Siyyah

“I felt the dead more steadfast in seeking their rights than the living. The departed want us to take every opportunity we have to carry out the sacred mission they have placed on our shoulders.” Huda Shaarawi menunjukkan dan mengingatkan kita bahawa walaupun struktur budaya dan sosial menghalang dan menekan, sentiasa ada kemungkinan dan perjuangan untuk mengatakan ‘tidak’. Pegangan keyakinan untuk menentang nilai-nilai dominan dan arus perdana yang negatif dan diskriminatif. Bersama cita-cita dan keyakinan ini timbul ekpresi untuk mengajukan naratif baru, progresif dan inklusif.

Sebagai titik mulanya, bagi Huda Shaarawi pembacaan dan ilmu serta pengalaman, mendasari pengkondisian kesedaran dan pendirian. Pertukaran idea dan praktik penulisan dengan individu dan golongan penulis wanita dari Eropah menjadi antara sumber penting dalam pembentukan perspektif wanita, masyarakat dan dunia Huda Shaarawi dan angkatannya.

Mereka, dan Huda Shaarawi khususnya, tegas dalam menghujahkan bahawa peranan dan kedudukan wanita dalam masyarakat tidak alamiah ataupun bersandarkan akar sakral semata-mata. Sebaliknya, pemikiran dan pemahaman tentang erti dan konstitusi termasuk kemenjadian wanita adalah hasil daripada proses dan hubungan sosial. Berpandukan idea dan perspektif sebegini, yang merentasi dan menjalin apa yang pernah disebut sebagai “personal troubles” dan “public issues”, maka terbentuknya enunsiasi naratif berkait hak dan martabat wanita. Huda Shaarawi berperanan besar mendorong arus sosial yang mendesak dan menuntut pembelaan martabat wanita kerana untuk setiap gerakan pastinya adanya sandaran naratif.

Dengan menolak dan tidak menerima keadaan yang sedia ada, Huda Shaarawi mendirikan al-Ittihad al-Nisa’i al-Tahdhibi (Women’s Refinement Union), Jamiyat al-Raqy al-Adabiyah li-al-Sayyidat al-Misriyat (Ladies Literary Improvement Society), dan al-Ittihad al-Nisa’i al-Misri (Egyptian Feminist Union) bersama teman-teman seperjuangan yang lain seperti Nabawiyah Musa dan Bahithat al-Badiyah. Semua perhimpunan ini bertujuan membangkitkan kesedaran dan bergerak untuk mencetuskan perubahan sosial.

Huda Shaarawi sinonim dengan intervensi dan aksi politikal, sama ada dalam ruang peribadi maupun awam, dan menyumbang dalam menggerakkan demonstrasi dan aksi massa. Dalam konteks waktunya, persoalan dan isu yang diperjuangkan tidak terhad sahaja kepada emansipasi wanita, tetapi juga pembebasan masyarakat dan negara lewat perlawanan anti-kolonial dan pemberdayaan golongan terbanyak. Setiap ujaran dan tindakan akhirnya bagi mengubah budaya dan struktur politik masyarakat. Lantas Huda Shaarawi mengafirmasi bahawa hegemoni kuasa pengetahuan dan politik tidak dapat  menumpulkan kesedaran, aksi dan gerakan wanita dan masyarakat.

Pemikiran dan tindakan manusia sentiasa terikat dengan idea dan wacana yang wujud dalam sesuatu zaman atau periode. Meskipun begitu, keterbatasan ini tidak mutlak dan menjadi halangan untuk menyinggung dan mengupayakan perebutan pembebasan dalam semua aspek kehidupan, tidak kira dulu ataupun kini.