Imran Rasid

Muka hadapan Testamen Politik API (1946)

Lipatan Sejarah API dan Testamen Politik

Testamen Politik API mula menyergah dunia politik Malaya pada Disember 1946. Menurut laporan perisikan British, sebanyak 1000 naskah telah diterbitkan oleh Majlis Tertinggi API dan diedarkan sempena Kongres Pertama API (22 – 24 Disember 1946) yang berlangsung di Melaka. Penerbitannya disegerakan oleh penulisnya, Ahmad Boestamam, dengan tekad ia menjadi simpai yang mengikat perjuangan Angkatan Pemuda Insaf (API) yang baru sahaja tertubuh. Malangnya, tiadalah pula Boestamam tahu, hayat karya dan organisasi beliau bakal terkubur sebelum bercambah penuh.

Sekilas pandang, Testamen Politik API tidak tampil dengan wajah yang memikat. Muka hadapannya tertera judul yang serba ringkas, tiada gambar atau seni rajah yang bergaya. Halaman yang termuat hanyalah sekitar 29 muka surat. Namun, tulisan kecil ini berjaya mencampak rasa gerun ke dalam dada pentadbiran British sehinggakan mereka memutuskan untuk menamatkan riwayat API dan menghumban Boestamam ke penjara di bawah Internal Security Act (ISA, atau ‘Akta Sakit Hati’)[1]. Pengharamam API oleh British itu disusuli dengan dalih yang terlalu mudah (orang Inggeris kata: simpleton).

Dalam mesyuarat Eksekutif  “Malayan Union Council” pada 30 Jun 1947, Sir Edward Gent dengan nasihat ahli “Advisory Council of Malayan Union” bertitah mengharamkan API dengan alasan “API was being used or likely being used for purpose incompatible with the peace, good order or welfare of the union.” ( the Straits times, 17 Julai 1947). Sebelum itu, pada April 1947, Ahmad Boestamam pula disabitkan dengan tiga kesalahan: (1) menuturkan kata-kata yang menghasut; (2) menerbitkan penerbitan yang menghasut; (3) mencetak penerbitan yang menghasut[2]. Ketiga-tiga dakwaan ini dibuat hanya berbasiskan satu ungkapan keramat dalam Testamen Politik API: “Merdeka dengan Darah”. Frasa ini ditafsir oleh Hakim perbicaraan secara keliru, sama ada dengan sengaja atau tidak, sebagai satu hasutan, atau “Spirited invocation to malay youth to join API and achieve Independence through blood in the shortest possible time… to excite the subjects to alter the present system of government by violence[3].

Alasan yang dilampirkan pentadbiran British beserta radas kenegaraannya (state apparatus) ini ternyata dangkal. Ungkapan “Merdeka dengan Darah” itu harus dibaca dalam konteksnya. Ianya satu rumus bersifat defensif, atau “last resort” dalam suasana rejim kolonial yang enggan mempertimbangkan agenda kemerdekaan dengan cara yang telus dan adil. Sifat “violence” yang ditempel kepada API juga harus diperincikan lagi (misalannya, apakah maksud ‘violence” itu? Ini akan dibahas panjang lebar pada artikel kemudian).

Sebetulnya, sekiranya dibaca Testamen Politik API dengan jujur, akan kita dapati isi cakupannya lebih luas dan idea-idea yang tersisip banyak yang bernas, terkehadapan, dan sebahagiannya cukup revolusioner! Justeru, yakinlah kita bahawa alasan pengharaman itu sebenarnya bermotif politik – ianya adalah percaturan untuk mencantas pengaruh API yang mengancam kedudukan UMNO dan British ketika itu[4]. Hal ini tidak menghairankan. Menurut Stockwell, ahli API bertambah daripada 2560 orang pada tahun 1946 kepada 10,000 ke 15,000 orang pada pertengahan tahun 1947[5]. Pertumbuhan keahlian yang pesat dalam jangka masa yang pendek ini pastinya menggusarkan British.

Pengharaman Testamen Politik API tidak bermaksud gagasannya harus terkubur sama. Dokumen Testamen ini juga adalah saksi buat perguliran arus politik dengan wacana dan permasalahan sezamannya. Ianya menjelma di tengah-tengah tempoh yang genting dalam sejarah kemerdekaan negara; penubuhan Malayan Union, perlangsungan Kongres Melayu se-Malaya, pengenalan Perlembagaan Rakyat (1947), demonstrasi Hartal, dll. Meskipun begitu, wawasan yang dibawakannya menjalar ke luar waktunya, merentas jenjang masa dan kekal berdengung di era yang kita diami hari ini.Sayugia Testamen Politik API haruslah dibaca bukan hanya sebagai artifak sejarah yang layak di simpan di ruang muzium, tetapi juga sebagai dokumen yang masih ‘bernyawa’.

Keratan Akhbar The Straits Times, 17 Julai 1947, yang mengisytiharkan pengharaman API (kredit Fahmi Reza)

Testamen Politik API sebagai Manifesto Pemuda

Ada beberapa sudut yang kita boleh ambil apabila membaca Testamen Politik API. Misalnya, sebagai manifesto kebangkitan orang muda, seruan Testamen Politik itu terus segar untuk didengari. Boestamam memusatkan seruannya itu di tengah-tengah kemelut politik yang rentas negara. Maksudnya, kepentingan anak muda itu adalah kepentingan serantau dan juga dunia sejagat dari tiap ceruk sejarah. Boestamam mendeklarasikan: “dari semenjak dunia ada dan dalam masa dunia menempoh perubahan2 yang memang tuntut oleh ‘alam mengikut prosesnya tenaga pemuda selalu terbukti..”[6]. Watak pemuda sebagai pendorong utama dalam arus perubahan masyarakat yang harus digembleng itu terungkap awal-awal di laman Testamen Politik API tanpa segan silu. Katanya lagi,

“Demikianlah ada-nya jiwa pemuda di seluroh dunia ini iaitu semangat dan jiwa pemuda yang telah banyak berjasa, berbakti untok kebaikan, kemajuan, keindahan, keamanan, keadilan di dunia ini. ..Dunia tidak akan dapat melupakan jasa dan bakti mereka itu, bakti dan jasa yang menunjukkan bahawa tenaga yang ada pada pemuda itu ialah tenaga raksasa[7]

Malangnya, menurut Boestamam, tenaga raksasa ini belum benar-benar tersusun dalam agenda memperjuangkan kemerdekaan negara. Boestamam menyenaraikan dua latar kepada penubuhan API; (a) kebangkitan pemuda pelbagai bangsa dari tiap bucu dunia melalui kemunculan New Democratic Youth League, (b) Kebangkitan pemuda bangsa lain di Malaya seperti Sam Min Chui Youth Corp (gabungan pemuda bangsa Cina) dan Hindi Volunteers Service (pemuda bangsa India).

Gabungan pemuda sedunia ini tertubuh dalam satu persidangan besar di London pada 10 November 1945 yang dihadiri kaum pemuda dari pelbagai negara (64 buah negeri menyertai persidangan ini mewakili 300 ribu pemuda). Justeru, API tertubuh dengan cita-cita untuk menyertai pertubuhan pemuda sedunia ini dan menjadi penggerak golongan pemuda dalam agenda kemerdekaan nasional.  Penubuhan API juga adalah usaha pemuda-pemudi PKMM untuk keluar dari bayang-bayang politik orang tua. Menurut Ibrahim Chik, idea penubuhan API ini muncul  kerana PKMM mula berkembang dan didominasi orang tua. Kegiatannya tidak serancak golongan Muda. Oleh sebab itu, Boestamam menubuhkan API sebagai wadah bagi orang muda bergerak seiring dengan agenda PKMM[8].

Testamen Politik API sebagai dokumen Parti

Dari sudut yang lain, Testamen Politik API sebagai sebuah penyataan gagasan politik sesebuah organisasi menampilkan sebuah hala tuju yang jelas dan tuntas serta menyeluruh. Organisasi API tidak perlu menunggu partinya ‘berdaftar’ atau keahliannya mencecah ratusan ribu, atau tampil figura politik yang serba kacak lagi berkarisma untuk memberi tunjuk arah pada sebuah gagasan yang bisa ditawarkan pada massa. Pada kongres pertamanya sahaja, API sudah memerikan asas dan tujuan penubuhannya, ideologi politik, ekonomi dan sosialnya, serta modus operandi, matlamat dan falsafah pendekatannya. Kesemuanya tersemat dan tertuang kemas dalam Testamen Politik API yang kita baca hari ini.

Kejelasan ideologi (ideological clarity) ini adalah suatu dimensi yang hilang dalam politik mutakhir. Parti-parti politik hari ini lebih selesa menyorok di celah-celah alasan “pragmatisme”, atau berselindung di balik kempen-kempen populis. Mereka bergerak tanpa sendi ideologi, iaitu matlamat dan falsafah politik yang jelas, hatta orientasi gerak kerja mereka juga menjadi terawang-awang seperti lalang mengikut hembusan ‘mood’ politik yang terkini. Ini jugalah yang menjadi asbab gejala lompat parti mengikut wang yang ditaburkan, gejala galak berswafoto dengan figura-figura yang jadong (jahat, bodoh, sombong) berlapikkan alasan “kerjasama” dan “perpaduan”. Politik seperti ini adalah politik kontang prinsip, atau dengan nama lain politik ‘reaksioner’ yang sesat lagi menyesatkan.

Rekaan semula bendera A.P.I. ni berdasarkan gambar kad keahlian A.P.I. oleh Fahmi Reza.

Testamen Politik Sebagai Program Politik

Sejujurnya, semasa saya menekuni dokumen Testamen Politik API ini, saya terkesima melihat beberapa idea-idea dan cadangan polisi yang cukup berani dan terkehadapan berbanding zamannya. Di bahagian politik, sudah tercatat hal-hal yang menyentuh soal hak-hak berdemokrasi serta hak-hak kemanusiaan, termasuklah hak-hak bersuara dan penghapusan “tempat2 tahanan yang diadakan kerana politik atau kerana gerakan buruh”. API juga menggesa dihapuskan sebarang “undang-undang membezakan kulit dan lain2’; ini menjadi suatu deklarasi penting yang menolak apa juga bentuk diskriminasi dalam pengurusan negara. Gesaan-gesaan ini terus berdengung ke masa kini, terutama apabila kita masih dibayangi akta-akta yang drakonian seperti SOSMA, dan polisi-polisi yang menindas pelbagai kaum.

Dalam bahagian pendidikan pula, terakam beberapa tuntutan yang menarik seperti: “hak mendapat pelajaran percuma”; “Hak belajar dalam bahasa sendiri”; “hak berorganisasi dalam sekolah”, etc. Idea pendidikan percuma sudah tiba di bumi Malaya jauh sebelum munculnya Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP) pada tahun 2012, dan kemasukannya idea pendidikan percuma dalam Manifesto Pakatan Harapan 2013. Malah, ungkapan “hak berorganisasi dalam sekolah” adalah manifestasi pembudayaan ‘demokrasi’ dalam pendidikan, suatu cita-cita yang masih tak tercapai waktu ini dengan masih wujudnya AUKU dan polisi-polisi yang menekan para pelajar dan guru.

Testamen Politik API juga menyentuh hal-hal pertanian, perusahan dan kesihatan. Sungguhpun tidak disebut perihal “gaji minima” tetapi dinyatakan dalam tuntutan mereka akan “gaji yang berpatutan untuk hidup. Masa bekerja dipendekkan”. Tuntutan-tuntutan ini bukan sahaja kekal relevan tetapi terbit dari suatu imaginasi politik yang tidak terperangkap dengan suguhan-suguhan status quo. Sebab itulah ia terus disebut-sebut sehingga hari ini.

Akhir Bicara

Sebagai sebuah dokumen politik Testamen Politik API tampil sebagai sebuah dokumen yang terus “bernyawa”. Kini mencecah 74 tahun hayatnya, ia terus hidup sebagai peringatan akan semangat muda orang-orang terdahulu, serta cabaran getir yang masih berlegar di hadapan kita. Sayang sekali intipati dokumen ini tenggelam dek momokan frasa “Merdeka dengan darah” yang disebut-sebut sebagai seruan kepada keganasan. Walhasil, tiada perjuangan yang berlayar tanpa keganasan. Tiada perlawanan yang berlangsung tanpa tertumpahnya darah. Bedanya, cuma mangsa yang terkorban hari-hari bukan mati dilibas pedang atau peluru, tetapi tumpas ditekan rencaman undang-undang dan keadaan sosial yang membelenggu.

Pengajaran besar yang tersemat dalam dokumen Testamen Politik API ini adalah gesaan untuk politik muda memeluk semangat keberanian dan agenda perubahan yang rentas status quo, rentas zaman. Sisihkan rasa takut dalam menawarkan program politik yang disifatkan sebagai ‘radikal’ itu. Gigihkan bersuara dan melawan tanpa rasa gusar agenda kita itu bakal menghuris hati tisu generasi politikus/pemimpin tua. Binalah politik dari landasan prinsip yang terang dan jelas berpandukan semangat yang segar dan merakyat. 

Sudah-sudahlah menari dengan alunan muzik lama. Bukankah menjadi muda itu bermaksud menjadi berani untuk menganjak dari takup yang usang? Bak kata Boestamam, anak muda itu berupa tenaga raksasa. Maka ayuh jadilah raksasa yang liar memusnah tatanan politik lama, bukannya raksasa yang digari menjadi boneka mana-mana delegasi Dato Seri atau Tun yang sudah lapuk usianya.

Rujukan:

[1] Boestamam adalah mangsa pertama Akta Sakit Hati (ISA), dan ISA terus menerus dijadikan senjata utama untuk melakukan penahanan politik sehinggalah ia dibubarkan dan digantikan dengan SOSMA dan POTA.

[2] CO 537/5121 Activities of the Organisastion known as API, dipetik daripada Hasfaliha Hassan, Ishak Saat, “Angkatan Pemuda Insaf (A.P.I): 1946-1947, UTHM (2019), hlm. 91

[3]  Co 537/2177 Malayan Security Service Journal, dipetik daripada ibid, hlm.  97

[4] Hal ini telah diakui dalam laporan perisikan British, CO 537/2151 Activities of the Organisastion known as API, dipetik daripada Ramlah Adam,  Ahmad Boestamam: Satu Biografi Politik, Dewan Bahasa dan Pustaka (2009), hlm.  168

[5] Stockwell, A.J.  British Policy and Malay Politics During The Malayan Union Experiment 1942-1948, MBRAS (1979) hlm. 135

[6]  Ahmad Boestamam, Testamen Politik API, Majlis Tertinggi API (1946), hlm. 3

[7] Ibid

[8] Ibrahim Chik, Memoir Ibrahim Chik: Dari API ke Rejimen ke-10, hlm. 38