Audi Ali

Tentu sekali kita tidak pernah menaruh harapan yang besar pada kerajaan kita yang terhasil daripada sebuah rompakan: rompakan mandat demokrasi. Mungkin tidak terlalu keterlaluan digunakan perkataan ‘merompak’ itu kerana sejak sekian lama, marhaen dan pekerja telah dirompak segala apa yang dihasilkan oleh kaum kapitalis.

Kerajaan ini, seperti kerajaan-kerajaan terdahulu, hanya akan terus mengizinkan tatanan opresif. Namun, kita sangkakan bahawa wujudnya had bagi kebengisan dan kebejatan tirani ini; bahawa kuasawan akan memberikan kita cebisan apa yang mereka sedang mamah dan kita mengharapkan belas kasihan mereka atas dasar kemanusiaan. 

Ternyata itu adalah harapan palsu. 

Eduardo Galeano, penulis asli Uruguay, pernah menggunakan metafora “urat terdedah” ¹ untuk menggambarkan eksploitasi benua Amerika Selatan oleh kuasa-kuasa kolonial. Sama seperti itu, pandemik ini mendedahkan urat-urat kita terhadap bahana eksploitasi kuasawan dan kapitalis.

Lihat sahaja, setakat ini, sejumlah RM 78 billion telah ditarik keluar daripada simpanan KWSP; graduan muda telah berbulan melihat gaji permulaan kian menurun dan selama berbulan juga, kuasawan menolak desakan kita untuk sedikit bius, yakni moratorium bayaran semula pinjaman, untuk kita mendepani keparahan ini. 

Nadi kehidupan semakin samar-samar kedengaran. Ini bukan hanya satu metafora – lihat sahaja klip video ini. Darah beliau dan ratusan individu yang lain terpalit pada tangan Muhyiddin, tatanan feudal yang menghalalkan pemerintahannya dan radas negara-kapitalis yang menguatkuasakan pentadbirannya. 

Saya sebutkan tatanan feudal dengan jelas di sini. Usahlah kita berdolak dalih lagi bahawa kaum kayanganlah yang sebenarnya telah mengizinkan ketempangan ini untuk terus berlangsung sementara mereka sendiri masih lagi menerima elaun hasil titik peluh rakyat ataupun berkecimpung dalam sektor “swasta” untuk terus menyerakahi hasil bumi kita ini.

Namun, perlu juga kita menginsafi bahawa keadaan yang kita hadapi sekarang ini tidak hanya berpunca daripada darurat olok-olok ini. Kegagalan kita untuk menekankan kehidupan berdemokrasi turut menjadi faktor. Demokrasi di sini bukan sekadar bermaksud pilihanraya yang diadakan selang beberapa tahun, bukan juga sekadar mengabsahkan institusi borjuis seperti Dewan Rakyat untuk merangka dasar. Tidak, demokrasi seharusnya wujud dalam setiap ruang kehidupan kita, dan bagi kaum pekerja, ruang utamanya adalah tempat pekerjaan. 

Antara ekonomi dan nyawa

Kita dimomokkan bahawa sebarang langkah untuk meringankan beban kita akan melumpuhkan ekonomi. Kata mereka, kita perlu mengimbangi nyawa dan ekonomi. Setahun berlalu, jelas itu hanyalah helah untuk mengaburi mata kita – sebenarnya yang diimbangi adalah nyawa marhaen dan keuntungan bagi kekayaan negara-kapitalis. Untuk itu, status quo sudah memadai. Apa tidaknya? Dijangkakan kaum majikan terkaya di Malaysia mengaut keuntungan sebanyak RM 1.99 billion pada tahun 2020. Sementara itu, pegawai bank tertinggi (mereka ini banker, ya) mencatatkan pendapatan dan bonus yang kian melambung. Desakan dan himpitan hanya dirasai oleh kita, kaum pekerja. 


Hakikatnya, dikotomi antara ekonomi dan nyawa tidak wujud bagi pekerja yang hidup di bawah kapitalisme: “capitalism begins not with the offer of work, but with the imperative to earn a living” ². Bagi kita yang tidak mempunyai pendapatan pasif dan hidup tanpa memeras nilai dari tenaga buruh orang lain, setiap detik kehidupan kita dipenuhi dengan kerja yang dilaksanakan semata-mata untuk menyediakan atap di atas rumah dan makanan di atas meja.

“Nyawa atau ekonomi” hanyalah pertimbangan yang wujud bagi mereka yang sudah merakusi segala nilai dan keuntungan daripada masyarakat. Tipu helah ini hanya disebut berulang kali untuk memberi gambaran bahawa kuasawan tidak mempunyai kuasa untuk menangkis desakan kapitalisme dan eksploitasi pekerja – bahawa mereka, seperti rakyat lain juga adalah mangsa keadaan. 

Kini, terserah pada kita untuk menekankan hakikat tersebut bahawa ekonomi adalah nyawa kita, dan nyawa kita adalah ekonomi. Cara yang paling jelas adalah untuk melaksanakan hartal, iaitu satu mogok besar-besaran. 

Kuasa dan Demokrasi

Sememangnya sang penguasa tidak akan berganjak selagi monopolinya ke atas kuasa itu kekal. Selagi kuasa itu tidak tercabar, segala tuntutan dan permintaan daripada masyarakat madani hanyalah rayuan yang tidak berkesudahan dan saya yakin, sama sekali tidak akan terjawab.

Untuk mendesak mereka, kita perlu menggagaskan satu gerakan yang boleh mencabar logik pentadbiran mereka dan gerakan ini perlulah berpasak pada satu-satunya aktiviti yang boleh kita kawal, yakni tenaga kerja kita sendiri. 

Kerajaan ini boleh terus kekal dalam bebalisme mereka kerana setelah sekian lama, kita telah kurang berimaginasi dalam mengamalkan konsep demokrasi. Kita beranggapan bahawa demokrasi hanya wujud dalam proses pilihan raya, tetapi tidak pula dalam aspek lain kehidupan terutamanya dalam ruang pekerjaan.

Kita sudah terbiasa dengan konsep pentadbiran “dari atas” iaitu kita sebagai pekerja hanya perlu menurut arahan pengurusan dan kita tidak mempunyai sebarang kuasa dalam membuat sebarang keputusan. Sedikit demi sedikit, kita terbiasa dengan tirani di tempat kerja dan dibiar berlanjutan, kita terbiasa dengan tirani dalam negara. 

Ini bukan hanya disebabkan kealpaan kita. Sememangnya, struktur pekerjaan dan perundangan di negara kita memang diatur supaya kesatuan sekerja dipecah belahkan – pada permulaannya mengikut sektor, kemudiannya mengikut syarikat. Undang-undang buruh pula meletakkan beban yang tinggi untuk pekerja meluncurkan aksi mogok dan sekiranya syarat-syarat tersebut tidak dipenuhi, kita boleh dikenakan denda yang berat.

Tambahan pula, proses untuk mendaftarkan kesatuan dan mendapatkan pengiktirafan daripada majikan adalah satu proses yang lama dan membebankan lantas melesukan tenaga pekerja dalam menuntut hak kita. Bagi mereka yang sudah lama berkecimpung dalam hal ehwal perburuhan, mereka sedar bahawa tatanan sedia ada memecah belahkan kolektif kita sehingga kita hanyalah individu-individu yang tidak mempunyai sebarang kuasa. 

Oleh itu, kita perlu bertanya: di manakah kesatuan kita? Adakah kita  akan terus berbisu dan terpaku dan membiarkan diri kekal ditekan bersendirian? Atau adakah kita mampu bersama-sama  menggagaskan sebuah gerakan ke arah kesaksamaan? 

Pun begitu, kita menginsafi bahawa status quo tidak akan selamanya kekal. Dalam hal ini, kita perlu melawan lupa. Penulisan di blog ini, Jentayu, dan di beberapa sumber lain ada menceritakan sejarah perlawanan buruh menentang negara-kapitalis. Untuk kita mengimbau semula: 

Pada tahun 1941, pekerja di ladang estet di Klang bermogok untuk menuntut gaji yang sama rata antara pekerja etnik Cina dan India, penubuhan sekolah untuk anak-anak pekerja dan kebebasan berkumpul dan bersuara. 

Pada tahun 1947, tenaga pekerja seramai 500,000 orang telah melaksanakan hartal untuk menuntut kemerdekaan dan pengisytiharan “Perlembagaan Rakyat”

Pada tahun 1960-an ribuan pekerja KTM telah melancarkan mogok untuk menuntut kehidupan yang lebih bermaruah. Sekitar masa itu juga, pekerja Utusan Melayu bermogok untuk membantah pengambilalihan syarikat oleh United Malays National Organisation (UMNO). 

Pada tahun 1967, pekerja dan peneroka tanah berhartal di Teluk Gong untuk menuntut supaya tanah yang diterokai menjadi milik mereka. 

Pada tahun 1974 di Baling, mahasiswa bersetiakawan dengan petani, bermogok lapar untuk membawa perhatian negara terhadap isu kelaparan di daerah itu. 

Desakan demi desakan

Kita sedar, dalam setiap episod tersebut, tiada dikotomi “nyawa atau ekonomi”. Marhaen dan pekerja pernah menyedari bahawa untuk mendesak Sang Penguasa, tindakan perlu diambil di setiap ruang yang tersedia. Ini bermakna kita perlu bersedia untuk berpolitik kerana bukankah politik itu hanya satu nama lain bagi persaingan kuasa?

Cumanya, politik yang sekarang kita maksudkan bukanlah semata-mata bagi merebut kedudukan dan jawatan, dan bukanlah melalui wadah demokrasi yang kita selalu fahami, iaitu hanya terhad kepada pilihanraya dan Dewan Rakyat semata-mata. Namun, ianya datang dalam bentuk mengambil balik kawalan ke atas tenaga kerja kita dan tujuannya, untuk melindungi kehidupan kita dari eksploitasi yang tidak berkesudahan. 

Hartal, sekarang juga. 

Teruskan perlawanan.  

Rujukan:

¹ Eduardo Galeano, Open Veins of Latin America, 1973

² https://newleftreview.org/issues/ii66/articles/michael-denning-wageless-life