Izzat Dahelan

Gerakan aktivisme di semenanjung Malaysia merupakan gerakan yang telah banyak ditulis dan menjadi rujukan para aktivis mahasiswa dan anak muda hari ini. Namun, agak kurang dibentangkan adalah berkaitan gerakan aktivisme yang sebenarnya tidak kurang segar dalam pembawaan idea yang progresif. Mungkin antara halangannya adalah faktor geografi yang dipisahkan oleh Laut Cina Selatan.

Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan sehingga hari ini, hubungan setiakawan di antara aktivis mahasiswa dan anak muda di semenanjung dan Borneo (khususnya Sabah) semakin merapat. Ini kerana terdapat beberapa isu yang telah memalingkan tengkuk mereka untuk melihat apa yang berlaku disini, antaranya adalah “Pandang ke Borneo” yang pernah mencetuskan kehangatan di media beberapa tahun yang lepas.

Tulisan ini akan berkongsikan berkaitan gerakan aktivisme mahasiswa dan anak muda di Borneo iaitu di Sabah yang telah berlangsung sejak beberapa tahun belakangang. Moga dengan perkongsian ini akan membuka lagi jendela kesedaran untuk semangat solidariti dilebarkan dengan kerap bersama teman-teman di semenanjung Malaysia.

Dari Negeri Di Bawah Bayu

Sabah ataupun yang pernah disebut sebagai Borneo Utara suatu ketika dahulu merupakan salah sebuah negeri dalam Malaysia yang berada di Kepulauan Borneo. Agnes Keith menyebut negeri ini sebagai “Negeri di Bawah Bayu” kerana kesuburan, keindahan, dan kepelbagaian yang dimiliki oleh tanah dan masyarakat di negeri ini.

Penulis bukan berasal daripada Sabah, sebaliknya berasal daripada Sarawak yang merupakan jiran terdekat. Pengalaman sebagai seorang mahasiswa yang menuntut di Universiti Malaysia Sabah (UMS) merupakan suatu pengalaman yang amat berharga. Ketika tapak kaki menjejak di atas bumi Sabah, adalah bersekalian dengan fikiran dan perasaan yang takut kerana banyak “cerita-cerita” yang tidak baik mengenai negeri ini. Namun, setelah hampir tiga tahun saya bergelar mahasiswa di Sabah, segala fikiran dan perasaan yang menganggu saya ketika peringkat awal dulu tidak lagi wujud di dalam diri saya.

Malah, selama berada di Sabah, saya telah melihat pelbagai perkara baharu yang menyemai cinta saya terhadap negeri ini. Kepelbagaian yang ada di Sabah tidak jauh bezanya dengan kepelbagaian yang dimiliki oleh saudara senegeri saya di Sarawak. Hampir sama. Makanan yang enak, budaya dan bahasa yang pelbagai, pakaian yang cantik dan pelbagai lagi perkara tampak dan tak tampak yang telah menghiasi deria empirikal sehingga mencipta rasa dekat dengan negeri ini atau sense of belonging.

Dari keindahan sehingga keburukan, dari kegembiraan sehingga kesengsaraan dan dari keamanan sehingga ketegangan, itulah hal yang telah dilihat di negeri ini. Di sebalik keindahan gunung Kinabalu yang jaguh menyentuh langit, bukit-bukau nan megah dan keindahan bumi yang dipeluk tumbuhan subur kehijauan, ada cerita duka, perit, mengecewakan, dan memarakkan amarah sedang tertulis di buku takdir masyarakat negeri ini.

Kemiskinan, pembangunan infrastruktur dan ekonomi yang perlahan, keciciran pendidikan, keterabaian hak asasi manusia, isu pertembungan etnik, dan masalah tanpa negara (statelessness) merupakan permasalahan dan persoalan utama yang berlangsung sejak sekian lama di negeri ini. Saya berpendirian bahawa segala permasalahan dan persoalan ini terus berlaku berpunca daripada pemerintah yang tidak serius dalam menyelesaikannya. Mereka lebih ‘suka’ berpolitik berbanding merakyat untuk lebih memahami posisi kehidupan rakyat bawah dan mendiagnosa ‘penyakit kehidupan’ yang rakyat negeri ini hadapi. Masalah kebobrokan pemerintah negeri ini seringkali berlaku, namun usaha untuk mencari pelakunya tidak dilaksanakan dengan telus dan jujur. Ada saja tangan-tangan ghaib yang akan menyeleweng kebenaran. Pembuktiannya adalah pada tahun 2020, apabila dilakukan pengguguran kes Musa Aman yang telah memarakkan lagi amarah rakyat negeri ini.

Di saat masalah ini terus bermain di lingkaran kehidupan rakyat, tidak pula ada suara-suara intelektual publik lantang mengkritik segala kecacatan ini. Sama ada suara ini tidak kedengaran atau mereka memang telah disenyapkan oleh kekuasaan. Tetapi menurut saya, adalah tidak sepatutnya seorang intelektual untuk berdiam diri daripada menyatakan kebenaran dan mempersoal segala hal yang tidak beres berlangsung dalam kehidupan rakyat negeri ini.

Saya berkesedaran untuk keluar daripada belenggu ‘kebiasaan’ mahasiswa yang dipasang oleh pemerintah untuk mengelakkan penggugatan mahasiswa adalah sewaktu berada di tahun dua pengajian universiti. Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah dan Kelab Sastera Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (KARMA UMS) merupakan gerakan kolektif mahasiswa yang telah saya sertai. Bersama teman seperjuangan (komrad), kami telah melemparkan pelbagai persoalan dan kritikan terhadap pentadbiran universiti dan pemerintah negara demi menggapai emansipasi yang diimpikan. Melepaskan pembelengguan pemikiran dan memusnahkan tembok kelas yang telah mencipta ketidakadilan.

Setelah itu, bersama pula dengan kolektif Borneo Komrad yang membawa idea modul baharu gerakan mahasiswa di luar ruangan kampus dan tingkat birokrasi pentadbiran yang rumit. Di sini saya telah bertemu dengan ramai teman-teman aktivis yang telah banyak mengajar saya ilmu dalam menceburi dunia aktivisme.

Melalui gerakan inilah saya mulai agresif dalam melihat permasalahan dan persoalan masyarakat di Sabah dengan lebih kritis. Bicara yang selama ini hanya tersemat di dalam benak fikiran dan relung hati yang dalam telah ditumpahkan melalui penulisan-penulisan di atas kertas dan dada media sosial. Perjuangan yang paling ketara di Sabah ini adalah melibatkan masalah kemiskinan dan masalah stateless yang telah wujud sejak pembentukan Malaysia pada tahun 1963.

Sehingga hari ini, usaha untuk menyelesaikannya masih tidak dilakukan dengan serius dan konkrit. Bukan kerana mustahil, tetapi kerana agak sensitif sehingga boleh menimbulkan masalah ketegangan etnik. Para politikus yang berkiblatkan kepentingan kekuasaan pula terus berdiam diri. Muncul usaha untuk menyelesaikannya pada tahun 2019, tetapi terhenti kerana usaha untuk menghapus permasalahan masyarakat tidak berdokumen di Sabah telah dipolitikkan oleh musuh (parti lawan).

Ekologi inilah yang telah mencipta kepelbagaian ideologi di negeri ini. Ideologi yang mungkin tidak diucapkan oleh ‘pelakunya’, tetapi diakui oleh ‘perlakuannya’. Permasalahan akan mewujudkan rasa atau tanggungjawab untuk menyelesaikannya. Bagi menyelesaikan segala permasalahan tersebut, mahu atau tidak, kita harus mencari perkakas ideologi untuk mendiagnosa permasalahan yang ada dan merawatnya agar tidak terus berakar-malar. Tertekannya kehidupan rakyat merupakan punca kepada penentangan ke arah pembebasan.

Membunuh Kebiasaan

Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 atau AUKU 1971 merupakan sebuah akta yang menyebabkan pergerakan aktivisme mahasiswa semakin perlahan dan lemah. Ini kerana terdapat perkara di dalam akta tersebut jelas menyekat praktik mahasiswa yang memungkinkan berlakunya penentangan terhadap pemerintah yang berkelakuan tidak adil, menyeleweng dan berkepimpinan autokratik. AUKU 1971 telah menghapuskan roh mahasiswa yang mandiri dan mencipta peribadi mahasiswa yang cenderung untuk bergantung kepada pemerintah dan pentadbiran universiti.

Pewujudan AUKU 1971 dan dipinda pada 1974 dengan lebih ketat telah berjaya ‘memaknai mahasiswa’ dalam konsep yang baharu dan turut berjaya merekonstruksi ‘budaya kebiasaan’ mahasiswa mengikut acuan yang mereka inginkan. Paling popular adalah kata-kata yang menganggap ‘masuk universiti hanya untuk belajar’ dan setelah itu mencari pekerjaan yang mempunyai gaji minimum lebih tinggi berbanding orang-orang yang tidak masuk universiti. Jadi, universiti dijadikan sebagai tempat untuk orang mendapatkan pointer yang baik dan mendapatkan sijil yang terpampang angka dan abjad ‘kecemerlangan’ lalu setelah itu bekerja.

Berpunca daripada ‘kebiasaan baharu’ institusi pendidikan tertinggi di negera kita itu tadi, ia telah menghasilkan manusia ‘robot’ yang bersikap individualistik. Sistem pendidikan kita masih lagi jauh daripada kejayaan untuk mencapai objektif ‘memanusiakan manusia’. Itulah ‘kebiasaan’ yang telah dibentuk dan dirangkakan oleh sistem pendidikan kita yang banyak dikritik oleh para ilmuwan.

Inilah bahana minda, roh dan kebudayaan mahasiswa yang telah disebarkan oleh AUKU 1971.

Di saat ramai mahasiswa yang hidup di dalam belenggu tersebut, yakni pembelengguan fikiran oleh undang-undang, pendidikan, persekitaran dan budaya yang melemahkan, muncul juga kelompok (yang seringkali minoriti) mahasiswa berpelakuan ‘asing’. Tangan-tangan mereka terlepas daripada ikatan ‘kebiasaan’ yang dicatur oleh kelompok elit tidak bertanggungjawab.

Pada tahun 2015, Suara Mahasiswa UMS telah diasaskan oleh komrad Mukmin Nantang bagi mewujudkan gerakan dan kolektif mahasiswa yang memperjuangkan idea-idea penting untuk memaknai kata ‘mahasiswa’. Teras utama yang menjadi pegangan dan asas kepada segala percaturan dan praktik Suara Mahasiswa UMS adalah intelektual, kebajikan dan masyarakat. Tidak termakan dengan ‘kebergantungan’ yang ditawarkan oleh pemerintah dan pihak universiti, Suara Mahasiswa UMS bergerak secara mandiri, percaya bahawa mahasiswa mempunyai ideanya sendiri, dan bebas beridea untuk mencipta sesuatu perkara yang lebih baik.

Tidak bersendirian, Suara Mahasiswa UMS merupakan kolektif yang muncul daripada rahim Kelab Sastera Mahasiswa UMS yang telah ada sebelum itu lagi. Walaupun demikian, Suara Mahasiswa tidak hanya eksklusif untuk mahasiswa yang cenderung kepada bidang seni sahaja, tetapi menjangkaui tembok keilmuan itu. Di tahun-tahun tersebut (yakni 2015), gerakan mahasiswa di Sabah telah mula melakukan praktik yang membumi dengan menanggapi persoalan akar yang menyebabkan berlakunya kemiskinan, keterpinggiran, kelambatan dalam kemajuan fizikal dan ekonomi, dan lain-lain masalah yang wujud di dalam masyarakat.

Tanpa bergantung kepada parti-parti politik atau mana-mana pihak, dua kolektif ini bergerak secara non-partisan bagi melahirkan idea anak muda yang lebih bersifat organik. Kita dapat melihat bagaimana gerakan mahasiswa partisan telah dikawal oleh parti politik sehingga tidak dapat untuk mereka berfikiran dengan lebih jernih dan kritis. Keterikatan mereka terhadap misi dan matlamat parti telah membunuh potensi ‘muda’ mereka untuk lahir dengan idea dan tesis yang baharu.

Kasih akan perjuangan yang mengakar dengan persoalan dan permasalahan masyarakat, kolektif mahasiswa ini telah merentasi sempadan tembok universiti pada tahun 2017 dengan tertubuhnya sebuah kolektif gerakan aktivis mahasiswa yang lahirnya daripada idea mahasiswa yang dikenali sebagai Borneo Komrad. Pelbagai kegiatan dan praktik-praktik untuk masyarakat telah dilakukan bagi memunculkan wacana berkaitan isu-isu yang bermain di pelusuk sunyi negeri Sabah. Antara praktik yang berjaya Borneo Komrad adalah dengan tertubuhnya Sekolah Alternatif yang memberikan pendidikan kepada kanak-kanak marjinal di Sabah. Sehingga hari ini, Borneo Komrad masih lagi percaya dengan roh dan semangat kemahasiswaan dan anak muda dalam mengangkat permasalahan serta persoalan lokal masyarakat di Sabah.

Melalui tiga gerakan atau kolektif inilah ‘kebiasaan’ mahasiswa telah dibunuh. Dibunuh atas alasan yang baik, iaitu menghidupkan semangat perjuangan ke arah emansipasi bangsa yang manusiawi.

Konsep mahasiswa turun kepada masyarakat semakin dimarakkan. Pegangan atau prinsip ‘mahasiswa datang ke universiti hanya untuk belajar’ semakin digugat. Inilah usaha-usaha yang telah dilakukan oleh gerakan mahasiswa di Borneo yang jarang sekali disebutkan atau diluncurkan dalam penulisan arus perdana negara ini. Perlawanan yang kita bawa adalah untuk menghapuskan ketidakadilan yang telah menyebabkan terbinanya separatis diantara kelompok manusia yang semakin dinormalisasikan dalam kehidupan masyarakat.

Pelbagai pendekatan yang telah dilakukan untuk memupuk kesedaran dalam kalangan mahasiswa dilakukan, terutamanya untuk membina dan mewujudkan nilai kritis dalam budaya berfikir mahasiswa. Asas utamanya adalah membaca. Seperti yang dikatakan oleh Hishamuddin Rais, tangga awal paling utama (wahid) untuk membebaskan diri adalah dengan membaca. Budaya berfikir yang kritis dalam kalangan mahasiswa masih lagi membimbangkan, dan apa yang lebih membimbangkan adalah mereka berdiam diri ketika melihat penindasan, kecelaruan dan kedunguan aparat kebijaksanaan yang secara jelas salah dan bertentangan dengan nilai keadilan.

Ini berlaku kerana telah diajarkan kepada mahasiswa di ruangan kuliah bahawa seorang yang akademis haruslah berpendirian ‘neutral’ tidak memihak kepada mana-mana pandangan atau kelompok. Pendirian ‘neutral’ untuk tidak memihak yang ditanam di dalam pikiran mahasiswa ini telah membenihkan sikap apatis dalam kelompok mahasiswa.

“Benar kemajuan fizikal itu penting. Tetapi kita harus ingat bahawa kecapaian suatu tamadun juga bergantung kepada budaya, ilmu dan pemikiran yang mendorong hal tersebut”. (Raja Ahmad Aminullah, dalam buku beliau “Minda Tertawan: Intelektual, Rausyanfikir dan Kuasa”)

Perlu diingatkan oleh semua mahasiswa bahawa seseorang intelektual yang baik adalah intelektual yang berkhidmat untuk masyarakatnya. Menurut Edward Said, intelekual publik (yang baik) bukanlah seorang yang bekerja pada jam lapan pagi dan balik daripada pejabat pada jam lima petang, itu bukanlah seorang intelektual, tetapi intelektual yang sebenar adalah seorang yang bertugas dan berkhidmat untuk masyarakat di luar kawalan ruang waktu tersebut dengan menyatakan kebenaran kepada kekuasaan (to speak truth to power).

Seringkali, intelektual yang jujur dan berkhidmat atas bicara kebenaran ini ‘terasing’ daripada perhatian para pemegang autoriti kerana sikapnya yang sering mempersoalkan dan menyanggah segala bentuk kebingungan yang diciptakan oleh para pemerintah yang dilihat tidak beres. Kelompok pemegang jawat tertinggi yang dekat dengan kekuasaan, atau lebih disebut sebagai kelompok yang ‘professional’, seringkali akan berdiam dalam menyatakan kebenaran akibat daripada kepentingan yang ia pegang dan tanggungkan.

Selain itu, intelegensia atau individu yang yang layak disebutkan intelektual menurut Edward Said adalah seorang yang memihak kepada golongan yang lemah dan tidak diwakili oleh mana-mana suara. Intelektual bukanlah seorang yang memegang jawatan sebagai pensyarah, bukanlah seorang yang menggunakan gelar “Doktor” atau “Prof”, dan bukanlah bertugas hanya melonggokkan kertas kajian ke dalam jurnal akademik, tetapi intelektual itu adalah kelompok yang mempertahankan, mencerahkan, melindungkan, dan memihak kelompok lemah yang telah ditarah, dikerah dan dihegemoni oleh para rakus kekuasaan yang tidak bertanggungjawab.

“There is no question in my mind that the intellectual belongs on the same side with the weak and the unpresented,”

“The purpose of the intellectual’s activity is to advance human freedom and knowledge,”

Intellectuals have been the fathers and mothers of movements, and of course sons and daughters, even nephews an nieces,”

“…but I also want to insist that the intellectual is an individual with a specific public role in society that cannot be reduced simply to being faceless professional, a competent member of a class just going about her/his business,”

At bottom, the intellectual, in my sense of the word, is neither a pacifier nor a consensus-builder, but someone whose whole being is staked on a critical sense, a sense of being unwilling to accept easy formulas, or ready-made cliches, or the smooth, ever-so-accommocating confirmations of what the powerful or conventional have to say, and what they do. Not just passively unwillingly, but actively willing to say so in public.”

(Edward Said, dalam “Representations of the Intellectual”).

Pokoknya, jika kita ingin menjadi seorang intelektual publik; untuk masyarakat, kita haruslah MEMIHAK kepada golongan yang lemah dan tidak terwakili oleh sesiapa.

Mahasiswa yang sebenar-benarnya adalah mahasiswa yang menuntut ilmu di ruangan kuliah dengan pembelajaran konsep dan teori yang besar untuk menyelesaikan masalah di lingkungan masyarakat, tetapi tidak pula ‘terawangan’ bersama konsep dan teori yang di datangkan daripada buku-buku sehingga berlakulah apa yang disebutkan oleh Syed Hussein Alatas sebagai minda tertawan. Tidak terhenti di situ, mahasiswa turut berpartisipasi dalam segala isu yang melibatkan masyarakat di lingkungan serta ‘membaca’ masyarakat dengan turun kepada masyarakat untuk lebih memahami apakah kesengsaraan, permasalahan dan ketertinggalan yang sedang mereka hadapi. Itulah tanggungjawab mahasiswa yang sebenarnya. Bak kata Mohamad Hatta, “Mahasiswa adalah akal dan hati masyarakat.”.

Membunuh kebiasaan yang memalapkan dan melemahkan daya progresif mahasiswa, itulah tuntutan kita bersama sebagai seorang mahasiswa. Moga kata-kata Henry Giroux (Seorang ilmuwan yang menemui teori pedagogi kritis) tentang universiti dapat kita pastikan untuk terjadi melalui peranan kita sebagai mahasiswa, kata beliau,

“Universiti perlu menjadi subversif dalam masyarakat yang sihat. Mereka harus bergerak menentang arus, dan memberikan suara kepada yang lemah dan bisikan-bisikan kebenaran yang akan menghantui rasul-rasul kuasa yang mengawal kekayaan. Pedagogi harus ada upaya untuk mempersoal dan penolakan keras terhadap amalan-amalan kuno. Permintaan ini mungkin belum radikal tetapi mengingatkan kita akan kerja-kerja yang semakin banyak perlu dilakukan serta memberi satu hala tuju baharu dalam mengalih peranan pendidikan tinggi.”

Moga segala usaha kita yang baik pada hari mencapai jayanya.

Maklumat Penulis:

Izzat Dahelan merupakan aktivis mahasiswa di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Juga, seorang kolumnis di Borneo Komrad.