Sidang Editorial
“In 1926 and 1927, Asian migration reached an all-time peak. In those two years, more than 150,000 people arrived in Malaya from India…The Chinese moved more widely than the Indian emigrants, who tended to stay within the British Empire: Chinese migrants journeyed to Indonesia, Vietnam, Thailand, Australia, and North and South America – but they arrived in Malaya in the greatest numbers.”
– Sunil S. Amrith
Hampir mustahil untuk kita memahami perkembangan gerakan buruh di Malaysia tanpa melihat kepada sejarah kolonialnya. Digerakkan oleh keperluan mendesak British bagi memperluas projek imperialisnya, kemasukan tenaga kerja migran sekaligus mengubah dinamika demografi serta sosio-politik Malaysia. Bahkan, dari satu sudut, perubahan bentuk produksi dari berunsurkan agraria ke industri yang lebih ekstraktif, seperti perlombongan dan perladangan getah sekaligus mempengaruhi bukan saja cara berpolitik kaum buruh ketika itu, malahan bagaimana corak tatanan pemerintah itu dibentuk kemudiannya.
Dengan ini, melalui cadangan buku “Labour and Trade Unionism”, penulis membahaskan perkembangan sejarah gerakan buruh seawal tahun 1930-an serta latar politik dan sosio-ekonomi yang mengiringinya. Leon Yee Fong melihat bagaimana tekanan ekonomi yang dikenakan pada kelas-kelas buruh telah membuka ruang buat beberapa gerakan politik, terutamanya gerakan Komunis, untuk menyusun agenda pertentangan dengan kaum pemodal. Susunan-susunan ini akhirnya terjelma dalam bentuk kesatuan pekerja yang kemudiannya menjadi dasar penting bagi gerak kerja gerakan politik kiri di Malaya.
Buku kedua, “The Malay Labourer” oleh Zawawi Ibrahim, memerihalkan proses proletarianisasi dan pembentukan kesedaran kelas dalam kalangan buruh Melayu pada tahun 70-an sewaktu berdepan dengan apa yang disebut Zawawi sebagai ‘frontier capitalism’. Berbekalkan kajian etnografi dan teoritis yang luas, buku ini menelusuri proses transisi yang dialami kelas petani Melayu tatkala mereka mula diserap masuk ke dalam kelas pekerja serta bentuk-bentuk eksploitasi yang dikenakan terhadap mereka. Selain daripada eksploitasi ekonomi, Zawawi juga meneroka dimensi ‘eksploitasi status’ yang melihat bagaimana faktor ‘maruah’ kelas buruh turut terjejas dan dicarik-carik melalui beban pekerjaan yang begitu menekan dan zalim.
Selain itu, karya “Perjuangan Kaum Pekerja Ladang Asahan” oleh Teo Cheng Hai meneliti rentetan peristiwa terpenting dalam sejarah gerakan buruh di Malaysia ketika itu. Lewat bacaan buku ini, kita berupaya melihat ruang-ruang pertentangan yang wujud di dalam gerakan buruh. Seperti yang kita maklum, perkembangan pesat lombong, kilang serta ladang sekaligus memperbesar kemungkinan bagaimana gerakan buruh itu dapat dijalankan. Di dalam bukunya ini, kita dapat menjenguk sekilas bagaimana ladang serta buruh yang menggerakkan pertentangan lewat pengambil alihan ladang dengan tuntutan yang jelas, dapat mempengaruhi dasar pemerintah terhadap gerakan peladang.
Lanjutan dari itu juga, buku “Class, Race & Colonialism in Peninsular Malaysia” karya Michael Stenson, memanjangkan analisis perlawanan kelas buruh di Malaya berlatarkan ekonomi kolonial British. Menurutnya, pembentukan kelas pekerja Malaya serta dinamik perkauman harus dikaji seiring dengan proses pengumpulan kapita l(modal) yang terikat dengan hubungan antara kuasa metropolitan dan benua pinggiran (the periphery). Stenson meneroka hubungan ini melalui pengamatannya terhadap pengalaman dan sejarah buruh India di Malaya yang dibawa masuk bukan kerana adanya kekurangan populasi pekerja, sebaliknya untuk memenuhi permintaan ekonomi kolonial bagi mendapatkan kaum buruh dengan bayaran yang murah. Dinamika gerakan buruh serta struktur kelas yang turut diwarnai faktor kaum juga menjadi faktor penting pembentukan gerakan menuntut kemerdekaan, dan juga hubungan perkauman di negara Malaysia yang baru terbangun. Stenson, yang turut menulis buku Industrial Conflict in Malaya: Prelude to the Communist Revolt of 1948 (terbit 1970), sayangnya meninggal dunia sebelum melihat manuskripnya terbit sebagai buku ini pada tahun 1980.
Lewat buku terakhir ini, Aihwa Ong, seorang antropologis yang membuat kajian sewaktu awal mula pembentukan Zon Ekonomi Baru (Special Economic Zone) di kawasan pinggiran Kuala Selangor menemukan dinamika identiti kaum pekerja di dalam tatanan ekonomi neoliberal di Malaysia seawal tahun 80-an lagi. Menerusi “Spirits of Resistance and Capitalist Discipline” ini, Aihwa Ong membahaskan bagaimana kemasukan tenaga pekera kaum wanita sebagai tenaga kerja ‘surplus’ bukan saja ‘mendisiplinkan’ mereka di kilang, malahan di rumah. Kepersilangan di antara identiti, gender dan kelas menjadi teras perbincangan di dalam kajian etnografik penting ini di dalam memahami pasang-surut pergerakan buruh di Malaysia.
Kelima-lima buah buku yang dicadangkan ini jauh dari mencukupi dalam memahami perkembangan kaum pekerja di Malaysia. Pun begitu, setiap satunya mencungkil perbahasan penting dalam memahami politik kaum pekerja di Malaysia serta logika pembangunan ekonomi yang mempengaruhinya. Diharapkan, lewat cadangan ringkas kami ini, sedikit-sebanyak, kita dapat menelusuri perkembangan gerakan pekerja di Malaysia.
Ada bahan bacaan lain yang kalian mahu cadangkan? Kongsikan dengan kami nanti!
Selamat Hari Pekerja! Panjang Umur Perlawanan!