Oleh: Audi Ali

Gambar hiasan.

Erti Kemerdekaan 

Angkatan Pemuda Insaf (API) muncul di persada politik pada tahun 1946 bertujuan untuk memberi nafas baru dalam gerakan kiri dan menangkis pasrah terhadap kekuasaan British dan golongan elit di Malaya. Dalam usaha Ahmad Boestaman dan sahabat untuk mengubati lesu ini, mereka merumuskan sesuatu yang radikal – dari segi kaedah dan juga dari segi substantif. “Merdeka dengan Darah”, ya, tetapi kesanggupan untuk menitiskan darah bagi tanah air adalah berdasarkan perjuangan mereka yang berpaksikan pembebasan marhaen. 

Mungkin tumpuan terhadap slogan yang “menghasut” itu tidak dapat dielakkan. Tetapi harus diingatkan bahawa pada waktu itu, hasrat untuk mencapai kemerdekaan itu sahaja sudah radikal, apatah lagi merdeka melalui perjuangan bersenjata. Misalnya, Onn Jaafar, pengasas UMNO dan sosok bangsawan yang paling menonjol ketika itu, mempertikaikan hasrat gerakan kiri untuk memerdekakan Malaya. Terdapat sindiran yang yang sering diungkapkan ketika itu: “Membuat sebatang jarum pun tak tahu, hendak merdeka pula konon”[1].

Meskipun kini, kedua-dua Onn Jaafar dan Ahmad Boestamam disanjung sebagai nasionalis, perbezaan yang ketara antara mereka wujud kerana struktur sosio-ekonomi tempang yang melatari landasan perjuangan mereka. Onn Jaafar, sebagai sosok bangsawan berhasrat untuk menstabilkan kekuasaan golongan tersebut ke atas sistem pentadbiran penjajahan. Manakala, Ahmad Boestamam, sebagai sosok intelektual yang “datang dari bawah” sedar bahawa nasib pekerja dan marhaen hanya boleh terjamin dengan menggulingkan komplot penjajah, monarki dan bangsawan yang memerah sumber tanah air dan keringat rakyat.

Semangat kemerdekaan yang tersemai dalam Testamen Politik Api diinspirasi daripada beberapa perkara. Pertama, gerakan anti-penjajahan di Indonesia: Boestamam mengimbau semboyan yang dilaungkan oleh pemuda-pemuda Indonesia sewaktu penjajahan Jepun, “Pemuda biar hanchor, asal tanah air menjadi lohor”. Kedua, beliau ingin menghasilkan gerakan pemuda Melayu yang bergerak seiring dengan “Sam Min Chui Youth Corps” yang didirikan etnik Cina ,“Hind Volunteer Service” oleh etnik Tamil dan bergabung dengan “World Federation of Democratic Youth”. Ketiga – kehendak beliau supaya gerakan pemuda mendampingi gerakan pekerja dengan cara yang penuh makna. Yang ketiga inilah akan saya terokai dalam penulisan kali ini. 

Konteks Ekonomi

Hasrat API dan Boestamam untuk mendampingi gerakan pekerja nyata tersurat dalam dokumen Testamen Politik API. Kemerdekaan yang diperjuangkan mereka bukan sahaja pembebasan negara-bangsa secara abstrak, tetapi kemerdekaan sebagai wadah pembebasan dan pemberdayaan marhaen. Mereka menggariskan kemerdekaan sebagai perkara mustahak tetapi tidak mencukupi (“necessary but insufficient”) dalam menuntut keadilan. Demokrasi, hak terhadap pendidikan, hak bersuara dan berorganisasi perlu diterapkan dalam perjuangan menuntut kesamarataan. Penekanan ini wujud kerana massa, yakni pekerja dan marhaen, tidak mampu untuk mencapai pembebasan yang bermakna sekiranya “merdeka” hanya membawa maksud penggantian penindas asing dengan penindas se-bangsa di tahap tertinggi pemerintahan negara. 

Poster direka oleh Aisyah Huzani

Diagnosis Boestamam jelas – penyakit yang dihidapi Malaya berpunca daripada tatanan sosioekonomi yang tempang: 

Susunan ekonomi yang tidak teratur pada masa ini menyebabkan timbulnya dua kelas iaitu kelas kaum modal dan kelas kaum marhaen (proletar). Kedua-dua kelas ini terpaksa bertentang kerana berlainan kepentingan – yang pertama hendak menindas dan memeras yang kedua. API berkeyakinan bahawa untuk mendapatkan keadilan sosial itu maka pertentangan kelas itu hendak-lah dihapuskan. Pendek-nya dalam menuju keadilan sosial itu API bermaksud akan menghapuskan pertentangan kelas dalam masyarakat bangsa Melayu”. 

Dari satu sisi, susunan ekonomi yang dimaksudkan terhasil akibat pemerasan pentadbiran penjajah ketika itu terhadap masyarakat; pada tahun 1953, syarikat-syarikat Eropah telah menguasai dua pertiga daripada hasil eksport kerana mereka memegang hak-hak monopoli bagi timah, getah, besi dan kelapa sawit[2]. Dari sisi yang lain pula, pemerasan itu terhasil kerana raja-raja Melayu sedia untuk memberi hak-hak monopoli tersebut atas balasan gaji lumayan yang diberikan penjajah. Pekerja – etnik Cina, India dan Melayu – terkesamping dalam aturan ini. 

Penyisihan ekonomi bagi pekerja dan marhaen berbeza bagi setiap kaum etnik. Amalan ekonomi campuran (“dual economy”) oleh pemerintah kolonial menyebabkan perbezaan fungsi ekonomi bagi setiap kaum. Pekerja Cina dan India misalnya diserapkan dalam aktiviti kapitalisme sebagai buruh yang diperah tenaga kerja mereka di sektor perlombongan, perkilangan, dan perladangan manakala kaum Melayu marhaen dibiarkan dalam ekonomi pertanian subsisten. Ragam penindasan berbeza dan pengasingan ini menyebabkan kegagalan untuk mengatur barisan yang mampu menentang kuasa pemegang modal. 

Dalam konteks ini, pekerja-pekerja (terutamanya etnik Cina dan India) di Malaya mula bergerak. Walaupun agak lambat jika dibandingkan dengan gerakan pekerja sedunia, menjelang tahun 1946 Pan-Malaya Federation of Trade Unions (PMFTU) yang sedikit sebanyak dipengaruhi oleh Parti Komunis Malaya (PKM) telah berjaya mengatur aksi-aksi mogok yang menimbulkan kegelisahan di kalangan pemegang modal dan pentadbiran kolonial ketika itu. Pendirian PKM yang menentang kuasa-kuasa imperial kapitalis mendorong gerakan pekerja untuk mula menggagaskan kemerdekaan yang menjurus kepada demokrasi berparlimen, had masa bekerja selama lapan jam serta pengurangan cukai tanah bagi golongan petani. Namun wujudnya kelemahan besar dalam gerakan ini kerana mereka masih gagal untuk menarik penglibatan orang Melayu secara besar-besaran. 

Lompong inilah yang ingin dipenuhi oleh API dan gerakan kiri Melayu ketika itu. Menyedari bahawa kebanyakkan orang Melayu tidak bekerja di kilang atau ladang bagi membolehkan mobilisasi menentang pemegang modal, mereka mengguna pakai konsep “marhaen” bagi melambangkan rakyat kebanyakan dan golongan petani. Pertentangan kelas mula dibangkitkan oleh Boestamam dengan menyamakan “orang bangsawan” dengan “pemegang modal” dan “proletar” (pekerja) dengan “marhaen”:

“Kepada API adanya orang-orang bangsawan dan adanya rakyat murba, ada-ya yang mulia dan adanya yang hina itu ialah kerana masyarakat tidak adil, kerana diadakan oleh manusia yang kerana tipu muslihatnya dapat mengadakan kias-kias dalam masyarakat manusia itu”.

“Merdeka” yang dimaksudkan golongan kiri tidak dapat dipisahkan daripada pertentangan kelas dan perjuangan menuntut kesamarataan.

Asas material bagi gerakan kiri 

Konteks ekonomi wajar difahami dalam menggagaskan gerakan kiri. Sepertimana Boestamam meninjau struktur sosioekonomi untuk menggagaskan ideologi API, gerakan kiri hari ini turut perlu mengenal pasti batu asas berpijaknya gerakan kita. Ini adalah satu persoalan yang mencabar: gerakan kesatuan sekerja di Malaysia telah mengalami kemerosotan teruk sejak 1960-an, lebih-lebih lagi apabila ekonomi kita lebih menjurus kepada pengumpulan modal (“capital accumulation”) yang berteraskan eksploitasi buruh. Eskploitasi ini muncul dalam pelbagai ragam: pekerja dipecah-belahkan mengikut kesatuan sekerja dalam sesebuah syarikat (“in-house unions”), kesatuan sekerja tidak dibenarkan untuk mogok dalam sektor peneraju (“pioneer industries”), proses menuntut hak melalui mahkamah buruh terlalu lama dan rumit, pekerja-pekerja mengalami apa yang dikatakan sebagai “informalisation”, serta peningkatan kebergantungan ekonomi negara terhadap pekerja asing menyukarkan lagi usaha untuk membentuk barisan buruh yang jitu. Lebih merumitkan keadaan, proses globalisasi ekonomi mendorong kita untuk bersaing dengan negara-negara membangun yang lain untuk menarik pelaburan langsung asing, lantas membantutkan solidariti rentas sempadan antara pekerja. 

Namun ini merupakan satu cabaran yang tidak boleh dielakkan sekiranya kita serius dalam memperjuangkan masyarakat yang lebih adil. Jelas bahawa pentadbiran ini dan yang terdahulu gagal untuk merasai denyut nadi dan perih jerih kehidupan marhaen sehingga tercetusnya tindakan spontan oleh pekerja-pekerja Food Panda, J&T dan pekerja hospital. Barangkali lebih ramai akan turut serta dalam gerakan menuntut keadilan sejagat sekiranya gerakan kiri mampu untuk menggagaskan idea yang menimbulkan sekelumit harapan bahawa kehidupan yang lebih bermaruah boleh dicapai.

Cabaran ini perlu disahut, soal bagaimana untuk bergerak perlu dijawab dan sebarang kesempatan untuk membina solidariti perlu dirembat. Boestamam pernah menulis: “perkataan merdeka bukan ayat ajaib yang menghapuskan penderitaan, kemiskinan, kemelutan dan seumpanyanya yang selama ini dipikul oleh rata-rata rakyat negara ini, ia hanya jalan yang dibukakan ke arah itu kalau kita pandai mengambil kesempatan”[3].

Perjuangan harus diteruskan. 

Rujukan:


[1] Ms. 220, “Traditionalism and the Ascendancy of the Malay Ruling Class in Colonial Malaya” oleh Donna Amoroso

[2] Ms. 39, “The Development of Malaysian Capitalism” oleh Elsa Lafaye De Micheaux.  

[3] Mastika, Ogos 1957