Oleh: Mei Shigenobu
Diterjemah oleh: Audi Ali
Artikel ini asalnya dikomisyen dan diterbit oleh The Funambulist 41 (Mei – Jun 2022).
Fusako Shigenobu setelah dilepaskan dari tahanan, bersama pengarang, Mei Shigenobu (kanan). Gambar oleh AFP-JIJI.
Pada pagi 8 November 2000, cuaca dingin namun matahari cukup terik. Saya sedang berbual dengan teman di perkarangan universiti di Beirut sambil bersiap sedia untuk menghadiri kelas pertama pada hari itu apabila telefon saya berdering. “Adakah keluarga kamu ok?”, pemanggil – seorang kenalan rapat – bertanya secara tersirat. Saya sedar ketika itu bahawa telah terjadi sesuatu melibakan seseorang dari kalangan masyarakat Jepun yang terpaksa saya rahsiakan; yang juga merupakan keluarga saya. Walaupun dengan sedaya upaya, saya tidak lagi mampu untuk menumpukan perhatian saya terhadap perbualan sesama rakan mahupun syarahan. Akhirnya rasa gelisah ini membuatkan saya pulang ke rumah bagi mencari secebis maklumat tentang apa yang telah berlaku melalui laporan berita.
Dalam tempoh masa kurang dari sebulan, ibu saya telah menulis sebuah laporan berhalaman 200 muka surat di atas lantai penjara yang menggambarkan kehidupan
kami dalam persembunyian sebagai ibu dan anak. Lantaran itu, saya menjadi warganegara Jepun setelah 27 tahun sebagai seorang yang tidak diterima mana-mana negara. Laporan itu kemudiannya diterbit sebagai sebuah buku, berjudul I Gave Birth to You Under an Apple Tree (2001). Buku tersebut adalah buku pertama yang beliau terbitkan selain beberapa yang lain menyusul semasa dalam tahanan.
Fusako Shigenobu dilahirkan di Setagaya, Tokyo pada 28 September 1945, iaitu bulan yang sama Jepun menyerah kalah kepada tentera Amerika Syarikat di pengakhiran Perang Dunia Ke-II. Zaman kanak-kanak Fusako di Jepun yang sedang pulih dari kesan peperangan tidaklah luar biasa berbanding dengan kanak-kanak lain. Beliau merupakan anak ketiga antara empat cahaya mata sepasang suami isteri berpelajaran tinggi dan membesar tatkala Jepun dibelenggu kemiskinan. Ayah beliau pernah menjadi guru sukarela di kuil Buddha setelah Perang Dunia Pertama dan kemudiannya dikerah sebagai askar Tentera Empayar Jepun. Semasa bertugas, beliau menyertai sekumpulan pegawai-pegawai nasionalis untuk menentang elit politik yang semasa itu mengaut keuntungan daripada peperangan yang dilancarkan Jepun untuk mengembangkan kuasa di Asia. Lantaran itu, beliau dihukum buang negeri ke Manchuria yang dikuasai Jepun ketika itu. Kehidupan Fusako pada awalnya dibayangi oleh aktiviti nasionalis bapanya dan beliau tidak begitu politikal.
Setelah tamat pengajian sekolah menengah, Fusako mula bekerja di syarikat antarabangsa, Kikkoman. Ini adalah pekerjaan yang elit yang sepatutnya menjadi permulaan bagi sebuah kerjaya yang membolehkan beliau untuk menyertai kelas elit ekonomi Jepun. Namun, motivasi utama beliau untuk bekerja di Kikkoman adalah bagi membiayai pendidikannya di universiti. Beliau kemudiannya menerima dua ijazah dalam bidang Politikal Ekonomi dan Sejarah setelah bekerja syif petang selama beberapa tahun.
Kehidupan beliau sebagai pelajar biasa terganggu pada hari pertama di Universiti Meiji, apabila beliau menyertai sebuah duduk bantah untuk memprotes peningkatan yuran pelajaran, sebuah isu yang meninggalkan kesan kepada beliau sebagai mahasiswi yang bekerja. Ini merupakan titik permulaan penglibatan beliau dalam aktivisme mahasiswa yang digerakkan Zengakuren, satu liga persatuan-persatuan yang asalnya menumpukan perhatian terhadap isu pendidikan, hak pekerja, dan kemiskinan tetapi kemudiannya mengambil pendirian radikal berkaitan dengan aktivisme New Left yang membantah perang Vietnam, perjanjian keselamatan di antara Jepun dan US serta berpendirian anti-kapitalisme dan anti-imperialisme. Pada tahun 1969, Fusako menyertai kumpulan radikal Red Army Faction (RAF) dan dengan segera menjadi ketua Biro Hubungan Antarabangsanya.
Pada tahun 1970, semasa tumpuan komuniti antarabangsa diajukan terhadap perang AS di Vietnam, Fusako ditemukan dengan seorang cendekiawan dunia Arab di Jepun dan mula mengenali perjuangan Palestin menentang penjajahan Israel. Ini
adalah detik perubahan yang drastik. Bermula pada saat itu, beliau memutuskan untuk menyertai perjuangan Palestin. Beliau membina hubungan solidariti dengan warga Palestin di Lebanon dan menganjur rakan aktivis di Jepun untuk turut bersolidariti dengan mereka dalam pelbagai aspek.
Japanese Red Army (JRA) secara amnya dikenali kerana perjuangan bersenjata dan operasi ketenteraan menentang kepentingan kapitalis dan imperialis di seluruh dunia yang kebiasaannya dilancarkan dalam bentuk rampasan dan pengambilan tebusan. Namun usaha JRA yang sentiasa bersolidariti dengan warga Palestin melalui tindakan kemanusiaan, kesenian dan pemberdayaan akar umbi jarang diperkatakan.
Fusako pada awalnya bekerja di majalah Al Hadaf iaitu satu pejabat perhubungan awam bagi Popular Front for the Liberation of Palestine (PFLP) bersama Ghassan Kanafani, ketua editornya. Peranan beliau di sana memperkukuhkan sokongan Jepun terhadap perjuangan Palestin dengan memberi maklumat tentang perkembangan terkini tentang perjuangan Palestin dan hal ehwal di Timur Tengah kepada aktivis-aktivis kiri Jepun. Beliau juga memberi bantuan logistik kepada sukarelawan Jepun dan memperkenalkan mereka kepada rakan-rakan Palestin.
Fusako Shigenobu bersama Ghassan Kanafani. Gambar diambil dari The Funambulist.
Sebahagian daripada doktor-doktor Jepun tiba di Lubnan untuk membuka klinik di khemah pelarian, atau untuk memberi latihan akupunktur; mereka yang cenderung kepada kesenian menyumbangkan seni atau menghasilkan karya drama dan ada juga yang menulis tentang atau menterjemah penulisan warga Palestin terkemuka seperti Kanafani. Selama beberapa dekad, JRA menjalankan usaha yang kini diambil alih oleh NGO. Perbezaan utama hanyalah kerangka ideologi dan semangat kesukarelawanan mereka.
Fusako terpaksa hidup dalam persembunyian setelah operasi PFLP pada tahun 1972 di lapangan terbang Lydd di Palestin/Israel, kerana salah seorang daripada tiga warga Jepun yang terlibat dalam operasi tersebut ditangkap. Kerajaan Israel diberi maklumat bahawa aktivis Jepun kini turut terlibat dalam operasi bersenjata PFLP yang diterajui Wadie Haddad. Oleh itu, mereka menjadi sasaran pembunuhan oleh kerajaan Israel.
Waran tangkap ke atas Fusako Shigenobu dikeluarkan oleh Interpol apabila salah seorang tebusan di kedutaan Perancis di Hague (peristiwa ini merupakan salah satu daripada operasi PFLP yang melibatkan sukarelawan Jepun pada tahun 1974) tersalah mengenal pasti beliau sebagai seorang yang terlibat di dalam operasi ini. Keterangan ini kemudiannya ditarik namun waran tangkap Interpol tetap berkuatkuasa.
Namun, apabila beliau ditangkap di Jepun, Fusako didakwa atas dua sebutan pemalsuan pasport. Pihak pendakwa kemudiannya mengetengahkan “penglibatan dalam operasi Hague” untuk memperoleh hukuman penjara yang lebih lama. Sepanjang perbicaraan yang berlangsung selama 6 tahun (2001-2006), pihak pendakwa tidak mampu untuk membentangkan sebarang bukti kukuh dan sebaliknya bergantung kepada keterangan oleh bekas ahli JRA (dua saksi turut menyatakan bahawa keterangan mereka diperoleh melalui paksaan).
Ibu saya disabitkan dengan penjara selama 20 tahun (hakikatnya, 21.5 tahun) bagi operasi yang beliau tidak terlibat sama ada secara langsung atau tidak, walaupun menurut saksi pendakwaan seperti Leila Khaled (pernah bekerja sama dengan Haddad). Hakim kes tersebut tetap mensabitkan beliau dengan “percubaan untuk mengakibatkan kematian” walaupun tiada bukti kukuh penglibatan beliau, dengan alasan kemungkinan bahawa beliau telah bersepakat dengan komando Jepun.
Setelah mengikuti perbicaraan selama 6 tahun dan walaupun wujudnya kehadiran media di mahkamah, saya memerhatikan bahawa kisah ibu saya jarang menerima liputan media. Saya sedar bahawa seluruh proses ini hanyalah pemerasan politik yang bertopengkan “keadilan demokratik”.
Detiknya saya muncul dari persembunyian, saya memulakan usaha bagi membalas propaganda kerajaan tentang ibu saya dan organisasi revolusioner kiri beliau, Japanese Red Army, serta dedikasi mereka terhadap pembebasan Palestin.
Trajektori kehidupan saya ditentukan saatnya saya terpaksa mendedahkan identiti setelah ditekan untuk mengutuk tindakan ibu saya. Walaupun seluruh dunia mungkin mempercayai propaganda kerajaan yang melabel beliau sebagai “pengganas”, sebagai cahaya mata beliau, saya kenal siapa Fusako Shigenobu yang sebenarnya.
Saya merasai kasih sayang dan dedikasi beliau yang bukan hanya dicurahkan kepada saya, tetapi kepada semua dan khususnya kepada mereka yang dianiaya. Saya tahu tujuan sebenar serta pengorbanannya, yang hanya segelintir dapat berpaut dengannya saat berdepan dengan dunia yang dipacu kekuasaan, wang, dan ketamakan. Beliau bukan sahaja mengajar saya tentang nilai ihsan dan ketidakadilan diskriminasi, tetapi juga menerapkan komitmen bahawa kita mesti berjuang bagi menamatkan penindasan.
Sebagai orang “luar” yang menzahirkan solidariti dengan sesuatu perjuangan, ibu saya sentiasa mengingatkan saya bahawa kehidupan sebagai revolusioner dan ibu adalah sebuah proses pembelajaran yang tiada pengakhiran. Beliau sedar bahawa ideologi tidak mencukupi dan perjuangan revolusioner bahkan memerlukan keluarga, cinta, kesepakatan, dan solidariti.
Fusako bersama Mei, 1973. Gambar diambil dari The Funambulist
Love is a shared foundation… Our comrades are family.
(Dari I Decided to Give Birth to You Under the Apple Tree)
Sebagai aktivis politik tegar yang berpandukan latar belakang ideologi anti-penjajahan dan anti-imperialisme, ibu saya ialah seseorang yang memahami bahawa revolusi tidak hanya terperuk di dalam kerangka ideologi dan ia harus dizahirkan dalam kehidupan bermasyarakat yang terangkum.
Sebagaimana beliau telah berubah, begitu juga dengan dunia dan aktivisme digerakkan. Jalur perikatan telah berubah dan wadah gerakan akar umbi yang baru juga telah tercipta. Apa yang kekal antara dahulu dan sekarang ialah keberlangsungan penjajahan Palestin oleh Israel, keganasan dan diskriminasi terhadap warga Palestin, dan pentingnya untuk kita menentang penindasan ini dengan solidariti dalam pelbagai ragam.
Ibu saya hanya sempat untuk tinggal di Jepun selama 26 tahun, pada setengah abad yang lalu. Beliau akan memerlukan banyak masa untuk membiasakan diri, untuk mengenal semula dunia, rakan lamanya dan kenangan kehidupan lampau. Malangnya, ramai di antara teman dan kenalan beliau telah meninggal dunia dan saya bimbang tentang keselamatan beliau dan kekerasan yang beliau akan hadapi dari masyarakat Jepun yang mengenali beliau sebagai “pengganas”. Namun, saya juga mempunyai harapan bahawa akhirnya saya boleh menemani beliau untuk mengenali tanah air yang dicintainya. Saya menjangkakan bahawa kami akan membincangkan politik seperti mana yang pernah kami lakukan suatu ketika dahulu dan menjalankan projek kemanusiaan untuk meneruskan usaha bersolidariti menentang penindasan, ketidaksetaraan, dan ketidakadilan di seluruh dunia.