Sharifah Nursyahidah
Kesatuan sekerja merupakan organisasi yang berfungsi untuk mencapai keadaan kerja (working conditions) terbaik dan mewakili pekerja dalam setiap perundingan atau perselisihan dengan golongan majikan. Misalnya, dalam isu gaji, jam kerja, persekitaran kerja dan faedah.
Oleh sebab itu, kewujudan kesatuan sekerja akan memberikan peringatan kepada pihak majikan bahawa pekerjanya mempunyai perwakilan yang peduli dengan segala eksploitasi yang timbul.
Namun, persoalan kesatuan sekerja tidak hanya menyangkut mengenai hubungan antara pekerja dengan majikan, cara pengeluaran (means of production) atau hubungan pengeluaran (relations of production).
Kesatuan sekerja juga bergelut dengan pelbagai masalah demokrasi dan berdepan dengan Negara yang menguatkuasakan dasar-dasar dan undang-undang.
Pada masa sama, penyelidikan akademik yang meneliti tentang kesatuan sekerja di Malaysia dan Indonesia selalu membahaskan isu-isu hubungan pekerjaan yang hanya terbatas kepada Semenanjung Malaysia dan Jawa. Sedangkan, kesatuan-kesatuan sekerja di bahagian Borneo; Borneo Malaysia dan Borneo Indonesia juga mustahak dan memainkan peranan yang signifikan dalam memperjuangkan hak-hak pekerja dan pendemokrasian.
Oleh yang demikian, saya melakukan kajian di Borneo dalam usaha untuk memahami hubungan pekerjaan di pulau tersebut. Antara tempat-tempat yang menjadi fokus kajian saya ialah Bintulu, Sipitang, Tawau (Borneo Malaysia) dan Balikpapan, Banjarmasin dan Kotabaru (Borneo Indonesia).
Apatah lagi, setakat ini, boleh dikatakan agak jarang untuk kita melihat protes pekerja atau isu-isu pekerja dibangkitkan di negeri kelahiran saya Sabah jika dibandingkan dengan Semenanjung Malaysia. Begitu juga dengan negeri jiran, Sarawak. Rakan mereka di Kalimantan juga agak tidak begitu kelihatan berbanding dengan Jawa.
Maka, kajian saya ini memberikan tumpuan pada kesatuan-kesatuan sekerja daripada tiga sektor ekonomi di Borneo Malaysia (Sabah dan Sarawak) dan Borneo Indonesia (Kalimantan) seperti minyak dan gas, perkayuan dan kelapa sawit. Peranan dan perjuangan mereka juga harus diakui.
Ketiga-tiga sektor di Borneo Malaysia dan Borneo Indonesia ini merupakan sektor yang memberikan sumbangan amat penting kepada pendapatan negara masing-masing.
Di samping itu, kedua-dua Borneo juga ada persamaan dari segi komposisi etnik (Kadazan Dusun, Iban atau Dayak) dan lokasi yang jauh daripada pusat pemerintahan (Putrajaya dan Jakarta).
Tetapi, walaupun terdapat beberapa persamaan ini, kesatuan-kesatuan sekerja tersebut juga mempunyai perbezaan.
Kuasa, Pendemokrasian dan Kebudayaan di Pulau Borneo
Salah satunya ialah budaya. Berdasarkan dapatan kajian saya, kesatuan-kesatuan sekerja di Borneo Malaysia seakan-akan cenderung pada dimensi individualisme.
Dimensi ini bukanlah bermaksud bahawa mereka mementingkan diri. Tetapi, mereka berjuang dengan cara tersendiri mengikut keadaan, tuntutan dan isu-isu setempat mereka. Contohnya, semasa melakukan perundingan kolektif dengan pihak majikan atau isu kelapa sawit yang harus ditangani dengan cermat.
Manakala, kesatuan-kesatuan sekerja di Borneo Indonesia pula seolah-olah lebih kepada dimensi kolektivisme. Mereka sepakat dalam memperjuangkan isu-isu nasional bersama-sama dengan rakan-rakan mereka di Jawa.
Misalnya, menentang undang-undang pekerjaan Omnibus Law Cipta Kerja (Ciptaker) yang tidak adil kepada pekerja.
Perbezaan ini jugalah yang mempengaruhi kesatuan-kesatuan sekerja di Borneo Malaysia untuk tidak seiring dengan kesatuan-kesatuan sekerja di Semenanjung Malaysia.
Sementara itu, kesatuan-kesatuan sekerja di Borneo Indonesia dapat bersatu dengan kesatuan-kesatuan sekerja di Jawa. Selain itu, terdapat unsur-unsur lain yang mempengaruhi perkembangan kesatuan-kesatuan sekerja di Borneo Malaysia dan Borneo Indonesia.
Antaranya ialah kekurangan kesedaran berkesatuan di Borneo Malaysia dan potensi perpecahan di Borneo Indonesia. Kelemahan-kelemahan inilah yang boleh menyebabkan kemerosotan dalam aktivisme pekerja mereka.
Lebih-lebih lagi dengan jumlah anggota kesatuan sekerja dan kadar keahlian kesatuan sekerja yang masih sedikit.
Bahkan, hubungan Negara-syarikat yang kuat juga melemahkan kesatuan-kesatuan sekerja di Borneo Malaysia dan Borneo Indonesia.
Sektor-sektor minyak dan gas, perkayuan dan kelapa sawit merupakan sektor yang sangat menguntungkan, penuh dengan kontroversi dan dikuasai oleh banyak pemain industri atau mafia. Negara pula lebih menyebelahi pihak kapitalis dan majikan.
Ekoran daripada itu, suara kesatuan sekerja di kedua-dua Borneo semakin tenggelam kerana ruang perlawanan yang ada menjadi semakin terhad. Permainan kekuasaan (power play) masih dikuasai oleh majikan dan Negara.
Persoalan-persoalan seperti inilah yang membawa kepada konteks pendemokrasian di Borneo Malaysia dan Borneo Indonesia. Pelbagai halangan dalam berorganisasi dan memobilisasi pekerja semakin kukuh.
Kesatuan-kesatuan sekerja di Borneo Malaysia sukar mencapai kesepakatan dalam perundingan kolektif dengan majikan, sukar mendapat pengiktirafan kesatuan sekerja dan sukar melakukan aktivisme pekerja.
Manakala, kesatuan-kesatuan sekerja di Borneo Indonesia berhadapan dengan isu kewujudan kesatuan sekerja ‘kuning’ dan undang-undang pekerjaan yang jelas diskriminatif.
Situasi-situasi tersebut memberikan tanda bahawa demokrasi di kedua-dua Borneo belum pada tahap yang tinggi. Malah, boleh dikatakan bahawa demokrasi hanya terbatas pada pilihan raya.
Padahal, kelas pekerja atau kesatuan sekerja merupakan pihak yang terpenting dalam pendemokrasian. Berbanding dengan organisasi masyarakat sivil yang lain, merekalah yang benar-benar mewakili golongan rakyat bawahan dan golongan yang selalu dipinggirkan.
Lantaran itu, kesatuan-kesatuan sekerja di Borneo Malaysia dan Borneo Indonesia boleh dikatakan masih belum dapat berkembang menjadi gerakan buruh. Mereka masih bergelut dengan isu-isu normatif.
Sehubungan dengan itu, meskipun mereka masih terbelakang, keberadaan dan perjuangan kesatuan-kesatuan sekerja di kedua-dua Borneo tidak harus diabaikan.
Persoalan mereka harus dilihat dari pelbagai sudut. Misalnya, sebagai aktor politik, aktor ekonomi, aktor geografi dan aktor budaya.
Apatah lagi, perkara-perkara ini juga akan memberikan kesan kepada kesatuan-kesatuan sekerja di Semenanjung Malaysia dan Jawa. Kedua-duanya saling melengkapi antara satu sama lain.
Kesimpulannya, demokrasi politik, demokrasi ekonomi, demokrasi sosial dan demokrasi hubungan pekerjaan tidak terpisah di Borneo Malaysia dan Borneo Indonesia.
Semuanya menyumbang kepada pendemokrasian secara keseluruhan dan berhubung kait dengan siapa yang sedang memegang kekuasaan.
Nota:
1 Penulis, Sharifah Nursyahidah merupakan calon PhD dalam bidang Sains Politik di Universiti Sains Malaysia.
2. Tulisan ini masih di dalam peringkat kajian bagi tujuan penerbitan jurnal. Bagi yang berminat untuk melanjutkan perbincangan, bolehlah disampaikan kepada penulis di: sharifah.nursyahidah@gmail.com