#MalaysiaYangMuda merupakan sebuah siri wawancara ringkas mingguan bersama teman-teman lingkungan dan penggerak politik, seni, dan budaya yang berterusan menghidupkan Malaysia serta isi warganya.

Dengan semangat tahun baru yang bergelora, minggu ini kami kembali dengan menemubual Lindu Livan, seorang pelajar sarjana di dalam program ‘Inter-Asia NGO Studies’ di Sungkonghoe University, Korea. Beliau juga merupakan bekas penggerak mahasiswa (2011-2016) serta pernah terlibat dengan kesatuan sekerja di peringkat kebangsaan dan internasional. Kini, Lindu banyak terlibat dan mengamati isu migran di Malaysia serta Korea. Bersamanya, kami bertanyakan tiga soalan seputar pengalamannya ‘belajar’ dan ‘menggerakkan’ NGO, adakah NGO membonsaikan gerakan akar umbi serta yang terakhir, apakah gerakan NGO di Malaysia beradaptasi dengan perubahan demokrasi yang pesat. Dengarkan suaranya!

Lindu Livan

MM: Malaysia Muda / LL: Lindu Livan

MM: Sekarang Lindu sedang menjalani pengajian sarjana memfokuskan tentang gerakan NGO di Asia. Bagaimanakah ianya memberi sudut pandang yang kritikal kepada penglibatan Lindu sendiri yang terlibat dengan NGO di Malaysia sebelum ini?

LL: Penglibatan saya bersama dengan School of Acting Justly, Loving Tenderly, and Treading Humbly (S.A.L.T) telah memberi peluang kepada saya untuk membangunkan dasar sudut pandang yang kritikal dalam aktivisme. Melalui pengalaman yang telah saya lalui, penglibatan dalam pergerakan pelajar lebih memberi kesan yang mendalam berbanding penglibatan secara terus dengan NGO. Pergerakan pelajar seperti S.A.L.T telah melatih saya untuk melihat sesuatu isu dengan lebih kritikal dan sudah tentunya, lebih berdasarkan kepada pergerakan komuniti di akar umbi. Saya masih teringat pengalaman pertama saya melalui latihan dua minggu yang dianjurkan oleh Jesuit dengan S.A.L.T di sebuah perkampungan di Ulu Belaga. Kami telah dilatih untuk meneliti isu empangan Bakun dengan menggunakan teknik-teknik sosial analisa bersama dengan komuniti di akar umbi. Pengalaman ini telah memberikan satu dasar yang kuat kepada saya. Selain itu, aktiviti-aktiviti yang kami jalani bersama dengan komuniti di Kaiduan dan Baram untuk bantahan empangan Kaiduan dan Baram juga telah memberikan peluang kepada saya untuk membina hubungan yang erat dengan komuniti. Penelitian yang penting dalam kempen bantah empangan adalah, “bagaimana sebuah pergerakan atau NGO itu membina dan mengekalkan hubungan mereka dengan komuniti”.

Selepas penglibatan dengan S.A.L.T selama enam tahun, saya mulai terlibat dengan NGO sebagai sukarelawan di North South Initiative (NSI) untuk isu pekerja migran di Malaysia, dan juga bekerja dengan beberapa kesatuan pekerja melalui projek sebagai perunding. Pengalaman bekerja dengan NGO and kesatuan pekerja telah menambah perspektif yang lebih meluas, dan saya dapat membandingkan pengalaman saya dengan pergerakan pelajar, NGO dan juga kesatuan sekerja melalui variasi analisa yang berbeza. Refleksi yang saya boleh kongsikan di sini adalah ada beberapa pengalaman di pergerakan pelajar yang saya tidak akan dapat diperolehi dengan NGO atau kesatuan sekerja, dan apa yang saya perolehi di NGO dan kesatuan sekerja, saya tidak akan memperolehinya melalui pergerakan pelajar. Pengalaman yang berbeza ini telah memperkayakan keupayaan saya untuk berfikir secara kritikal dan juga membuat analisa tentang sesuatu isu. Saya merasakan seseorang itu tidak perlu fokus dengan sebuah pergerakan saja sama ada pelajar, NGO atau kesatuan sekerja, tetapi perlu melibatkan diri dengan pelbagai pergerakan sosial sekaligus meningkatkan perspektif dan pemikiran serta tidak tertumpu kepada sesuatu isu sahaja. Saya merasa pengalaman yang berbeza itu juga mampu meningkatkan semangat untuk bersolidaritas kepada pelbagai isu.

MM: NGO memainkan peranan yang penting dalam pendemokrasian. Namun, pada waktu yang sama, ianya turut berdepan dengan kontradiksinya sendiri di mana pen-NGO-an (NGO-ization) seringkali melebarkan jurang di antara gerakan yang menuntut hak di peringkat akar umbi kepada sekadar mengikut kemahuan dari penderma geran (grant donors) – sekaligus ianya melemahkan gerakan akar umbi. Seperti apakah kita mahu memahami situasi sebegini? Dan bagaimanakah kita mahu melangkaui hal ini?

LL: Soalan ini mampu mencetuskan satu perdebatan yang kritikal terutama dikalangan NGO dan juga aktivis. Seperti yang kita tahu, NGO memang banyak bergantung dengan penderma geran, seakan-akan itulah nadi nyawa utama sesebuah NGO untuk meneruskan operasi mereka, dan kebanyakan penderma geran itu adalah dari organisasi luar negara. Persoalannya “kenapa organisasi dari luar negara berminat untuk memberikan derma kepada NGO tempatan?” dan “apa yang membuatkan mereka tertarik?”. Kalau meneliti proses untuk mendapatkan derma itu, kebanyakkan NGO akan membuat kertas kerja yang menarik, dan kebanyakan kertas kerja itu memaparkan isu-isu yang terkait dengan pergerakan komuniti di akar umbi. Sebagai contoh, isu yang berkait dengan Orang Asli/Asal.

Kebanyakan NGO masuk kampung, berjumpa dengan orang kampung, meneliti isu-isu yang terlibat di kampung itu dan merangka projek atau program untuk orang kampung, khususnya jika terdapat isu yang ketara di kampung itu. Program dan projek diatur untuk menyakinkan penderma geran bahawa program ini bagus dan membawa kebaikan kepada orang kampung. Persoalan yang kritikal disini adalah “bagaimanakah penglibatan orang di peringkat akar umbi dalam proses perangkaan program?”. Salah satu keluhan di mana sesetengah orang di akar umbi kongsikan kepada saya adalah, “kadang-kadang NGO hanya menggunakan isu kami untuk dana mereka”. Mendengar keluhan ini membuatkan saya terfikir, “adakah orang di akar umbi merasa yang mereka ini menjadi bahan objek kepada pendanaan semata-mata atau program ini membawa kebaikan kepada komuniti mereka”.

Saya tidak mengandaikan semua NGO itu hanya fokus dengan pendanaan saja. Saya tahu ada sesetengah NGO mempunyai niat yang baik untuk membuat perubahan kepada komuniti di akar umbi, sebab saya juga terlibat dengan beberapa NGO di Malaysia. Tetapi apa yang saya perhatikan atau refleksikan disini adalah ada sesetengah program NGO yang berlandaskan kepada “touch & go”, dimana dua atau tiga kali program, buat penilaian, hantar laporan kepada penderma geran selepas program selesai dan selepas itu jadi sepi tanpa “follow-up” dengan komuniti di akar umbi. Ada sesetengah pemimpin di akar umbi tertanya-tanya “apa sudah jadi dengan program di kampung kami?”. “Kenapa mereka jadi sepi?”. Program tanpa “follow up” ini mempunyai pengaruh dalam melemahkan pergerakan komuniti di akar umbi. Menurut analisa saya, sesetengah isu di akar umbi menjadi “subjek” kepada funding untuk menarik perhatian penderma geran ataupun menjadi sumber dana untuk NGO.

Ada juga NGO yang membuat banyak “follow up” selepas beberapa program dibuat di komuniti akar umbi. Mereka membina hubungan yang rapat dengan komuniti akar umbi untuk membentuk kepercayaan yang kuat. Menurut pengalaman saya dengan komuniti akar umbi yang terlibat dengan isu empangan, komunikasi secara berterusan sama ada melalui Facebook atau WhatsApp adalah alternatif yang bagus untuk meneruskan hubungan dengan komuniti. Komuniti di akar umbi mempunyai kepercayaan kepada NGO untuk memberikan maklumat terkini berkait dengan isu mereka.

Selain itu, ada sesetengah NGOs juga menggunakan duit dari penderma geran dan disalurkan kepada komuniti di akar umbi untuk membantu mereka. Di peringkat permulaan, membantu komuniti di akar umbi dengan menggunakan duit memang memberikan manfaat kepada mereka. Namun, apabila perkara ini berlaku secara kerap, ianya menjadi sesuatu yang dikatakan memanjakan komuniti di akar umbi dan mereka akan hanya bergantung sepenuhnya dengan dana untuk menjalankan kegiatan tanpa ada inisiatif sendiri. Maka, persoalannya disini, “bagaimana sesebuah NGO mengimbangkan proses pemerkasaan dan pada masa yang sama membantu komuniti di akar umbi menggunakan duit”.

Oleh itu, sebagai seorang aktivis yang pernah bekerja dengan NGOs, saya merasa bahawa adalah sangat penting untuk NGOs dan juga aktivis membuat refleksi yang mendalam dan berterusan untuk menganalisa dan mengrefleksi kerja-kerja yang sudah dibuat dengan komuniti di akar umbi. Bertanya banyak persoalan untuk diri sendiri adalah sesuatu yang kritikal untuk membolehkan kita melihat sejauh mana penglibatan kita dengan komuniti di akar umbi. Selain itu, saya juga menekankan untuk membuat hubungan yang berterusan dengan komuniti di akar umbi walaupun projek ataupun program sudah berakhir. Pada pendapat saya, penderma geran itu mempunyai “pros dan cons”, dan ianya bergantung dengan NGOs bagaimana mereka mengurus projek dan program mereka, terutamanya dari segi prespektif dan idea.

Lindu Livan mengikuti ‘standing protest’ di Korea.

MM: Bentuk-bentuk NGO sendiri berubah seiring dengan proses pendemokrasian yang berbeza mengikut perkembangan di dalam masyarakat masing-masing. Apakah NGO di Malaysia sendiri berinteraksi dengan perubahan-perubahan sebegini? Wujudkah satu penilaian yang kritikal dalam memahami bentuk perkembangan NGO di Malaysia?

LL: Menurut pendapat saya, perubahan ketara yang sudah berlaku dengan sesetengah NGO adalah lebih kepada operasi dan struktur. Terdapat kecenderungan NGO dibentuk tanpa struktur melalui pergerakan yang fleksibel, terutamanya di kalangan anak muda. Anak muda lebih cenderung untuk membentuk pergerakan mengikut isu yang mereka tertarik, dan kebanyakan isu itu bergantung dengan keperluan komuniti masing-masing. Secara amnya, Malaysia adalah dianggap sebagai quasi-democracy atau semi-demokrasi walaupun ciri-ciri demokrasi itu sudah ada, contohnya dengan pilihanraya. Tetapi persoalannya disini, “adakah NGO mempunyai demokrasi yang mutlak untuk menyuarakan apa sahaja pendapat tentang pemerintah?”. Menurut pemerhatian saya, masih ada kekangan di kalangan NGO untuk menyuarakan pendapat secara bebas. Selain itu, protes secara terbuka samaada besar atau kecil adalah masih terhad di Malaysia. Saya tidak melihat protes dengan poster ataupun pembesar suara berlaku di jalanan secara spontan. Untuk membuat protes adalah bergantung kepada kebenaran pihak berkuasa.

Melalui pengalaman dan pemerhatian saya tentang bagaimana demokrasi sistem di Korea Selatan  khususnya terkait dengan pergerakan sosial atau NGO, hampir setiap hari, saya akan melihat protes berlaku di tepi jalanan, sama ada kecil atau besar dengan menggunakan poster dan pembesar suara. Apa yang menariknya, penunjuk perasaan itu bukan saja anak muda, tetapi pak cik dan mak cik yang saya andaikan dalam lingkungan umur 40 ke 50 tahun. Mereka memegang poster, berdiri seharian dengan pembesar suara. Selain itu, protes tidak semestinya dilakukan atau dirancang oleh NGO, tetapi kebanyakannya dibuat secara individual dan pelbagai isu diketengahkan oleh mereka. Saya sempat menyertai satu protes yang dinamakan “standing protest” dengan berdiri di depan bangunan sambil memegang poster. Saya berdiri selama sejam sambil sempat membuat refleksi tentang kehidupan. Saya juga mengikuti satu protes di kampus bersama dengan para tukang cuci. Protes ini dibuat oleh kesatuan pelajar di kampus saya. Mereka sudah melakukan protes setiap hari untuk menuntut kepada presiden universiti agar melindungi hak para tukang cuci itu. Selepas sebulan, tukang cuci itu mendapat haknya kembali.

Saya dapat menilai Korea Selatan dikira sebagai sebuah negara yang penuh demokrasi dengan pergerakan pelajar, NGO, kesatuan pekerja dan pelajar masih mempunyai hak untuk menyuarakan apa-apa pendapat kepada pemerintah. Menurut analisa saya, apa yang saya alami di Korea Selatan tidak akan berlaku di Malaysia kerana pergerakan pelajar dan NGO masih tidak dapat menikmati demokrasi yang penuh dari segi aktivisme. Jadi persoalannya disini adalah “apakah alternatif atau cara yang kreatif untuk pergerakan pelajar dan NGO dalam berinteraksi dengan aktivisme dengan suasana demokrasi yang penuh kekangan?”.

Menurut pendapat peribadi saya, penilaian kritikal tidak sebegitu ketara di kalangan NGO kerana mungkin tidak wujudnya sistem “semak dan imbang“, dimana setiap NGO dapat menganalisa kekurangan dan kekuatan organisasi masing-masing. Kalau sesebuah NGO itu mengkritik NGO lain, “adakah NGO yang dikritik itu terbuka hati untuk menerima kritikan?”. Kadang-kadang apabila kita fokus dengan perjalanan aktivisme sendiri, terdapat kecenderungan untuk melihat kesempurnaan terhadapt aktivisme sendiri. Apa yang saya perhati di Korea Selatan adalah wujudnya garisan partisan di kalangan NGO dari yang progresif dan juga konservatif. Sudah tentunya wujud buruk dan baik dengan partisan, tetapi apa yang saya refleksikan disini adalah  kritikan dari pihak sebelah mampu meletak sesebuah organisasi itu kedalam refleksi yang mendalam tentang aktivisme mereka. Maka, kritikan dan komen itu diperlukan dalam perjuangan aktivisme.