Ooi Kok Hin
Universiti Waseda
Dunia akademik dan aktivisme dikejutkan dengan berita kematian ahli antropologi terkemuka, David Graeber, pada 2 September 2020. Kematian Graeber merupakan tamparan kepada masyarakat dunia yang begitu terkesan dengan karya-karya beliau serta sokongannya terhadap pelbagai gerakan sosial dan lingkaran aktivis dari Seattle ke Rojava, New York ke Quebec, London ke Ferguson.
Beliau pernah berkhidmat sebagai profesor di Universiti Yale, Goldsmiths (University of London) dan London School of Economics. Pengaruh Graeber tidak terbatas di menara gading dan beliau sering melibatkan diri dalam gerakan sosial, terutamanya dalam kumpulan anarkis yang melakukan protes terhadap World Economic Forum dan merupakan salah seorang penganjur Occupy Wall Street.
Antara karya Graeber yang terkenal termasuklah Debt: The First 5,000 Years. Buku inilah yang menjadi laris dan kemudiannya, mengangkat nama Graeber di peringkat antarabangsa (walaupun Graeber sudah dikenali di dalam kalangan lingkar akademik dan aktivis di Amerika Syarikat dan Britain). Ramai pembaca di Malaysia juga mula mengenali beliau dari Debt. Dalam kata penutup untuk buku tersebut (versi kulit lembut pada 2014), Graeber berkata bahawa beliau mula menulis Debt dengan hasrat bagi “menggunakan alat intelektual yang dimiliki oleh seseorang seperti saya untuk benar-benar mempengaruhi perbahasan awam mengenai isu yang benar-benar penting.”

Karya beliau yang lain termasuklah Possibilities, Direct Action, The Democracy Project dan Bullshit Jobs. Graeber merumuskan karier intelektualnya demikian:
“Mungkin boleh dikatakan bahawa semua karya saya sejak [tahun 2000] telah meneroka hubungan antara antropologi sebagai usaha intelektual dan sebagai usaha praktikal untuk mewujudkan masyarakat yang bebas — setidaknya, bebas dari kapitalisme, patriarki, dan birokrasi paksaan.”
Tulisan Graeber turut meninggalkan kesan dalam kalangan pemikir, pembaca, ahli sains sosial, dan aktivis di Malaysia. Berikut adalah perkongsian dari beberapa rakan tentang bagaimana Graeber dan karyanya memberi impak kepada mereka:
“David Graeber adalah sosok yang menyakinkan iktikad bendera hitam yang saya imani. Ketika pertama kali membaca makalah beliau ‘Are You An Anarchist : The Answer May Suprises You’, saya tersenyum sendirian. Ia merupakan tulisan yang saya dahagakan selama ini. Graeber melunaskan kedahagaan saya bukan dengan molotov, chaos, sabotaj lerengan kedai-kedai mewah, tetapi dengan kenyataan bahawa anarkisme merupakan sebuah wadah yang tersendirinya terbentuk dalam jiwa setiap insan. Mati hidup semula saya akan ingat Graeber meng’like’ tweet ucapan tahniah saya kepadanya dan isteri, Nika Dubrovsky saat dua jiwa ini disatukan tahun lalu. Kita semua terhutang atas pemikiran-pemikiran beliau mengenai jurang kelas, gerakan Occupy dan kerja-kerja yang tercelakakan. Melalui Graeber, Anarkisme bukan lagi tentang sekumpulan anak-anak rebelius berpakaian hitam semata, tetapi ia adalah naratif intelek yang mencabar dunia kanan dan kiri. Selamat jalan Graeber. Damailah jiwamu disana; di negeri tanpa hieraki, kelas, kapital dan kerja-kerja yang bullshits.”
-Hadri Shah, pengasas audiosiar Tengkorak Hang Podcast
“Slogan “we are the 99%” yang tersohor itu bukan sepenuhnya idea milik si David Graeber; yang memperteguh kata-kata ini sebaliknya adalah kita semua. Bahkan, barangkali David Graeber yang baru saja meninggalkan kita semua semalam enggan diperingati oleh serangkap yang itu semata-mata. Walau segala kudrat praksisnya, kita tahu, terkandung di dalam ayat yang keramat itu. Begini, pengujikajiannya dari mula, lewat kajian antropologinya yang masyhur tentang sejarah hutang-piutang sehinggalah penglibatannya dengan banyak gerakan, antaranya gerakan pembebasan di Rojava, saya percaya, menuju ke sebuah sudut pandang yang rencam. Apa? Bagi Graeber, pada telahan saya, adalah untuk memeta seluas mungkin kemungkinan ragam dan ruang politik yang (belum) ada bagi mewujudkan sebuah keadaan: konkrit dan abstrak – akan sebuah perubahan historikal yang memungkinkan. Justeru, saya mahu mengingati Graeber yang ini di dalam segala pengujikajiannya – yang tidak melihat teori sebagai teori dan praktis semata praktis. Belasungkawa Graeber, hidupmu pun berahi, mati alangkah berani!”
– Zikri Rahman, penyelidik dan pekerja budaya.
“If there’s something that’s really striking about his work and writings, it’s how unapologetically intuitive it is. Graeber shuns the dense and complex writing style academia tends to reward, but does not trade it with over-parsimony either, thanks to his deep commitment to fieldwork. Intuitive his findings are, it doesn’t mean it’s something we knew by heart. It did not feel like bias confirmation. We only knew when we read him. It feels familiar yet profoundly enlightening. And that’s the kind of scholarship we are missing today. A commitment to the mundane. The audacity to theorise.”
-Nicholas Chan, University of Cambridge
“David Graeber’s The Utopia of Rules has been most fascinating and influential for me. In the book, he set to dismiss the idea that bureaucracy is a creation of the state (arguments often deployed by free market supporters) with various clear examples that proves to the contrary. Instead, he proposed The Iron Law of Liberalism, which states that any market reform, any government initiative intended to reduce red tape and promote market forces will have the ultimate effect of increasing the total number of regulations, the total amount of paperwork, and the total number of bureaucrats the government employs. He argues this with strong samples of evidence and data that’s hard to ignore. This one book has always been my go-to whenever I need to annoy someone that keep on sticking to the old liberal paradigm, i.e state regulations always stands in contrast to freedom of the market.”
-Imran Rasid, Universiti Malaya
Bagi saya, terdapat lima ciri dalam sosok intelektual awam ini yang wajar kita renungi bersama:
1) Teladan sebagai seorang ahli akademik dan aktivis yang dapat menyelam antara dunia teori dan praktis, serta melakukan kedua-duanya dengan cemerlang. Dewasa ini, universiti-universiti neoliberal kian mempengaruhi tenaga pengajar supaya mengejar status dan kedudukan ‘ranking’, meningkatkan kuantiti penerbitan, dan mendekati sang penguasa. Graeber pernah “dipecat” dari Universiti Yale kerana menjadi seorang “troublemaker” yang menganjurkan protes dan kritikan terhadap status quo. Menurut rakannya Andrej Grubačić, beliau memohon kerja di lebih 20 universiti di negaranya namun tidak mendapat sebarang tawaran, lantas membuatkan Graeber terpaksa berhijrah ke Britain untuk mendapat kerja (“academic exile”). Graeber yang berpendirian anarkis lantang mengkritik kapitalisme dan penguasa, tapi beliau juga seorang yang optimis. Penglibatan beliau dalam Parti Buruh mengundang tanda tanya dari golongan yang sinis. Pengasas Novara Media, sebuah media alternatif kiri, berkata, “Sungguh mengejutkan bagi sesetengah pihak bahawa seorang anarkis (yang diiktiraf ramai) berjuang keras untuk Parti Buruh di bawah Jeremy Corbyn, tetapi ini tidak sepatutnya: Graeber melihat bahawa di situlah politik kiri sedang “menjadi” di UK, meskipun beliau masih mengekalkan keraguan yang sihat tentang parlimen. Mengapa beliau tidak harus pergi ke medan di mana perjuangan sedang berlaku?”

2) Graeber menunjukkan kebaikan yang boleh dijana oleh ahli akademik yang komited untuk melahirkan “kesarjanaan umum” yakni para intelektual yang menggunakan kemahiran, pengetahuan, dan kedudukannya untuk kepentingan awam dan bukannya kepentingan diri, sang penguasa, atau penaja korporat. Untuk penyelidik muda idealis yang masih mencari tempat dan identiti mereka dalam dunia akademik, Graeber merupakan sebuah inspirasi.
3) Karya-karya Graeber sering mencetuskan agenda kajian yang baru. Pembaca pula selalu mendapat pemahaman yang baru selepas membelek tulisannya, sama ada topik yang ‘berat’ (Debt) atau ‘ringan’ (Are You an Anarchist?). Saya juga terhutang budi pada Graeber kerana karyanya turut memberi ilham untuk tesis sarjana saya. Setelah mendengar kisah dari rakan-rakan yang berhutang pinjaman pendidikan tinggi, dan merenung kembali protes PTPTN yang berlaku pada tahun 2012, saya merujuk Debt. Buku itu memberi motivasi untuk menongkah arus kerana pada ketika itu, saya tidak mengenali sesiapapun selain Graeber yang menulis bagi mempermasalahkan (“problematize”) hutang. Melihat beliau sebagai seorang ahli akademik yang ‘tegar’ menulis tentang topik tersebut menjentik sedikit keberanian dalam mengkaji hutang pendidikan tinggi di Malaysia.

4) Graeber rajin menulis. Pengalaman beliau dan rakan-rakan yang terlibat dalam protes terhadap perdagangan bebas dicatat dalam buku Direct Action. Manakala pengalamannya di dalam menganjurkan Occupy Wall Street didokumentasikan dalam naskhah The Democracy Project. Beliau pernah mengakui bahawa buku Debt ditulis di antara waktu lapang ketika menganjurkan Occupy. Graeber menolak pandangan bahawa penulisan buku tidak mencapai apa-apa. Sebaliknya, ia sebuah kerja penting yang harus dilakukan oleh mereka yang serius mahu mempengaruhi perubahan. Menariknya, Graeber jarang menerbit buku dengan penerbit universiti dan jurnal. Rakannya menyebut bahawa hampir setiap esei dalam buku Possibilities boleh dijadikan artikel jurnal yang “berimpak tinggi” dan buku-bukunya pula boleh sahaja diterbit oleh penerbit universiti terkemuka. Tetapi hampir semua buku tersebut diterbit oleh penerbit kolektif kecil-kecilan yang mempunyai prinsip yang dihormatinya seperti AK Press. Malaysia mempunyai ramai aktivis (yang antaranya adalah ahli akademik) tetapi amat sedikit aktivis yang rajin menulis.
5) Sebulan sebelum meninggal dunia, satu bebenang ciapan daripada Graeber adalah sebuah renungan tentang sektarianisme dalam gerakan kiri. Mengapa, Graeber bertanya, golongan kiri dianggap lebih sektarian daripada golongan kanan? Mungkin ini peringatan terakhir daripada Graeber untuk mengajak golongan kiri melakukan “self-reflection.” (Ini adalah usaha yang baik.)
Berprinsip bukan alasan untuk menjadi sektarian, dan perjuangan bukan satu perlumbaan puritanisme. Rakan-rakan Graeber dalam gerakan kiri bukan semuanya anarkis seperti beliau, namun menurut Astra Taylor, meskipun Graeber mempunyai prinsip yang kuat tetapi beliau tidak pernah bersikap dogmatik atau sektarian.
Dalam satu perkembangan positif, majalah Jacobin menerbitkan beberapa artikel bagi memperingati Graeber. Graeber dan Jacobin pernah “berperang” kerana mereka berpegang pada aliran kiri yang berlainan dan tidak bersetuju dalam beberapa perkara.
Peristiwa ini mengingatkan saya pada Erik Olin Wright (EOW), profesor sosiologi di Universiti Wisconsin-Madison yang meninggal tahun lalu. Buku terakhir EOW bertajuk How to be an anti-capitalist for the 21st century dan beliau menjelaskan kenapa tajuk itu dipilih:
“Sekilas tentang judul buku ini, “How to be an Anti-Capitalist for the 21st Century”. Di dalam buku ini, saya cuba mengusulkan perdagangan sosialisme yang demokratik, yang difahami sebagai bentuk radikal bagi ekonomi yang lebih demokratik. Buku ini, boleh saja, mempunyai judul “How to be a Democratic Socialist for the 21st Century.” Saya memilih untuk menggunapakai terma yang lebih menyeluruh iaitu “Anti-kapitalis” kerana kebanyakan argumen buku ini relevan kepada mereka yang melawan kapitalisme, namun skeptik terhadap sosialisme. Saya berharap argumen ini dapat menyakinkan sekurang-kurangnya segelintiri di antara mereka bawah ekonomi sosialis yang radikal dan demokratik adalah cara yang terbaik bagi memikirkan destinasi yang akan dicapai bagi melangkaui kapitalisme, namun saya tidak mahu buku ini hanya relevan buat mereka yang sudahpun bersetuju dengan pandangan itu.”
Jacobin, sebuah majalah sosialis, Graeber, seorang anarkis, dan EOW, seorang Marxis – masing-masing mempunyai aliran pemikiran yang berbeza. Kendatipun, di akhir hayat Graeber dan EOW, kedua-duanya sedar bahawa tugas utama dan titik temu antara mereka lebih luas dan lebih penting: iaitu untuk mengkritik, mencabar, dan menentang kapitalisme.