Oleh: Hafiz Hassim

“Chile tempat lahirnya Neoliberalisme, dan bakal menjadi pusaranya!”

Inilah sumpah seorang pemuda, Gabriel Boric, di hadapan penyokongnya. Pemuda kelahiran Magallanes kawasan pinggiran bandar ini adalah bekas aktivis pelajar dan pernah memimpin federasi kesatuan pelajar Chili. Pada tahun 2011, beliau telah memimpin protes pelajar bagi tunutan pendidikan percuma yang disertai oleh ribuan pelajar. Protes diteruskan dalam bentuk yang lebih programatik dengan partisipasi ke dalam arus politik perdana melalui penyatuan parti-parti kiri, Apruebo Dignidad (Approve Dignity; AP). Hari ini, beliau bukan sahaja telah memenangi jawatan Presiden Chile melalui pilihanraya, malah telah menjadi Presiden termuda dalam sejarah politik Chile dan termuda di dunia ketika ini. Beliau juga memegang rekod undian tertinggi dalam sejarah pilihanraya presiden iaitu sebanyak 60%, meninggalkan lawannya Jose Antonio Kast, daripada parti berhaluan kanan.

Boric yang sekarang ini berumur 36 tahun boleh dikatakan mewakili suara generasi milenial zamannya – generasi konfrontasi yang menggelegak dengan ketidakpuasan terhadap kepincangan sistem yang menjadi penyebab kepada ketidaksamarataan sosial legasi politik Pinochet. Bertahun lama kekayaan negara terpusat kepada segelintir golongan elit. Manakala rakyat biasa pula, terutama golongan muda yang sudah sedia terbeban dengan hutang pendidikan dan pengangguran, dan kos sara hidup yang tinggi menyebabkan mereka hidup dalam jaringan keselamatan yang samar.

Kerencatan ekonomi akibat korupsi, kronisme, dan kekayaan yang dikawal oleh golongan segelintir antara penyebab kepada ketidaksamarataan sosial dan diskriminasi sistemik yang membarah. Kelas pemerintah pula tanpa segan terus mengadvokasi polisi pro-pasaran dengan penjimatan perbelanjaam awam serta sistem percukaian yang regresif hingga menyebabkan jurang kekayaan semakin melebar. Di sinilah posisi Boric sebagai generasi muda. Menjadi muda bukan semata-mata umurnya. Tetapi juga program-program politik radikal sebagai satu seruan pembaharuan untuk mengakhiri jangka hayat neoliberalisme yang semakin uzur.

Neoliberalisme dan Kesan Ketidaksamarataan di Chile

Untuk memahami krisis dan dinamika politik yang terbentuk di Chile, kita harus memahami konteksnya secara ringkas. Neoliberalisme, meskipun mula popular dan mendapat tempat sekitar kejatuhan negara-negara sosialis pada penghujung abad ke-20, melalui Thatcher dan Reagan, namun Chile, adalah negara pertama yang menjadi eksperimen projek tersebut. Bermula dengan Chicago School of Economics di Universiti Chicago, ia menjadi pusat dan rangkaian kepada pemikir-pemikir ekonomis neoklasik yang masih optimis dengan order liberal ketika pasca perang dunia kedua. Antara nama yang mungkin dikenali sebagai pemikirnya adalah Milton Friedman (yang dikenali dengan tulisan Capitalism and Freedom) dan Friedrich Hayek (yang dikenali dengan tulisan The Road to Serfdom). Dua pemikir ini adalah antara penyumbang dalam membentuk asas ekonomi baharu liberal atau lebih dikenali sebagai Neoliberal.

Chicago School of Economics antara badan pemikir Neoliberal terpenting dalam membentuk model ekonomi Neoliberal Chile (Kredit: New York Times)

Secara teoretikal, mereka yang mengadvokasi Neoliberalisme masih mengekalkan asas kepada mazhab liberal iaitu pasaran seharusnya bebas daripada sebarang bentuk intervensi negara. Walaupun ada persamaan dengan teori liberal sebelumnya, iaitu ketidaksamarataan sosial dan konflik politikal dapat diharmonikan dengan meletakkan asas manusia sebagai agen ekonomi, namun pembaharuan dapat dilihat dalam aspek pengurusan yang lebih sistematik dan efisien dengan reformasi struktural hubungan kuasa di antara negara dan pasaran melalui pengukuhan monetari. Melalui pengawalan nilai mata wang di pasaran, kuasa beli konsumer dijadikan indikator kekuatan ekonomi melalui Teori Pilihan Rasional (Rational Choice Theory) dan persaingan dirasionalkan demi menjamin pertumbuhan pendapatan negara dan hubungannya dengan pasaran. Secara ringkas, Neoliberalisme dapat difahami melalui satu petikan dalam tulisan Friedman, Neoliberalism and its Prospect:

Neo-liberalism would accept the nineteenth century liberal emphasis on the fundamental importance of the individual, but it would substitute for the nineteenth century goal of liassez-faire as a mean to this send, the goal of the competitive order. It protect consumers from exploitation, competition property. And competition among employers to protect workers and owners of the enterprise themselves. The state would police the system, establish conditions favourable to competition and prevent monopoly, provide a stable distress. The citizens would be protected against the state by the existence of the free private market, and against one another by the preservation of competition.

Melalui Jeneral Augusto Pinochet yang menggulingkan Presiden Salvador Allende secara kudeta pada tahun 1973, beliau telah memperkenalkan dasar ekonomi berorientasikan pasaran bagi menggantikan dasar sosialis Allende dengan alasan bagi memperbaiki kadar inflasi yang tinggi ketika itu. Namun dasar reformasi ini bukan semata-mata bersifat ekonomi, tetapi juga politikal. Penglibatan Amerika untuk menggulingkan Allende yang dipilih secara demokratik pada tahun 1970 bukan lagi rahsia. Sewaktu perang dingin, di bawah pentadbiran Nixon, Amerika Syarikat gusar dengan dasar sosialis Allende yang mampu menggugat hegemoni Amerika di benua latin ketika itu. Selari dengan perang hegemoni dengan Kesatuan Soviet, Amerika telah melaksanakan penglibatan secara tidak langsung melalui dasar embargo ekonomi untuk membentuk pergolakan sivil di Chile. Dan penglibatan secara langsung dalam bentuk sokongan kepada militari Chile melalui CIA untuk menjatuhkan Allende secara kudeta. Oleh itu, reformasi ekonomi pasca kudeta bukan sahaja bagi reformasi ekonomi. Dalam konteks politik antarabangsa ketika itu, ia juga sebagai bentuk legetimasi hegemoni Amerika ke atas Chile.

Salvador Allende (kanan) sebelum digulingkan oleh Augusto Pinochet (kiri) decara kudeta dengan bantuan CIA, Amerika (Kredit: The Guardian)

Antara reformasi yang paling signifikan telah dilaksanakan adalah penswastaan syarikat-syarikat perkhidmatan yang sebelumnya berada di bawah tanggungan kerajaan seperti syarikat bekalan air dan telekomunikasi. Dasar-dasar awam yang sebelum ini dilaksanakan dibawah pentadbiran Allende seperti perumahan, pendidikan, dan kesihatan dikurangkan hampir separuh. bagi menjimatkan perbelanjaan awam. Melalui deregulasi pasaran, pelabur-pelabur luar diraikan untuk merancakkan persaingan dengan syarikat-syarikat domestik. Melalui skim percukaiaan koporat dan tarif yang rendah, ia menggalakkan pertumbuhan perlaburan ke dalam negara dan memberi keistimewaan kepada pelabur-pelabur multinasional terutamanya untuk mengaut sumber-sumber komoditi di Chile.

Hasil dasar-dasar pro-pasaran tersebut, Chile telah berubah menjadi sebuah negara yang paling terbuka di dunia.  Daripada tahun 1985-1997, KDNK Chile meningkat tinggi dengan kenaikan purata 7% setiap tahun. Bilangan golongan pertengahan pula mengukuh dengan wujudnya peluang pekerjaan baharu hasil penswastaan dan suntikan dana daripada pelabur luar. Chile terus merekodkan pertumbuhan kekayaan selepas kejatuhan Pinochet pada akhir 1990an melalui referendum rakyat. Sekurangnya Friedman pada waktu tersebut mampu menepis kritikan terhadapnya setelah lantang dikritik atas penglibatannya di Chile. Seperti tesis beliau tentang Kapitalisme dan Kebebasan, beliau menjustifikasi apa yang berlaku di Chile adalah “keajaiban” dan menyebut: “…the really important thing about the Chilean business is that free markets did work their way in bringing about a free society.”  

Walaupun kuasa rakyat dikembalikan melalui referendum rakyat setelah bertahun-tahun di bawah rejim represif Pinochet, namun legasi Pinochet tidak berakhir di situ. Pinochet telah mewariskan dasar Neoliberal beliau sebagai asas kepada struktur kuasa secara legal melalui perlembagaan. Ini bermaksud, tidak kiralah parti berhaluan mana sekali pun yang memegang rejim pemerintahan, mereka harus mengimplementasi dasar-dasar mengikut perlembagaan negara sebagai doktrin tertinggi. Sekaligus memanjangkan umur Neoliberal di negara tersebut. Ia bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan oligarki politik pro-Pinochet melalui penubuhan majlis tertinggi yang sah di bawah perlembagaan, tetapi juga golongan elit yang mengawal kekayaan negara melalui rangkaian kuasa politik yang dibina bersama golongan politik pro-Pinochet.

Perubahan positif yang dinikmati pula rupanya hanyalah sementara. Ketika kekayaan negara meningkat dan tertinggi di benua itu, ironinya jurang kekayaan pula semakin melebar tahun demi tahun. Hingga tahun 2019, kekayaan negara terencat dan 33% daripadanya terpusat kepada monopoli golongan elit terkaya. Pendidikan dianggap keistimewaan dan bukan hak kerana bukan semua mampu untuk mendapatkan pendidikan formal hasil penswastaan pendidikan sebagai komoditi, Direkodkan sebanyak 60% golongan miskin tidak mendapat pendidikan formal kerana terlalu mahal. Tambahan pula, walaupun dikatakan mempunyai golongan kelas pertengahan yang kukuh, namun kebanyakkan daripada mereka mempunyai hutang kredit yang tinggi kerana tidak mampu untuk berbelanja dengan wang simpanan sebenar. Maka pinjaman kredit menjadi alternatif untuk berbelanja. Ini menyebabkan majoriti golongan pertengahan terikat dengan bebanan hutang kredit berpanjangan.

Walaupun mencatatkan pertumbuhan ekonomi tertinggi berbanding negara-negara latin yang lain, namun Chile juga merupakan antara negara yang paling tinggi jurang ketidaksamarataannya (Kredit: New York Times)

Walaupun ketidaksamarataan mulai jelas menyebabkan rakyat terbanyak terpinggir daripada akses pembangunan sosial, namun tiada dasar-dasar progresif dilaksanakan untuk penggagihan semula kekayaan. Rakyat terus dibebankan dengan pengurangan perbelanjaan awam. Daripada ketidakpuasan yang berterusan ini, garis perlawanan politik di antara rakyat terbanyak dan golongan 1% mulai terkonsolidasi dengan lebih jelas. Menariknya, ketidakpuasan terhadap sistem dan struktur kuasa pada awalnya didorongi oleh golongan muda yang rata-ratanya daripada pelajar sekolah menengah, yang menuntut perubahan struktur pendidikan legasi Pinochet. Dikenali sebagai Revolusi Penguin (Penguin Revolution), pada tahun 2006 hampir sejuta pelajar sekolah menengah telah turun menyertai protes tersebut dan sebahagian daripada tuntuan telah dipertimbangkan. Pada tahun 2011-2013 pula, protes pelajar-pelajar universiti pula dilancarkan di mana kesatuan-kesatuan pelajar telah bergabung menjadi satu federasi dan Gabriel Boric adalah diantara watak yang mengemudi protes tersebut.

Gabriel Boric (tengah), antara watak penting dalam mengemudi protes pelajar pada tahun 2011-2013 (Kredit: Kiratas)

Melalui politik dan protes – sebelumnya dijelaskan oleh Boric sebagai satu taboo dalam masyarakat untuk berkonfrontasi – ia seterusnya telah menjadi satu tradisi yang diraikan. Tahun-tahun berikutnya golongan muda yang menjadi pencetus konfrontasi terus menjadikan jalan raya sebagai medan yang subur dengan ekspresi terhadap ketidaksamarataan kesan dasar-dasar Neoliberal. Setiap protes bukan sahaja diwakili oleh pelajar. Jaringan solidariti tersebut dipanjangkan hingga kepada kesatuan-kesatuan buruh yang mewakili industri masing-masing. Bermula dengan pendidikan, ia telah berkembang dengan isu-isu lain seperti alam sekitar, gender, pencen, perumahan, pengangkutan awam, dan banyak lagi. Rakyat mulai sedar dan mempersoalkan kerasionalan pasaran dan hubungannya dengan negara yang lebih memberi manfaat kepada golongan segelintir berbanding rakyat terbanyak. Sekaligus menghubungkan segala permasalahan Neoliberal dan diskriminasi sistemik.

Di sini posisi Appruebo Dignidad yang ditubuhkan pada tahun 2021 menjadi satu titik perubahan dengan penyatuan blok politik kiri yang lebih terorganisasi. AP adalah manifestasi garis perlawanan yang jelas di antara generasi muda atau milenial yang mahukan keadilan sosial dan berpaksikan rakyat terbanyak, Objektif akhir mereka adalah untuk menyediakan pusara kepada legasi politik tua Neoliberal demi kehidupan yang lebih bermaruah kepada rakyat terbanyak. Seperti yang disebut oleh Boric: “We are a generation that emerged in public life demanding our rights be respected as rights and not treated like consumer goods or a business”. Appruebo Dignidad akhirnya mendapat tempat sebagai parti popular pada pilihanraya Presiden Chile di mana Boric telah memenangi pilihanraya Presiden pada penghujung tahun 20201 dan mengangkat sumpah sebagai Presiden termuda pada awal tahun 2022.

Presiden termuda dalam sejarah Chile, Gabriel Boric bukan sahaja mewakili suara generasi milenial pada zamannya, beliau juga memberi seruan politik radikal yang mewakili rakyat terbanyak (Kredit: BBC)

Muda dalam Ketidaktentuan Politik

Pada pilihanraya Presiden di Perancis baru-baru ini, Emanuel Macron daripada En Marche, parti berhaluan tengah atau sentris telah mengekalkan kemenangannya sebagai Presiden Perancis. Walaupun dianggap muda berbanding lawannya Marine Le Pen daripada parti berhaluan kanan, National Rally, ironinya Le Pen mendapat bilangan pengundi muda yang lebih tinggi berbanding Macron. Ia memberi satu kemungkinan, optimisme bahawa generasi milenial atau muda akan membawa cita-cita politik yang lebih terbuka dan kedenderungan politik yang progresif – selari dengan anjakan zaman – mungkin bakal menjadi fiksyen. Ini adalah antara contoh ketidaktentuan politik pada hari ini, yang bukan sahaja berlaku di Barat, tetapi di seluruh dunia atau seperti yang disebut oleh Claude Lefort, “the dissolution of the markers of certainty”.

Persoalan kepada kita pada hari ini adalah bagaimana untuk membina sebuah garis politik yang lebih muda atau sinonim dengan progresivisme dan jelas berpihak rakyat terbanyak. Kegusaran kita pada hari ini apabila wujudnya golongan elit yang mencairkan segala nilai-nilai progresif untuk diselarikan dalam binaan status quo. Ini yang terjadi dalam kes Macron misalnya yang menghimpunkan gerakan-gerakan progresif dalam En Marche bagi mengeksploitasi nilai-nilai progresif, namun dalam pada waktu yang sama mengekalkan struktur kuasa Neoliberal. Tidak dapat dinafikan juga politik pada era digital dapat dilaksanakan secara performatif (atau aktivisme performatif).  Namun ini tidak memungkinkan perubahan sebenar seandainya gerakan-gerakan akar umbi misalnya cuba memisahkan segala permasalahan daripada krisis yang mengakar daripada ideologi yang secara asasnya bersifat politikal.    

Daripada ekperimen model Neoliberalisme dan ketidaksamarataan, gerakan-gerakan muda di Chile telah bertumbuh dengan dengan satu garis yang jelas – iaitu politik tua adalah mereka yang mengadvokasi pasaran dan sekadar memberi manfaat kepada golongan segelintir. Dalam makna kata lain, mereka bukan sekadar himpunan golongan progresif muda yang woke. Dalam konteks politik dan praksis, ia berjaya menghubungkan setiap identiti politik kepada titiik temu antagonisme politik yang jelas iaitu kesan Neoliberal dan hubungan sistemiknya dengan hegemoni politik tua yang menjadi penyebab kepada kemerosotan ekonomi dan pengabaian hidup bermaruah. Dalam makan kata lain, mereka bukan sekadar melaungkan politik tua sudah lapuk. Tetapi menterjemahkan ia ke dalam bentuk konfrontasi terhadap struktur kuasa yang jelas sudah uzur.

 Seperti yang disebut oleh Chantal Mouffe, pada waktu-waktu kritikal sebegini, politik progresif rakyat terbanyak harus dibina dengan langkah radikal untuk menjelaskan kehausan model Neoliberal – yang bukan sahaja telah menyebabkan diskrimanisi, ketidakadilan, dan ketidaksamarataan – tetapi juga untuk mengekang golongan hipokrit elit untuk mengeksploitasi posisi mereka sebagai ‘rakyat’.

Rujukan

Arias-Loyola, M. (2021). Evade neoliberalism’s turnstiles! Lessons from the Chilean. Environment and Planning A: Economy and Space, 53(4), 599–606. https://doi.org/10.1177/0308518×21997832

Friedman, M. (1951). “Neo-Liberalism and its Prospects.” https://miltonfriedman.hoover.org/internal/media/dispatcher/214957/full

Gabriel Boric on the Chilean Student Movement. (2017). In www.youtube.com. https://www.youtube.com/watch?v=M_0s8Cgd7pI&t=2507s

Gabriel Boric: From student protest leader to Chile’s president. (2021, December 20). BBC News. https://www.bbc.com/news/world-latin-america-59694056

Leftist Gabriel Boric to become Chile’s youngest ever president. (2021, December 20). BBC News. https://www.bbc.com/news/world-latin-america-59715941

Mouffe, C. (2020, May 1). The controversy over left-wing populism. Le Monde Diplomatique. https://mondediplo.com/2020/05/14populism

Rodríguez, J. P. (2021). The politics of neoliberalism in Latin America: dynamics of resilience and contestation. Sociology Compass, 15(3). https://doi.org/10.1111/soc4.12854