Hazman Baharom
Saya bukanlah seorang doktor ataupun profesional bidang kesihatan. Jadi, saya tidak menulis dari perspektif sains kesihatan atau pengurusan hospital. Kalau ada pun penglibatan saya yang sipi-sipi dengan bidang kesihatan, saya pernah mengajar di kolej kesihatan selama hampir lima tahun, tetapi bukan dalam subjek sains kesihatan. Pernah juga berkhidmat sebagai salah seorang ahli jawatankuasa etika (wakil luar bidang kesihatan) di sebuah hospital swasta. Itu sahaja.
Saya menulis dari perspektif orang awam, orang luar. Melalui tulisan ini, saya mahu mengajak orang-orang luar bidang yang lain untuk sama-sama menyokong Hartal Doktor Kontrak yang dirancang untuk diadakan oleh kawan-kawan doktor pada 26 Julai ini.
Kita harus sedar bahawa sistem kesihatan awam (public health) moden merupakan salah satu pencapaian terhebat umat manusia. Melaluinya, kadar pengawalan penyakit, kadar kesembuhan, dan peningkatan kesihatan massa meningkat dengan mendadak berbanding 150 tahun lalu. Dalam negara moden, ia diinstitusikan pula, bermaksud ia merupakan sistem yang terus berjalan dan berkembang selagimana negara tersebut wujud. Berbeza dengan negara-negara pramoden, yang kebanyakan sistem ini hanya bergantung kepada inisiatif pemerintah tertentu. Dengan penginstitusian, tugas-tugas untuk memastikan kesihatan masyarakat terbanyak dapat dijalankan dengan meluas dengan kos minimum yang perlu dibayar oleh anggota masyarakat. Contohnya, usaha-usaha sanitasi, imunisasi, pendidikan kesihatan di sekolah, penyebaran maklumat di media, dan sebagainya.
Dengan perkembangan di atas, kita semua, tanpa mengira orang bandar atau kampung, miskin atau kaya, berpendidikan atau tidak, lelaki atau perempuan, warganegara atau tidak, telah dan sedang mendapat manfaat daripada sistem kesihatan yang meluas ini. Kita mesti menghargai perkembangan ini.
Dalam institusi negara moden, wajib ada birokrasi untuk menjadi panduan dan saluran kerja. Setiap tugas dibahagikan dengan tersusun dan ada langkah-langkah khusus untuk mendapatkan sesuatu. Pada mulanya, birokrasi bermatlamat untuk memudahkan proses, yakni dengan adanya hierarki, proses kerja, dan saluran yang jelas, semua orang dapat berkhidmat dengan baik. Para pengamal birokrasi ini pula kita namakan mereka birokrat, yang sentiasa melakukan kerja secara tunaperibadi (impersonal). Tukarlah birokrat berapa kali pun, jika itu kerja mereka, mereka akan ulang hal yang sama. Ini bagus pada asalnya kerana sistem akan berjalan lancar.
Tetapi, di kebanyakan tempat di dunia termasuk Malaysia, birokrasi berubah daripada menjadi alat menuju matlamat, kepada menjadi matlamat itu sendiri. Para birokrat mula bekerja bukan lagi dengan menggunakan birokrasi untuk kepentingan massa, tetapi menggunakan birokrasi untuk birokrasi itu sendiri. Ia jadi “feedback loop” yang tak berkesudahan.
Baik. Kenapa saya membebel tentang birokrasi? Kerana banyak punca masalah adalah pada birokrasi. Mereka yang menguruskan perjawatan doktor umpamanya, adalah para birokrat di atas sana yang tidak nampak masalah yang melanda doktor-doktor kontrak di bawah, kerana pada mereka, asalkan gaji masuk bulan-bulan dan mereka memenuhi tuntutan kerja di atas kertas, kerja mereka selesai. Zaman, tuntutan, dan pernak-pernik kerja doktor sudah banyak berubah dari 20 tahun lalu sehingga sekarang. Tetapi birokrasi boleh dikatakan tidak berubah, dan apabila birokrat tidak melihat melangkaui birokrasi yang menjadi sistemnya, ia tidak akan nampak masalah sebagai masalah.[1]
Apatah lagi dalam keadaan sekarang, apabila wabak COVID 19 sedang mengganas, yang bersusah-payah bertarung nyawa adalah para doktor, jururawat, ahli farmasi, pembantu perubatan, dan banyak lagi di hospital. Adakah para birokrat di atas benar-benar merasai kesusahan ini? Mungkin ada, tapi masih sangat sedikit. Lebih menyedihkan, apabila Menteri Kesihatan sendiri menulis kata-kata tidak sensitif seperti “lagak ngeri” di media sosialnya. Adakah mereka benar-benar mengerti penderitaan rakyat?
Menurut perkongsian ramai doktor di media sosial, ada dua sebab terbesar mereka mahu menjalankan Hartal. Pertama, mereka sudah dalam sistem kontrak selama bertahun-tahun dan masih tiada sinar untuk mendapat jawatan tetap. Kedua, apabila tiada jawatan tetap, tiadalah peluang untuk mereka menyambung pengajian dalam bidang kepakaran.
Untuk sebab pertama, ia mudah difahami kerana dari perspektif sumber manusia, jika tiada jaminan pekerjaan yang stabil, motivasi seseorang pekerja boleh terganggu. Adakah kita sanggup berdepan dengan keruntuhan motivasi para doktor ketika mana pandemik sedang mengganas? Sebab kedua pula lebih kepada pembinaan modal pengetahuan (knowledge capital) dan modal insan (human capital). Kita mungkin tidak nampak kepentingan jangka pendek menghasilkan pakar yang ramai, tetapi dengan keadaan masyarakat semakin kompleks, mikroorganisme yang berevolusi menjadi semakin bahaya, kadar pencemaran alam yang kian teruk, kita sangat memerlukan pakar dalam apa saja bidang kesihatan pada masa depan. Memanglah para pakar ini tidak menguruskan orang sakit demam di klinik kesihatan, tetapi mereka inilah yang akan mengembangkan ilmu sains kesihatan dan menyelamatkan umat manusia daripada masalah yang bakal lebih mencabar nanti, yang kita belum tahu lagi sekarang.
Isu seterusnya adalah berkenaan Sumpah Hippocrates (Hippocratic Oath). Untuk kita semua yang bukan doktor, Sumpah Hippocrates ini ialah sumpah yang diangkat oleh semua doktor sebelum memulakan perkhidmatan mereka. Perkara paling utama dalam sumpah ini ialah “primum non nocere” (first, do no harm).
Secara selapis, kita akan mengatakan bahawa doktor yang menjalankan hartal sedang “doing harm,” menyebabkan mudarat kepada nyawa pesakit masing-masing. Ini mungkin benar, tetapi ada sesuatu yang lebih besar pada lapisan seterusnya.
Kita harus pergi kepada konsep “mudarat” (harm) itu sendiri. Ada mudarat di peringkat individu, contohnya saya tumbuk muka kawan saya. Namun, ada juga mudarat di peringkat institusi dan bukan individu, contohnya keciciran anak-anak daripada pendidikan kala pandemik hanya disebabkan mereka berasal daripada kelompok ekonomi tertentu. Nah, mudarat kedua ini, menurut ramai filasuf moden seperti John Rawls, Amartya Sen, Iris Young, dan lain-lain, adalah lebih besar. Tetapi, disebabkan institusi moden ini tidak memiliki wajah (“faceless”), tiada individu yang boleh dipersalahkan atas kegagalan ini.
Apakah mudarat individu di sini? Apabila berlaku Hartal, ada kemungkinan ia akan menyebabkan sebilangan pesakit kurang mendapat perhatian dan rawatan secukupnya. Kemudian, apakah pula mudarat institusi? Dalam keadaan sekarang, birokrasi yang menyebabkan tiada jaminan kerjaya dan peluang menyambung kepakaran di kalangan doktor-doktor kontrak. Dalam jangka masa panjang, ia akan menyebabkan kehilangan motivasi di kalangan doktor dan ketandusan pakar di negara kita. Pernahkah kita persoalkan, mengapa ribuan doktor rakyat Malaysia lebih memilih untuk bekerja di negara maju seperti di UK, Australia, Amerika Syarikat, New Zealand, Jerman, dan sebagainya? Jangan simplistik sangat dengan mengatakan mereka ini “pengkhianat,” “tidak bersyukur,” “kacang lupakan kulit,” dan sebagainya. Lihat dulu bagaimana sistem melayan mereka.
Begitulah isu Hartal Doktor Kontrak ini. Mudarat institusi (“institutional harm”) sedia ada adalah lebih besar daripada mudarat individu yang diskrit (“discreet individual harm”) yang berpotensi berlaku jika Hartal berjalan. Perlu diingat, mudarat institusi ini telah dan sedang berlaku, manakala mudarat individu akibat Hartal pula hanya potensi untuk berlaku. Dalam pertimbangan moral (kalau nak kaitkan dengan agama pun boleh, kaedah fiqh pun sebut benda yang sama – “akhaffu ḍarūrayn”), mudarat yang lebih besar perlu ditolak berbanding mudarat lebih kecil, dan mudarat yang pasti perlu ditolak berbanding mudarat yang masih samar-samar atau ada keraguan padanya.
Untuk menyelesaikan masalah mudarat institusi, ada dua jalan yang boleh dilakukan. Pertama, institusi itu perlu diubah secara keseluruhan dari sudut matlamat kewujudannya serta bagaimana ia bergerak dan beroperasi. Adalah tidak cukup untuk menempatkan individu-individu yang “berakhlak baik” dalam institusi tersebut, kerana perubahan di peringkat individu tidak akan mengubah cara institusi bekerja. Ramai sekali birokrat di Malaysia yang berakhlak baik dan sangat bersih lagi berintegriti, tetapi masalah di peringkat institusi tidak pernah selesai. Inilah sebabnya mengapa segala aduan atau kritikan melalui “saluran yang betul” oleh doktor-doktor kontrak selama ini tidak diselesaikan dengan konstruktif. Ia bukan masalah “siapa individu” yang menguruskan segalanya, ia sebenarnya masalah “bagaimana institusi itu bergerak.”
Cara pertama tampak mustahil, jadi yang ada ialah cara kedua iaitu protes. Dalam kes ini, protes bukanlah untuk merosakkan sistem, tetapi untuk memaksa sistem melihat kerosakan pada dirinya sendiri. Birokrasi moden cenderung untuk melihat keluar dan jarang-jarang melihat diri sendiri, kerana ia beranggapan dirinya sempurna dan bertanggungjawab “membetulkan orang lain.” Dengan adanya hingar-bingar akibat protes, ia akan memaksa institusi untuk mengakui masalah pada dirinya, dan penyelesaian akan terpaksa dicari. Ingat, hampir semua hak pekerja yang kita nikmati hari ini—tempoh kerja lapan jam sehari, kewujudan konsep “hujung minggu,” cuti bersalin, larangan memecat tanpa sebab, dan lain-lain—adalah berpunca daripada protes puluhan tahun dahulu. Dengan Hartal ini, para doktor bukanlah memulakan sesuatu yang baru, tetapi mereka hanyalah sebahagian kecil daripada rentetan perjuangan hak asasi manusia sejak dulu hingga kini.
Isu doktor kontrak ini bukan semata-mata isu para doktor. Ia merupakan isu yang melibatkan semua orang, termasuklah kita-kita yang bukan doktor ini. Akhirnya, saya ingin menyeru kawan-kawan yang bukan doktor untuk memberikan sokongan kepada para doktor yang akan menjalankan Hartal Doktor Kontrak.
Demi keadilan, kemanusiaan, dan cinta.
Tentang penulis:
*Hazman Baharom ialah penulis dan penterjemah. Beliau telah menulis buku Perihal Keadilan (2019) Renungan Kemasyarakatan (2016), dan telah menterjemah empat buku dari Bahasa Inggeris dan Cina, dan cerpen-cerpen dari Bahasa Jepun.
[1] Isu-isu dalam birokrasi ini banyak dihuraikan dan dijelaskan oleh Nur Adilla, seorang birokrat, kepada saya. Saya banyak mengambil manfaat daripada huraian beliau.