teman-teman lingkungan dan penggerak politik, seni, dan budaya yang berterusan menghidupkan Malaysia serta isi warganya.
Beruntung sidang editorial dapat mewawancara artis yang cukup prolifik, Okui Lala, yang menetap di Pulau Pinang ini. Banyak terlibat pameran di dalam dan luar negara, karya-karyanya banyak bermain dengan medium persembahan serta video. Okui juga aktif berbengkel khususnya berkaitan pembikinan seni-video serta pendidikan budaya.
Tiga soalan seputar praktisnya bersama Ruang Kongsi, pengalaman peribadi tentang migrasi serta bagaimana karyanya berselirat dengan tema-tema ini kemudiannya menjadi akar perbicaraan kami dalam memahami puan punya badan. Jemput!

MM: Malaysia Muda / OL : Okui Lala
MM: Biasanya, seorang artis akan aktif bersama teman-teman membuk studio dan fokus berkarya. Namun, Okui memilih untuk bersama Ruang Kongsi. Bagaimana Okui memposisikan diri di dalam sebuah ruang sebegini dalam mempengaruhi proses pengkaryaan Okui sendiri?
OL: Idea ‘Ruang Kongsi’ 共思社 mula dibincangkan sejak tahun 2017, apabila kawan-kawan yang menggunakan ruang yang pada awalnya dikenali sebagai Aksi ini, kemudiannya ingin memperluaskan kegunaannya kepada lebih banyak orang untuk kegiatan sosial, seni dan budaya. Bersama sembilan lagi kawan lain, kami mengusahakan ruang fizikal dan aktiviti Ruang Kongsi secara kolektif. Anggota kolektif kami terdiri daripada pelbagai latar belakang – wartawan, aktivis, pekerja seni, budaya serta pendidikan.
Kolektif kami tidak mempunyai ketua atau ahli jawatankuasa. Justeru, sebelum sesebuah aktiviti atau keputusan dibuat, perbincangan akan diadakan untuk mencari kata sepakat. Kadang-kala terdapat juga pendapat yang berbeza dan bercanggah. Meskipun ini merupakan proses yang memakan masa, namun, perbincangan ini amat bermakna untuk saya. Terutamanya, apabila perbincangan sebeginilah yang sering kita langkau dalam aktiviti seharian untuk menjimatkan masa.
Peranan kami di Ruang Kongsi sering bertukar-ganti bergantung kepada aktiviti di Ruang Kongsi itu sendiri.
Antara aktiviti Ruang Kongsi yang dijalankan pada tahun ini adalah ‘’Kongsi Bumbung: Residensi untuk Pekerja Seni dan Budaya’ untuk membantu komuniti seni dan budaya yang terjejas oleh pandemik Covid-19. Residen artis kedua kami ialah seorang pekerja budaya yang memerlukan ‘ruang berkerja’ atau ‘’ sounding board’’ bagi meneruskan projeknya. Di sini, saya dan dua member kolektif lain memainkan peranan sebagai fasilitator dalam perbincangan dengan residen kami. Peranan ini mungkin berbeza dengan aktiviti pengkaryaan saya, namun ianya secara tidak langsung juga memberi ‘’ruang renungan’’ untuk saya selaku sebahagian daripada komuniti seni dan budaya.
MM: Moyang Okui sendiri berhijrah dari Canton, China pada 1920-an sebelum menetap di Pulau Pinang, Manakala, keluarga sebelah ibu pula merupakan Cina Peranakan dari Tanah Merah, Kelantan . Bagaimanakah pengalaman sebegini memberi kesedaran serta sensitiviti kepada Okui dalam menanggapi persoalan migrasi itu sendiri?
OL: Seingat saya, sejak memasuki tadika lagi, kita sudah diperkenalkan tentang konsep masyarakat majmuk Malaysia yang terdiri daripada tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina, India dan Lain-Lain. Setiap kaum mempunyai ‘imej’ tertentu, misalnya Orang Cina suka warna merah dan berkulit cerah. Namun, apa yang diperkenalkan kepada saya di sekolah berbeza dengan apa yang saya alami sendiri di luar sekolah dan di dalam rumah. Datuk di sebelah ibu saya, berkulit hitam, tidak tahu berbahasa Mandarin dan Inggeris. Beliau hanya fasih bahasa Hokkien Kelantan, Bahasa Melayu dan sering memegang surat khabar Utusan. Bahasa pengantara kami ialah Bahasa Melayu. Saya agak keliru pada masa itu dan mula meragui apa yang dipelajari di dalam buku teks. Saya rasa keraguan itulah yang membina rasa ingin tahu saya sebagai seorang remaja.
Selain itu, pengiktirafan George Town sebagai tapak warisan budaya UNESCO pada tahun 2007 juga merupakan ‘pintu masuk’ saya untuk mempelajari sejarah tempatan Pulau Pinang dan mengaitkannya dengan sejarah dunia. Di sinilah, saya juga mula berkecimpung dengan aktiviti komuniti tempatan melalui NGO Arts-Ed Penang.
MM: Karya-karya Okui sendiri banyak bermain dengan konsep “alterity” – tentang soal bahasa, kewargaan (citizenship) dan sebagainya. Bagaimana dalam menanggapi hal-hal ini dalam fenomena keseharian, ianya mempengaruhi niat pengkaryaan Okui sendiri?
OL: Karya-karya saya ialah refleksi terhadap pertemuan seharian di sekeliling saya. Pertemuan ini mungkin sesuatu yang menarik bagi saya ataupun sesuatu yang membuatkan saya tidak selesa. Misalnya, di dalam video ‘’ My Language Proficiency’’ (2017) di mana saya mengadakan sesi perbincangan dengan diri saya sendiri dalam empat bahasa. Keempat-empat orang di dalam video ini digalakkan untuk menggunakan bahasa yang paling dekat dengan diri sendiri. Dalam video itu, mereka menceritakan bagaimana bahasa itu diperoleh dan digunakan. Sesi dialog itu diadakan dalam Bahasa Melayu, Mandarin, Inggeris dan Hokkien, satu situasi yang tidak diketemui di dalam realiti kita kerana ianya akan memakan masa yang panjang.
Karya itu dilanjutkan kepada ‘’ Chinese Whisper’’(2018) yang menggunakan format permainan ‘telefon berkarat’’ bagi mendeklamasikan satu pantun Teochew. Teochew ialah bahasa ibunda keluarga saya, namun saya tidak dapat bertutur dalam bahasa ini kerana jarang menggunakannya. Dalam persembahan ini, saya menjemput ibu saudara dan bapa saya untuk menyampaikan pantun itu di antara kami. Kiasan ‘ Chinese Whisper’’ digunakan untuk menggambarkan situati pembelajaran bahasa ‘dialek’ yang seringkali dianaktirikan di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) dan dalam kalangan keluarga sendiri.
Kedua-dua karya ini mencerminkan situasi semasa penggunaan bahasa yang dipengaruhi oleh polisi ataupun pengaruh ekonomi dan sosial ketika masa itu. Sering sekali, kita sangat bangga dengan kepelbagaian budaya negara kita, akan tetapi, apabila menyentuh soal bahasa, perbincangan biasanya akan menjadi binari — ini atau itu sahaja. Cerminan situasi melalui karya-karya saya ini diharapkan dapat memberikan ruang diskusi kepada khalayak ramai.