Jeremy Lim

Anarkisme pada hari ini membawa banyak makna. Secara estetikanya, ia menjelma di dalam subkultur seni dan musik yang dikaitkan dengan erti kata pemberontakan. Secara politiknya, ia telah mempengaruhi gerakan massa baru seperti protes anti-globalisasi yang bermula pada awal 2000-an, gerakan global Occupy selepas krisis kewangan antarabangsa 2007-2008 serta gerakan iklim yang bangkit baru-baru ini. Semua gerakan-gerakan ini mengambil ciri politik khusus anarkisme yang berbentuk anti-negara dan anti-parti. Semua gerakan-gerakan ini, sama ada secara langsung atau tidak langsung, boleh menemui asas idea-idea anti-autoritarianisme, kebebasan dan demokrasi mereka daripada seorang aktivis abad ke-19, Mikhail Bakunin.
Mikhail Alexandrovich Bakunin dilahirkan pada Mei 30, 1814 di Russia dalam sebuah keluarga bangsawan kecil. Selepas tempoh perkhidmatan yang singkat dalam tentera Russia, Bakunin berniat untuk menjadi seorang ahli akademik dalam falsafah di Jerman tetapi kemudiannya terlibat dalam gerakan sosialis. Bersama Pierre-Joseph Proudhon, Bakunin akan diingati sebagai pendiri ideologi anarkisme. Bakunin seterusnya akan dikenali kerana pertembungannya dengan Marx berkaitan konsep Negara, dan penyingkirannya daripada Persatuan Pekerja Internasional (Internasionalis Pertama) yang anti-kapitalis, dan seterusnya membawa kepada perpecahan antara kumpulan Marxis dan anarkis yang berlangsung sehingga ke hari ini. Hidupnya berakhir pada 1876, selepas merantau ke Eropah, tanpa henti-henti diburu dan dipenjarakan kerana berterusan menggerakkan agitasi untuk sebuah revolusi di mana sahaja beliau berada.
Karya dan ideanya
Dalam Man, Society and Freedom, Bakunin mengecam golongan liberal yang menyokong kebebasan tetapi juga menjadi penyokong tegar negara, dengan menghujahkan bahawa tindakan ini mempertahankan hak istimewa borjuis mereka sedangkan rakyat massa terus ditekan penindasan negara. Dalam sebuah petikan daripada karya ini, Bakunin mengedepankan suatu visi kedaulatan individu dalam sebuah masyarakat kolektif yang pada fikirannya, memaknai kebebasan tertinggi untuk semua manusia:
“Manusia merealisasikan kemerdekaan individunya dan keperibadiannya secara lengkap hanya melalui individu-individu yang berada di lingkungannya, dan hanya kerana tenaga kerja dan kuasa kolektif masyarakat. Tanpa masyarakat, seseorang tentunya akan kekal sebagai antara binatang buas yang paling bodoh dan sengsara sifatnya… Masyarakat, tidak mengecilkan kemerdekaannya, sebaliknya, membentuk sebuah kemerdekaan individu untuk setiap manusia. Masyarakat adalah akar, pokoknya, dan kebebasan adalah hasilnya.”
Dalam karya ini, Bakunin menghujahkan penentangannya terhadap sifat menindas negara dan institusi-institusi lain, yang paling baik dirangkumi dalam sebuah petikan oleh anarkis terkemuka Noam Chomsky, “autoriti, kecuali diwajarkan, adalah secara lahiriahnya tidak sah dan dibebankan untuk membuktikan kewajarannya di pihak autoriti. Sekiranya beban ini tidak dapat dipikul, autoriti berkenaan seharusnya dihapuskan.” Terang lagi bersuluh, Bakunin mengajukan bahawa manusia memiliki naluri alami untuk kebebasan dan dorongan untuk bangkit menentang pihak autoriti yang menindas mereka.
Bakunin kemudiannya mengembangkan ideanya tentang kebebasan ini dalam karya-karyanya yang lain bersama satu visi sosialisme tanpa negara. Berbeza dengan Marx yang objektifnya ingin menjatuhkan negara dan mengambil-alihnya untuk mencapai satu masyarakat tanpa kelas, Bakunin menggagaskan suatu jalan yang berbeza. Alternatif kepada unsur negara ini dinyatakan dalam tulisannya The Paris Commune and the Idea of the State:
“Oleh kerana saya mendokong kebebasan sebagai ciri utama untuk semua manusia, saya yakin bahawa kesetaraan mesti didirikan di dunia ini melalui organisasi spontan melibatkan tenaga kerja dan pemilikan kolektif harta benda oleh persatuan pengeluar yang diorganisasi secara bebas, dan turut sama digerakkan oleh persekutuan komun yang spontan, bagi menggantikanpenguasaan Negara yang paternalistik.”
Bakunin persis seorang peramal di mana telahannya tentang masyarakat dan penggunaan unsur dan mekanisme negara yang digerakkan oleh Komunis seakan-akan tepat, di mana Bakunin dapat menjangkakan sifat dan ciri paling buruk bagi Kesatuan Soviet. Dalam Statism and Anarchy, dia menyampaikan bahawa sebuah negara sosialis akan menindas rakyat massa tidak jauh berbeza dengan sebuah pemerintahan monarki kecuali ia akan melangsungkan penindasan ini atas nama rakyat, dan golongan massa akan dipukul dengan apa yang dipanggil sebagai “kayu rakyat” atau “the people’s stick”.
Bakunin untuk hari ini
Pewacanaan sosialisme, dan jalur kiri secara umumnya, sering dibayangi legasi Kesatuan Soviet dan kesalahan yang dilangsung oleh negara di dalamnya. Seruan untuk campurtangan dan kebajikan yang lebih luas daripada negara kerap kali diketengahkan sebagai sosialis atau komunis. Kebebasan seringkali ditanggapi sebagai idea yang dikaitkan dengan kapitalisme dan demokrasi ‘borjuis’. Unjuran Bakunin yang cergas untuk menuntut kemerdekaan dan kebebasan adalah penting kerana pihak lawan kepada jalur kiri – sama ada konservatif atau liberal – senantiasa menggunakannya sebagai alasan untuk menentang usaha aktivis untuk membentuk sebuah masyarakat yang lebih adil. Untuk kita yang berdiri di jalur kiri, sosialis tidak harus mengabaikan pewacanaan kebebasan dalam ideologi jalur Kiri dan membiarkan sahaja lawan kita untuk memonopolinya secara tidak jujur. Pihak liberal dan konservatif hanya menawarkan kebebasan untuk kita memilih cara dieksploitasi serta membentuk alam konsumsi mereka yang sendiri. Sebuah wawasan masyarakat sosialis mestilah menghormati kedaulatan individu serta kebebasan peribadi yang sepenuhnya, kecuali hak untuk mengeksploitasi mereka yang lain.
Amaran Bakunin berkenaan proses perubahan sosial perlu dicermati oleh mereka yang percaya serta ingin memenangi kuasa politik untuk membawa perubahan sosial. Ujaran Bakunin untuk sebuah sosialisme tanpa negara adalah peringatan bahawa negara yang kita hadapi hari ini adalah berbentuk negara-kapitalis, yang dibina khusus dengan tujuan eksploitasi dan penjarahan. Walaupun untuk menghancurkan negara kelihatan seperti terburu-buru, kita harus mengkaji dan memahami setakat mana kita dapat mengubahnya untuk tujuan-tujuan sosialis kerana sejarah sudah menunjukkan bahawa usaha sebegini adalah sangat terbatas, kalau pun tidak mustahil. Rencana Bakunin untuk pembentukan sebuah persekutuan komun yang lengkap dengan segala kebebasan untuk berpersatuan dan pemilikan kolektif produksi, menjadi satu tanda ingatan bagi sebuah masyarakat adil yang kita ingin dan akan bina pada suatu hari nanti.