
2020-21 Atlantic Fellow for Social and Economic Equity
Oleh: Christopher Choong Weng Wai
Diterjemah daripada Bahasa Inggeris oleh: Adriana Nordin Manan
This article was translated with the support of AFSEE’s Translation Initiative.
Perubahan sosial lazimnya melibatkan perubahan dasar, tetapi perubahan dasar tidak selalunya memerlukan, malah sering tidak membuka jalan kepada perubahan sosial. Perubahan sosial selalunya memerlukan pertembungan langsung dengan persoalan kuasa, tetapi perubahan dasar sering dapat dikendalikan tanpa menggarap teori jelas berhubung kuasa. Kita juga boleh berhujah bahawa perubahan dasar hanya menekankan satu bentuk kuasa, seperti ditakrif oleh Duncan Green, iaitu kuasa nyata. Dalam erti kata lain, kuasa yang merangkumi pihak berkuasa, undang-undang, peraturan, dasar dan objek termaktub sepertinya.
Untuk penggubalan dasar yang tidak peka persoalan kuasa seperti ini, teori perubahan yang mendasari proses berbunyi lebih kurang begini. Pertama, kita menyediakan “bukti” melalui kajian atau pelaksanaan projek, kemudian merangka strategi advokasi untuk menyampaikan bukti yang dikumpul kepada “orang sepatutnya” dan di “wadah sepatutnya.” Menurut fahaman yang dipegang, jika kita berjaya menyampaikan bukti kepada orang yang sepatutnya di wadah yang sepatutnya pada masa yang sepatutnya, maka perubahan akan berlaku. Inilah andaian yang mendasari konsep yang dikenali umum sebagai “penggubalan dasar berpandukan bukti”.
Dalam teori perubahan ini, impak ditakrif sebagai kebolehan mempengaruhi pemegang kuasa nyata, dan berkait rapat dengan manfaat dan ganjaran berpasakkan institusi—tetapi hakikatnya, kurang menekankan mutu bukti yang dihasilkan. Impak difahami bukan sebagai penambahbaikan nyata kepada kehidupan masyarakat, tetapi sebagai sumbangan penggubal dasar kepada penambahbaikan bayangan, walaupun hubung kait dengan penambahbaikan tersebut kekal kabur. Sebagai contoh, pihak pengkaji mungkin berpuas hati dengan “impak” yang dicapai ketika memperkenalkan kaedah baharu untuk menghitung kadar kemiskinan di dokumen dasar, tanpa mengambil kira impak kaedah tersebut ke atas kehidupan masyarakat miskin di luar sana, atau meneliti sama ada ia meningkatkan kebolehan menyasarkan penerima bantuan, atau sebaliknya meningkatkan stigma.
Fahaman impak sebegini melibatkan pelbagai bahaya moral untuk penggiat dasar, menggalakkan mereka memperkecil apa yang diperlukan untuk membawa perubahan sosial yang nyata, dan menyatakan dengan berlebih-lebihan kemampuan mereka untuk menyumbang kepada matlamat dasar yang sebenarnya suam-suam kuku sahaja. Malah, ini menimbulkan insentif songsang untuk penggiat dasar menghadkan pergerakan mereka di ruang pragmatik barisan pemegang kuasa, sehingga kadang-kadang membentangkan bukti yang sudah diketahui menyenangkan pemegang kuasa, demi melaksanakan “usul yang boleh dilaksanakan.”
Apabila bergiat di peringkat kuasa nyata, percubaan kita untuk mencapai perubahan dasar membawa maksud bahawa kita telah menerima struktur kuasa di sebalik matlamat dan proses penggubalan dasar sebagai lumrah, sesuatu yang tegar dan tidak akan ke mana-mana. Struktur kuasa di sebalik tabir dapat dipelajari, difahami dan ditelusuri untuk mendapat tempat di meja perundingan, tapi kita jarang mempersoalkannya, lebih-lebih lagi dalam mencabar keabsahan, keterangkuman, norma dan keberkesanan struktur itu sendiri. Kita berbisik dalam hati yang perkara utama adalah, dan di sini saya meminjam sepotong lagu dari persembahan muzikal Hamilton, yang kita hanya perlu berada di bilik di mana semuanya berlaku (“you’ve gotta be in the room where it happens.”)
Sebenarnya terdapat sejenis kuasa yang lain dan lebih mendalam yang sering dibiarkan mekar tanpa disanggah di ruang penggubalan dasar, iaitu gagasan bahawa hanya beberapa jenis pengetahuan atau fahaman rasional tertentu sesuai untuk diterimapakai dalam proses penggubalan dasar. Contohnya, bukti perlulah “saintifik” atau “teknikal,” dan diperoleh daripada sampel yang “mewakili.” Usul dianggap lebih bermutu jika berupaya menunjukkan sumbangan “ekonomi,” atau usul yang diangkat suci di sebuah berhala bernama KDNK. Dalam bahasa penggubalan dasar berpandukan bukti, bukan semua perkara boleh diterima sebagai “bukti.”
Oleh itu, hanya mereka yang sudah menguasai senjata sang penguasa, memetik kata-kata Audre Lorde, yang kelak merasa selesa berada di rumah sang penguasa – atau ruang penggubalan dasar. Yang tidak berupaya berbuat demikian akan menjadi seperti ikan yang menggelupur di darat, seperti dinyatakan Pierre Bourdieu: kekok, tidak membumi dan tidak serasi dengan dunia penggubalan dasar. Ini menyumbang kepada ketidakadilan epistemik menurut Miranda Fricker, di mana bentuk penampilan kendiri, pengetahuan dan bahasa golongan nirkuasa direndah-rendahkan oleh golongan berkuasa dari mula.
Tidak dinafikan yang mempersoal kuasa ada korbannya. Mencabar struktur kuasa yang nyata dan terselindung serta berkuasa menentukan topik perbincangan, siapa yang diwakili dan apa diambilkira sebagai bukti mungkin menyisihkan kita yang menghasratkan perubahan sosial daripada akses kepada kuasa nyata, dan tidak kurang juga menyusutkan keinginan pemegang kuasa untuk mengambil endah akan hujah yang dibentangkan. Pengorbanan sebegini mendapat untung berlipat ganda apabila impak terus ditakrif sebagai, dan memberikan ganjaran berupa akses kepada ruang kuasa.
Namun, keputusan untuk tidak berinteraksi dengan kuasa yang pelbagai juga bererti melanjutkan dan mengukuhkan sejenis hierarki dan amalan yang boleh dianggap titik tolak segala hal yang memberi kesan serta yang ingin diselesaikan oleh kita. Di sini, kita tidak berkata yang usaha membentuk kuasa nyata adalah tidak wajar: umumnya, ini tentu sekali langkah yang penting. Walaubagaimanapun, pendekatan ini tersimpang, tidak lengkap dan lemah sekiranya kuasa nyata menjadi satu-satunya tumpuan mana-mana organisasi atau individu, dan menjadi kerangka dominan yang membentuk tingkah pengkaji, teknokrat, aktivis, masyarakat madani dan sesiapa sahaja yang bergiat ke arah perubahan sosial.
Bermuhasabah tentang isu-isu ini penting bukan sahaja penting untuk kita sebagai individu yang sering berinteraksi dengan kuasa di pelbagai peringkat, dalam usaha membina dunia yang lebih elok. Organisasi-organisasi yang bertumpukan perubahan sosial juga perlu menyemai tabiat membentuk teori kuasa dalam struktur institusi dan budaya organisasi mereka. Mengapa ini sangat penting? Pendek kata, kerana impak tidak terhenti seusai kita membentangkan isu yang diwakili kepada perhatian dan agenda kelompok berkuasa. Keadilan sosial dan keterangkuman sejati menghendakkan kita yang bertumpukan perubahan dan keadilan sosial untuk membina ruang dan proses supaya mereka yang tersisih daripada kuasa boleh mewakili perspektif mereka sendiri, ditampung oleh bentuk pengetahuan dan pendekatan rasional hakiki mereka. Kita juga mesti menerima kemungkinan proses yang diperjuangkan terbatas oleh bias dan andaian kita sendiri.
Memetik kata aktivis politik Amerika Syarikat, Upton Sinclair (dengan sedikit olahan), “Sukar untuk memastikan seorang [yang berkuasa] memahami sesuatu perkara, apabila [kedudukan istimewa] beliau memerlukannya untuk kekal tidak memahami.” Jika kita berikhtiar mencapai perubahan dasar tanpa berinteraksi dengan kuasa, kita meletakkan kepercayaan kepada mereka yang berkuasa, dan segala ketempangan dan kekurangan mereka yang berakar umbi dari kedudukan istimewa mereka, untuk menyelesaikan masalah berkaitan kekurangan. Jika kita tekad mencapai perubahan sosial, kita perlu mendalami pemahaman berlandaskan teori berkaitan kuasa. Kita perlu merungkai konsep kedudukan istimewa, sama ada dalam diri sendiri atau di dunia sekeliling, bagi membolehkan mereka yang tidak berkuasa untuk bergerak, langkah demi langkah meskipun perlahan, lalu membentuk, meneraju dan menggerakkan agenda perubahan sosial mereka ke hadapan.
Versi asal dalam Bahasa Inggeris pertama kali diterbitkan di blog Felo Atlantik untuk Ekuiti Sosial dan Ekonomi.