Adakah munasabah untuk kita musnahkan radas pemerintahan di Malaysia secara menyeluruh sekiranya ianya sudahpun mempunyai beberapa kerangka umum institusi-institusi sosialis? Sebaliknya, kekurangan institusi-institusi terletak pada ketiadaan orientasi berpusatkan rakyat dan pengawalseliaan yang demokratik. Ikuti tulisan oleh Jeremy Lim yang diterjemahkan oleh Imran Rasid ini.

Golongan yang mengaku sosialis di Malaysia pasti mengeluh apabila mengenangkan kurangnya institusi demokratik-sosial yang paling asas di negara. Misalnya, kita ketandusan parti sosialis massa yang kukuh, serta barisan kesatuan buruh dan gerakan sosial kiri yang mandiri. Gambaran yang samar-samar buat potensi pembangunan sosialisme, berserta sejarah panjang berdepan dan bertarung dengan pemerintahan autoritarian (kuku besi), menjuruskan kita kepada sebuah persepsi bahawasanya radas pemerintahan harus dimusnahkan dan dibina semula. Meskipun kita bersetuju dengan pandangan ini, masih ada kecenderungan untuk memandang enteng keupayaan negara Malaysia untuk bergerak menuju ke arah sebuah masyarakat sosialis.
Kita boleh meneliti konteks ini dengan menjenguk wacana sosialis di Amerika Syarikat. Generasi sosialis di Amerika kini memperjuangkan hak-hak institusi awam bagi meningkatkan taraf kehidupan massa. Mereka kini mengangkat agenda bank rakyat, menyokong gerakan kooperatif, menggesa campur tangan kerajaan bagi menghasilkan pekerjaan, serta mendesak sistem keselamatan sosial dan jagaan kesihatan yang lebih baik. Penerobosan daya pasaran ke dalam ruang awam seperti hal pendidikan, jagaan kesihatan, dan ruang-ruang umum telah memusnahkan tata sosial yang membolehkan masyarakat kekal lestari serta hidup bermaruah.
Pun begitu, institusi-institusi ini kebanyakannya sudah lama bertapak di Malaysia. Kita memiliki EPF dan SOCSO yang merangkumi sejumlah besar rakyat Malaysia. Sudah tentu tiap satunya masih ada kekurangan tertentu, sementelahan lagi ianya tidak melindungi pekerja tidak formal dan kesenjangan ekonomi sedia ada juga boleh bertambah parah melalui sistem keselamatan sosial. Kita mempunyai institusi bank rakyat yang cuba memenuhi agenda pembangunan (tidak kiralah apa yang dimaksudkan sebagai pembangunan di sini) seperti Agrobank dan Bank PKS (Perusahan Kecil dan Sederhana). Terdapat juga bantuan dan kebenaran kerajaan buat operasi kooperatif, sehinggakan sebahagian menyebut terdapat lebih dari 12,000 kooperatif bernaung di bawah kesatuan nasionalnya.
Tatkala gerakan kiri di negara-negara lain menggesa dijalankan proses pemiliknegarakan, kita sudah pun memiliki galian sumber alam milikan negara seperti Petronas. Kita juga punyai polisi pendidikan dan sistem kesihatan menyeluruh yang ditanggung kerajaan, sungguhpun ada sedikit yuran dikenakan untuk menggunakan khidmatnya. Negara juga memiliki undang-undang dan peraturan yang mewartakan sebahagian tanah yang hendak dibangunkan digunakan untuk tujuan perumahan awam. Mekanisme pemindahan wang ke tangan golongan miskin juga sudah lama wujud, meskipun ada kritikan yang mensabitkannya pada motif berbaur politik.
Justeru, apa yang membelenggu Malaysia sebenarnya adalah sejenis ‘kemerosotan demokrasi sosial (degenerated social democracy)’ — meminjam ungkapan ‘kemerosotan negara pekerja (degenerated worker’s state)’ nukilan Trotsky yang ditujukan kepada Kesatuan Soviet – kerana Malaysia sudah pun memiliki institusi-institusi yang berpotensi untuk memberi kesan positif pada kehidupan rakyat kebanyakan di Malaysia. Persoalannya sekarang, mengapa hal ini gagal berlaku?
Sekiranya kita ketepikan dahulu isu kualiti dan pelaksanaan, jawapan umum rakyat Malaysia kepada persoalan ini selalunya dihalakan kepada masalah rasuah dan sifat institusi yang samar-samar. Pun begitu, menangani rasuah hanyalah seperti merawat gejalanya, bukan asbab hakikinya, iaitu menurut saya adalah keterbatasan pengawalseliaan yang demokratik. Sebahagian mungkin berpandangan sudah memadai untuk ahli politik – yang hanya dilantik setiap lima tahun – untuk menyelia institusi-institusi ini, namun apa yang dapat memapankan lagi institusi ke arah agenda sosialis ialah dengan melibatkan rakyat massa dalam proses penyeliaan atau pengawalan terus ke atas institusi-institusi ini melalui proses demokrasi tempatan.
Ini dapat dilakukan hanya apabila institusi demokrasi tempatan sudah wujud untuk digembleng bagi tujuan proses semak-imbang. Kita boleh membayangi bentuk institusi demokrasi tempatan ini menerusi kesatuan penduduk desa yang mengumpul ahli-ahlinya dalam satu pertemuan untuk berbincang serta menyuarakan pilihan mereka kepada majlis daerah atau perbandaraan. Tertakluk sama ada badan perbandaran atau daerah tersebut mempunyai kuasa terhadap isu yang dibangkitkan, suara-suara yang dikutip dari pertemuan tempatan ini akan dibawa terus ke peringkat seterusnya untuk ditangani mana-mana pihak yang bertanggungjawab.
Dalam konteks penyeliaan, persatuan penduduk boleh melantik sesiapa dari kalangan mereka atau pihak ketiga bagi menggalas tanggungjawab sebagai penyemak-imbang kepada institusi-institusi ini dan seterusnya melaporkan semula kepada komuniti yang terlibat. Misalnya, pembekal air negeri boleh diminta untuk melaporkan sebarang projek dan kemalangan yang berlaku setiap suku tahun kepada sebuah panel yang terdiri daripada ahli-ahli “persekutuan” persatuan-persatuan penduduk di peringkat negeri. Panel ini bertanggungjawab untuk memaklumkan hasil dapatan mereka kepada masyarakat agar mereka dapat mengikuti perkembangan terkini.
Dalam kes seperti ini, institusi-institusi awam masih lagi ditadbir-urus urus oleh pihak di luar komuniti, iaitu dari kalangan profesional atau birokrat kerajaan, dan pada waktu yang sama turut bertangungjawab secara terus dengan wakil-wakil komuniti. Dalam soal pengawal-seliaan secara penuh pula, ahli-ahli ‘persekutuan’ persatuan penduduk akan bermesyuarat dalam persatuan masing-masing, diikuti dengan kata putus mereka dibawa ke peringkat seterusnya untuk diundi pilihan mana yang harus dilaksanakan oleh pihak eksekutif di peringkat persekutuan. Contoh yang boleh kita teladani ialah bagaimana bank rakyat dimiliki negeri beroperasi. Di situ, para penduduk boleh bermesyuarat untuk menentukan bidang mana yang perlu diutamakan sebagai destinasi pelaburan bank untuk tahun itu, misalnya seperti bidang infrastruktur dan pendidikan. Ahli lembaga pengarah boleh dilantik dari ahli ‘persekutuan’ untuk memantau dari dalam setiap perlaksanaan bidang-bidang yang telah dipilih sebagai keutamaan. Hal ini memberikan perwakilan yang dilantik secara demokrasi suara untuk melibatkan diri dalam pengurusan institusi-institusi awam.
Sebahagian barangkali menyangkal idea pengawal-seliaan demokratik ini sebagai satu utopia, walhasil sebahagian besarnya sudah pun diamalkan dalam pelbagai bentuk di Eropah, semisalnya di Switzerland. Justeru, sekiranya idea ini benar-benar menarik dan boleh diterapkan, adakah ianya boleh dicapai dalam kerangka institusi kita sekarang? Secara ringkasnya, jawapannya adalah tidak buat masa ini. Pertamanya, pertubuhan-pertubuhan penduduk yang demokratik dan rentas negara perlu tertubuh terlebih dahulu bagi membolehkan mekanisme penyeliaan dan pengawalan berfungsi. Keduanya, birokrasi kerajaan dan institusi awam sendiri harus bersedia menerima perubahan sistem ini. Tidak sukar untuk kita bayangkan kelas birokrat, yang sudah terlalu biasa dengan cara lama, menolak mentah-mentah upaya demokrasi seperti ini, tidak kiralah sama ada dari kedudukan kesesuaian profesional, atau untuk memelihara kedudukan / kuasa sendiri.
Berangkat dari dua cabaran yang disebutkan ini, tugas kita adalah dwi-dimensi. Pertamanya, kita harus menyusun persatuan-persatuan demokratik sebelum mengambil alih pengurusan institusi awam. Persatuan-persatuan ini boleh digerakkan untuk tujuan-tujuan lain terlebih dahulu sementara ruang demokrasi masih belum luas dibuka. Keduanya, dan hal ini lebih mencabar, kita harus berusaha merangkul tampuk kuasa kerajaan bagi mengubah orientasi institusi-institusi awam ini. Kerajaan sosialis/progresif yang dilantik pastinya akan menemui tentangan yang kuat atau usaha sabotaj yang digerakkan kumpulan birokrat kerajaan, maka maha penting untuk rancangan peralihan dirangka dengan teliti dan cermat.
Info: Versi Bahasa Inggeris boleh diakses di sini.