Zikri Rahman

Begini, hujung minggu lalu di susur masa laman sosial saya, gempar melintas judul berita portal Myanmar Now dikongsi oleh beberapa teman: “Myanmar becomes a nation without newspapers“. Tidaklah sepenuhnya aneh saat junta tentera, seperti mana-mana regim autokratik yang lain, boleh membuka atau menutup apa sahaja sesuka hati mereka. Bak kata teoris politik tersohor, Max Weber, keabsahan negara seringkali bergantung pada keberhasilannya mengawal radas kuasa. Juga yang paling utama adalah bagaimana Negara seterusnya memonopoli kekerasan di dalam wilayahnya.

Perlu kita mafhum, keganasan negara itu bukan hanya hadir semestinya dengan menghala senapang menembak rakyat tidak bersenjata. Kebijakan logika dan radas keganasan sesebuah negara bukanlah sesuatu yang ingin kita banding-bandingkan hatta darjah keganasannya yang berbeza-beza. Keganasan tetaplah keganasan. Misalannya, pengabsahan dan kesan keganasan boleh jadi mengakar dari sikap pilih kasih membezakan antara ‘helang’ dan ‘pipit’, kemudian membawa kepada korupsi yang berleluasa sehinggalah mengatup mulut dan Dewan Rakyat seketat-ketatnya dari bicara. Eh….

Namun ini bukan hujung pangkal cerita berita dari Myanmar itu.

Ceritanya, berita dari Myanmar ini membawa ingatan saya jauh pada ‘Cantik Itu Luka’ Eka Kurniawan. Bab 12 daripada novel panjang ini ada sebuah anekdot, entah lucu atau tidak, seorang watak bernama Komrad Kliwon yang merupakan pemimpin tempatan Parti Komunis Halimunda. Seperti komunis-komunis lain ketika itu, mereka gigih membaca sembari menyusun massa.

Hendak dijadikan cerita, kita ini manusia memang punyai sangap yang berbeza-beza. Komrad Kliwon berahinya itu barangkali suratkhabar. Dan tiba satu hari di bulan Oktober di mana suratkhabar yang biasa dilanggannya itu tidak juga kunjung tiba. Komrad Kliwon menjadi perengus tak ketahuan. Komrad dari parti komunisnya yang lain memecah berita kepadanya bahawa ‘Jakarta sudahpun berdarah’. Komrad Kliwon menolak untuk percaya dan Komrad Kliwon tenang menanti berita. Izinkan saya menyalin rangkap pertingkahan mereka ini:

“Dengar sini, komrad,” kata Adinda. “Tiada surat khabar terbit hari ini.”

“Kenapa tidak? Hari ini bukan Hari Raya, Krismas atau Tahun Baru.”

“Tentera menguasai bilik tentera,” kata Karmin. “Jadi saya minta maaf, komrad, tapi hari ini kita tak akan membaca mana-mana surat khabar.”

“Itu lebih teruk dari kudeta,” rungut Komrad Kliwon sebelum menghabisi kopinya dengan sekali teguk.

Masih, ceritanya ini bukan tentang berita bagaimana Myanmar menjadi negara tanpa suratkhabar dan mengapa Komrad Kliwon menjadi perengus saat dirinya dinafikan hak untuk membaca suratkhabar yang tak sampai-sampai. Tidak. Barangkali cerita sebenar-benarnya ada terselit lagi dalam anekdot yang lain. Jauh sebelum junta Myanmar menutup kilang mencetak berita; jauh sebelum apa yang diperawikan oleh Eka Kurniawan tentang untung nasib Komrad Kliwon itu; pada tahun 65′ di seluruh Indonesia ketika itu, setengah juta hingga berjuta orang hilang nyawa itu benar terjadi dan kisah difiksyenkan ini jatuh sahih. Fiksyen kalah teruk dengan realiti yang maha membingungkan.

Bahkan, kemuncak pada semua anekdot dan judul berita yang saya kutip ini, seperti kata Gabo, nama timang-timangan pemahsyur mazhab realisme magis itu adalah supaya mana-mana penulis dari Amerika Latin sampailah ke gugusan pulau Carribbean memperakui bahawa ‘reality is a better writer than we are’. Tuntas saranan Gabo dalam eseinya yang satu itu. Hatta, mitos tentang secoet ekor babi yang menghantui seluruh baka keturunan Buendia dalam One Hundred Years of Solitude itu pun, yang konon pada tanggapan Gabo hampir mustahil untuk wujud dalam realiti itu juga, akhirnya pecah terburai. Realiti sepertinya mengejek segala ilham manusiawi. Bukan seorang dua, selepas membaca novel Gabo itu, mengaku dan mengatakan bahawa mereka juga punya kenalan malahan ada kaum-kerabat sendiri yang lahir dengan secoet ekor babi di celah kelangkang; baik di hadapan atau belakang.

Hemat saya, barangkali fiksyen (atau sastera seluasnya) itulah fungsinya. Ia seakan memaksa kita bukan saja untuk mengingati tetapi kemudian mengabsah ingatan walau seabsurd mana ianya sekalipun. Bayangkan, berita tentang Myanmar tanpa berita itu sendiri adalah berita. Cuma, di balik ini semua adalah bagaimana kita ingin mengingatinya sekaligus ia bertanggungjawab membentuk realiti kita memahami sehari-hari dan kemudiannya. Di balik ingatan yang ingin diredam itulah yang mewujudkan kemungkinan-kemungkinan tindakan yang mahu diperas. Selaku makhluk sosial, ada sesetengah ingatan sedaya-upaya untuk kita berlepas diri dari meletakkannya dalam memori bersama. Pun, fiksyen (atau sastera seluasnya) menerobos tanpa niat. Ia membuatkan kita bercakap sekaligus mengingati.

Sedari awal esei si Gabo berjudul ‘Something Else on Literature and Reality‘ ini lagi, beliau memang mengangkat bendera putih bagi memperakui keterhadan bahasa dalam menggambar realiti. Realiti tempang dirangkul bahasa. Pun, di situlah letak duduk potensi dialetika dalam bahasa bagi menangkap realiti. Saatnya kita mengetahui keterhadan bahasa menggambar realiti, begitulah juga terbuka ruang untuk kita bagi melangkaui realiti serta sedia ada.

Di sini, seakan-akan ada pesan lain yang mahu dikhabar Gabo dalam menanggapi soal realiti. Ataupun itulah sekurang-kurangnya yang ingin saya percaya ini. Boleh kata dalam banyak-banyak hal, keganasan itu terjadi sewaktu Kuasa menceroboh daerah ingatan kita; yang dalam apa daya sekalipun seringkali cuba mengatur dan memaksa kita memilih untuk mengingat apa dan siapa.

Menelusuri galur corak penulisan realisme magis, dari satu sisi adalah untuk kemudiannya sedar gelojak rahim suasana politik seperti apa di Amerika Latin ketika itu. Olahan fiksyen dalam mazhab ini barangkali tujuannya satu – memperbesar kemungkinan untuk membuat kita manusia tetap bercerita hatta seganjil mana sekalipun realitinya. Apatah lagi, kita tahu benar bagaimana peel Kuasa yang acapkali menyumbang kelakuan maha pelik bagi mereka yang mabuk di dalamnya itu. Tentang Myanmar tanpa berita, Komrad Kliwon serta ingatan trauma Indonesia tahun 65′ sehinggalah kosongnya Parlimen Malaysia itu sendiri. Dan bagaimana untuk kita bercerita tentangnya satu hari nanti, pokok pangkalnya adalah untuk mengingati. Mengingati itulah yang membentuk landasan tindakan kita dalam memperkukuh atau meruntuh Kuasa dan realiti itu selanjutnya.

Info: Esei ini diterbitkan pertama kali di Selangorkini.