Diterjemah daripada tajuk artikel asal: The Death Of Class Politics – Move Forward oleh Kobfah Dum. Penterjemah: Iqkram Ismail, Kelab Diskusi Ekonomi Rakyat (KADER).

Kemenangan Parti Kao Klai (Parti Move Forward) dalam pilihan raya umum terbaru di Thailand merupakan satu bencana bagi politik berasaskan kelas di Thailand. Keputusan pilihan raya umum terbaru ini jelas menggambarkan apa yang telah diimpikan oleh elit kapitalis selama beberapa dekad kebelakangan ini iaitu untuk memisahkan Thailand daripada politik berdasarkan perjuangan kelas. Usaha ini semakin rancak dilakukan terutama  pada dekad 2000-an/2010-an, dan era semasa. Akhirnya kini, Thailand sudah mempunyai wakil parti kelas pertengahan yang baru dan mereka dilihat mampu mengalahkan pengaruh lama daripada kumpulan baju merah.

Pertembungan antara masyarakat  luar bandar vs bandar, walaupun agak meletihkan kepada ramai penduduk Thailand untuk meneruskan hidup dalam pertembungan ini, tetapi nyata masih menjadi isu dan punca konflik utama di Thailand. Begitu ramai rakyat yang dahulunya merupakan penduduk di luar bandar kemudian telah berpindah ke pusat bandar untuk mencari peluang pekerjaan. Mereka kemudian telah menghabiskan sisa-sisa kehidupan mereka di tengah kota tetapi akhirnya mereka masih dipinggirkan daripada menikmati kemakmuran hidup di bandar-bandar ini. Secara umumnya, adalah masih menjadi impian kebanyakan daripada mereka ini untuk kembali pulang ke kampung halaman dan menjalani kehidupan yang lebih makmur di desa. Pada dasarnya, masalah dan isu seperti ini adalah isu yang berasaskan kelas. Masalah ini melibatkan isu penjualan tenaga buruh oleh buruh mengikut keadaan dan lokasi mereka melakukan kegiatan buruh.

Walaupun tidak bersetuju sepenuhnya dengan dasar-dasar parti mereka, tetapi Parti Phue Thai (For Thais Party) sekurang-kurangnya menawarkan alternatif kepada keadaan politik semasa. Sememangnya, permusuhan (antara kem pro tentera diraja dan pro demokrasi) ini sudah diketahui umum bahkan diakui dan disokong sendiri tentera diraja. Melalui manifesto politik oleh parti-parti lain seperti Parti Pallang Pracharat (People’s State Power Party) dan Parti Bhum Jai Thai (Thai Pride Party) jelas menunjukkan bahawa mereka juga memahami permasalahan ini– walaupun sudah tentu, mereka tidak akan melakukan apa-apa untuk menangani masalah tersebut. Namun, analisa Parti Move Forward (MFP) terhadap isu ini adalah berbeza sama sekali berbanding parti-parti lain. Bagi Parti MFP, dinosaur-dinasour lama iaitu pegawai-pegawai tentera dan kerajaan yang korup selain daripada masalah monopoli adalah isu utama permasalahan di Thailand. Walhal, isu ini memerlukan kritikan dan analisa yang lebih dalam daripada sekadar analisa simplistik seperti itu. Bagi Parti MFP juga, isu luar bandar vs bandar, kaya vs miskin, bukanlah satu pertentangan. Parti MFP lebih melihat isu masalah struktur dan punca perpecahan kelas hanya kerana disebabkan faktor ketamakan (daripada pegawai tentera diraja dan pegawai kerajaan yang korup).

Seperti seperti semua parti yang bertanding, bentuk demografi Parti MFP juga dapat dibahagikan kepada dua ciri, iaitu mereka yang mengundi dan mereka yang mendanai Parti MFP ini. Bagi ciri demografi yang pertama, kita dapat lihat kelas pertengahan yang mengundi Parti MFP sudah semakin ke arah urbanisasi, sama ada dari segi ekonomi dan sosial. Keadaan ini sama seperti keadaan demografi para pengundi yang mengundi Parti Demokrat* di tahun-tahun 2000-an– iaitu satu era– tanpa penglibatan kuasa tentera. Parti MFP melihat parti mereka diwakili jenis demografi baharu, terpelajar, berpendidikan, cukup cekap untuk mengenal tipu helah politik murahan pihak lain– sesuatu yang biasa kedengaran di zaman pemerintahan Parti Demokrat sebelum ini. Sudah tentu, pengundi-pengundi Parti MFP akan menolak anggapan pola pengundian mereka sama seperti seperti pola pengundi Parti Demokrat, namun, kebanyakan retorik dan kritikan mereka adalah hampir sama dengan idea awal kewujudan pergerakan baju kuning. Mereka membenci rasuah, salah urus tadbir, dan ahli politik pembohong yang suka “membodohkan” orang miskin dengan memberi mereka undi kepada mereka, sama ada seperti Parti Phue Thai atau parti-parti lain yang disokong tentera. Kedua-dua Parti MFP dan Parti Demokrat menghina Thaksin (Shinawatra) dan memandang rendah para pengundi (Thaksin) yang dianggap naif dan mudah “tertipu”.

*Parti Demokrat – atau Parti Prachathipat – bersamaan dengan gerakan Kumpulan Baju Kuning yang bertanggungjawab menyerang kumpulan Baju Merah.

Parti MFP sebenarnya mendapat undi daripada kedua-dua belah pihak (Parti Phue Thai & pihak yang disokong tentera). Parti MFP menampilkan imej yang bersih dan lebih segar untuk Thailand. Mereka juga mempengaruhi pengundi mereka dengan menyatakan bahawa mereka adalah pengundi yang berpendidikan, berpengetahuan dan terpelajar, selain membuktikan pengundi mereka juga sudah bosan dengan junta, ahli-ahli politik generasi lama dan kebanyakan elit-elit politik.

Kepimpinan Parti MFP bukanlah terdiri daripada golongan miskin yang berhempas pulas meneruskan kehidupan. Walaupun  kualiti kehidupan kelas pertengahan sendiri semakin merosot bermula era Thaksin namun realitinya masih terdapat jurang yang besar yang menjadi pemisah di antara penduduk luar bandar dan penduduk di kota. Jurang kaya dan miskin. Berkelulusan daripada universiti dan tidak. Mereka yang mempunyai peluang (untuk meningkat naik dalam tingkat mobiliti sosial) ataupun tidak. Sebelum ini, kelas pertengahan bandar dan separa bandar memberi undi mereka kepada Parti Demokrat dan mereka menganggap diri mereka sebagai pengundi yang cukup bijak dan berpengetahuan. Bagaimanapun, rasuah dan kegagalan urus tadbir daripada Parti Demokrat sendiri telah menyebabkan kegagalan pemerintahan parti ini. Parti Demokrat gagal menewaskan kumpulan Baju Merah dan kumpulan pro Thaksin di medan pilihan raya. Sebaliknya pegawai-pegawai tentera telah menyertai lapangan politik dan menubuhkan parti mereka sendiri yang kemudian telah membangkitkan rasa marah kumpulan nasionalis.

Kelas pertengahan kemudian memerlukan sebuah parti yang baharu (selepas kecewa dengan pemerintahan Parti Demokrat). Golongan pro-raja menyatakan sokongan kepada parti yang disokong tentera. Ahli akademik yang  berpendidikan Barat pula telah muak dengan suasana yang serba menyesakkan di dalam dunia akademik Thai yang dipengaruhi tentera. Mereka dan NGO-NGO yang dibiayai Barat serta pertubuhan ‘elit’ buruh telah bergabung untuk mewujudkan gerakan politik baharu dalam bentuk politik liberalisme gaya Eropah. Parti MFP dan sekutu mereka mengalu-alukan sokongan daripada pengundi yang datang daripada kelas pertengahan dan kurang semangat nasionalis. Parti MFP menawarkan mereka dengan konsep kapitalisme yang lebih bersih, menjanjikan politik yang lebih bermaruah, yang akhirnya tidak mencabar cara pengagihan kekayaan di Thailand, tetapi dapat membuatkan pengundi berasa lebih selesa (dengan kaedah penolakan terhadap politik kelas).

Untuk memahami sikap Parti MFP ini, kita perlu melihat pula siapa yang mendanai parti ini. Adalah perlu dijelaskan bahawa pemimpin-pemimpin parti ini adalah kelas kapitalis separa elit. Mereka ini merupakan pemodal yang dilahirkan sebagai anak orang kaya, berpendidikan di luar negara, memiliki perniagaan besar, mengeksploitasi ribuan pekerja-pekerja mereka di samping menghancurkan kesatuan sekerja, tetapi mereka ini tidak berada dalam lapisan super-elit. Retorik parti mereka yang menentang monopoli sebenarnya adalah taktik mereka untuk meraih undi dan mengambil kesempatan menggantikan kedudukan elit lama dengan elit baru yang diketuai mereka. Kapitalisme yang dibawa oleh Parti MFP ini tampak lebih muda, lebih agresif, lebih menawan, lebih bersih, dan lebih ‘bermaruah’. Mereka tidak kelihatan seperti elit-elit dinosaur generasi lama, namun mereka secara fungsional adalah di dalam kategori kelas yang sama dan mementingkan kelas yang sama (iaitu kelas pertengahan) seperti Parti Demokrat sebelum ini. Parti MFP ini merupakan jelmaan Future Forward Party yang sebelum ini telah dibubarkan oleh mahkamah pada 2019. Pembubaran parti tersebut sebelum ini bukanlah kerana mereka akan mengancam struktur masyarakat Thailand, tetapi kerana kedudukan parti tersebut yang dilihat dapat mengancam kedudukan puak elit kapitalis dengan yang lain.

Kebanyakan kritikan terhadap Parti MFP seperti yang dinyatakan di atas sememangnya memang turut terpalit kepada Parti Phue Thai. Adalah tepat untuk dinyatakan bahawa Parti Phue Thai juga diuruskan oleh elit kapitalis, walaupun semasa kempen pilihan raya baru-baru mereka jelas tidak pernah menolak untuk mengadakan gabungan dengan parti yang disokong tentera. Walaubagaimanapun, perbezaan utama Parti Phue Thai dan Parti MFP dapat dilihat apabila akar umbi dan pengundi setia Parti Phue Thai jelas mempunyai tahap kesedaran kelas (walaupun secara asas) sekaligus keadaan ini dapat mengubah dinamika kepimpinan Parti Phue Thai itu sendiri. Tindakan bijak Thaksin (semasa masih berkuasa) termasuklah berbakti kepada golongan miskin luar bandar. Politik berasaskan material seperti inilah yang memenangi hati budi masyarakat luar bandar. Kumpulan Baju Merah jelas memahami kesedaran kelas, politik material dan meminta pemimpin-pemimpin mereka untuk ikut sama bertanggungjawab jika parti mereka gagal untuk berbakti dengan baik (kepada rakyat). Janji-janji lama daripada Parti Phue Thai bersama gabungan parti-parti mereka yang terdahulu, seperti yang dinyatakan dan dilaksanakan oleh Thaksin dapat disimpulkan sebagai: “Ya, saya seorang elit, saya tahu bagaimana sistem ini berfungsi, undi saya dan saya akan membuat sistem ini berfungsi demi manfaat kepada anda semua juga ” yang telah memberi manfaat kepada berjuta-juta rakyat. Walaupun kini Thaksin telah disabit kesalahan jenayah dan rasuah, namun terbukti sebelum ini Thaksin sudah berjaya melakukan apa yang dijanjikannya kepada rakyat . Kumpulan Baju Merah bukanlah ibarat kerbau yang boleh dicucuk hidung oleh kelas menengah (seperti kumpulan Baju Kuning). Kumpulan Baju Merah tahu parti mereka yang mewakili kepentingan mereka adalah korup, mereka juga tahu bahawa parti tersebut berkhidmat kepada golongan elit, namun mereka juga tahu parti tersebut juga telah berkhidmat dengan baik untuk menjaga kelas rakyat biasa.

Kedua-dua pihak juga dilihat mahu memberikan perlindungan sosial yang lebih besar kepada rakyat Thailand. Parti Move Forward membayangkan kaedah ini seperti kebajikan gaya Eropah yang berpusat di negeri-negeri dan kita turut memberikan kredit kepada mereka, atas usaha mereka membentuk jawatankuasa buruh (walaupun memberikan sedikit autonomi). Langkah ini mungkin dilihat dasar yang paling cenderung kepada kelas pekerja jika pati MFP ingin mengutarakan perjuangan mereka dalam soal dasar berasaskan kelas. Namun, cara MFP menggambarkan lawannya, seolah-olah Parti Phue Thai (dan parti-parti terdahulu) langsung tidak pernah menjalankan dasar-dasar negara berkebajikan. Pada tahun 2000-an, Parti Phue Thai telah mewujudkan jaringan sosial responsif, contoh terbaik adalah melalui kewujudan sistem penjagaan kesihatan yang boleh dilihat keberkesanannya di kawasan luar bandar. Walau bagaimanapun, dana bagi kerja-kerja jaringan sosial ini telah dikurangkan  oleh kerajaan pro junta sebelum ini (setelah mereka mengambil alih negara daripada Thaksin), sehingga kelas menengah di Thailand dilihat lebih berminat dengan  pengurusan pihak swasta daripada bersetuju untuk menerima campur tangan kerajaan (dalam penjagaan kesihatan). Perlu dinyatakan bahawa para pengundi Parti MFP tidak mungkin merasai kebajikan sosial sama seperti masyarakat luar bandar (seperti di zaman Thaksin) kerana rata-rata pengundi MFP merupakan pegundi yang berpusat di bandar.

Adalah perlu dijelaskan juga bahawa para pengundi Parti Phue Thai yang menyokong parti ini bukanlah kerana mereka ini petani jahil yang tertipu dengan janji-janji Thaksin, tetapi kerana mereka tahu bahawa Parti Pheu Thai akan melaksanakan dasar-dasar yang berdasarkan kelas, seperti yang telah mereka lakukan (ketika mereka berkuasa) sebelum ini. Dasar desentralisasi oleh Parti Phue Thai telah memberikan ruang kepada wilayah tempatan untuk mendapatkan dana bagi tujuan penjagaan kesihatan, pendidikan, pekerjaan dan pembinaan infrastruktur (terutamanya bagi kemudahan rakyat di luar bandar). Keadaan ini telah memberikan ruang kepada warga luar bandar untuk mewujudkan perpaduan dan solidariti sosial berasaskan kelas sesama mereka. Pada akhirnya, walaupun apa yang Parti Phue Thai tawarkan (melalui dasar-dasar ekonomi mereka) adalah masih jauh dari sosialisme, tetapi sekurang-kurangnya kita dapat lihat dasar-dasar yang dibawa Parti Pheu Thai ini dapat menjana perubahan dalam penyusunan ekonomi, termasuk sebagai kaedah mengagihkan semula kekayaan dan sistem politik, termasuk melakukan usaha mengurangkan kuasa politik (pusat) di Bangkok dan di kawasan-kawasan kota yang lain, serta membawa pelaburan daripada bertumpu di bandar-bandar ini untuk dinikmati bersama masyarakat di luar bandar. Malangnya, apa yang Parti MFP cuba bawakan adalah ekonomi kapitalisme gaya Eropah moden yang kononnya dilihat “lebih bersih”, walhal hakikatnya sistem pengagihan kekayaan masih kekal sama dan tidak membawa apa-apa perubahan (terutama kepada masyarakat luar bandar). Kalau pun berbeza, mungkin cuma dari sudut penampilan atau luarannya sahaja seperti ibarat menggantikan seorang CEO iaitu seorang lelaki tua yang hodoh dan korup dengan  seorang pemuda yang tampan tetapi licik “bermain mengikut peraturan” (agar tidak ditangkap sebagai seorang yang korup walaupun hakikatnya tetap korup). Ini bermaksud tidak mengapa untuk seseorang menjadi seorang jutawan dengan cara menindas pekerja, asalkan jutawan tersebut tahu bagaimana untuk mengelakkan daripada dikenakan tindakan undang-undang (kerana menindas pekerja). Keadaan ini sama seperti yang berada dalam fikiran pimpinan Parti MPF ini. Walaubagaimanapun, adalah ingin dijelaskan melalui artikel ini bahawa tujuan artikel ini bukanlah sebagai satu sokongan kepada Parti Phue Thai atau kepada Thaksin. Kami juga pengkritik tegar dasar Thaksin. Tetapi melalui artikel ini, kami ingin menjelaskan bahawa keadaan politik kelas di Thailand adalah semakin terpinggir dengan kemenangan Parti MFP (dengan hujah-hujah seperti yang telah dinyatakan).

Akhirnya pada hari ini, generasi muda yang berada kelas pertengahan khususnya di bandar-bandar yang mengundi Parti MFP telah berjaya mencapai apa yang dahulunya Parti Demokrat impikan namun tidak sempat terlaksana. Impian mereka (kelas pertengahan) adalah untuk menewaskan Parti Phue Thai (pro Thaksin) dalam pilihan raya. Sekarang Parti Phue Thai telah berada di persimpangan, sama ada mereka mesti melakukan pembaharuan (reformasi) dan meletakkan Parti MFP lebih jauh ke kiri, membuang dogmatik dan kebergantungan mereka kepada sosok Thaksin selain memperbaharui dasar sosial mereka untuk disesuaikan dengan nilai-nilai generasi baharu, atau menuju ke kegelapan seperti musuh lama mereka – Parti Demokrat. Parti MFP sudah bersedia untuk mengambil penyokong daripada Parti Phue Thai sekiranya bertanding lagi dalam pilihan raya selain kitaran rampasan kuasa yang tidak pernah selesai di Thailand selama hampir satu abad. Dan pengorbanan ibu-ibu dan bapa-bapa daripada kumpulan Baju Merah dari pedalaman yang berjuang dan mati dengan begitu berani selama bertahun-tahun selama ini pun akan dilupakan (dengan kemenangan MFP).

Kesimpulannya, apa yang kita dapat lihat daripada kejayaan Parti MFP merupakan penolakan daripada para pengundi di Thailand mengenai tahap kepentingan politik kelas. Parti Phue Thai pula kini dilihat sebagai parti pragmatik yang sudah dipinggirkan oleh kelas pertengahan, manakala Parti MFP pula tidak lebih daripada sekadar parti idealisme yang sombong.