Siyyah

Sasterawan Usman Awang
Tahap pendidikan yang tinggi, kekayaan harta dan kebendaan serta pemilikan kuasa, politik atau ekonomi, tidak menjanjikan pandangan hidup yang baik dan manusiawi. Malahan, seringkali unsur-unsur dan pemilikan ciri-ciri sebegini membawa kepada manifestasi etika dan budaya yang mengarah kepada apa yang Hussein Alatas pernah katakan sebagai ‘cita bencana’.
Usman Awang mengingatkan kita bahawa yang penting bukannya nama, kekayaan dan kuasa, tetapi kejernihan moral, rasa dan pemikiran. Sekilas lalu, menginsafi kehidupan dan perkembangan jiwa Usman dari tahun 1950an sehingga 1990an, kita diberi lukisan nilai dan luahan hidup seorang insan yang tidak mendambakan atau merebut kepentingan kedudukan dan material.
Sebaliknya, kehidupan Usman dibatui liku-liku berduri dan berapi, lorong-lorong seribu liku, dan pada masa sama mempunyai empati dan keberpihakan kepada golongan terbanyak dan paling memerlukan. Kata-kata yang Usman ajukan, seni untuk masyarakat, ditegakkan Usman dalam segala ujaran dan tindakannya, dan dibawa sehingga ke akhir hayat. Nilai dan komitmen kepada keadilan untuk semua, tidak kira bangsa, kaum, agama, jantina, latar belakang dan sempadan, Usman muatkan dalam semua karya dan ucapannya.
Demikian Usman, ringkas dan bersahaja, tetapi begitu mendalam, luas dan rendah hati kemanusiaannya. Begitu alamiah dan ringan nurani hatinya buat kita tertanya-tanya, ke mana hilangnya nilai-nilai dan kompas moral pemimpin-pemimpin dan masyarakat kita pada hari ini?
Luahan hati dan prinsip yang mendekati serta membawa kebersamaan, bukan membahagi dan memecah-belahkan, yang melangsungkan pegangan dan idealisme, bukan sekadar mengejar kuasa dan kedudukan. Sebaliknya, membina dan berkomunikasi, serta bukan sahaja merosakkan, menghakimi, memaki dan mengutuk. Apakah Malaysia sudah hilang budaya, hala tuju dan masa depannya?
Sampai bila kita akan membenci, menindas dan menyalahkan mereka yang tidak berdaya dan berbeza untuk menutup serta menyembunyikan segala kelemahan, kejahatan, tamak haloba, hipokrasi dan kebodohan diri kita sendiri? Sudahkah lenyap hati nurani dan kepribadian bangsa yang pernah diluahkan Usman Awang tidak lama dahulu?