
Izzat Dahelan
Lanjutan dari tulisan minggu lalu yang membincangkan tentang pembentukan latar perkembangan aktivisme dari Sabah, minggu ini penulis membincangkan lanjut akan perubahan membumi yang digerakkan oleh beberapa kolektif berpusat di Borneo.
Rencam aktivisme mahasiswa Borneo
“Kerja-kerja kebaikan untuk kemanusiaan merupakan kerja-kerja prophetic (kenabian),” begitu kata seorang sosok yang saya anggap sebagai guru, Dr. Azhar Ibrahim Alwee, yang paling banyak mendokong kegiatan aktivisme saya dan komrad lain lakukan.
Kerja aktvisme yang kami lakukan, atau praktikkan di Sabah, tidak hanya dalam konteks pendidikan semata-mata. Aktivisme yang mempunyai tujuan politik (bukan politik kepartian, tetapi politik kesedaran) oleh kami di Borneo adalah banyak menanggapi persoalan akar yang bermain di lingkungan masyarakat. Ramai yang beranggapan bahawa advokasi yang kami lakukan hanya di lingkungan pendidikan, tetapi hal tersebut jelasnya kurang tepat. Segala perkara yang tidak memihak kepada golongan lemah, miskin serta tidak berpihak kepada nilai kemanusiaan, adalah termasuk di dalam isu yang dibela dan diadvokasikan.
Terdapat banyak isu dan persoalan lokal yang telah diangkat sehingga berlangsungnya beberapa bentuk aksi seperti demonstrasi untuk mengungkapkan tekanan yang sedang dihadapi masyarakat. Selain daripada aksi demonstrasi itu, usaha desakan dalam terma aktivisme turut dilakukan dengan idea-idea alternatif yang lebih membumi dan dekat dengan masyarakat. Segala idea ini adalah suatu simbol perlawanan dan kritikan terhadap kebijakan pemerintah yang tidak memihak kepada rakyat.
Seterusnya, segala permasalahan lokal juga diangkat di dalam bentuk seni dan sastera, seperti puisi, pantun, dan lukisan yang menyampaikan mesej bergambar tentang masalah dalam sistem pemerintahan dan masalah dalam kehidupan masyarakat. Advokasi dalam bentuk seni tampak (yakni lukisan) banyak dilakukan oleh kolektif Pangrok Sulap yang merupakan kolektif diwujudkan oleh masyarakat lokal di Sabah. Idea yang mereka sampaikan sangat terkesan sehingga diucapkan dan dikongsi di atas pentas TedTalks yang amat terkenal dalam media arus perdana di Barat.
Sekolah Alternatif pula merupakan antara contoh kritikan terhadap kegagalan pemerintah yang gagal menyelesaikan isu keciciran pendidikan anak-anak stateless di Sabah. Idea ini dibina dan dihasilkan dengan modul pembelajaran yang tidak terlalu rigid atau bersistem, penilaian yang mengambil kira faktor lokaliti, budaya, dan konteks kehidupan mereka amat dititikberatkan. Usaha ini bukan hanya untuk mewujudkan ‘pendidikan’ kepada anak-anak tanpa negara di Sabah, tetapi turut membawa nilai dialektika terhadap pendidikan arus perdana yang mapan. Falsafah pendidikan yang dipegang adalah “Pendidikan Alat Perubahan Bangsa” yang percaya bahawa pendidikan itu merupakan proses ke arah pembebasan bangsa.
Seperti yang dikatakan oleh Paulo Freire, pendidikan yang ada dalam ranah arus perdana dilihat tidak berpihak kepada rakyat miskin tetapi telah menjadi suatu medan pengasingan serta menjadi alat penindasan oleh penguasa. Selain itu, sistem pendidikan yang terlalu bersifat propaganda (menyimpan matlamat kekuasaan politik kepartian) seperti yang dikatakan oleh Ahmat Adam dalam tulisannya sewaktu mengupas berkaitan pendidikan sejarah, merupakan hal yang paling dielakkan supaya pendidikan yang diberikan lebih bersifat memunculkan kemampuan beridea dalam diri peserta didik. Nilai negatif seperti ini ditolak di dalam praktik alternatif sekolah untuk anak-anak tanpa negara dan lebih mengangkat nilai organik yang dekat dengan nilai kemanusiaan yang konstruktif.
Selain daripada menanamkan ‘pendidikan’ (apabila saya mengatakan ‘pendidikan’, ini merujuk kepada pendidikan yang bersifat abstrak, bukanlah ‘institusi pendidikan’ seperti sekolah, kolej, universiti dan lain-lain lagi) kepada masyarakat, usaha ke arah pemberdayaan ekonomi masyarakat turut dilakukan. Ini bertujuan untuk membudayakan budaya ekonomi yang mandiri oleh masyarakat yang tidak hanya bergantung kepada budaya bekerja ‘makan gaji’, tetapi bekerja bercucuk tanam dengan mengusahakan tanah dan ternakan. Idea ini turut diasimilasikan dengan budaya untuk mengintegrasikan masyarakat agar bekerjasama. Segala hasil yang telah dicucuk tenam dan hasil daripada usaha menternak akan dinikmati bersama. Idea untuk tidak terlalu begantung dengan pemerintah dan tidak mengharapkan bantuan pemerintah semata-mata.
Nilai seperti inilah yang pada setakat ini telah berjaya dimanifestasikan dalam masyarakat di Sabah khususnya kelompok terpinggir. Kita tidak percaya bahawa perubahan itu dapat dilakukan hanya dalam masa 24 jam, tetapi perubahan untuk membebaskan itu memerlukan tempoh waktu yang panjang. Pembangunan yang dimulai dengan menanggapi masalah akar merupakan hal yang paling utama untuk kita lakukan. Di sini, kita akan membawa suatu elemen pembaikkan dalam masyarakat yang lebih praktis dan organik. Antara masalah aktivisme mahasiswa yang saya dapat lihat adalah terlalu ghairah dalam menyelesaikan masalah yang berlaku tanpa melakukan usaha mendiagnosanya terlebih dahulu. Hasil daripada keghairahan inilah, segala usaha yang dilakukan berakhir dengan kegagalan dan tidak dapat bertahan dalam jangka masa yang panjang.
Kami percaya bahawa perubahan itu perlu juga dilakukan di peringkat atas, yakni dengan membawa permasalahan kepada pemerintah. Namun, langkah tersebut bukanlah suatu langkah yang awal. Langkah awal harus dimulakan oleh praktik daripada bawah supaya kita lebih memahami segala permasalahan dengan mengakar. Tindakan melobi kepada parti politik dengan mengharapkan mereka memasukkan tuntutan kita ke dalam manifesto parti di dalam Pilihan Raya Umum (PRU) merupakan suatu langkah awal yang silap.
Tindakan ini pada saya adalah suatu tindakan yang menunjukkan kebergantungan kita kepada parti politik untuk melakukan perubahan tanpa mewujudkan persekitaran yang kondusif ke arah perubahan tersebut. Persekitaran kondusif yang saya maksudkan ialah persekitaran dimana semua masyarakat bersedia dan mahu menerima perubahan tersebut, persekitaran dimana segala permasalahan sudah di diagnosa sebaik mungkin, dan persekitaran dimana wacana berkaitan suatu usul dan tuntutan itu subur dalam wacana dominan.
Itulah hal yang perlu kita pastikan terlebih dahulu, perubahan yang kita lakukan dengan cara ini pastinya akan berkekalan. Jika hanya bergantung kepada ‘harapan’ para politikus yang berkepentingan, segalanya akan berubah dan dimanipulasikan, ini kerana desakan kita tidak penting, tetapi desakan majoriti yang tidak tahu dan peduli akan masalah kita demi kepentingan undi dan sokongan adalah keutamaan mereka. Itulah yang berlaku ketika dituntut berkaitan pemansuhan AUKU 1971 yang akhirnya tidak terlaksana setelah berlakunya peristiwa “Langkah Sheraton” yang telah menaikkan pemerintah yang diwakili oleh kelompok konservatif.
Bercerita soal aktivisme mahasiswa di Borneo yang digerakkan oleh Suara Mahasiswa UMS, Kelab Sastera Mahasiswa UMS, dan Borneo Komrad tidaklah sukar untuk difahami akar mula dan asas praktiknya. Bermula daripada bawah untuk mencari tahu persoalan dan permasalahan kemudian diwacanakan, setelah itu diusahakan juga membawanya kepada pemerintah yang membentuk kebijaksanaan untuk rakyat. Inilah (pada kepercayaan kami) yang akan memastikan sesebuah gerakan aktivisme itu lebih membumi dan mengakar dengan lebih kuat.
Saya telah menyebut pada perenggan sebelum ini bahawa kolektif kami berpegang kepada konsep mandiri dan tidak bergantung dengan mana-mana organisasi, individu atau parti politik yang mempunyai kepentingan. Perkara ini amat penting untuk dititikberatkan oleh gerakan anak muda atau mahasiswa yang berjuang di dalam ranah aktivisme yang penuh dengan cabaran, dugaan dan konfrontasi bersama pihak pemerintah.
Keterikatan kepada sekelompok pihak akan membuatkan idea disekat dan dirangka mengikut kehendak yang mereka inginkan selaras dengan matlamat dan cita mereka. Di sini pentingnya kemahiran mencari dana dengan melakukan pelbagai usaha yang akan memutarkan dana tersebut supaya boleh dimanfaatkan pula kepada aktivis yang bekerja untuk masyarakat bagi menampung kehidupan mereka.
Demikianlah serba sedikit, secara ringkas, berkaitan gerakan aktivisme yang telah dilakukan di Sabah yang merupakan salah sebuah negeri di Borneo. Apa yang penting, segala praktik untuk bergerak di dalam dunia aktivisme adalah membaca. Masa terhad, tetapi luangkan masa yang sedikit itu untuk membaca bahan bacaan yang membantu kita di dalam praktik aktivisme. Praktik yang tidak diasaskan kepada ilmu itu merupakan suatu perkara yang keliru, manakala berilmu tanpa mempraktikkannya adalah sia-sia. Seimbang adalah asas yang paling penting supaya segalanya dapat dicapai dengan baik.
Ke Arah Masyarakat Yang Lebih Baik
Pada 24 April 2021 yang lepas, telah berlakunya aksi demonstrasi secara aman di Kg. Muhibbahraya, Tawau, Sabah, yang digerakkan oleh aktivis Sabah dan beberapa orang pekerja penghantar makanan. Tujuan demonstrasi ini dilakukan adalah untuk menyampaikan kesengsaraan dan suara masyarakat di kampung terbabit yang berada dalam keadaan tersepit akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tanpa dasar yang benar-benar mempertimbangkan kebajikan mereka. Susulan daripada ini, para aktivis yang digelar sebagai Tawau7 telah ditangkap oleh pihak polis, tetapi telah dilepaskan.
Simbolik demonstrasi ini telah mendapat perhatian rakyat Malaysia dan telah membenihkan rasa untuk turut melakukan hal yang sama demi menyampaikan suara mereka yang jarang sekali didengari oleh pihak pemerintah. Hal ini terbukti apabila berlakunya demonstrasi beberapa hari lepas (tidak lama setelah demonstrasi di Kg. Muhibbahraya) iaitu di Kg. Baru Pasir Putih, Tawau, Sabah, oleh orang kampung yang marah kerana telah hampir empat puluh hari dilaksanakan PKPD dan ingin disambung semula selama dua minggu. Demonstrasi tersebut telah membawa kepada pembatalan pelaksanaan PKPD di kampung tersebut.
Budaya demonstrasi merupakan budaya yang sememangnya ada di dalam konsep demokrasi yang diamalkan di negara ini. Ia merupakan hak yang dilindungi di dalam perundangan negara kita, namun, seperti biasa, telah ‘dikosmetikkan’ dengan ‘kosmetik’ yang enak di mata para pemerintah yang ‘ketagih’ kepada kekuasaan. Berdasarkan tindakan demonstrasi yang telah dilaksanakan tersebut, apa yang dapat kita lihat adalah bagaimana kesedaran rakyat negara ini terhadap hak mereka dan bagaimana kuasa rakyat itu dapat mengubah segala pendirian pemerintah yang tidak memihak kepada mereka.
Idea berdemosntrasi oleh para aktivis ini juga merupakan budaya kebiasaan dalam dunia aktivisme. Mungkin ramai yang beranggapan bahawa hal tersebut tidak betul, tidak beradab dan harus disampaikan melalui ‘saluran yang betul’, namun, perlu diakui bahawa pada akhirnya segala praktik tersebut adalah untuk membentuk negara ini menjadi lebih baik. ‘Saluran yang betul’ pada saya hanyalah saluran yang digunakan oleh pemerintah menyembunyikan kesilapan yang mereka lakukan dan kekurangan yang ada pada dasar pemerintahan untuk rakyat. Kita telah dihegemonikan dengan budaya ‘beradab’ tanpa berfikir yang telah menyebabkan segala penindasan telah berlaku kepada kita tanpa kita persoalkan dan menyanggahnya atas alasan adab.
Lawan kepada beradab adalah kurang ajar. Kata Usman Awang di dalam puisi beliau yang bertajuk “Kurang Ajar”,
“Lihat petani-petani yang kurang ajar;
memiliki tanah dengan caranya
sebelumnya mereka tak punya apa
kerana ajaran malu dari bangsanya
Suatu bangsa tidak menjadi besar
tanpa memiliki sifat kurang ajar”
Jika kita kasih kepada saudara, teman, keluarga dan seluruh umat manusia di sekeliling kita, kita haruslah membela keadilan yang telah dicabuli. Antara laluannya adalah dengan terjun ke dalam dunia aktivisme dan meluncurkan wacana yang kritis untuk menyanggah segala tantangan terhadap pembangunan yang baik negara ini. Tugas ini merupakan tugas mulia yang tidak dapat dilakukan serta ditanggung oleh semua orang.
Kata W. S. Rendra yang merupakan seorang budayawan Indonesia,
“Nah, sekarang kalau kita memang betul-betul mau memakai strategi dalam kebudayaan, maka yang harus kita tampilkan dan kita bicarakan adalah masalah nasib bangsa dari realitas sosial yang tak seimbang, untuk menuju pada kemungkinan Indonesia”
Tidak ada cara lain, bagi mengetahui “…realitas sosial yang tak seimbang…” dalam masyarakat adalah dengan turun kepada masyarakat. Melalui cara inilah, kita akan membina kepedulian yang jujur kerana lebih memahami segala kesusahan yang sedang mereka hadapi. Akhirnya, segala usaha turun kepada masyarakat itu akan mencipta jalan untuk kita menuju ‘kemungkinan’ negara yang kita cita-citakan atau utopia yang ingin kita genggam.
Pada akhirnya, segala tindakan kita hari ini haruslah membawa kepada matlamat yang adil buat semua rakyat negara ini, rakyat yang berpijak di bumi Malaysia, kita ingin mencapai ke arah negara yang lebih baik. Dialektika yang menyuburkan budaya berfikir haruslah dikembangkan. Kelembapan dalam berwacana dan melontar kritik yang kritis serta peduli harus diwujudkan dengan nuansa yang pelbagai agar dapat menggugah tindak-tanduk pemerintah yang menyeleweng. Kita tidak meletakkan pemerintah itu sebagai institusi yang sentiasa salah, tetapi jika ada penyelewengan tingkah dan kebobrokan, suara kebenaran haruslah dilaungkan untuk menggegarkan tanah air tercinta ini.
Kata Noam Chomsky,
“Nobody is going to pour truth into your brain. It’s something you have to find out for yourself.”
Maka, terus-teruslah ‘merenung’ kebenaran (truth) yang tertulis di dalam buku-buku dan ‘membaca’ kebenaran yang tertulis di ruangan realiti masyarakat.
Ke arah pembebasan yang dicitakan!
Maklumat Penulis:
Izzat Dahelan merupakan aktivis mahasiswa di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Juga, seorang kolumnis di Borneo Komrad.