Editorial

fanon

Sumber gambar: https://www.tabletmag.com/sections/arts-letters/articles/frantz-fanon-white-masochism

95 tahun lalu tanggal 20 Julai, di Martinique, lahir Frantz Omar Fanon, seorang ahli filsafat, pejuang gerila serta psikiatri. Di hari lahirnya ini, kami di Malaysia Muda memperingati khazanah pemikirannya berangkat dari pengalaman hidupnya yang rencam.

Sekilas tentang Fanon yang kami jelajahi fikrah pemikirannya ini dikarang, yang pertama oleh Zikri Rahman;

“Karya-karya Fanon yang boleh dikira bilangannya kurang dari sepuluh jari (barangkali, masih ada lagi yang lain belum diterjemah langsung daripada bahasa Perancis) itu jika sekilas ditelesik, bolehlah dikatakan penuh marah-marah; molotov yang menunggu masa membakar hangus aparat. Bahkan, molotov yang membakar itu juga boleh jadi api dian yang bergenang penuh sasterawi. Dan begitulah kita akan setia, bukan saja untuk mengekor pemikirannya, malah cuba-cuba untuk melintasnya dalam pancaroba dunia yang mendepan.

Untuk menyudutkan pengalaman membaca Fanon tanpa berangkat dari arus yang memaksanya mengarang juga tidak akan membawa keadilan kepada bukan saja teksnya, bahkan tuan punya badan sendiri. Fanon mengarang dalam deras semangat anti-kolonialisme, gerakan pembebasan negara ketiga serta perjuangan gerila yang menyala-nyala. Lebih-lebih lagi, beliau sendiri tidak acuh-acuh memilih mengangkat senjata. Baginya, perjuangan mengangkat senjata satu jalur pembebasan dalam menemukan apa yang diertikannya ‘manusia baru’.

Pun begitu, dalam Fanon mengarang, beliau jauh daripada menjadi naif. Keganasan per se, baginya belum tentu membuka jalan revolusionari. Ada sesuatu yang perlu digariskan. Jalan-jalan pemberontakan, baginya, hanya jadi revolusionari, saat ianya transformatif. Semisalnya, berbeza jauh antara kesedaran nasional yang dilakar para borjuis dengan kebudayaan nasional dari perjuangan rakyat bawah. Ini yang diutarakan dalam sebuah karyanya yang masyhur itu. Persoalannya yang serupa inilah, bagi saya akar untuk kita berpaut dalam kemudian mempertanyakan, persoalan nasionalisme seperti apa yang sedang dijawab dan dibentuk masyarakat kita hari ini? Kesedaran nasionalisme seperti apa yang dapat dibangunkan saatnya negara mengkhianati segala-galanya? Transformasi apa yang diunjurkan bagi masyarakat kita?”

Bagi Siyyah pula, membaca Fanon bermakna;
“Bagi setiap pelajar dan mereka yang usahanya ingin memahami masyarakat dan sejarah negara-negara membangun, karya-karya Fanon pastinya menjadi antara rujukan utama. Kesedaran tentang sifat dan implikasi kolonialisme terhadap psikologi, ideologi, material dan fizikal manusia dan masyarakat; peranan dan jenis semangat nasionalisme dan budaya nasional yang progresif; kezaliman dan diskriminasi yang dilaksanakan mereka yang berkuasa; dan keinginan untuk melawan dan membina solidariti tidak kira di peringkat nasional atau antarabangsa, adalah antara pesan penting Fanon. Merenung kembali kata-kata yang pernah dipenakan dan diajukan Fanon, tentunya “wretched”, “kaum celaka”, “kaum tertindas”, dan “mustad’afin” sentiasa bergema. Menjadi manusiawi dan menegakkan pengibaran kemanusiaan yang komited terhadap masyarakat, bangsa manusia dan dunia merupakan satu hasrat dan kerja yang tidak pernah habis waktunya.”

Di dalam sela-sela merangkul pemikiran Frantz Fanon ini yang kemudiannya memaksa untuk kita bertanyakan, kita akhirnya di pihak yang mana dan untuk apa?

Selamat ulangtahun Frantz Omar Fanon, berbahagialah dikau!