Zikri Rahman
Sebelum pecah berita hal vaksin yang hingar-bingar di susur masa kita minggu ini, penulis teringat akan sebuah pertanyaan genap lima hari lepas bersama beberapa teman. Sewaktu perbualan pasca-moreh pada malam itu, ada diajukan pandangan oleh seorang teman, kurang lebih; sejauh mana wacana politik kita di Malaysia ini serba-serbi dibentuk khabar angin dan kemudian bagaimana khabar angin itu pula yang yang membentuk susur-galur tindakan politik kita selanjutnya. Tiada jawapan tuntas yang dicapai malam itu.
Sehinggalah hari ini, saya terdetik untuk cuba melorong jawapan seluas mana yang boleh akan pertanyaan teman saya itu. Begini, #KerajaanGagal yang bertebaran di media sosial, sehinggalah laporan Asia Sentinel semalam, jika pun tidak sepenuhnya berbentuk khabar angin, ia tetap kan wujud dalam bentuk-bentuknya yang lain. Kita akan terus bercakap dan ‘cerita atas cerita’ tentang bagaimana lingkungan politikus memanipulasi bekalan vaksin sampailah ke gosip menyuntik ‘vaksin secara haram’ yang melata itu akan terus diperkatakan. Sifirnya mudah – kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang.
Sehingga pada satu tahap, apa yang tidak dilapor di media massa Malaysia itulah yang seringkali menjadi rahsia terbuka rakyat sekaligus menjadi ‘kebenaran’. Saya tidak akan bicara halal-haram perlakuan-perlakuan meniup ‘khabar angin’ ini. Bak kata seorang teman penulis; di dalam sebuah negara yang serba-serbi moralis ini, apa lagi moral yang tidak dilanggar negara, bukan?
Jadi, yang menjadi pucuk pangkal tulisan ini kemudiannya adalah mengapa dan bagaimana kita semua memilih untuk mempercayai ‘khabar angin’ berbanding apa yang ditulis (atau tidak) di corong media massa. Saya sengaja meletakkan tanda petik di ‘khabar angin’ ini bukan apa, kerana di dalam sebuah negara di mana jurang kuasanya itu lebar; dari mereka yang tidak mempunyai apa-apa sehinggalah mereka yang mempunyai segalanya ini, rakyat bahkan terpaksa membuka ruangnya sendiri untuk berkata-kata (samada berlapik atau terus) dengan kuasawan.
Berangkat dari keadaan di mana ruang politik kita dijerut dengan pengkhianatan politik peti undi lima tahun sekali itu sehinggalah kepada pengisytiharan Darurat yang berlangsung kini, ianya sungguh menyesakkan. Kita ini, manusia yang merupakan makhluk sosial (justeru politikal) yang seringkali mendesak ruang-ruang untuk berekspresi – apatah lagi jika kita semakin dijerut dan disesak seperti sekarang. Bahkan, melihat kepada keadaan semasa; dari kadar penggangguran yang semakin tinggi sehinggalah tiadanya kesipuan daripada para bangsawan dan kuasawan yang lunak berlebih-lebihan dalam segenap hal, seakan memaksa kita untuk langsung berpatah arang dan mengambil tindakan memikirkan kemungkinan tanpa perlunya kewujudan mereka ini semua satu hari nanti.
Sebelum kita pergi lebih jauh, izinkan saya sekadar menyebut beberapa peristiwa yang berkaitan dengan ‘khabar angin’ yang saya kira berpengaruh dalam membentuk kesedaran narasi dan tindakan politik dalam negara. Yang pertama dan termahsyur, tentunya salah sebuah cuplikan kisah dalam hikayat Hang Tuah itu sendiri. Antaranya, bagaimana semberono hukuman yang dijatuhkan kepada Jebat bertitik-tolak daripada ‘khabar angin’ itu sendiri. Darihal yang ini, kita dapat lihat bagaimana kemudiannya ‘khabar angin’ itu digunakan sebaik-baiknya dalam mencorak konsep kesetiaan dalam cara fikir politik kita di Malaysia sehingga ke hari ini.
Seterusnya, peristiwa rusuhan 13 Mei 1969. Saya fikir, menjenguk peristiwa ini secara retrospektif menerusi karya kolaj-setem seorang seniman, Chang Yoong Chia berjudul ‘Don’t Spread Rumours’ sekaligus membuka cara faham yang berbeza. Lewat karya ini, kita dapat mengerti bagaimana negara, secara aktif cuba menggunakan ‘khabar angin’ bagi mengimbang serta membina naratif bagi melepaskan kebertanggungjawapan mereka terhadap peristiwa yang menjadi api dalam sekam dalam sejarah kita bersama ini. Walhal jelas, tahun demi, dokumen dan catatan sejarah menyatakan sebaliknya tentang keterlibatan kerajaan.
Ketiga dan terakhir, boleh diumpamakan contoh klasik dalam memahami politik moden Malaysia – ratusan booklet kecil ’50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM’ yang disebar luas pada perhimpunan agung UMNO 1997; setahun sebelum Reformasi. Yang jelas, walau hegemoni Mahathir terkesan dengan Reformasi namun Anwar juga tidak terlepas dari beban ’50 Dalil’ itu. Sehingga hari ini, kontroversi yang melatari Anwar lebih 20 tahun tetap yang itu-itu sahaja – anti Islam, anti Melayu, homoseksual, etsetra-etsetra.
Tidak dapat tidak, ‘khabar angin’ benar-benar punya daya dalam memesongkan wacana tentang kepada apa dan siapa kita mahu mengabsahkan kesetiaan politik – apa kita setia pada Raja, negara, kaum atau agama? Yang kedua, bagaimana ‘khabar angin’ menyamarkan ingatan kita bagi memperingati detik traumatik dalam masyarakat sehinggalah yang terakhir, ’50 Dalil’ yang menjadi dokumen klasik dalam politik moden Malaysia. Semuanya bersusur-galur dari ‘khabar angin’ yang mengakar ke dalam wacana politik kita hari ini.
Pun begitu, ‘khabar angin’ tidak sepenuhnya dimanipulasi sehala bagi hegemoni di antara yang memerintah dan diperintah semata-mata. Ianya sebuah jalan yang bersimpang-siur. Sarjana antropologis tersohor, James C. Scott, dalam melunaskan kajiannya, Weapons of The Weak: Everyday Forms of Peasant Resistance, ada hujahan lain tentang ‘khabar angin’.
Memilih untuk tinggal dua tahun lamanya di Sedaka, sebuah kampung dengan bukan nama sebenar di utara Semenanjung, Scott mahunya hanya satu – mengumpul bahan untuk memahami perseteruan ideologi; bukan hanya tentang konflik kelas yang menggelegak saat mula ideologi pembangunan-isme dimulakan pemerintah. Tapi juga, bagi memahami bagaimana masyarakat petani dalam kesehariannya menjalankan ‘praktik perlawanannya’ ke atas hegemoni kelas pemerintah ketika itu.
Perlawanan baginya tidak semestinya hanya hadir lewat penentangan massa atau pertumpahan darah, misalannya. ‘Khabar angin’, pada Scott merupakan di antara berbelas praktik lain yang menjadi unsur analisis utamanya dalam memahami bagaimana logik kuasa berfungsi dan ditandingi dalam memperkukuh atau meruntuh sesebuah hegemoni.
Bahkan, bagaimana ‘khabar angin’ berfungsi di Sedaka tahun 70-an dulu sehinggalah di susur masa Twitter hari ini, dari satu sudut digerakkan oleh pembentukan wacana yang tidak jauh bezanya. Kedua-dua keadaan malah perlu ditanggapi, seperti yang diunjurkan Scott, sebagai ruang ‘suara demokratik’ saatnya pemerasan berkemungkinan akan berlaku jika sikap tidak hormat terhadap kuasa ditunjukkan sewenang-wenangnya.
Dan di sini muncul bibit permasalahan dalam analisa Scott yang perlu kita akui. Hujahan “weapons of the weak” Scott itu dari satu sudut tidak mengambil kira bagaimana kuasawan sendiri mempunyai akses dalam memanipulasi ‘khabar angin’ itu sendiri. Dan ianya jelas lewat pengisytiharan darurat di mana Mahiaddin sekaligus memperketat undang-undang berkaitan ‘khabar angin’ .
Namun, kita, rakyat tidak sepenuhnya kalah dalam soal perebutan ‘khabar angin’ ini. Khabar angin tetap akan wujud dalam sejarah panjang manusia yang tidakkan terpadam hatta diperosok kuasa yang mahukannya diredam. Dari ‘khabar angin’ itulah kita kemudiannya mengetahui wilayah hutan yang mana pula mahu digondolkan seluruh kerabatnya. Dari ‘khabar angin’ itu pulalah kita harus waspada dengan bagaimana mereka terus-terusan merampas hak rakyat dalam keadaan krisis yang semakin memberat ini.
Apa yang kekal, dari ‘khabar angin’ ke ‘khabar angin’ ini adalah simbolik bahawa pertembungan kuasa tetapkan wujud dan nyata. Saat kita menyebarkan ‘khabar angin’ itu adalah upaya dalam segenap keterbatasan bagi memperingati ketidakpedulian mereka dalam mendepani krisis serta betapa jeleknya pengkhianatan para bangsawan dari kayangan itu. Lantas, biarkan saja ‘khabar angin’ itu bergentayangan menjadi suara ngeri yang kedengaran sampai ke cuping mereka yang berkuasa. Sebarkan, sebarkan!