Sidang Editorial
“The official version of the “May 13 Incident” puts the blame for the riots on provocation by the Opposition parties. From correspondents’ dispatches at the time, we find little evidence to support this allegation. There was certainly widespread discontent among the workers, farmers, middle classes as well as urban settlers. The state’s racially discriminatory policies only served to create further divisions among the people and the 1969 election results clearly reflected this growing polarisation”
– Kua Kia Soong di dalam 13 Mei: Dokumen-Dokumen Deklasifikasi Tentang Rusuhan 1969 Malaysia
Lebih 50 tahun peristiwa 13 Mei terjadi. Ratusan orang meninggal, ribuan orang terkesan dengan peristiwa berdarah ini. Bukan sedikit kajian yang dijalankan oleh para cendekiawan kita bagi bagi menjernihkan sejarah yang terjadi. Benarlah, sejarah bukan soal masa lampau semata-mata, sebaliknya membuka ruang faham tentang masa kini sekaligus masa hadapan.
Lanjutan dari itu, kami di Malaysia Muda memilih enam buah penulisan bagi membongkar lebih banyak pandangan tentang bukan sekadar apa yang ‘sebenarnya’ berlaku ketika 13 Mei, tetapi sebaliknya terus kepada salah satu punca yang utama; rasialisasi politik (political racialization) yang berlaku di Malaysia. Di sini, kita dapat melihat bagaimana rasialisasi politik justeru mempengaruhi bukan sahaja tatanan Negara malahan bagaimana susunan dan reaksi warganya kemudian dibentuk. Berikut senarai sederhana kami bagi teman-teman yang berminat bagi membina pemahaman serta membentuk politik melangkaui perkauman:
Pertama, tulisan jurnal oleh Por Heong Hong berjudul Family Narratives and Abandoned Monuments of the May 13 Riot in Sungai Buloh Leprosium yang merupakan sebuah percubaan untuk meletakkan sumber lisan bagi menandingi sejarah dominan tentang kejadian 13 Mei. Selain itu, yang utama di dalam tulisan ini juga adalah bagi melihat peri-penting bagaimana memori tandingan (contested memories) khususnya melibatkan mangsa serta ruang pengebumian memainkan peranan dalam kita memahami betapa rumitnya peristiwa 13 Mei ini. Pendek kata, apa dan siapa yang berhak ‘mengebumikan’ sejarah yang meninggalkan trauma yang cukup panjang kepada masyarakat kita ini semua?
Kedua, walaupun tidak menyentuh secara langsung kepada peristiwa 13 Mei, buku Mitos Peribumi Malas oleh Syed Hussein Alatas ini merungkai kemas perihal tanggapan-tanggapan perkauman yang lahir dari rahim pentadbiran kolonial British serta terus menjalar dalam cara fikir kita hari ini. Kajian Alatas ini berangkat dari latar perdebatan dalam kalangan pemimpin UMNO yang menyifatkan kemunduran ekonomi negara adalah hasil daripada sikap malas orang Melayu itu sendiri. Bahkan, bangsa-bangsa lain juga dibakulkan dengan beberapa ciri lain yang kebanyakannya negatif dan semberono. Alatas memperincikan asal usul ‘stereotaip’ ini dan berhujah bahawa asalannya adalah pada logik rejim ekonomi kolonial yang berbaki. Logik ini terus diangkat oleh pemimpin elit tempatan sebagai senjata untuk menyerang kaum lain, lantas mengabsahkan kedudukan dirinya. Retorika yang sama jugalah dilihat pada sebahagian semboyan melatari tragedi 13 Mei.
Seterusnya, karya Sandra Khor Manickam berjudul Taming The Wild: Aborigines and Racial Knowledge in Colonial Malaya juga penting dalam kita melanjutkan perbincangan oleh Alatas sebelum ini. Lewat karya ini, Sandra Khor kemudiannya memperdalam wacana serta cara fikir kaum yang membelenggu bagaimana Orang Asli ditanggapi di Malaysia. Bahkan, walaupun kedudukan ‘Bumiputera’ Orang Asli di dalam Perlembagaan Persekutuan jelas termaktub, namun, diskriminasi terhadap hak serta cara hidup mereka tetap terjadi. Mengapa? Menerusi buku ini, pengarang melihat kepada kepentingan pensejarahan bagi merungkai proses pemeribumian serta ketidakstabilan di dalam kategori ‘peribumi’ itu yang barangkali membuka jawapan kepada diskriminasi yang berlaku.
Keempat, The Sulu Zone 1768 – 1898: The Dynamics of External Trade, Slavery, and Ethnicity in the Transformation of a Southeast Asian Maritime State karya James Francis Warren ini sama sekali tidak menyentuh akan peristiwa 13 Mei. Namun, usahanya dalam memperluas wacana serta sumber historiografi cukup penting khususnya melibatkan mereka yang menjadi ‘korban’ serta hampir tidak wujud di dalam pensejarahan. Selain itu, James dalam mengemukakan teorinya berkaitan ‘Sulu Zone’ itu juga membuka cara pandang baru dalam memahami pembentukan kategori etnik yang cair yang wujud sejak sekian lama. Di dalam hal ini, membaca tulisan ini juga sekaligus memaksa kita mengerti dinamika isu komuniti tanpa negara serta diskriminasi sosial yang berterusan membelenggu komuniti yang berada di dua sempadan negara bangsa moden; Malaysia dan Filipina hari ini.
Selanjutnya, kajian etnografik oleh Parthiban Muniandy berjudul An Ethnography of Migrant Life in Urban Malaysia ini merupakan sesuatu yang cukup penting untuk dibahaskan khususnya dalam memahami masyarakat kontemporari Malaysia. Di dalamnya, terkandung pengamatan beliau tentang perkembangan bertali arus melibatkan pekerja serata dunia, khususnya dari Asia Tenggara hinggalah ke Asia Selatan yang menjadi sebahagian dari identiti warga kita hari ini. Pun begitu, persoalan besar yang cuba diketengahkan oleh Parthiban adalah perihal adakah mungkin untuk kita menjadi ‘warga’ (being a citizen) tanpa wujudnya batasan ‘kewarganegaraan’ (nationality)?
Terakhir di dalam pilihan kami di Malaysia Muda bagi memahami dinamika pembentukan politik kaum (racialized politic), karya Arunima Datta Fleeting Agencies: A Social History of Indian Coolie Women in British Malaya adalah sebuah karya penting. Satu-satunya kajian berkenaan kuli wanita dari India di zaman British Malaya, karya ini sekaligus melihat kepada arus migrasi buruh serta hubungan gender yang kemudiannya terbentuk ketika itu. Konsep yang dikembangkan dari buku ini yang menyentuh soal agensi sosial dan politik (political and social agency) para kuli wanita itu sekaligus memaksa kita untuk melihat betapa bersilangnya isu kaum di Malaysia meliputi soal kelas, kasta serta gender.
Keenam-enam bahan bacaan ini jauh dari mencukupi untuk membahaskan rasialisasi politik yang melatari masyarakat kita hari ini. Namun, yang paling utama dari perkongsian ini adalah pandangan-pandangan yang dimuatkan di dalamnya khususnya bagi mempertajam usaha kita bagi menampung sebuah cara fikir dan pandang politik yang bukan saja empati terhadap sesebuah kaum, tetapi juga, seperti apa kita kemudiannya dapat melangkaui politik perkauman ini bagi membina setiakawan di antara kaum yang berbeza.
Kongsikan dengan kami jika ada bahan bacaan lain yang mahu dicadangkan.
Kami akhiri dengan ucapan: Selamat Hari Raya dan tiada maaf buat para penindas!