Sidang Editorial

Edisi #SelakTindak kali ini membawakan senarai bacaan di bawah tema ‘Psikologi Feudalisme’, satu istilah yang digagaskan oleh Syed Hussein Alatas dalam pemerhatian beliau ke atas sejenis sistem nilai yang melekat dalam sebahagian gaya fikir politik di alam Melayu; iaitu soal “absolute loyalty to the ruler and pillage” (Syed Hussein Alatas, Feudalism in Malaysian society: A study in historical continuity, 1968).  

Sudah tentu, istilah ‘feudalisme’ merupakan istilah yang kompleks dan menggambarkan fenomena yang pelbagai. Namun, kedapatan ciri-ciri feudalisme yang boleh ditemukan dalam pentadbiran politik Melayu (aturannya sudah tentu berbeza dengan Barat) sebelum arus modenisasi yang berlaku pada zaman kolonial British pada penghujung kurun ke-19 mula melenyapkan aturan ini. Namun, menurut Alatas, pada masa kini saki-baki ‘feudalisme melayu’ masih hidup dan melata dalam bentuk yang diertikan sebagai ‘psikologi feudalisme’:

In the context of psychological feudalism, the relationship between those in power and those dependent on them is characterized by personal attachment to the leader or man in authority rather than to the principles he stands for. The leader or the man in authority, whether he is a bureaucrat, a political celebrity, a teacher or a business manager, expects the subordinate to be loyal and faithful in a manner that sometimes comes into conflict with the norms and ethics of the work or profession. He is supposed to be loyal under almost all circumstances even if these circumstances violate the present values and philosophy of Malaysia society (Syed Hussein Alatas,1968).

Takrifan inilah yang menginspirasikan penulisan #SelakTindak kali ini. Kita akan meninjau beberapa karya yang melanjutkan perbahasan ini berserta bagaimana ianya termanifestasi dalam kegiatan politik dan sosial masyarakat kita pada hari ini. 

Buku dengan judul panjang Protector? An Analysis of the Concept and Practice of Loyalty in Leader-led Relationships within the Malay Society (SIRD, 2020) (edisi Melayunya berjudul Pelindung) ini berasal daripada kajian tesis PhD Chandra Muzaffar (di bawah seliaan Syed Hussein Alatas) yang cuba meneliti soal dimensi feudal itu. Antaranya berkenaan ‘taat kepada ketua tanpa soal bagi mendapatkan perlindungan’, yang bermula sejak zaman kesultanan Melaka, melewati era penjajahan, sehinggalah kepada pembentukan negara bangsa Malaysia itu sendiri.

Penulisan ini membawakan pelbagai contoh-contoh klasik bagaimana golongan elit Melayu sejak zaman pra-kemerdekaan lagi memanfaatkan ideologi ketaatan ini bagi mengabsahkan kedudukan politik dan sosial mereka. Budaya ini terus menerus mekar dalam amalan dalam politik moden, terutamanya, menurut penulis, dalam politik dalaman kepartian UMNO dan yang serupa dengannya. Kebimbangan Chandra yang terakam dalam buku ini ialah bagaimana perihal ideologi ketaatan ini diterjemahkan dalam bentuk dasar di peringkat nasional, sekaligus melestarikan hubungan kebergantungan masyarakat Melayu, terutamanya yang terpinggir dari sudut ekonomi, terhadap pemimpin-pemimpin elit Melayu hari ini. Kebergantungan (struktural) inilah yang akhirnya mengukuhkan lagi ideologi ketaatan tanpa soal dalam kegiatan politik dan kepimpinan dewasa ini. 

Terus, kita langsung ke buku kedua pula yang berjudul Patriarch (1991) yang merupakan hasil karya arwah Cikgu Shahnon Ahmad. Kita mulakan dengan petikan langsung dari novelnya ini:

“…Sering benar bahana kekuasaan itu bersemarak dalam dirinya semenjak kebelakangan ini kerana dia tahu tak ada siapa lagi yang berdaya melenyapkannya kekuasaan itu daripadanya. Dan ini termasuk juga Tuhan”. (Shahnon Ahmad, 1995:157)

Patriarch, antara salah satu karya Cikgu Shahnon Ahmad yang banyak menggeluti persoalan tentang soal kuasa yang sekaligus berdampingan dengan mereka yang diperintah dan memerintah. Lewat Patriarch, kita menemukan watak Jasdiah, seorang tokoh yang larut dalam tatanan ‘politik belantara’ serta tingkah ‘manusia politik’-nya. Jasdiah adalah watak yang baik untuk kita memahami ‘psikologi feudalisme’ khususnya bagaimana beliau memperlakukan kuasa bagi kepentingan yang akhirnya memakan diri.

Mustahil untuk kami ceritakan segalanya seperti apa yang Shahnon bina lewat watak Jasdiah yang digelar Patriarch ini kecuali dengan cermat memerhati bagaimana kuasa dibentuk dalam logik kepimpinan kita hari ini. Bahkan, Shahnon membongkar bukan sahaja mitos dan perangai pemimpin yang mempunyai kecenderungan saviour-complex semata-mata, tetapi juga untuk kita memahami daya kuasa dalam mengabsah tindakan semberono golongan feudalis; dengan atau tanpa tengkolok.

Jika karya sebelumnya melihat kepada pembinaan kekuasaan dalam suasana kontemporari, karya ketiga oleh Sharifah Maznah yang juga merupakan lanjutan daripada tesis PhD berjudul Myth and The Malay Ruling Class (1985) ini meneliti dengan rinci soal bagaimana orientasi pemikiran feudal diselitkan dalam mitos-mitos yang terakam dalam teks-teks hikayat Melayu lama seperti Sejarah Melayu, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Raja-raja Pasai dan Hikayat Hang Tuah.

Maznah menghuraikan bagaimana elemen ‘feudal’ ini bukanlah sesuatu yang tumbuh secara organik dari bawah, sebaliknya ianya disemai oleh golongan istana bagi mengawal pembangunan sosial, ekonomi serta politik masyarakat Melayu tradisional pada waktu itu. Hal ini termasuklah kontradiksi yang jelas antara gambaran keunggulan keperibadian para kerabat diraja dengan hakikat sebenar perilaku mereka yang penuh cacat-cela dan serba tempang.

Kontradiksi ini disembunyikan melalui penceritaan mitos yang ajaib (termasuklah mitos magis dan bayangan tuhan) berkaitan dengan asal-usul golongan istana bagi mengabsahkan kedudukan istimewa mereka dan mencalit wajah mereka dengan imej-imej yang suci dan sakral.

Seterusnya, penulisan Traditionalism and the Ascendancy of the Malay Ruling Class in Colonial Malaya (2014), ini juga adalah hasil daripada penelitian tesis PhD Donna Amoroso yang sayangnya hanya diterbitkan selepas beliau meninggal dunia. Buku ini membawa pembaca meneliti perkembangan tatanan politik sewaktu era penjajahan British di tanah Melayu serta evolusi peranan kelas elit tempatan dalam masyarakat mereka.

Amoroso meminjam istilah ‘traditionalism’ dari Hobsbawm (dalam karyanya Inventing Traditions) untuk menjelaskan ‘percanggahan’ antara pentadbiran moden British yang menekankan hal ekonomi, dengan pemeliharaan tradisi politik Melayu yang menjadi nyawa bagi golongan elit. Menurut Amoroso, tradisionalisme, iaitu “the conscious selection of appropriate ritual and idiom and the reconstruction of Malay culture along lines that were compatible with colonial rule” (ms. 52) menjadi mekanisme utama dalam mengekalkan kedudukan kelas elit dalam logika pemikiran politik dan kebudayaan tempatan sewaktu arus perubahan yang deras sedang melanda tanah Melayu.

Tatkala modenisasi (baca: kapitalisme bersalut negara bangsa) mula mengambil tempat di tanah Melayu, tradisi-tradisi baru mula dicipta bagi memposisikan semula peranan kelas aristokrasi dan kerabat diraja dalam imaginasi negara persekutuan yang bakal tertubuh. Reorientasi ini penting untuk British dan juga pemimpin elit Melayu bagi meneruskan hubungan simbiosis antara mereka. Berkait dengan fenomena ‘psikologi feudal’, buku Amoroso menawarkan suatu pengamatan struktural soal bagaimana tradisi-tradisi baru (yang disuguhkan sebagai ‘klasik’, misalnya Sultan sebagai identiti keMelayuan) adalah fenomena moden yang terbit dan berakar untuk memenuhi keperluan ekonomi kelas-kelas tertentu. 

Terakhir, Taj Us-Salatin yang merupakan sebuah karya Melayu klasik yang dikarang oleh Bukhari al Jauhari sekitar awal abad ke-17 di Acheh dan terinspirasi dari genre penulisan nasihat al muluk (nasihat kepada pemimpin) dari tanah Parsi. Kitab ini dikarang sebagai satu nasihat kepada pemimpin soal bagaimana untuk mentadbir secara adil dan sejajar dengan ajaran Islam.

Sungguhpun genre penulisan seperti ini tidaklah ganjil dalam kesusasteraan Melayu klasik, kitab Taj Us-Salatin ini lebih tertonjol dan penting untuk dibaca kerana ianya membawa mesej-mesej yang bersifat anti-feudalistik berbanding dengan kitab-kitab melayu yang lain. Antaranya ialah dengan menekankan kedaulatan Tuhan adalah mutlak dan tidak ‘terbayang’ melalui mana-mana insan yang berkedudukan. Kitab ini juga menekankan perihal kesetaraan antara rakyat dan Sultan (baca: pemimpin):

“Tiada dapat dibezakan pada antara Sultan dan rakyat dan pada antara tuan dan hamba dan pada antara miskin dan kaya semuanya samalah dengan tanah… iaitu manusia semuanya sama, dijadikan dari tanah dan pulang pun ia kepada tanah.”

Pengarang turut memasukkan keperluan untuk berlaku adil dalam pemerintahan termasuklah membantu golongan yang tertindas, dan pemimpin yang gagal berbuat demikian layak dilaknat oleh agama. Kitab Taj Us-Salatin mengingatkan kita sesungguhnya dalam tradisi politik Melayu tidaklah kesemuanya tercalit dengan nilai pemikiran feudalisme.

Galian khazanah Melayu klasik menemukan kita pada suara-suara perlawanan yang mengangkat kesetaraan manusia dalam masyarakat, dan bukannya ketaatan yang membuta tuli kepada pemerintah. Begitulah juga sikap kita seharusnya dalam berdepan dengan cabaran kekuasaan pada masa kini.

Kami mengakhiri senarai ini dengan kitab Taj Us-Salatin bagi menekankan kepentingan masyarakat hari ini, seiring dengan semangat kebudayaan yang lalu, harus berusaha untuk keluar dari lekuk pemikiran feudal yang masih berbaki. Negara dan masyarakat kita hanya boleh maju dan terpelihara sekiranya kebergantungan dalam menyelamatkan diri kita itu tidak diletakkan di bahu pemimpin elit, sebaliknya digalas secara bersama sebagai sebuah tanggungjawab kolektif.