Siyyah
Marhaenisme. Idea yang dibangunkan oleh tokoh nasionalis dan pejuang kemerdekaan Indonesia, Bung Karno. Terbit tatkala berjumpa dengan seorang petani miskin yang namanya Marhaen. Tergerak dengan kesengsaraan mereka yang tertindas dan memerlukan pembelaan, Bung Karno melangsungkan gagasan perjuangan Marhaenisme. Dari saat itu, jalur dan perjuangan Marhaenisme dipandu Bung Karno ke seluruh Indonesia. Padanya, bukan sahaja kaum buruh yang dieksploitasi, tetapi kaum petani juga ditekan. Kaum Marhaen mewakili semua mereka yang tersisih dan miskin dalam masyarakat. Masyarakat yang adil adalah masyarakat yang mana dalam susunannya kaum terbanyak dipertahankan kebajikannya.
Bicara Bung Karno tentang golongan yang tertindas dan terbanyak mengingatkan kita tentang pentingnya keberpihakan. Dalam masyarakat yang tidak saksama tingkat kekayaan dan kuasa politik, semestinya kita harus membicarakan idea dan tindakan yang dapat mengangkat taraf hidup golongan yang teramat memerlukan seperti kumpulan pekerja, buruh, petani, nelayan, pemandu kenderaan dan pengangkutan, penjual kecil, peruncit, pekerja dan buruh asing, dan mereka yang memperolehi sahaja gaji harian. Sering kali, kita membungkam keperitan dan mengabaikan kewujudan mereka. Dalam masyarakat dan negara yang dikatakan moden dan membangun, ironisnya dibina atas pemaksaan berterusan kesengsaraan, keperitaan dan kikisan tulang keringat kaum yang termiskin dan tidak terberdaya.
Dalam melaksanakan keberpihakan ini, tentunya memerlukan kebersamaan dan kesatuan semua organisasi dan gerakan progresif muda dalam masyarakat. Sepertimana gerakan massa luas yang pernah diikat bersama Bung Karno dalam perjuangan menuntut pembebasan Indonesia, tanpa kesatuan dalam idea dan aksi, sukar bagi kita mengalahkan unsur dan tenaga perkauman, otoritarian, korup dan konservatif serta pelampau yang menghalang pembinaan teras moral untuk sebuah masyarakat Malaysia yang lebih demokratik dan berbudaya. Dalam mengingati Bung Karno, kita sedar dan berusaha untuk membentuk idealisme bermasyarakat dan bernegara yang rentas kaum, agama dan lokasi bukan sahaja di Malaysia, tetapi di rantau Asia dan juga dunia, yang digagaskan dahulunya oleh Bung Karno melalui Persidangan Bandung. Masyarakat yang lebih baik dan selamat tidak dapat dipisahkan dan hanya boleh tercapai dengan adanya dunia yang juga lebih baik dan manusiawi. Katanya Bung Karno,
“Marilah kita berjuang dengan berdiri tegak serapat-rapatnya, rapat di dalam perjuangan biasa, lebih rapat pada saat musuh mengamuk dan merajalela.”