
Makna Nurjihad
Dahlan seorang politikus yang menganggapnya dirinya pemberontak. Dia penentang establishment dengan cara dan idea sendiri. Dahulu dia punya kudrat, tulang empat keratnya berdaya upaya menggerakkan demonstrasi jalanan. Akal fikirannya ligat berkempen memujuk massa mengundi partinya. Dia mendabik dada perintis kepada pembaharuan, kenal rapat dengan orang parti. Perkenalan rapat itu mewujudkan bondongan pengaruh lantas mewujudkan pertelingkahan.
Bukankah politik sewajibnya begitu. Manusia di atas memijak kepala kering manusia di bawah. Manakala manusia di bawah tidak sabar menarik yang di atas supaya jatuh dan dapat dipijak dengan cara paling hina. Andai tidak dapat kaki, seluar pun jadi. Biar yang di atas terbogel dan terjuntai kemaluannya.
Kini Dahlan telah berumur. Saf-saf makmum di belakangnya renggang, berpecah dan terburai. Putuslah tali layang-layang Dahlan, ditiup angin Tenggara ke Barat Daya, dipukul angin Barat hancur sayap menghala ke Timur.
Dahlan hampir-hampir putus asa dengan kehidupan. Perniagaan tidak ke mana, hancur salah percaturan. Hidup Dahlan mengabdikan diri pada politik. Langkah berderap politik, kencing menghancing politik, nafas antara pertukaran oksigen dan karbon dioksida adalah simbolik simbiosis politik.
Nasib baik dia masih ada dahan untuk bergantung. Dengar-dengar dahan itu pun tidak lama lagi akan sekah dek kerna reput dimakan anai-anai.
Dia menghadap pak menteri. Pak menteri mengurut-urut dagunya yang tidak pernah berjanggut. Bangun, duduk, bangun dan duduk kembali. Menghirup kopi dan memandang horizon Kota Kuala Lumpur yang sibuk. Menghulurkan sehelai kertas berkepala surat Kementerian.
“Ambil surat ini dan masuk ke pejabatmu segera,”
“Dimana?,” Dahlan tersengih-sengih melihat tanda tangan Pak Menteri yang belum kering pada kaki surat.
“Semua maklumat ada tertulis jangan malas membaca, jangan jumpa aku lagi,” Pak Menteri menggumam.
“Bagaimana pula begitu, organisasi ini di bawah Dato’, tetapi tidak boleh berjumpa, bagaimana mesyuarat, laporan dan peruntukan?”
Pak Menteri menggaru kepala. Rambutnya masih lebat tetapi sudah 90 peratus memutih. Potongan pendek ketam lapik nombor empat di atas dan ketam lapik nombor dua di pelipis kiri dan kanan. Bulu-bulu misai, janggut dan jambang ditebas habis.
“Minimumkan perjumpaan,”
***************************************************************************
Dahlan memakai lawa bertali leher merah, kemeja putih, dan blazer biru tua. Kasut kulit hitam berkilat, semuanya baru dibeli. Beza sekali dengan pakaian waktu memimpin parti politik peringkat bahagian dahulu. Dia selesa memakai kopiah hitam, seluar jeans dan t-shirt.
Hari pertama dia memasuki pejabat sambutan sederhana tetapi meriah ketika melangkah ke jabatan. Disambut dengan tepukan dan ritual wajib ciuman tepat pada belakang bonggol tangan antara ibu jari dan jari telunjuk. Penambahan lagaan pipi dan pelukan ala Bangsa Arab dengan harapan dikasihi dan disayangi boss baru.
Majlis Penasihat Jabatan mengadakan mesyuarat dengan Dahlan. Mesyuarat bertujuan menambah baik jabatan di dalam kertas, di luar kertas adalah perlumbaan penasihat mencari jalan menunjukkan kehebatan memberikan idea terbaik dalam membunuh watak-watak boss sebelum ini.
Dahlan membaca e-mel yang baru masuk. Sekumpulan aktivis filem dari Utara Tanah memohon dikemukakan perancangan dan manisfeto. Setidaknya diawali tugasan dengan perjumpaan dengan penggiat filem.
Dia lontarkan, pokok persoalan pada tuan-tuan penasihat.
“Mereka itu hanya sekumpulan langau anti establishment,” kata Penasihat 1.
“Mereka sesama sendiri pun bergaduh, baik kita jangan terheret sama,” bisik Penasihat 2.
” Kita adalah kepala, kata dua perlu dari kita. Kalau ikut mereka semua serba tidak kena,” Penasihat 3 melontar suara separa melankolik bercampur retorik.
Penasihat Utama yang baru dilantik semalam mengangguk-angguk. Seakan sudah ada spring pada leher.
“Jadi apa langkah pertama kita?”
“Itu Tuan jangan risau. Saya sudah selidik, kita pergi Sennac, di sana ada festival filem antarabangsa. Penasihat Utama mengeluarkan pamplet dari poket. Meletakkan di hadapan Dahlan. Kelak mereka akan kagum dengan keprihatinan kita. Penasihat 1, Penasihat 2, Penasihat 3 berpandangan antara satu sama lain. Melongo memandang Penasihat Utama. Penasihat Utama tersengih-sengih, menampakkan giginya yang rongak dua batang. Satu di atas sebelah kanan, dan satu lagi di tengah bawah.
“Bagus, semua kita ke sana, Penasihat 1 jumpa dengan bahagian kewangan uruskan penginapan di sana, Penasihat 2 uruskan atur acara sepanjang di sana, Penasihat 3 tolong bacakan saya tentang perkembangan filem terkini, Penasihat Utama tugas kamu saya akan berikan kemudian, sekarang ini kita akan ke pusat beli belah beli pakaian panas,”
Maka terbanglah mereka membelah awan mencari mengikut perancangan. Mereka menginap di Hotel Enailrev.Tiga bilik bertaraf lima bintang ditempah selama tujuh hari. Dahlan duduk seorang, Penasihat Utama sebilik Penasihat 1 dan Penasihat 2 sebilik Penasihat 3. Penasihat 1 di lambung pujian yang begitu tinggi, bilik selesa. Pemandangan laut, makanan sedap. Walau hanya makan ikan dan kentang goreng, nikmatnya dirasai dari hujung lidah hingga ke pangkal tekak. Dahlan tidak makan daging atau ayam takut tidak disembelih secara syariah. Apatah lagi babi – usahkan menyentuh dengan hujung jari, lalu di tepi sahaja sudah kembang tekak dan terjungkit bahunya menahan kejijikan! Penasihat 1 sudah menarik nafas lega.
Giliran Penasihat 2 diuji. Atur acara pertama adalah menonton layar perak di pantai. Mereka berempat berjalan dengan pakaian santai. Mendapatkan tempat masing-masing, penganjur mengedarkan selimut. Dahlan senyum-senyum pada Penasihat 2.
“Nanti balik negara kita, kita buat seperti ini,” Dahlan menunjukkan ibu jari tanda bagus. Penasihat 2 menarik nafas lega, tetapi kelegaan itu hanya sementara. Perhatian mereka diganggu bunyi bising dari bangunan seberang pantai.
Mereka melihat para pengunjung berkerumun, Dahlan jadi hairan. Pemandangan itu biasa di Malaysia hanya apabila ada pemimpin politik turun. Dia bertanya kepada penasihat utama, penasihat utama menggeleng tanda tidak tahu.
“Itu, Lee Bon Sun, pengarah Filem Parasite,”
“Cerita lipas makan orang tu? ” Dahlan menerka.
“Itu Cockroaches 1997, ini filem Korea 2019, menang anugerah Oscar tahun lepas.
“Apa kaitan filem dengan anugerah lagu?”
“Anugerah lagu Grammy, Oscar untuk filem,” nasib penasihat 3 jalankan sedikit kajian tentang filem seperti dikehendaki Dahlan Semalam.
Dahlan naik pening nak mengingat nama-nama anugerah.
“Penasihat 3, setkan temujanji dengan dia. Aku nak bagi peruntukan untuk buat filem di Malaysia,” Dahlan menepuk bahu Penasihat 3 yang sedang menghisap dalam rokok seludup penuh nikmat.
“Atur acara di sini, tugas Penasihat 2 bukan saya,” Penasihat 3 menepis. Penasihat 3 mengetap bibir tanda geram, tetapi tetap mengiyakan arahan Dahlan.
“Jom ikut mereka masuk ke dalam, macam ada acara berprestij,” Dahlan menepuk-nepuk sandalnya yang penuh pasir. Tampak bergegas.
“Itu jemputan khas tuan, hanya pembikin filem tertentu yang dibenarkan masuk,” Penasihat 1 mengeluarkan butir-butir yang diketahui dari internet dan dari operator nombor pusat maklumat penganjur festival filem.
“Kamu tidak dijemput?”
“Kami bertiga, pentadbir filem sahaja. Uruskan dana-dana dan pembangunan filem sahaja Tuan, tak terlibat secara langsung,”
“Satu filem pun tak pernah terlibat?”. Kerut pada dahi Dahlan makin banyak dan tebal. Suaranya mendatar, ditelan ceburan ombak yang tidak lelah menghempas lantai. Mereka bertiga serentak geleng kepala. Penasihat Utama masih terangguk seperti berzikir.
Dahlan mengambil selimut yang disediakan penganjur. Dingin angin menganggu audio dari wayang gambar. Mujur ada sarikata Inggeris di bawahnya, audio tidak penting sangat memandangkan filem yang ditayang berbahasa Iran, bahasa yang mereka tidak fahami. Senandika Dahlan, “Macam manalah filem sebosan ini menjadi pilihan untuk di tayang”.
Dia dambakan filem penuh aksi sensual menayangkan peha mulus dan benjolan dada heroinnya dengan watak utama bertubuh kekar menggauli tubuh mungil wanita di ranjang. Hendak pula sekarang berada jauh dari tanah air yang rata-rata umatnya masih konservatif. Kata hikmah yang muluk boleh diketepikan seketika, pakaian akhlak boleh ditanggalkan sebentar. Dia mengangkat dirinya sebagai pejuang politik nasionalisme-moden, istilah moden menggantikan kata liberal seperti yang disyorkan penasihat utama.
“Jadi malam ini kita akan ke mana?” Dia memandang Penasihat 2. Penasihat 2 yang tersengguk diulit angin pantai, terkejut. Mengingat atur acara dalam kepalanya.
“Tidak ditulis di dalam diari?” Dahlan menjerkah.
Penasihat 2 cuak. Pucat wajahnya yang penjong, baru sahaja ingin melayan lenanya tadi. Kini diganggu tuan baharu yang mendesak.
“Malam ini ke Dewan Utama, Supreme. Meninjau poster-poster filem langka hingga terkini,” kata Penasihat 2.
“Bosan,” Dahlan bersungut. Memandang pada penasihat utama. Matanya separuh terbuka, tetapi dengkurnya bernada dalam menandakan pemikirannya sudah di tahap meta. Siku Dahlan singgah pada perut gendut Penasihat Utama.
“Malam ini ke mana?,” Penasihat Utama mamai menjeling Penasihat 2. Penasihat 2 menjungkit bahu.
“Malam ini kita, ke Kelab De Centrium. Ada parti keraian, mungkin pelakon-pelakonHollywood dan Bollywood akan turut sama”.
“Bollywood?”, lidah Dahlan menjilat air liur yang tertitik pada hujung bibirnya.
“Betul Tuan, tahun lepas dalam sisipan hiburan akhbar ada tulis Rani Mukhtiar dan Pretty Zinul menyertai parti itu,”
Dahlan seakan tidak peduli. Matanya tertancap pada layar. Bibirnya menguntum senyum. Mengandung perasaan riang terdalam dan khayalan yang tidak tertaksir.
Malam itu mereka menyertai parti di kelab. Sebuah kelab malam dengan tema R&B. Mereka memerhatikan para anak dunia pelbagai bangsa berpesta. Manisfestasi sebuah festival, Dahlan tidak pasti sama ada penggiat-penggiat filem, atau hanya mereka yang menggelarkan diri peminat filem yang berpesta pada malam itu. Mata Dahlan meliar, mencari wanita-wanita yang bermata bundar dan galak dengan pakaian separa bogel. Namun sayang, yang menghampiri mereka hanya perempuan-perempuan pelayan yang terlalu senang untuk dipancing. Persoalannya adalah dia perlu membuktikan bahawa dia seorang playboy kepada para penasihatnya. Dia mahu menaikkan namanya dengan memikat seekor burung hutan bukan burung yang makan dedak di tangan.
Matanya berkelewar menanti peluang, persis seekor kucing siam yang gemuk ingin menerkam tikus. Walau tikus berkeliaran depan mata tetapi bimbang digigit hidungnya yang pesek. Para penasihatnya mulai bosan meneguk air kola.
Penasihat Utama memesan satu tab bir 3.5 liter untuk mereka berlima. Penasihat 1, 2 dan 3 menelan air liur melihat Penasihat Utama meneguk segelas bir dengan lahap, ditambah gelas kedua dan ketiga. Dahlan tidak mahu kalah pada Penasihat Utama mencicip pada hujung lidah, kemudian mencuba seteguk – rasa pahit yang lalu pada tekaknya memualkan seakan mahu diluah kembali. Dia meyakinkan diri rasa kesedapan bir adalah pada tegukan yang seterusnya. Dia teruskan tegukan kedua, masuk tegukan ketiga kepalanya mula puyeng. Penasihat utama mengekek gelak melihat Dahlan seakan tidak mampu mengangkat kepalanya sendiri, setiap sendinya dirasakan lembik.
Penasihat 1, 2 dan 3 menolak gelas bir ke tepi. Penasihat Utama mengajak memimpin Dahlan yang tidak terdaya keluar. Penasihat 1, 2 dan 3 juga merasa peningnya walau hanya minum dua gelas air kola tanpa alkohol. Mereka berpimpin, berpapasan merebek mengalahkan orang yang minum berbotol vodka atau wain.
Pada seberang jalan kelab, mereka singgah pada deretan trak makanan. Dahlan pesan nasi lemak daging. Manakala penasihat-penasihatnya memesan makanan lain. Suapan pertama Dahlan hampir-hampir pengsan, manakala suapan kedua dia merasakan rohnya melayang di sambut bidadari-bidadari Bollywood. Dia penasihat pertama memanggil pemilik trak makanan.
Dahlan bertanyakan berkenaan dengan rahsia keenakan nasi lemaknya yang tiada tara tandingnya. Maka berceritalah David Deep dengan diterjemahkan oleh seorang pembantunya yang pandai berbahasa Inggeris. Labonnya dia mendapat resipi dari Google. Dia menceritakan bagaimana dia menumis bawang merah, bawang putih, dan kulit kayu manis dalam api yang cukup panasnya. Tumisan dikacau tanpa leka, apabila cukup masak dan aromanya naik diletakkan pes cili yang telah dikisar bersama belacan. Tunggu sehingga pecah minyak sebelum dimasukkan santan dan secukup rasa. Nasinya pula dimasak dengan santan yang diimport khusus dari Malaysia kerana santan dari Malaysia lemaknya lebih menangkap deria rasa berbanding dari negara lain. Dahlan mendengar dengan khusyuk, matanya merah separuh tertutup. Suara David Deep masuk ke dalam telinga menembusi otak dan singgah di jiwanya yang terdalam.
Maka setelah beberapa lama di Sennac mereka pun berangkat pulang. Sebuah sidang media diadakan untuk menandakan akan betapa komitednya mereka akan tugasan.
“Kami telah menjelajah dan melakukan kajian selama seminggu dan kita sudah jumpa formula bagi filem kita memenangi anugerah filem antarabangsa,” Dahlan senyum memandang penasihat yang duduk di kiri dan kanan. Penasihat-penasihatnya menunjukkan ibu jari, senyum dan terangguk.
“Kita akan mendanai sebuah filem dengan bajet Ringgit Malaysia 10 juta,” Dahlan mengumumkan penuh yakin.
Para wartawan mula berbisik sesama sendiri.
“Filem adalah berkenaan dengan kebanggaan negara kita iaitu nasi lemak. Nasi lemak telah menyatukan kita semua sekian lama, dan sewajibnya diangkat ke tahap yang lebih tinggi. Pengarah filem ini adalah David Deep, seorang dari negara Sicnarep,”
Wartawan bertepuk tangan gemuruh. Sesi soal jawab dibuka kepada wartawan.
“Tuan, adakah kita menggunakan produksi dari Sicnarep?,”
“Tidak kita akan gunakan produksi tempatan, hanya beberapa orang kita akan bawa dari Sicnarep,”
“Bahasa untuk filem ini?”
“Bahasa Inggeris, memandangkan Bahasa Inggeris adalah bahasa global, dan ada kelasnya sendiri,”
“Boleh kami tahu filem-filem yang pernah diarahkan oleh David Deep?”
“Itu tidak penting, yang penting adalah dia lahir dan dibesarkan di Sennac, Sicnarep, semua orang filem tahu Sennac, Sicnarep”
Maka setelah sidang media ditamatkan, penasihat-penasihat Dahlan memulakan tugas perundingan dengan David Deep, seorang pengusaha trak makanan dengan menu utama nasi lemak. Pada satu sidang video dengan David Deep, Dahlan menanyakan tentang rahsia daging yang disertakan bersama dengan nasi lemak sewaktu dia makan di Sennac, Sicnarep dahulu.
David Deep dengan penuh yakin melalui penterjemahnya menyatakan itu adalah resipi kebanggaan keluarganya yang diasimilasikan dengan rendang. Rendang daging khinzir kukus. Enak dimakan ketika mabuk. Sekonyong-konyong mendengar perkataan khinzir, Dahlan menjolok-jolok tekaknya. Adalah diberitakan bahawa Dahlan demam seminggu setelah sidang video tersebut. Sumber tidak sahih menyatakan dia melakukan rawatan pembersihan darah. Walau bagaimanapun, projek filem diteruskan seperti yang diuar-uarkan.
Krew produksi tempatan pening kepala dan mengalami kemurungan kerana tidak faham bahasa pengarah, mereka juga tidak menyentuh nasi lemak yang dimasak sendiri oleh pengarah setelah melihat sedutan sidang media yang tular di media sosial. Para pengarah, wartawan dan jemputan menangis terguling-guling apabila dikatakan nasi lemak berasal dari santapan Raja Rom setelah sidang pra tonton dijalankan. Juga mereka tidak faham akan kehadiran satu watak adiwira lembut berwarna hijau seperti ulat beluncas yang dikatakan mitos dalam hikayat Melayu.
Penafian dan makluman: Tulisan ini adalah rekaan dan imaginasi penulis semata-mata, tiada kaitan dengan yang hidup atau pun yang telah meninggal dunia. Jika ada kaitan dengan dunia sebenar itu adalah kebetulan semata-mata.