Profesor Syed Hussein Alatas

Imran Rasid

Prof Syed Hussein Alatas, sosiologis Malaysia yang cukup tersohor, pernah meriwayatkan sebuah pengalaman yang menarik untuk kita teladani. Diceritakan ketika beliau sibuk menjelaskan keadaan masyarakat yang masih lena tertidur di sebuah ceramah di Singapura, bangun seorang guru lantas bertanya ‘‘Profesor Hussein kata masyarakat kita sedang tidur. Jadi siapa nak menggerakkan kita?’ Beliau kemudian menjawab: ‘Jawapannya mudah saja—siapa yang bangun dahulu…Dalam keadaan semua tidur, tidak ada pemimpin. Siapa saja yang sedar dahulu” (1).


Jawapan berseloroh / bersahaja Prof Alatas terhadap pertanyaan guru itu tampak ringkas, tapi sangat tepat dalam merungkai peranan guru dalam dunia pendidikan. Anak-anak kecil yang baru mengenal huruf dan angka sedang berbaris di luar kelas di hening hari itu ibarat kelompok yang masih ‘terlena’. Anak-anak ini masih belum mengerti peri duduknya dalam dunia yang serba “kompleks” ini. Maka, sebaik sahaja mereka mula mengorak langkah masuk ke dalam kelas kaum gurulah, sebagai kaum yang sudah “bangun dahulu”, yang berperanan mengejutkan anak-anak murid mereka agar mula mengenal hakikat dunia.


Di sinilah tugas guru menjadi lebih besar dari sekadar menjadi orang tengah yang memuntahkan segala macam maklumat dan fakta ke dalam diri para pelajar mereka. Sepertimana pesan Orang Tua dalam puisi ‘Dalam Librari’ karangan A Samad Said:


Tak guna
membuka buku
menutup mata.
Kan elok
menutup buku
membuka mata?


Senada dengan puisi di atas, jelas bahawa tugas hakiki guru sebagai ‘pengejut’ generasi yang mendatang tidak terikat dengan kitaran buku-buku teks yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan sahaja, sebaliknya mereka adalah kelompok penting dalam menyemai kesedaran (baca: membuka mata) pelajar-pelajar untuk mengerti akan proses-proses sosial yang membentuk masyarakat sekeliling mereka, termasuklah segala kepincangan dan kezaliman yang sedang berlangsung di muka bumi ini. Sarjana pedagogi kritis seperti R. Dreeben (1968), Kathleen Lynch (1989), dan Eric Margolis (2001) menyebutnya sebagai ‘kurikulum tersembunyi’ (hidden curriculum), iaitu sebuah dimensi pendidikan tidak langsung yang mensosialisasikan para pelajar ke dalam masyarakat.

Dalam erti kata inilah, guru sewajarnya dilihat sebagai kelompok intelektual transformatif kerana mereka bertanggungjawab mengemudi hala tuju pendidikan dalam kelas bukan sahaja pada takat baca dan mengira, tapi juga berdialog, mengkritik, serta membina rukun-rukun sosial dan budaya yang bakal membentuk pandangan alam pelajar sebagai penggerak perubahan sosial!

Sekolah sebagai Pusat pembudayaan Demokrasi


Ungkapan guru sebagai intelektual bukanlah sekadar sebuah slogan kosong. Idea ini berangkat daripada pemahaman akan idea pendidikan yang lebih kritis dan berpaksikan pembebasan sosial. Kata Henry Giroux, pemikir yang banyak menyumbang dalam perbahasan ‘critical pedagogy’ (pedagogi kritis), sekolah bukanlah sebuah ‘gedung pencetak fakta’ yang sekadar berfungsi untuk menyediakan tenaga kerja untuk sistem korporat. Hakikatnya, menurut Giroux,

“schools play a particularly important role in legitimating certain forms of knowledge, ways of speaking, and ways of relating to the world that capitalize on the type of familiarity and skills that only certain students have received from family background and class relations” (1993, p. 76) .


Maksudnya, sekolah adalah tapak di mana para pelajar belajar melihat kedudukan dirinya dalam masyarakat, dan juga tempat terzahirnya bentuk-bentuk pengetahuan, praktis-praktis bahasa, hubungan sosial, dan nilai yang membentuk kebudayaan masyarakat itu sendiri. Sekolah adalah pusat yang memperkenalkan dan mengabsahkan bentuk kehidupan sosial. Di sinilah peranan sekolah menjadi sesuatu yang politikal dan ideologikal. Atau dalam ungkapan Henry Giroux, melalui lensa pedagogi kritis, “pedagogi menjadi lebih politikal, dan politik menjadi lebih pedagogik”.


Jarang sekali kita mendengar bahawa fungsi sekolah itu secara tidak langsung terkandung dimensi politik. Malah, selalunya kita lebih dimomok-momokkan dengan mantera bahawa politik harus diceraikan sepenuhnya dari sekolah dan pendidikan. Namun, hakikatnya sepertimana yang disebutkan oleh pemikir politik zaman Yunani klasik, Pericles; “Sungguhpun anda mengabaikan politik, politik tidak pernah mengabaikan anda”. Dalam konteks di sekolah, anak-anak secara tidak sedar mempelajari budaya politik apabila mereka berpartisipasi dalam melantik ketua kelas, berdialog dengan staff dan guru-guru, serta bermesyuarat dalam kalangan mereka ketika melaksanakan tugasan.


Misalnya, andai kata sewaktu di bangku sekolah mereka dibiasakan dengan praktis bahawa hanya lelaki sahaja yang sewajarnya menjadi ketua kelas, maka tidak mustahillah apabila mereka dewasa mereka memandang rendah kepimpinan kaum wanita dalam masyarakat. Ataupun sekiranya mereka diajar untuk takut melahirkan pandangan mereka yang berbeza dengan guru yang mengajar, ada kemungkinan mereka juga akan takut menzahirkan pandangan mereka terhadap pemimpin-pemimpin yang melakukan kesilapan. Tambahan lagi, andai kata anak-anak ini dibiasakan untuk bersikap pasif apabila berdepan dengan kezaliman (buli, kecurian,dan lain-lain) di sekolah, tidak sukar untuk kita bayangkan mereka suatu hari nanti akan membisukan diri apabila berdepan dengan kezaliman dan penindasan yang berlaku pada sanak saudara mereka sendiri!

Seiring dengan pemerhatian ini, Henry Giroux menekankan bahawa sekolah sewajarnya menjadi tempat penyemaian budaya demokrasi dalam masyarakat. Peranan guru sebagai intelektual transformatif pula bukan sekadar mencetak pelajar-pelajar bersijil tetapi mendidik mereka agar mempunyai kapasiti untuk menjadi manusia yang kritis dan menyediakan kondisi buat anak-anak kita untuk membebaskan masyarakat dari belengu-belengu yang mengikat mereka. Tanggungjawab guru jugalah untuk melawan praktis-praktis feudalisme, seksisme, dan ekstremisme yang masih menebal dalam pembawakan sosial hari ini. Guru jugalah yang menjadi pembimbing untuk anak-anak murid belajar menyoal, menyiasat, mencabar pengetahuan-pengetahuan sedia ada untuk meleraikan ikatan-ikatan norma masyarakat yang menyekat potensi diri mereka.

Rujukan:

[1] Syed Hussien Alatas, ‘Kita Runtuh Akhlak dan Kurang Berfikir,’ Dewan Budaya, June 1988, h. 17

[2] R. Dreben (1968), On What is Learned in School. London: Addison-Wesley

[3] Kathleen Lynch (1989), The Hidden Curriculum: Reproduction in Education, A Reappraisal. London: The Flamer Press.

[4] Eric Margolis (2001), The Hidden Curriculum in Higher Education. New York &London: Routledge.

[5] Henry Giroux, in Education Still Under Siege.

Maklumat: Artikel ini pernah diterbitkan pertama kali di sini.