Dr. Teo Lee Ken

“The struggle of man against power, is the struggle of memory against forgetting.” – Milan Kundera
Keadaan dan krisis kontemporari Malaysia
Mengapa momen, peristiwa atau teks tertentu yang hidup dan asalnya dalam trajektori masa lalu sudah tidak dapat ditempatkan dalam naratif-naratif semasa dan sedia ada?
Budaya dan keperibadian sesebuah masyarakat terbina hasil respon dan pemahamannya terhadap krisis. Krisis ini mencakupi antara temporaliti historikal, serta kontemporari. Dan ia merangkumi sifat-sifat politik, ekonomi, sosial dan juga kesihatan serta alam sekitar.
Meninjau trajektori negara ini, masyarakat Malaysia telah melalui beberapa momen kritikal, juga sengit. Peristiwa-peristiwa ini memberi kesan besar dan mendasar kepada pemikiran dan psiki serta tradisi masyarakat Malaysia. Lanjutannya, unsur-unsur ini mempengaruhi, sama ada cergas mendorong atau melambatkan proses dan projek pembinaan negara-bangsa Malaysia.
Dalam Intellectuals in Developing Societies (1977), sosiolog dan cendekiawan Malaysia Syed Hussein Alatas (1928-2007) membincangkan bahawasanya pembentukan tradisi dan kelompok intelektual yang komited terhadap kecemerlangan keilmuan adalah integral kepada pembangunan sesebuah masyarakat yang maju dan sejahtera. Golongan ini peduli kepada peranan dan penggunaan ilmu pengetahuan dan pendidikan, contohnya sains sosial dan sosiologi, untuk memahami dan menangani isu-isu dan permasalahan sosial masyarakat.
Lawan terhadap golongan dan tradisi pembebasan ini, adalah golongan dan pemimpin bebal yang akan cuba senantiasa untuk merebut dan mengekalkan kuasa politik dan otoriti. Kemerosotan, kemunduran masyarakat dan budaya serta keilmuan akan bertempat dalam negara disebabkan tindakan kelompak bebal ini.
Tidak kompetensinya dan korupsi serta kehilangan kompas moral yang kita saksikan dewasa ini di Malaysia dalam pelbagai dimensi dan tindakan kepimpinan politiknya menegas dan membuktikan poin-poin yang dihujahkan Hussein Alatas.
Saya ingin menambah, seiring dengan terlaksananya kelompok intelektual adalah keperluan bagi suatu takungan yang mendalam merentas ruang dan tempat dan temporaliti yang memuatkan nilai dan perjuangan bersama. Takungan ini adalah memori. Memori yang dibina bersama, yang dapat mendorong gerakan dan tindakan mengubah masyarakat, dan berupaya mengikat sebahagian besar, kalau tidak keseluruhan, sektor-sektor kritikal dalam masyarakat.
Memori dapat membawa bersama, atau dapat memecahkan kebulatan masyarakat. Sifat tarikan dan tolakan ini juga sama dan terpakai kepada gerakan-gerakan pembaharuan dan politik yang ingin memacu transformasi masyarakat di Malaysia.
Beberapa peristiwa dan subjek seperti kependudukan Jepun di Malaya, gerakan-gerakan perjuangan kemerdekaan yang berlainan arus politik dan kaedah tarungnya, 13 Mei 1969 dan Operasi Lalang umpamanya, menimbulkan kontestasi yang tajam dan tegang. Memori dan momen ini, termasuk naratif dan wacana yang mengiringinya, merobek fabrik sosial masyarakat Malaysia dan meletuskan kelompongan dalam projek politik kita bagi membina dan menjadi Malaysia.
Memori, Boestamam dan API
Dalam konteks dan wacana memori ini, yang saya ingin kedepankan bicara adalah tentang Ahmad Boestamam. Pemikiran politik Ahmad Boestamam dan tulisannya Testament Politik API, adalah karya sentral dalam lapangan sejarah intelektual dan tradisi politik pembebasan Malaysia dan juga Asia.
Nilai-nilai besar yang diajukan Boestamam dalam era hidupnya persoalkan dan melawan segala kerangka politik dan berbangsa yang sedia wujud. Kesarjanaan tentang pemikiran sosial dan biografi serta hidup dan latar belakang perjuangan dan perspektifnya telah, dan masih ditelitikan oleh pelbagai akademik dan penulis terkemuka.
Boestamam sendiri merupakan seorang penulis yang prolifik, selain aktiviti politik dan gerakannya, serta telah menghasilkan banyak karya sama ada fiksi atau bukan fiksi, dan penulisan sastera atau politik. Boestamam dikenali utamanya sebagai nasionalis dan pejuang kemerdekaan, tetapi kurang yang mengenali sisi budaya dan penulisannya, khususnya karya-karya novel dan esei yang ekstensif. Hasil tulisan dan dokumentasi segala momen dan peristiwa penting oleh Boestamam sepanjang hidupnya juga yang menyumbang kepada pengerjaan korpus kajian dan komentar golongan peneliti berkait kayanya pandangan dunia Ahmad Boestamam.
Teman-teman di Malaysia Muda sendiri, khususnya seperti Imran, Audi dan Jeremy sebelum ini telah membincangkan dengan bersemangat dan kritikal berhubung Testament Politik API dan cita-cita pemuda, pembebasan proletar dan negara-bangsa, renungan politik dan ekonomi berkait Testament Politik API dan erti ungkapan ‘merdeka dengan darah’ dalam Testament Politik dan perjuangan API.
Pada pandangan saya, prinsip yang digariskan dan landasan yang diletakkan oleh Boestamam bersama Testament melalui gerakan API terlalu pentingnya kepada kita, dan membantu kita mengagaskan dan memperjuangkan rupa bangsa Malaysia yang kita inginkan. Sebuah Malaysia yang lebih adil, makmur dan terangkum untuk masyarakatnya. Persoalan bagaimana kita mencapai dan menyalurkan wacananya, membawa permasalahan yang saya memikirkan lebih kritikal dan mendesak.
Maka kembalinya kita kepada soal di awal, kenapa momen, peristiwa atau teks yang hidup dan asalnya dalam trajektori masa lalu sudah tiada tempat dalam kehidupan dan masyarakat kontemporari? Barangkali kerana tidak adanya yang pertama, iaitu memori bersama, dan keduanya, proses pembinaan memori bersama yang langsung dan sedar. Masyarakat dan negara tidak dapat berlangsung sekiranya tiada memori kolektif yang mendasari dan memandu visi dan teras kehidupan bersamanya.
Oleh itu, dalam kerangka wacana ini, saya mengertikan diskusi tentang Boestamam dan Testament Politik API adalah berkait dengan memori dan pembinaan serta artikulasi memori memperihalkan keadilan dan kehidupan bersama dalam komposisi keMalaysiaan.
Dalam pertarungan untuk merebut dan mendirikan roh asas Malaysia dalam panggung politik dan pemikiran, memori yang ingin dibawa bersama bagi membela semua tidak kira latar belakang, etnik dan agama, telah kecundang kepada memori-memori yang bersifat eksklusif, kebencian dan pembantaian budaya.
Memori merupakan ruang dan arkitektur di mana berhimpunnya semua nilai, visi dan perjuangan setiap gerakan sosial dan pembebasan. Ada yang barangkali akan mengatakan bahawa perspektif sebegini adalah pengabstrakkan dan tindakan meng’awan’kan sifat radikal dan tuntutan suatu gerakan massa. Tentunya, basis suatu perjuangan dan massa aksi adalah materialitinya.
Namun, setiap gerakan dan projek politik miliki sisi nyata dan tidak nyatanya. Pohon yang tumbuh kukuh dan besar menyentuh langit, ada tanahnya yang subur, dan cahaya matahari yang meneranginya.
Generasi masa depan Malaysia
Ini bukanlah bertujuan untuk mengecilkan skop dan sifat memori kepada unsur-unsur yang tidak nyata sahaja. Memori juga dapat merangkumi suatu momen, peristiwa atau siri peristiwa, tempat atau place, ritual dan interaksi.
Pada suatu ketika dulu, ada wadah dan saluran, dan momen tertentu yang berfungsi pertamanya, untuk menonjolkan memori tentang kebersamaan yang pernah wujud dalam trajektori sejarah Malaysia, atau keduanya, sebagai proses dan wahana membina memori kebersamaan dan masa depan bersama.
Gerakan pelajar semasa era 1970an, Reformasi 98, dan BERSIH contohnya merupakan antara peristiwa nyata yang menyedarkan dan mengingatkan pelbagai komuniti dan sektor masyarakat, bahawa masa depan negara bergantung kepada solidariti dan nilai bersama.
Pada masa sama, kelompok dan organisasi masyarakat sivil yang hadir dan kuat menjadi struktur dan tempat di mana proses dan tindakan interaksi dan debat, dan membentuk memori dan nilai yang terangkum dapat dijalin dan dijalankan.
Kini, kedua-duanya; momen dan struktur sudah runtuh dan hilang, atau sedang mengalami krisis. Dan bersamanya, keupayaan untuk membina memori dan nilai keMalaysiaan.
Sekiranya kita dapat memperolehi peringatan dan pengajaran daripada Ahmad Boestamam, menerusi API dan Testament Politik API di mana bahawasanya perjuangan menegakkan nilai-nilai keadilan sosial, demokrasi, kemanusiaan serta menentang pihak dan kuasa penindasan, adalah juga serentaknya perjuangan menentang kelupaan. Pada ketika itu, dan juga untuk kini. Dan ke depan.
Rujukan:
Ahmad Boestamam. 2004. Memoir Ahmad Boestamam: Merdeka dengan Darah dalam API. Bangi: UKM.
Alatas, Syed Hussien. 1977. Intellectuals in developing societies. London: Cass.
Alatas, Syed Hussein. 2000. Cita sempurna warisan sejarah. Bangi: UKM.
Arendt, Hannah. 1998. The human condition. Chicago: University of Chicago Press.
Arendt, Hannah. 2006. Between past and future: eight exercises in political thought. New York: Penguin Books.
Kundera, Milan. 1999. The book of laughter and forgetting. New York: Harper Perennial.