Foto / Teks: Karim Daud. Suntingan: Zikri Rahman

Angin-angin pembebasan kencang bertiup di kerumunan orang yang berada di sebuah kawasan lapang berhampiran Sekolah Cina Bandar Temerloh.
“Dengan seribu, seratus malah sepuluh pemuda yang kuat, kita akan dapat meratakan Gunung Tahan,” laung Ahmad Boestamam di khalayak ramai.
Sambil tangan dikepalkan ke udara mereka berteriak, “MERDEKA DENGAN DARAH”.
Perjuangan pembebasan yang progresif serta inklusif pernah menjadi sebahagian daripada sejarah warga Temerloh pada suatu ketika dahulu.
Dengan tertubuhnya cawangan API pada pertengahan tahun 1946, ianya merupakan detik bersejarah bahawa Temerloh sendiri kaya dengan semangat pemuda-pemudi yang menginginkan kebebasan yang mandiri.


Sumber: https://www.facebook.com/groups/3428904010507008/permalink/3696453967085343/
Menariknya, lewat tesis Mohamed Salleh Lamry yang berjudul Temerloh Dalam Kancah Perjuangan Merdeka, ada dicatatkan bahawa idea-idea “kiri” tersebut tidaklah bermula dari API semata-mata.
Bahkan, tradisi itu sudahpun mengakar dalam masyarakat di sana.
Maka disebabkan oleh itu, pemuda-pemudi Temerloh menolak daripada terus diperbodohkan penjajah Inggeris mahupun penguasa tempatan itu sendiri.
Berpandukan karya Mohamed Salleh Lamry ini, saya menjejak semula foto beberapa buah tempat yang pernah menjadi saksi sejarah penubuhan API cawangan Temerloh.
Sayangnya, dek kerana terbatasnya maklumat lanjut, saya tidak dapat menjejak semula markas API di Lubuk Kawah yang dikatakan mempunyai kedai runcit dan warung kopi yang dikenali sebagai kantin API.
Barangkali, ianya sudah hancur ditelan waktu. Wallahualam.

Namun, yang menariknya di Temerloh ketika itu adalah perihal berkenaan Malayan Union yang sudahpun menjadi bahan wacana golongan terpelajar di bandar serta mereka yang di pelosok kampung.
Terdapat dua buah tempat yang dijadikan ruang perbincangan di mana salah satunya terdiri daripada mereka yang berjawatan sebagai pegawai kerajaan, kerani dan guru sekolah.
Ruang perbincangan itu terletak di kedai No. 42, Jalan Ibrahim milik Tok Pentara Raja Tan Sri Haji Yahya bin Haji Mohd Seth. Beliau kemudiannya menjadi pemimpin UMNO dan seterusnya, Menteri Besar Pahang (5 Mei 1964 – 31 Ogos 1972).
Sebuah lagi kumpulan pula terdiri daripada orang-orang yang bekerja sendiri seperti para peniaga dan guru sekolah agama.
Mereka selalu berbincang di kedai no. 24 Jalan Tengku Bakar yang dimiliki peniaga berketurunan Kampar.
Keris Mas atau Kamaluddin Muhamad, sosok sasterawan tersohor itu yang juga merupakan salah seorang penggerak Angkatan Sasterawan 1950, atau lebih dikenali sebagai Asas ’50, turut tergolong di dalam kumpulan yang aktif berbincang di situ.
Jarak di antara kedua-dua buah kedai ini tidak sampai 200 meter. Ketika membaca tulisan Salleh Lamry ini, saya dapat merasakan berkobarnya denyut nadi suasana intelektual ketika itu.
Walaupun kedua-duanya berseberangan di mana satunya, cenderung pro British. Manakala, sebuah kelompok lagi bercita-cita progresif menuntut kemerdekaan sepenuhnya. Bahkan, ketika merasmikan penubuhan API, Kamarulzaman Teh Ketua API Pahang ketika itu menggelarkan mereka sebagai, “Penjilat-penjilat sepatu British”.
Sudah 75 tahun berlalu dan tampaknya, sejarah ini malah kurang dikenali oleh warga Temerloh sendiri terutamanya generasi baru.
Namun, saya merasakan peristiwa ini penting untuk diingati oleh kita sebagai generasi muda lebih-lebih lagi, buat mereka yang berada di Temerloh. Disebabkan oleh tiada satu pun tugu yang dibuat bagi memperingati peristiwa-peristiwa besar ini, saya cuba merakamkannya di dalam bentuk esei gambar.
Semoga dengan tanda ingatan ini, kita boleh terus menghidupkan cita-cita progresif sekaligus merenung apa yang ditulis Suriani Abdullah,
Temerloh adalah buaian revolusi. Di sinilah lahirnya pasukan pahlawan, bintang harapan kaum tani. Di sinilah berkembang dan mendewasanya pasukan Rejimen Ke-10 dan dari sinilah juga Rejimen ke-10 berjaya melancarkan pertempuran-pertempuran yang bertubi-tubi terhadap musuh serta telah memberikan sumbangan-sumbangan yang besar lagi penting kepada usaha kemerdekaan dan usaha pembebasan nasional tanah air kita.

Makluman: Sebarang bentuk penggunaan gambar dan teks di dalam rencana ini perlulah dimaklumkan kepada sidang redaksi Malaysia Muda. Pun, sebarang bentuk penggunaan bagi tujuan tidak komersil serta pendidikan adalah dibenarkan.





