Editorial

#MalaysiaYangMuda merupakan sebuah siri wawancara ringkas mingguan bersama teman-teman lingkungan dan penggerak politik, seni, dan budaya yang berterusan menghidupkan Malaysia serta isi warganya.

Tamu kita di #MalaysiaYangMuda minggu ini anak jati Terengganu yang sekarang menetap di Ipoh, Perak. Barangkali, nama S.O Husain tidak perlu diperkenalkan lagi buat para kolektor buku serta penggerak budaya di Ipoh. Pernah berkhidmat kurang lebih selama 20 tahun sebagai jurutera, beliau menukar arah ke dalam bidang perbukuan serta budaya yang menjadi darah dagingnya lewat kerjanya bersama Teratak Nuromar, sebuah usaha kecil di dalam bidang penterjemahan, perumian, pengarkiban serta suntingan.

S.O Hussain banyak berkarya bagi orang perseorangan dan juga badan swasta dan kerajaan seperti RogueArt, Galeri Ilham dan Balai Seni Negara. Pada 2018, beliau menjadi penterjemah bersama untuk buku Jagat Kehidupan dan Pemikiran Einstein dan pada 2019 menterjemahkan buku Perang Anjing Suruhan; kedua-duanya terbitan IBDE. Bersamanya, kita bertanyakan padanya serba ringkas sosio-sejarah perbukuan di Ipoh, kemungkinan kerja-kerja pembacaan dan pewacanaan serta ekologi ilmu seperti apa yang dibayangkan lewat beberapa usaha terbarunya bersama Hubooks. Silakan.

S.O Husain. Foto oleh Hasful Zainuddin

Malaysia Muda: MM / S.O Husain: SOH

MM: Dari Teratak Buku Nuromar ke Hubooks, keduanya berpangkalan di Ipoh; seakan-akan ada sesuatu di sana untuk kita memahami sosio-sejarah perbukuannya di sana. Di mana kita mahu bermula dan ke mana hala tujunya?

SOH: Kalau kita lihat dari sudut buku dan perbukuan, saya boleh katakan Ipoh merupakan sebuah syurga buku bekas. Mungkin inilah salah satu faktor utama yang menginspirasikan pembukaan ruang Hubooks (bersama kawan-kawan); malah, pada tahap tertentu, Teratak Nuromar juga. Setelah menetap di sini hampir 30 tahun, saya dapati accessibility kepada buku-buku bekas, yang dijual dengan harga yang murah pula, memang menjadi satu daya tarikan di Ipoh buat peminat-peminat buku. Koleksi buku di rumah saya sebahagian besarnya terdiri daripada buku-buku bekas yang saya beli dari penjual dan kedai buku di pekan Ipoh, khususnya pasar karat Lokein, Novel Hut dan Jobu (tidak lagi beroperasi).

Ipoh pernah menjadi salah sebuah kota penting di zaman kolonial British, dan dari dulu ia berfungsi sebagai pusat pentadbiran dan ekonomi buat negeri Perak. Dulu, Ipoh dikenali sebagai kota jutawan sewaktu ledakan industri perlombongan bijih timah, sampailah kira-kira tahun 80-an apabila pasaran bijih timah merudum teruk. Jadi saya fikir budaya membaca dan jual-beli buku pastilah pernah rancak di sini, dan tentulah pernah ada banyak syarikat penerbit, pencetak, penjual serta pengedar buku di Ipoh. Bagus juga kalau dibuat kajian dan pemetaan mengenai sejarah perbukuan di Ipoh.

Teratak Nuromar pada asalnya ditubuhkan oleh Hanim Khairuddin, kurator dan pengurus seni di PORT, sebagai rumah penerbitan yang lebih menumpukan pada seni, sastera dan budaya. Kemudian kami luaskan bidangnya kepada perkhidmatan terjemahan dan transliterasi. Satu ketika, selepas proses weeding koleksi buku di rumah, saya dan Hanim mengambil keputusan untuk menjual sebahagian buku milik kami dengan menggunakan platform Teratak Nuromar. Sekitar 2013/14, Teratak Nuromar pernah menjadi penganjur bersama sidang Wacana Meja Petak dengan beberapa kolektif lain yang cuba mewujudkan budaya perkongsian ilmu secara santai selari dengan pertumbuhan kolektif-kolektif seperti Lepak Maqasid dan Buku Jalanan.

Hubooks pula didirikan oleh saya, Zharif dan Shazni Bhai. Apabila dijemput oleh Bhai untuk menyewa sebuah ruang, saya dan Zharif terus bersetuju. Memang ketika itu masing-masing kami sedang mencari tempat untuk menyimpan buku-buku kami. Zharif seorang penjual buku bekas dan pemilik Pustaka Pakcik Kutubkhanah. Bhai pula seorang aktivis sosial dan juga anggota Gerimis Art Project serta NGO alam sekitar, Kuasa.

Selepas dua bulan di sini, kami fikir perlu lakukan sesuatu dengan Hubooks. Rasa rugi juga kalau ruang ini hanya menjadi tempat simpanan buku dan ruang bekerja. Kami mengambil keputusan untuk cuba memanfaatkan sebaik mungkin Hubooks sebagai sebuah ruang alternatif. Antaranya adalah dari sudut perkongsian dan penghasilan ilmu dengan menganjurkan forum, diskusi dan membuka perpustakaan buku. Saya sendiri merancang untuk mendigital dan mengarkib zine-zine dari koleksi saya dan membuka perpustakaan zine. Kami turut merancang untuk mewujudkan platform kajian budaya yang membabitkan golongan penyelidik, aktivis dan artis – barangkali menyediakan residensi penyelidikan kalau kami mampu mendapatkan dana. Akhir sekali, kami merancang menyediakan ruang untuk pameran kecil-kecilan, memandangkan Ipoh tidak mempunyai banyak ruang independen untuk kegiatan pameran seni yang bersifat non-komersial. Ini semua sekadar perancangan awal kami.

MM: Membaca dan buku itu sendiri jauh dari sekadar kata kerja dan objek pasif. Bagaimana anda melihat budaya sebegini dalam membuka ruang wacana lainnya? Bagaimana kita kemudiannya mungkin mengarkib ruang-ruang sebegini?

SOH: Kalau dilihat dari sudut aktiviti pewacanaan, dari pengalaman saya sejak awal 2000-an hingga kini wujud sekurang-kurangnya lapan inisiatif: YKP (sudah ditutup) dengan acara-acara seperti Gebang Seni yang memfokuskan pada bidang seni, sastera dan budaya dari yang tradisional sampai kontemporari; Wacana Meja Petak (sudah lama berhenti) yang lebih cenderung kepada perbincangan mengenai pelbagai bidang dari politik sampailah agama, tetapi agak kurang kepada seni dan budaya; Projek Rabak dengan program-program yang bersifat seni-budaya pop dan kreativiti indie seperti Ipoh Kreative; Sharpened Word yang kelihatan memberikan tumpuan pada sastera dan filem (umumnya dengan medium bahasa Inggeris); Wayang Di Atas yang lebih berminat dengan penayangan dan pembicaraan tentang filem dari pelbagai dimensi; Lestari Hikmah yang lebih condong kepada diskusi ilmu seperti sastera, politik, falsafah dan agama, selain isu-isu semasa; kolektif Kadiak yang kadang kala ada juga menganjurkan sesi dialog, talk dan sebagainya di acara-acara gig mereka; dan akhir sekali NGO Kuasa yang lebih menumpukan pada aktivisme dan pendidikan tentang alam sekitar. Mungkin ada inisiatif-inisiatif lain yang di luar pengetahuan saya.

Pengarkiban dan pendokumentasian saya lihat masih lemah. Antara kolektif-kolektif dan inisiatif-inisiatif yang saya sebutkan di atas, tidak banyak, setakat yang saya tahu, yang mendokumentasi atau mengarkibkan program-program mereka secara teratur. Bercakap pasal zine, saya tengok budaya zine di sini sekarang ini tidaklah begitu dinamik, walaupun dalam scene muzik sendiri. Saya juga pernah berbincang dengan Farid dari Wayang Di Atas. Saya katakan padanya, agak rugi kerana sesi-sesi perbincangan anjuran Wayang Di Atas tidak dikumpul dan diterbitkan. Salah satu yang paling progresif dalam hal ini ialah Lestari Hikmah. Setiap sesi pembentangan mereka disiarkan secara langsung melalui media sosial, justeru secara automatik terarkib di sana. Lestari Hikmah juga giat menyiarkan esei-esei di laman web mereka.

Saya rasa acara-acara sebegini penting dari banyak segi. Antaranya adalah meluaskan lagi horizon pemikiran masing-masing agar tidak terperangkap dalam kepompong kolektif, ilmu, bidang dan praktis sendiri-sendiri. Melalui acara-acara sebeginilah kita dapat mengetahui dan memahami isu-isu, tema-tema dan konsep-konsep baru dari pelbagai bidang lain yang boleh membantu praktis kita, sama ada sebagai artis atau aktivis atau penyelidik misalannya. Melalui acara-acara sedemikianlah boleh berlaku interaksi antara pelbagai kolektif, justeru pelbagai disiplin untuk tujuan bertukar-tukar idea serta wacana.

MM: Menyambung persoalan di atas, jaringan ilmu pengetahuan seperti apa yang mahu kita wujudkan dalam ekologi dan konteks kita sendiri? Bagaimana struktur tidak formal sebegini dapat menampung kelemahan institusi dan memperbesar wacana, misalannya?

SOH: Dalam konteks Hubooks, saya kurang pasti jaringan ilmu yang macam mana mahu kami bentuk dan praktikkan. Mungkin terlalu awal untuk dipertimbangkan perkara itu. Saya lebih suka merancakkan dulu aktiviti-aktiviti wacana, diskusi dan produksi ilmu dalam lingkungan rakan-rakan yang berminat.  

Seperti yang saya sebut di atas, tujuan utama saya menyertai ruang Hubooks ini adalah lebih kepada hendak mencari tempat untuk menyimpan koleksi buku saya; begitu juga dengan Zharif. Kemudian saya tertanya-tanya, kalau sudah ada buku-buku di sini kenapa tidak jadikan ruang ini semacam perpustakaan alternatif? Bukan sangat membuka perpustakaan itu kepada orang ramai, tetapi sekurang-kurangnya kepada rakan-rakan atau sesiapa sahaja yang berminat menggunakan koleksi buku yang kami ada: seni, sastera, agama, budaya, falsafah dan lain-lain. Juga seperti yang saya telah sebutkan di atas, Hubooks berusaha membuat jaringan dengan beberapa kolektif, kedai buku dan orang perseorangan yang condong kepada perbukuan serta wacana dan produksi ilmu (setakat ini Lestari Hikmah, Wayang Di Atas, Toko Buku Azbakia dan Kutubkhanah Kampung Tanah Merah) yang sebenarnya mempunyai fokus dan minat ilmu yang tidak sama. Kami merancang untuk menjalankan program-program dengan mereka, seperti penerbitan, diskusi, forum dan sebagainya.

Saya fikir insiatif-inisiatif independen atau non-formal seperti ini, dengan kekangan ruang fizikal, kewangan dan tenaga kerja, memang sukar untuk menjadi alternatif total kepada institusi kerajaan seperti sekolah, universiti dan perpustakaan awam. Namun dari beberapa segi, mereka mungkin mampu menggerakkan dan mendinamikkan wacana dan terlibat dalam praktis dan proses produksi ilmu yang alternatif dan barangkali lebih kritikal. Tambahan pula, bergerak secara independen memberi kelebihan untuk meneroka isu-isu dan sisi-sisi yang bukan arus perdana, yang sulit untuk diteroka oleh agensi-agensi dan institusi-institusi kerajaan.